January 10th, 2016

Tahun memperkasa cita-cita

SECARA umumnya, golongan pelajar atau remaja akan melipat gandakan usaha apabila menjelang tahun baharu. Memperkasa cita-cita dan memperbaharui azam biasanya dilakukan pada setiap kali menjelangnya tahun baharu.

Setiap cita-cita yang ingin dicapai sudah tentu mempunyai halangan dan cabaran. Bagi seseorang yang bersifat dinamik dan kreatif, halangan dan cabaran itu adalah alat pendorong untuk mencapai kemajuan, bukan alasan untuk tidak berusaha.

Banyak bukti kejayaan adalah bermula daripada usaha yang bersungguh-sungguh walau dalam apa bidang sekalipun.

Secara jelas, cita-cita memerlukan perjuangan, perjuangan pula memerlukan pengorbanan dan pengorbanan memerlukan keteguhan hati.

Dalam usaha memperkasa cita-cita setiap pelajar atau remaja mestilah membulatkan tekad dengan hanya satu cita-cita yang unggul supaya dapat dilaksanakan.

Beberapa tokoh Barat seperti, Mark Twain, menjelaskan, peliharalah cita-citamu dengan baik, kerana apabila cita-cita padam sama ertinya dengan mati. Manakala, Rante menyatakan, hidup akan sunyi apabila manusia tidak mempunyai cita-cita.

Sementara, Goethe, menegaskan, wujudkan cita-citamu walaupun hanya dalam angan-angan, kerana begitu kuatnya angan-angan anda, akan memaksa anda mencapai cita-cita.

Islam juga sangat menitikberatkan umatnya mempunyai cita-cita yang unggul demi kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Hal ini pernah dijelaskan oleh Hukama’ atau para cerdik pandai, iaitu, bencana yang paling besar adalah putusnya cita-cita. Hidup tanpa cita-cita umpama rumah yang tidak berjendela menyebabkan penghuninya mati kelemasan.

Imam Abu Hanifah pernah menjelaskan, cita-cita perlu bagi manusia yang hidup. Manusia yang tidak bercita-cita bukanlah sebenarnya dia hidup, tetapi itu adalah kematian kerana manusia yang tidak mempunyai cita-cita, sudah mati batinnya.

Justeru, manusia yang memiliki cita-cita tidak kenal istirahat. Dia akan sentiasa berusaha dan bekerja bersungguh-sungguh untuk merealisasikan cita-citanya. Untuk mencapai cita-cita banyak kesusahan dan penderitaan yang mesti ditempuh.

Ini dijelaskan oleh Ibnu Khaldun yang menyatakan, menderita sebenarnya jauh lebih baik sekiranya bercita-cita kerana ada imbalan, daripada menderita berpanjangan tanpa cita-cita.

Oleh itu, mengubah hati dan diri ke arah kebaikan merupakan jalan terbaik menuju kemuliaan. Perbanyakan ilmu dan amalan dalam kehidupan serta mengelakkan diri daripada terjebak dengan gejala sosial yang negatif dan merosakkan.

Sebagai contoh, sahabat Rasulullah SAW mempunyai keazaman dan cita-cita yang sangat hebat. Abu Hurairah menghafal hampir seluruh hadis dan membahagi malamnya menjadi tiga untuk solat, untuk menghafal dan untuk tidur.

Sementara, Ahmad ibn Hanbal harus berjalan sejauh 30,000 batu untuk mencari hadis. Dia menghafal satu juta hadis dan menulis 40,000 hadis dalam kitab Musnadnya.

Jabir ibn Abdullah pergi mencari satu hadis hingga ke Mesir selama satu bulan. Ibn Musayyab pergi selama tiga hari hanya untuk mencari jawapan atas suatu permasalahan. Cerita ini boleh dijadikan motivasi dalam mencari ilmu.

Begitulah hebatnya orang-orang yang berjaya melaksanakan cita-citanya yang boleh diteladani oleh pelajar dan remaja masa kini. Keadaan pada zaman dahulu lebih sukar dan susah berbanding sekarang. Walau bagaimanapun, ujian kesusahan lebih memberi keazaman berbanding ujian kesenangan pada masa kini yang banyak melalaikan kehidupan.

Bagaimanapun, cubaan dan ujian akan dapat membentuk kedewasaan seseorang, mencabar minda, mencekal akal, memperbaiki akal budi dan menguatkan semangat dalam menempuh liku-liku perjuangan kehidupan.

Justeru, bagi merealisasikan segala cita-cita, kuatkan azam dan iltizam, fokuskan perhatian pada satu perbuatan dan pekerjaan dengan tekun agar menjadi orang yang berjaya dalam kehidupan masa depan.

Ketelitian dalam melaksanakan sesuatu adalah jalan kejayaan. Ini disebabkan seseorang yang berjaya sangat teliti, rajin dan berterusan melakukan sesuatu.

Jabatan kerajaan perlu hemat berbelanja

KETIKA ekonomi gawat dan tidak menentu, kita sering dinasihati supaya sentiasa hemat berbelanja. Jika kita boros, kemungkinan kita akan terjerumus ke dalam masalah besar. Kita tidak akan mempunyai cukup wang untuk berbelanja. Kita mungkin terpaksa berhutang.

Apabila sudah dibelitkan oleh hutang, sudah tentu akan menimbulkan rantaian masalah lain, termasuk tekanan psikologi sehingga menjejaskan hubungan dalam keluarga.

Bagi kerajaan pula, wang yang dimilikinya, bukan untuk dibelanjakan sewenang-wenangnya tanpa memikirkan implikasinya.

Disebabkan pendapatan kerajaan berkurangan, sebahagiannya kerana kurang pendapatan daripada hasil minyak, maka ini memberi implikasi dari segi jumlah dan pelaksanaan projek.

Peruntukan kepada kementerian, jabatan dan universiti
terpaksa dikurangkan. Ini memberi cabaran besar kepada semua pihak terbabit, bagaimana menguruskan jabatan dengan peruntukan berkurangan, tanpa menjejaskan matlamat dan objektif ditetapkan.

Segala peruntukan yang disalurkan kepada kementerian atau jabatan, perlu mengambil kira kesannya. Adakah perbelanjaan itu berbaloi? Adakah perbelanjaan itu mendatangkan kesan kepada jabatan dan golongan sasar, terutama rakyat?

Di sebalik pengucupan nilai ringgit dan ekonomi global yang tidak menentu, kementerian perlu memastikan setiap sen dibelanjakan dengan kesan optimum.

Menyedari pentingnya amalan itu, maka Perdana Menteri dalam mesyuarat Kabinet pertama tahun ini, memberi penekanan mengenai pentingnya berbelanja berhemat kepada anggota Kabinet.

Peringatan awal tahun itu memang wajar. Berbelanja sesuka hati, malah bersikap boros, tidak sewajarnya dilakukan, lebih-lebih lagi ketika peruntukan kerajaan dikurangkan.

Jabatan perlu berbelanja secara berhemat dan sederhana ketika menjalankan operasi masing-masing.

Analisis kewangan

Jabatan tidak perlu mengadakan acara yang terlalu hebat, dengan segala macam program yang membabitkan belanja terlampau besar. Sesungguhnya, amat penting bagi jabatan kerajaan membuat analisis kewangan supaya semua perancangan dan aktiviti, mengikut kos ditetapkan.

Pembaziran perlu dielakkan, kerana pembaziran merugikan semua pihak. Peruntukan perlu digunakan sebaik mungkin, dengan memikirkan strategi terbaik untuk mengurangkan kos.

Amalan kesederhanaan perlu dijadikan asas jika jabatan kerajaan menganjurkan sesuatu majlis. Sesuatu majlis tidak perlu menelan perbelanjaan terlampau besar untuk mendatangkan kesan besar. Kesan besar bukan ditandai oleh segala macam majlis berwarna-warni.

Perlukah, misalnya, jabatan kerajaan menganjurkan majlis pelancaran projek secara besar-besaran membabitkan kos beratus-ratus ribu ringgit? Atau memadai sekadar projek itu diumumkan sahaja? Hati siapakah yang hendak dipuaskan oleh ketua jabatan terbabit apabila mereka berbelanja secara melampau?

Mereka sebenarnya mahu mengambil hati dan memuaskan hati menteri yang melancarkan acara. Mereka tidak mahu dianggap tidak cekap dan tidak pandai mengurus acara jika sesuatu acara itu tidak gah. Mereka salah anggap bahawa supaya kelihatan gah, maka perlu peruntukan lebih besar.

Sebenarnya, menteri juga perlu dipersalah jika ketua jabatan mempunyai anggapan demikian dan terjebak dalam amalan buruk itu.

Anjur majlis sederhana

Menteri perlu bersikap bijaksana dengan mengingatkan ketua kementerian dan jabatan, betapa mereka tidak perlu semua itu. Cenderamata yang mahal misalnya, tidak perlu disediakan. Memadai mengadakan majlis secara sederhana, tanpa membabitkan kos melampau.

Yang penting, ia berkesan, dan mendatangkan hasil. Itulah sebabnya, amat penting bagi setiap penjawat awam mengambil serius peringatan Datuk Seri Najib Razak.

Penjawat awam, terutama ketua kementerian dan jabatan yang dipertanggungjawabkan mengurus soal kewangan sedar bahawa mereka bukan hanya diaudit di dunia, malah bakal diaudit di akhirat.

Maka, penjawat awam perlu membelanjakan peruntukan masing-masing dengan kesedaran dan keinsafan berkenaan. Tiada agama yang mahu penganutnya bersikap boros.

Pegawai kerajaan sepatutnya malu dan bersalah apabila berbelanja tidak ikut arahan dan peraturan. Mereka perlu berbelanja dengan keinsafan dan kesedaran bahawa wang berkenaan ialah wang rakyat - yang sebahagiannya dikutip daripada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST). Penjawat awam perlu dididik untuk berdisiplin dan mengawal diri dalam membelanjakan peruntukan.

Mereka hendaklah menggunakan peruntukan jabatan dengan cukup berhati-hati seolah-olah wang berkenaan adalah wang sendiri.

Kecuaian dalam mematuhi prosedur kerajaan, kurang teliti ketika merancang program atau aktiviti dan menetapkan skop serta spesifikasi tender, serta kurang beri perhatian terhadap dampak sesuatu program atau aktiviti, adalah antara faktor ketirisan dan pemborosan.

Kita tidak mahu hutang terus melonjak, kerana yang menanggung bebannya ialah anak cucu kita kemudian hari.

Jangan sampai kerajaan dilihat bagai mengajar ketam berjalan dengan betul dalam soal berbelanja, sedangkan ia melakukan pembaziran dan pemborosan, tanpa malu dan sesal.

Inilah masanya kita berpegang kepada prinsip perbelanjaan beretika, berhemat, dan bertanggungjawab dengan penuh akauntabiliti.

Kembali hayati Rukun Negara

MEMASUKI tahun baharu 2016, masyarakat di mana-mana negara mengimpikan kehidupan yang sempurna, indah, aman dan apa diingini dapat dikecapi dengan mudah.

Namun, apakah mereka berfikir semua itu senang untuk didapati tanpa usaha dan sedar akan wujudnya halangan daripada anasir yang iri hati. Atau dengan hanya jalan singkat menyalahkan pihak tertentu jika sesuatu yang diidamkan gagal diperoleh.

Tahun 2016 dijangka menjadi lebih sukar dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu serta permainan politik antarabangsa oleh kuasa besar yang berada di luar kawalan kita.

Apakah panduan yang harus kita gunakan untuk mendepani cabaran tahun mendatang? Jawapannya ialah kembali kepada Rukun Negara.

Walaupun ia bukan satu-satunya penyelesaian kepada permasalahan yang wujud di dalam negara, Rukun Negara dengan jelas menyatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang mendukung cita-cita hendak mencapai perpaduan lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya serta memelihara satu cara hidup yang demokratik.


DIDIK generasi muda khususnya kanak-kanak memahami dan menghayati Rukun Negara.- Foto Luqman Hakim Zubir


Lima prinsip Rukun Negara

Untuk itu seluruh tenaga dan usaha rakyat Malaysia harus berpaksikan kepada lima prinsip Rukun Negara iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang serta Kesopanan dan Kesusilaan.

Prinsip pertama iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan harus dimiliki setiap warganegara.

Mana-mana agama di dunia ini pasti mahukan keamanan, kemakmuran, persahabatan dan nilai positif.

Untuk mencapai nilai itu, konsep bersyukur dan saling menghormati perlu diterapkan di setiap lapisan masyarakat.

Setiap daripada kita tanpa mengira anutan agama atau kaum hendaklah selalu bersyukur atas apa yang dinikmati di dalam negara ini berbanding penduduk di negara lain yang sering dilanda bencana alam dan peperangan berdarah.

Memandangkan Islam adalah agama rasmi Persekutuan dan majoriti penduduk di Malaysia beragama Islam, maka Rukun Islam serta Rukun Iman wajib dihayati setiap penganutnya dalam menjalankan urusan harian.

Daripada lima Rukun Islam dan enam Rukun Iman itu, Rukun Iman yang keenam iaitu beriman kepada qada dan qadar, menarik untuk diperbincangkan dalam konteks rencana ini.

Setiap perkara yang berlaku adalah ketentuan Allah SWT melalui ilmu-Nya. Manusia berusaha dan berdoa tetapi Allah SWT yang menentukan segala-galanya. 'Berusaha dan berdoa', bukan duduk di depan komputer atau telefon pintar sahaja dengan hanya menghentam membabi buta, membenci dan menyebarkan maklumat yang belum tentu kesahihannya.

Prinsip kedua ialah Kesetiaan Kepada Raja dan Negara. Sistem raja berperlembagaan atau monarki bukan satu sistem yang terbaik di dunia. Namun jika dilihat di rantau Arab, negara beraja masih lagi aman seperti Kuwait, Oman, Jordan dan Qatar berbanding negara tidak beraja seperti Syria, Yaman, Libya serta Iraq. Thailand yang sering mengalami rampasan kuasa oleh tentera akan mengembalikan pemerintahan kepada raja negara itu.

Bayangkan jika Thailand sebuah negara republik, perebutan untuk menjadi ketua negara seperti presiden akan menjadi lebih sengit, agresif dan pertumpahan darah mungkin menjadi lebih dahsyat serta kerap berlaku. Dalam pemerintahan sesebuah negara akan mempunyai ketua pentadbir/kerajaan dan parti politiknya yang dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya setiap empat atau lima tahun.

Berbanding penjawat awam yang dipilih berdasarkan peperiksaan serta temu duga bergantung kepada kelayakan mereka. Kesetiaan kepada raja dan negara juga bermaksud setia kepada sistem negara yang ada seperti perdana menteri dan barisan Kabinet.

Tunggu sehingga tiba masanya iaitu ketika pilihan raya umum, bukan menukar kerajaan di jalanan atau berpolitik kebencian 24 jam sehari dalam media sosial. Bukankah kita ada pendidikan, kerjaya dan ekonomi yang harus dibangunkan?

Prinsip Rukun Negara yang ketiga ialah Keluhuran Perlembagaan. Menurut Abdul Halim Ramli dalam bukunya, Perlembagaan Malaysia: Isu dan Persoalan Perhubungan Kaum, 'Persetujuan kaum yang dicapai dalam Perlembagaan bertunjangkan kompromi kaum yang diasaskan oleh Parti Perikatan.'

Kompromi kaum

Kompromi kaum membawa kepada persetujuan untuk menerima kedudukan istimewa orang Melayu, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Islam sebagai agama Persekutuan dan hak kerakyatan yang dimaktubkan dalam Perlembagaan untuk dipatuhi.

Bagaimanapun selepas merdeka, sebahagian daripada persetujuan itu bukan sahaja tidak dilaksanakan seutuhnya, bahkan dimungkiri sama ada oleh orang Melayu atau bukan Melayu." Pengerusi Biro Perlembagaan Majlis Perundingan Melayu, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman, mengatakan: "Sejarah perlembagaan amat penting untuk difahami.

Apabila rakyat memahaminya, maka rakyat akan memahami peruntukan yang ada dalam Perlembagaan. Oleh itu, apabila ada pihak yang sengaja memutarbelitkan sejarah Perlembagaan, rakyat tidak mudah terpedaya kerana rakyat mengetahui fakta yang sebenar."

Setiap tindakan kita bukan sahaja untuk 2016, tetapi juga tahun selepasnya harus sensitif dan mengambil kira perkara di dalam Perlembagaan negara bagi mengekalkan keamanan.

Seterusnya Kedaulatan Undang-Undang. Ada beberapa undang-undang baharu diluluskan oleh Dewan Rakyat pada tahun lalu dan ada juga yang masih pada peringkat rangka kajian.

Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Keselamatan Negara (MKN) diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 4 Disember 2015 lalu.

RUU untuk menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) yang sedang pada peringkat penggubalan akan meliputi perkara berkaitan eksploitasi kanak-kanak dalam jenayah siber, aktiviti buli siber, penderaan dan pornografi kanak-kanak. Ketika ini Seksyen 31(1)(a) dan Seksyen 33(a) Akta 611 memperuntukkan mengenai pengabaian kanak-kanak yang boleh mendedahkan mereka kepada kecederaan fizikal atau emosi.

Setiap orang yang mempunyai pemeliharaan kanak-kanak boleh didenda jika berlaku pengabaian termasuk mengheret mereka di jalanan dalam perhimpunan haram.

Dijangkakan pada 2016 lebih ramai kanak-kanak akan terbabit dengan demonstrasi haram serta ceramah politik dan perkara seperti ini sepatutnya tidak berlaku lagi.

Prinsip Rukun Negara yang terakhir ialah Kesopanan dan Kesusilaan. Masyarakat hari ini dilihat semakin tidak bersopan berdasarkan pemerhatian penulis di media sosial.

Penggunaan bahasa kotor

Generasi muda sewenang-wenangnya mencaci dengan menggunakan bahasa kasar tanpa segan silu terhadap sesiapa sahaja termasuk orang yang lebih tua daripada mereka.

Penggunaan bahasa kotor jelas tidak menghormati kepelbagaian kaum dan agama di negara ini termasuk sebilangan organisasi media yang menggunakannya sebagai tajuk utama untuk menarik perhatian pembaca. Kembalilah menghayati Rukun Negara yang terbukti menyatukan kita selama ini.

Menghayati Rukun Negara adalah tanggungjawab semua warganegara Malaysia ketika menjalankan urusan harian terutama berinteraksi dalam media sosial. Sedari bahawa tidak semua yang ada di Barat sesuai dilaksanakan di negara ini.

Elakkan sifat taksub dan kebencian yang melampau kepada sesuatu kerana setiap daripada kita berpegang kepada ajaran agama yang menganjurkan nilai positif.

Sesungguhnya budaya Timur yang kita warisi juga tidak mengajar mana-mana individu untuk menjadi seorang yang kasar dan tidak bersopan.

Tahun baharu, 
harga pun baharu

Entah mengapa saya suka makan pecal Jawa. Bau kuah kacang pecal pun boleh membuatkan air liur saya meleleh. Saya kenal makanan istimewa orang Jawa ini di pekan Kuala Selangor pada tahun 1970-an. Ketika itu saya boleh membeli pecal yang dibalut daun pisang dengan harga 10 sen sahaja.

Oleh sebab rindu dengan pecal itu, bila terjumpa sahaja saya akan beli. Dahulu pada tahun 2000-an, jika saya singgah di pasar minggu Banting, saya beli sebungkus pecal berharga RM1.50.




Bau pecal boleh buat air liur meleleh.

Dua tahun lepas ketika peniaga pecal mula berniaga di Pasar Jumaat Pekan Meru, Klang harga pecalnya ialah RM2.00. Tahun 2015, harganya naik 50 sen menjadi RM2.50. Jumaat lepas, mungkin ambil semangat tahun baharu 2016, harganya sudah naik RM3.00 sebungkus.

Saiz bungkusan masih juga sama, tak ada pun dalamnya ditambah lebih pucuk ubi, timun, nasi himpit atau taugeh. Tempe, sengkuang pun sudah tak ada dalam resipi pecal Jawa itu.

Kalau tiap-tiap tahun baharu, harga pecal dinaikkan, siapa nak beli. Bukan tapak niaga itu disediakan bumbung, kerusi dan meja. Cuma meja dan payung sahaja.

Barangkali saya silap, tak tahu kos yang ditanggung oleh peniaga pecal itu. Maklumlah daripada membuka satu meja, beberapa bulan lepas dia sudah menambah satu lagi meja niaga. Bukan cemburu dengan kemajuan perniagaan pecalnya tetapi berpada-pada letak harga.

Apakah bahan mentah untuk resipi pecal Jawa itu mahal sangat? Mungkin juga. Harga seikat pucuk ubi pun sudah RM1 sekarang. Timun pun mahal ikut musim. Kacang tanah dan cili kering untuk dibuat kuah pecal pun naik harganya. Semua bahan asas untuk pecal sudah naik harganya.

Saya faham, zaman saya kanak-kanak dahulu bolehlah beli pecal dengan duit 10 sen. Sekarang mustahillah harga macam itu lagi. Tapi kalau pecal berharga RM3.00 di pasar luar bandar, tidak fikirkankah kemampuan penduduk kawasan sekitarnya. Adakah kenaikan harga itu disebabkan peniaga itu tamak, dia dikenakan bayar cukai kerajaan atau sebab kos pengangkutan?

Kalau kerajaan umumkan akan memberi insentif dalam pengubahsuaian Bajet 2016 nanti kepada golongan peniaga, adakah harga pecal akan diturunkan 50 sen? Itu baru satu menu makanan. Belum cerita harga barangan keperluan harian yang lain. Cepat sangat peniaga Melayu nak cepat kaya.

Kita sudah lihat sikap peniaga di negara ini, kalau harga bahan mentah jualan mereka turun, peniaga tidak akan menurunkan har­ga­nya. Dulu mereka beri ala­san kos kenaikkan harga ba­han api – petrol, diesel dan gas. Bila harga minyak naik 20 sen, harga barang pun naik lebih daripada itu. Sekarang harga yang me­nye­­babkan kos perniagaan me­reka itu sudah turun banyak, tapi harga jualan masih tidak turun-turun.

Senang cerita, siapa yang ra­jin pergi ke pasar basah akan tahu kedudukan harga ba­rangan untuk keperluan da­pur sekarang. Belum cerita ten­tang harga makanan laut se­perti ikan, udang, sotong dan ketam.

Daripada bulan Disember tahun lalu, saya sudah diingat­kan oleh peniaga Cina di sebu­ah jeti ikan di Tanjung Karang bahawa lagi dekat menjelang Tahun Baharu Cina, makin na­ik harga bahan makanan itu. Itu harga di jeti, agaknya bagai­mana harga di pasar-pasar basah dan pasar raya.

Saya tertanya-tanya kenapa pula makin mahal. Orang Me­la­yu sambut Hari Raya Puasa, peniaga Cina naikkan juga harga barangan. Tahun Baharu Cina pun sama rupanya.

Saya berpendapat semua ini bertujuan untuk mengaut keuntungan awal. Sebab peniaga Cina biasanya cuti panjang semasa perayaan itu. Kemungkinan memikirkan pendapatan tidak dipungut semasa cuti tersebut, maka lebih baik diambil awal-awal dengan menaikkan harga jualan.

Kalau anda tidak percaya, tinjau harga ikan di pasar hari ini. Ada perbezaan atau tidak harga ikan pada hari ini dengan harga minggu lepas. Adakah ini cara mereka berniaga?

Tidak guna kita mengeluh. Inilah fenomena harga barang, apabila ia naik, payah untuk diturunkan. Kecuali kita memulaukan barangan tersebut. Ikut pengalaman lalu, jarang masyarakat kita mahu memboikot barang yang naik harga.

Selain banyak sebab berlaku kenaikan harga barangan sebagaimana yang dikatakan berpunca daripada trend pena­wa­ran dan permintaan serta faktor kenaikan kos ekonomi lain, hakikatnya peniaga pun ingin untung besar.

Kalau golongan makan gaji mengharapkan kenaikan ga­ji tahunan dan bayaran bonus, tak mungkin peniaga ti­dak mendapat apa-apa setiap tahun. Syarikat besar, seder­hana dan kecil selalunya meningkatkan harga jualan teta­pi mengurangkan saiz barangan mereka supaya dapat me­ningkatkan pendapatan tahunan. Wang itu kemudian digunakan untuk belanja operasi dan kenaikan gaji pekerja masing-masing.

Begitu juga peniaga warung atau penjaja, mereka pun ingin meningkatkan pendapatan setiap bulan dan tahun. Bagaimanapun, janganlah mengaut keuntungan berlebihan. Ingatlah, pekerja makan gaji pun bukan mendapat kenaikan gaji tahunan yang tinggi. Silap perhitungan, keseluruhan perbelanjaan bulanan pekerja makan gaji tidak setimpal dengan harga barangan keperluan yang telah dinaikkan sesuka hati.