January 12th, 2016

Ambil kira pelbagai faktor tangani kos sara hidup

Kelmarin, jawatankuasa tertinggi menangani kos sara hidup rakyat yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengadakan mesyuarat pertamanya di Putrajaya.

Ia antara lain memastikan usaha terus diambil bagi menangani isu kenaikan kos sara secara bersepadu bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Wartawan BH Ahad, MOHD AZIS NGAH mendapatkan penjelasan Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Prof Emeritus Dr Zakariah Abdul Rashid untuk menilai situasi semasa serta tindakan segera yang perlu dilakukan.


Dr Zakariah Abdul Rashid (kiri). Orang ramai perlu membeli barang mengikut keperluan. (gambar kanan).
S: Keperluan menangani kos sara hidup dilihat begitu mendesak pada ketika ini. Apa komen Prof?

J: Masalah kos sara hidup bukan masalah ekonomi saja tetapi pelbagai dimensi. Jadi kita perlu melihat daripada pelbagai sudut. Isunya timbul dan menjadi genting sejak kebelakangan ini.

Dulu sudah ada tetapi tidak ketara. Ia perlu membabitkan pelbagai kementerian dan pihak bagi mendapat kefahaman serta penyelesaian atau langkah terbaik yang sesuai. Penubuhan jawatankuasa baharu ini memang dialu-alukan, cuma kita nak melihat apakah langkah yang akan dilaksanakan nanti.

S: Apakah keutamaan yang perlu disegerakan?

J: Kos sara hidup itu sendiri yang menjadi keutamaan. Rakyat merasakan hidup semakin sempit akibat kenaikan kos sara hidup. Harus mencari penyelesaian segera untuk jangka pendek. Masalah ini berkait dengan masalah struktur ekonomi. Kalau nak atasi masalah struktur, ia perlukan masa panjang, jadi kita kena cari penyelesaian jangka pendek.

S: Rakyat membelanjakan lebih 30 peratus belanjawan bulanan untuk makanan. Bukankah itu wajar diutamakan?

J: Memang betul, jika dilihat daripada segi corak perbelanjaan isu rumah tipikal, perbelanjaan untuk makanan memang membabitkan peratusan tinggi selain pengangkutan dan perumahan termasuk bayaran bil. Jika semuanya digabungkan, ia sudah menggunakan dua pertiga isu rumah.

Mengikut teori ekonomi, orang yang berpendapatan rendah memperuntukkan lebih banyak pendapatan gajinya untuk makanan atau benda asas. Kini kita boleh katakan golongan ini merujuk kepada kumpulan B-40. Ini memberi tekanan kepada mereka. Kita tidak tergolong dalam negara yang mempunyai kadar kemiskinan tinggi kerana kadarnya cuma 0.006 peratus saja. Itu satu kejayaan Malaysia dan tersebar ke seluruh dunia, bahkan ada negara lain berminat mempelajari model kita. Bagaimanapun, kita ada masalah besar bagi kumpulan mudah miskin.


Peningkatan kos pengangkutan antara isu yang menghimpit masyarakat bandar. - Gambar hiasan

S: Siapakah golongan mudah miskin. Adakah mereka ini miskin bandar?

J: Mereka ini tidak berada dalam golongan miskin tetapi mudah miskin daripada aspek kos sara hidup tinggi. Soal kemiskinan boleh diungkap dalam pelbagai sudut sama ada ekonomi, sosiologi, pentadbiran atau politik.

Kalau kita lihat kemiskinan di bandar dan luar bandar, kini semakin ramai rakyat menetap di bandar disebabkan proses pembangunan serta permodenan yang berkembang begitu cepat.

Kemiskinan di luar bandar masih ada tetapi agak terpencil, merujuk kepada keadaan rumah, sistem perparitan, kemudahan air, sistem pengurusan sampah dan sebagainya.

Sebab itu ia dikatakan terpencil dan mereka boleh menguruskannya sendiri. Tetapi jika miskin di bandar, ia cukup menyayat hati kerana rumahnya sempit, sistem pembuangan sampah tidak terurus. Contohnya mereka yang tinggal di kampung air di Kudat dan Kota Kinabalu, Sabah. Mereka tinggal di kawasan bandar tetapi sangat memerlukan perhatian bagaimana mereka boleh meneruskan hidup di kawasan bandar.

S: Jadi, golongan miskin bandar inilah yang paling teruk terjejas dan perlu diberi perhatian?

J: Ya, kita ambil contoh golongan miskin. Mereka ini sudah terkeluar daripada senarai penduduk miskin. Pendapatan isi rumah mereka mungkin sudah melepasi had garis kemiskinan negara, mungkin RM1,500 sebulan.

Katakan jika ada empat orang dalam satu keluarga dengan pendapatan sebanyak itu. Memang mereka tidak miskin tetapi hidupnya cukup menyayat hati. Inilah yang dipanggil golongan mudah miskin. Begitu juga golongan yang baru bekerja dan membina keluarga.

Komitmen mereka cukup tinggi kerana walaupun belum bekerja, mereka sudah dibebankan dengan hutang terlalu besar. Statistik hutang isi rumah yang dinisbahkan kepada pendapatan per kapita negara sangat tinggi iaitu mencecah 87 peratus.

Jika ditolak dengan perbelanjaan, hasilnya akan negatif, sedangkan mereka tidak berada dalam kategori miskin. Bagi yang belajar di universiti, mereka terpaksa membayar hutang pengajian dan bagi yang tidak terikat dengan hutang pengajian, mereka ada hutang lain seperti perumahan atau kenderaan. Ini satu keperluan.

Tidak semestinya keluarga yang tinggal di rumah buruk tetapi mempunyai kereta tidak layak dikatakan miskin kerana mereka memerlukan kenderaan itu untuk keluar bekerja. Kita tidak mempunyai pengangkutan awam cekap yang boleh dijadikan alternatif kepada mereka untuk keluar bekerja. Jika nak katakan mereka mampu, itu tidak layak.

S: Masalahnya, rakyat juga dibebankan dengan kenaikan kadar tambang pengangkutan awam?

J: Isu ini sudah lama dibincangkan dan memang ada usaha dibuat. Ramai yang mengatakan ketika ini banyak projek mega sedang berjalan seperti MRT yang akan siap pada lima atau 10 tahun lagi. Jika ia siap, itu satu pencapaian yang besar tetapi kita bercakap soal hari ini.

Bagaimana cara nak atasi masalah ini. Kita sendiri pun tidak tahu, selepas MRT siap nanti, apakah jumlah rakyat masih sama sedangkan program perbandaran semakin besar dan penduduk bertambah. Adakah semua itu sudah diambil kira dan dapat menampung keperluan pada ketika itu. Berdasarkan pengalaman, masalah itu sentiasa ada dan semakin parah.

S: Tambang dan harga barang semakin naik tetapi gaji tetap sama. Bukankah ia tidak seimbang?

J: Isu kos sara hidup ini berlaku kerana pendapatan tidak dapat menampung kos perbelanjaan keperluan. Pendapatan kurang daripada perbelanjaan. Perbelanjaan semakin mendesak akibat kenaikan harga.

Contohnya kenaikan tambang LRT, komuter atau teksi. Kenaikan harga ini memberi tekanan kepada pengguna. Ini bermakna, dengan pendapatan yang ada, nilai kuasa beli pengguna semakin kecil. Dulu, dengan nilai RM50, kita boleh membeli banyak barangan tetapi hari ini, kuasa belinya semakin kecil. Inilah yang dikatakan peningkatan kos sara hidup. Isu subsidi yang dikurangkan, Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan tarif elektrik, semuanya memberi tekanan. Jawatankuasa tertinggi baharu harus memberi tumpuan khas kepada isu jangka pendek ini.

S: Apa yang sepatutnya kita lakukan?

J: Secara realitinya, kos sara hidup ini timbul apabila pendapatan tidak dapat menampung perbelanjaan. Benarkah kos sara hidup di Malaysia tinggi? Tidak. Sebenarnya kos sara hidup di Malaysia tidak tinggi bahkan antara yang rendah.

Kita berasa kosnya tinggi kerana pendapatan kita rendah. Jadi, ia tidak dapat mengimbangi kos yang ada. Kita rasa terbeban. Dalam konteks penjual dan pembeli, apabila harga dipersetujui, ia akan dijual dan dibeli.

Wujud suasana harmoni dan tidak sukar. Antara kedua-duanya ada satu perkara yang jarang diperkatakan iaitu kawal selia. Ia akan memastikan pengguna dan penjual bertindak secara harmoni, tiada berlaku kekecohan yang menyebabkan satu pihak tidak berpuas hati dan kebiasaannya ialah pembeli.

Pengawal selia harus pastikan tingkah laku kedua-dua mesti mengikut yang sepatutnya seperti tiada caj berlebihan. Ketika ini, kita berasakan penjual mengambil kesempatan hasil langkah reformasi seperti penarikan balik subsidi, gerakan antipercatutan dan gaji minimum yang menyumbang kepada kenaikan harga.

Bagi penjual, inilah peluang mereka untuk lebih kreatif mendapatkan keuntungan tinggi.

Pengawal selia perlu mainkan peranan mengetatkan penguatkuasaan seperti Akta Kawalan Harga, Akta Timbang dan Sukat dan sebagainya. Jika semua itu dapat dilaksanakan secara tegas dan padu, masalah boleh dikurangkan.

Dalam ekonomi Islam, memang ada peranan pengawal selia untuk pastikan ejen ekonomi bertindak mengikut sepatutnya. Pengguna perlu diberikan perlindungan daripada salah laku penjual. Itu masalah jangka pendek yang boleh dilakukan.

S: Mungkin had gaji minimum perlu dinaikkan lagi untuk wujudkan keseimbangan?

J: Itu soal jangka panjang iaitu masalah struktur ekonomi. Semua negara mengalami isu yang sama. Dulu, banyak masalah seperti itu disorokkan dan dibiarkan tetapi dalam dunia lebih terbuka kepada persaingan dan globalisasi, semua perkara itu ditimbulkan semula.

Jadi, kerajaan kini komited untuk melakukan langkah reformasi bagi menyelesaikan masalah struktur ini. Pasaran buruh kita sangat tidak cekap. Kita akui ada masalah dan komited hendak atasi masalah.

Langkah reformasi ini akan membawa kepada masalah kegetiran hidup. Kita hendak baiki masalah, tetapi pengurusan reformasi itu juga penting.

Dalam isu soal gaji rendah, kita tidak boleh naikkan secara mendadak. Perangkaan menunjukkan tahap gaji di negara kita ialah 33.6 peratus dalam pendapatan perkapita negara, memang rendah dan kerajaan nak naikkan kepada 40 peratus pada tahun 2020.

Ketika ini, di negara maju, ia sudah mencapai 40 hingga 45 peratus. Ia memang perlu dinaikkan tetapi tidak boleh secara mendadak, jika tidak ia akan parah. Itu pun berlaku pertentangan kerana apabila memperkenalkan dasar gaji minimum, ia membabitkan pekerja dan majikan.

Dalam hal ini, ia juga membabitkan banyak kumpulan pelobi termasuk ahli politik. Kadang-kala dasar yang baik itu terpaksa diubah suai dan berdepan masalah.

S: Apa yang patut dilakukan rakyat atau pengguna dalam situasi sekarang?

J: Perlu memberikan keutamaan perancangan berbelanja. Gaji kecil tetapi perbelanjaan besar, jadi jangan terikut-ikut kepada perbelanjaan emosi. Misalnya kerap menukar telefon bimbit baharu, bercuti di luar negara sedangkan kita banyak komitmen untuk belanja anak ke sekolah. Elakkan pinjaman bank semata-mata hendak tambah aksesori kenderaan atau naik taraf rumah. Ini masalah kawalan diri, tepuk dada tanya selera. Apabila duit di tangan, kadangkala hilang punca hendak berbelanja. Dalam keadaan genting seperti ini, kita kena lebih bijak.

S: Bagaimana jangkaan ekonomi Malaysia dan global pada tahun 2016?

J: Tidak akan banyak berubah berbanding 2015. Jika mengikut jangkaan, pertumbuhan ekonomi hampir tidak berubah dengan apa yang sudah dicapai pada 2015. Ini berdasarkan senario dunia yang menunjukkan ekonomi rantau Asia Timur akan mengalami pembaikan yang sangat kecil.

Jadi, saya rasakan ekonomi Malaysia pun tidak akan berubah sangat. Kita lihat keadaan ekonomi dalam negara yang sangat bergantung kepada sumber petroleum dan gas yang harganya sangat rendah pada ketika ini. Keadaan kewangan sektor awam dan polisinya juga semakin sempit.

Maknanya, kawalan polisi dan fiskal tidak menyediakan banyak ruang untuk kita bergerak lagi. Dulu, kita boleh berbelanja ketika harga minyak AS$100 (RM429) setong tetapi hari ini harganya cuma AS$36 (RM145) setong. Jika kekal begitu, keadaan ekonomi negara tidak akan berubah. Ramai yang mengatakan bahawa kita perlu membiasakan diri dalam keadaan harga minyak dunia pada harga rendah seperti ini untuk tempoh beberapa tahun akan datang. Jadi, bersedialah untuk menghadapi keadaan yang sukar ini.

Didik rakyat utama barang tempatan

KUALA LUMPUR: Indeks sentimen pengguna adalah indeks hasil daripada tinjauan berkala yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) untuk meninjau sentimen pengguna terhadap keadaan ekonomi.

Sampel pengguna ditinjau untuk menilai persepsi mereka terhadap keadaan pengubah ekonomi terpilih semasa dan masa hadapan terdekat.

Dua perkara perlu diambil perhatian berkenaan dengan tinjauan indeks sentimen pengguna ini.

Pertama, oleh kerana kaedah tinjauan sampel dijalankan secara saintifik, ia membenarkan hasil kajian yang diperoleh daripada sampel untuk dirumuskan kepada keseluruhan populasi pengguna.

Kedua, persepsi pengguna terhadap keadaan ekonomi masa hadapan terdekat berkemungkinan besar akan menjadi kenyataan berdasarkan jangkaan rasional mereka.

PERBELANJAAN domestik penting untuk menjana ekonomi negara. - Foto Hafiz Sohaimi

Contohnya, jika pengguna beranggapan harga suatu barangan akan naik di dalam masa terdekat, maka mereka mempunyai kecenderungan untuk membeli barangan berkenaan sekarang berbanding di masa hadapan.

Hasilnya permintaan semasa untuk barangan berkenaan akan meningkat, justeru harganya akan turut meningkat.

Berdasarkan prinsip ini, maka persepsi pengguna yang terhasil daripada kajian MIER ini adalah amat penting dan amat boleh dipercayai.

Sejak tiga tahun lalu indeks sentimen pengguna MIER menunjukkan arah aliran yang menurun.

Lebih ramai pengguna menjangka keadaan kewangan mereka semakin buruk.

Pengguna juga menunjukkan kebimbangan terhadap pekerjaan mereka sekarang dan untuk masa terdekat, menyebabkan pengguna menangguhkan pembelian.

Kebimbangan terhadap kenaikan harga juga masih tinggi. Keadaan sentimen pengguna sebegini akan memberi tekanan menurun terhadap pertumbuhan ekonomi.

Ini kerana pertumbuhan ekonomi Malaysia pada masa kini dipacu oleh perbelanjaan domestik disebabkan oleh kelembapan ekonomi dunia, terutama dalam kalangan rakan dagang utama negara.

Perbelanjaan pengguna pula adalah komponen penting perbelanjaan domestik.



Berdasarkan situasi semasa ini, mungkin dasar kerajaan untuk menjana pertumbuhan ekonomi kurang berkesan.

Dasar kewangan atau belanjawan berkembang, kerajaan memerlukan pengguna berbelanja untuk menjana pertumbuhan ekonomi.

Jika pengguna tidak berbelanja, maka kesan pengganda adalah kecil, justeru pertumbuhan ekonomi menjadi perlahan.

Pengguna kini mempunyai kecenderungan untuk mengurangkan perbelanjaan kerana kenaikan harga barangan dan kos sara hidup, sama ada secara benar atau cuma suatu persepsi.

Tindakan pengguna mengurangkan perbelanjaan ini adalah melalui proses catuan sendiri, iaitu pengguna terpaksa mengurangkan penggunaan tanpa kenaikan pendapatan.

Dengan kata lain tabungan mereka juga tidak bertambah di sebalik pengurangan perbelanjaan. Jika tabungan pengguna bertambah, ia dapat disalurkan kepada penggunaan yang lebih produktif untuk meningkatkan pengeluaran di dalam ekonomi.

Isu ini boleh ditangani secara berkesan melalui pertumbuhan ekonomi yang positif. Dengan kata lain ekonomi perlu tumbuh dengan sihat supaya pengguna mampu terkeluar dari perangkap pertumbuhan ekonomi yang lembap.

Oleh yang demikian, apa cara sekalipun, perbelanjaan pengguna perlu untuk menjana pertumbuhan ekonomi. Sambil itu kesan pengganda di dalam ekonomi perlu ditingkatkan.

Persoalannya bagaimanakah untuk meningkatkan perbelanjaan pengguna, atau sekurang-kurangnya mengekalkan di tahap yang sama, tetapi dengan kesan pengganda yang lebih besar di dalam ekonomi.

Kesan pengganda yang tinggi bermakna setiap ringgit yang dibelanjakan di dalam ekonomi akan menjana aktiviti ekonomi yang tinggi, berlipat ganda melebihi seringgit.

Dengan pertumbuhan ekonomi yang tinggi dan mapan, lama kelamaan taraf kehidupan rakyat mampu ditingkatkan dan isu berkaitan dengan kos sara hidup dapat ditangani dengan lebih efektif.

Justeru, kunci untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi yang tinggi adalah dengan mencipta kesan pengganda yang tinggi di dalam ekonomi.

Ini dapat dicapai sama ada melalui dasar kerajaan yang khusus atau melalui usaha bersepadu untuk mengubah sikap atau tingkah laku masyarakat umum.

Salah satu cara untuk meningkatkan kesan pengganda di dalam ekonomi adalah dengan mengurangkan ketirisan proses kitaran ekonomi negara.

Contoh ketirisan boleh berlaku apabila pendapatan rakyat Malaysia dibelanjakan di luar negara, sama ada dengan berbelanja di luar negara atau mengimport barangan dan perkhidmatan dari luar negara.

Jika ini berlaku, kesan pengganda berlaku di negara asing, iaitu setiap ringgit yang dibelanjakan akan menjana pertumbuhan ekonomi negara berkenaan.

Apa yang ingin kita lihat adalah setiap pendapatan rakyat yang dibelanjakan akan menjana pendapatan rakyat yang lain hasil dari aktiviti ekonomi yang mereka jalankan.

Dengan kata lain, permintaan untuk barangan dan perkhidmatan tempatan akan menggalakkan pengeluaran tempatan dan begitulah seterusnya proses ini berterusan sehingga mampu menjana pertumbuhan ekonomi yang tinggi.

Oleh yang demikian, pengguna perlu mengutamakan barangan tempatan berbanding barangan import jika ada pilihan, terutama untuk barangan dan perkhidmatan pengguna.

Ini akan membantu menjana aktiviti ekonomi tempatan. Jika segenap lapisan masyarakat mengambil pendekatan sama, kesan pengganda menjadi besar dan pertumbuhan ekonomi menjadi lebih tinggi.

Pencapaian mengurangkan import barangan pengguna menjadi lebih bermakna jika ia dicapai melalui perubahan sikap pengguna berbanding jika dicapai melalui dasar kerajaan.

Contoh dasar kerajaan yang berkaitan adalah melalui duti import yang tinggi untuk barangan tempatan yang serupa.

Barangan tempatan yang serupa sama ada dikeluarkan secara semula jadi atau melalui dasar gantian import.

Dasar kerajaan melalui tarif atau sekatan selain, perlu diingat adalah tidak selaras dengan dasar pasaran bebas yang diamalkan oleh Malaysia sama ada secara dua hala atau pelbagai hala.

Dasar pasaran bebas terbukti lebih menguntungkan negara dan turut meningkatkan kesejahteraan masyarakat. Maka, kita perlu mengelakkan dari bergerak ke belakang dengan melaksanakan dasar sekatan sebegitu.

Dasar sekatan pasaran bebas juga akan mengundang tindak balas dari negara rakan perdagangan dan akan merugikan negara.

Sebagai sebuah negara yang kecil, Malaysia perlu bergantung kepada pasaran dunia. Di samping itu, dasar sekatan juga merugikan pengguna dari segi pilihan di dalam pasaran. Ini juga tidak melambangkan sifat sebuah negara maju yang ingin kita capai.

Maka, langkah terbaik untuk meningkatkan kesan pengganda ekonomi tempatan adalah melalui penerapan sikap pengguna untuk mengutamakan barangan tempatan.

Barangan import masih wujud sebagai pilihan dan juga sebagai penanda aras kualiti.

Motivasi untuk pengeluar pula adalah dengan wujudnya pasaran global yang besar, asalkan mereka mampu menjaga kualiti dengan adanya persaingan dari barangan import.

Kesan perbelanjaan berhemat daripada pengguna begini bukan saja mampu menjana pertumbuhan ekonomi semasa, tetapi yang lebih penting adalah pertumbuhan ekonomi yang berterusan.

Kesan jangka panjang adalah penciptaan sebuah ekonomi yang produktif, yang mampu menjana diri. Pada keseluruhannya, kesejahteraan masyarakat mampu dicapai selaras dengan taraf sebuah negara maju yang dihajati.

Kuasa beli semakin kecil tahun ini

KECUALI penurunan harga runcit petrol dan diesel pada tanggal 1 Januari lalu, tahun baharu 2016 tidak banyak membawa sinar ceria untuk negara amnya dan rakyat khasnya, dalam mengharungi tempoh 12 bulan akan datang.

Penyusutan berterusan harga minyak mentah global yang menyaksikan harga minyak mentah Brent menjunam ke paras terendah dalam tempoh lebih sedekad pada AS$32.16 setong pada Khamis minggu lalu, telah menjejaskan dengan ketara pendapatan negara pengeksport komoditi itu, termasuk Malaysia.

Difahamkan, kejatuhan setiap AS$1 setong dalam harga minyak dunia akan menyebabkan negara mengalami penyusutan dalam pendapatan hasil komoditi itu sebanyak RM300 juta.

Bayangkan berapa jumlah penyusutan hasil pendapatan kerajaan daripada hasil minyak selepas harga minyak mentah Brent menjunam daripada AS$98.94 setong pada 2014, kepada sekitar AS$33 setong pada masa ini.






Bagi rakyat pula, kesan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kenaikan tambang pengangkutan awam dan tol serta penurunan nilai ringgit yang menyumbangkan kepada kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, terus menghimpit poket orang ramai.

Dengan jangkaan prestasi ekonomi negara dan sektor perniagaan berterusan lembab, sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan akan datang, pastinya ia memberi kesan kepada orang ramai terutama pekerja sektor swasta dari segi pemberian bonus, kenaikan gaji, kenaikan pangkat, hatta pemberhentian tenaga kerja, terutama bagi sektor minyak dan gas. Ini bersandarkan keputusan kewangan syarikat tersenarai yang kurang memberangsangkan setakat suku kewangan berakhir 30 September 2015, yang menyaksikan tidak banyak syarikat yang mencatatkan peningkatan keuntungan, malah tidak kurang pula yang melaporkan kerugian.

Selain itu, prestasi kurang memberangsangkan Bursa Malaysia yang menyaksikan Indeks FBM KLCI menyusut lebih 100 mata daripada 1,761 mata ketika penutup 31 Disember 2015 kepada 1,657.61 pada penutup Jumaat lalu, turut dijangka menjejaskan kadar pemberian bonus/dividen oleh syarikat pengurus dana saham amanah.

Jika mengambil kira pemberian dividen dan bonus bagi dua saham amanah utama negara iaitu Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN) hujung bulan lalu, yang masing-masing berkurangan berbanding tahun sebelumnya, tentu agak sukar untuk kita mengharapkan pemberian bonus dan dividen yang lebih tinggi tahun ini daripada KWSP, Tabung Haji dan sebagainya.

Bersandarkan senario peningkatan kos sara hidup susulan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan serta jangkaan pertambahan pendapatan yang tidak `semewah' seperti tahun sebelum ini, ia bermakna pendapatan boleh guna atau kuasa beli orang ramai juga dijangka semakin mengecil tahun ini.

Justeru, keadaan ini memerlukan orang ramai membuat perancangan bajet yang benar-benar teliti untuk setiap sen wang yang bakal dibelanjakan tahun ini agar bajet tidak `bocor' atau lebih parah menjadi defisit bajet yang besar, dengan peningkatan jumlah hutang.

Ini juga sejajar pengubahsuaian Bajet 2016 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Jumaat minggu lalu.

Pengubahsuaian bajet itu yang akan dibentangkan tidak lama lagi, antara lain akan membabitkan langkah mengoptimumkan perbelanjaan, mengambil kira peranan syarikat berkaitan kerajaan dan memastikan kerajaan terus menjaga kesejahteraan rakyat.

Di peringkat orang ramai, pengubahsuaian bajet individu misalnya boleh dilaksanakan dengan menangguh atau membatalkan perbelanjaan tidak perlu atau mendesak. Ini termasuk pembelian kereta baharu, jika kereta lama masih boleh digunakan; pembelian kelengkapan rumah baharu; pengubahsuaian rumah; dan melancong ke luar negara, kecuali untuk menunaikan umrah atau haji.

Bagi pembelian keperluan harian, orang ramai juga boleh membeli secara pukal melalui koperasi di tempat mereka bekerja atau di Kedai Rakyat 1Malaysia, yang menawarkan harga berpatutan; berkongsi kenderaan ke tempat kerja; kurang makan di luar; meminimumkan percutian; berjimat dalam penggunaan utiliti dan telefon mudah alih.

Namun, bagi golongan berkemampuan dan tidak terjejas dengan suasana kelembapan ekonomi semasa, mereka boleh meneruskan corak perbelanjaan yang sesuai dengan kemampuan masing-masing.

Cuma, sekiranya mereka turut dapat menyumbang terhadap langkah penjimatan kerajaan seperti kurang melancong ke luar negara atau kurang membeli barang import, ia sekurang-kurangnya dapat mengelak pengaliran atau ketirisan ringgit ke luar negara.

Salah satu cara untuk meningkatkan kesan pengganda di dalam ekonomi adalah dengan mengurangkan ketirisan proses kitaran ekonomi negara. Jika berlaku ketirisan, kesan pengganda berlaku di negara asing, iaitu setiap ringgit yang dibelanjakan akan menjana pertumbuhan ekonomi negara berkenaan.

Akhir kalam, dalam persekitaran ekonomi mencabar dan tidak menentu sekarang, orang ramai perlu menghadapi realiti serta berusaha untuk hidup dalam kemampuan masing-masing. Ini bagi membolehkan kita lebih bersedia, sekiranya senario lebih buruk berlaku pada masa hadapan.

Budaya ‘mengampu dan membodek’ — Azizi Ahmad

Artikel ini disiarkan di Malay Mail Online Projek MMO Pendapat  Januari 12, 2016 08:39 PM GMT +8

12 JANUARI — Saya tertarik dengan penulisan dari Azrul Mohd Khalib di Malay Mail Online Opinion, “The culture of ‘mengampu’ and ‘membodek’” pada 9 Disember 2015. Beliau turut menyatakan mengenai rujukan persuratan Melayu dari Dewan Bahasa dan Pustaka dan lebih suka menggunakan istilah beliau sendiri iaitu “to brown nose, kiss ass or to suck up.”

Budaya ‘mengampu dan membodek’ yang menjengkelkan ini memang tidak pernah luput dan ada dimana-mana saja.  Kebiasaannya, pengampu dan pembodek akan cepat di berikan penghargaan dan pengiktirafan di mana-mana senario tempat kerja.

Namun, kehebatan golongan pengampu dan pembodek biasanya tidak kemana,  sering juga mereka berjaya meyakinkan ‘penerima ampuan dan bodekan’ sehingga ke suatu tahap tertentu saja, mereka tidak akan pergi lebih jauh daripada itu kecuali beberapa keajaiban berlaku. Ketidakcekapan seseorang itu tidak boleh disembunyikan, lambat laun ia akan tetap terserlah.

Saya turut mempunyai terma istilah sendiri iaitu ‘Butt sweeper’ ( penyapu bontot), Ball lifters (pengangkat buah) and ‘air-condition’ (penghawa dingin). Istilah ini sesuai di gunakan di kantin atau tempat rehat sahaja.

Pengampu dan pembodek biasanya merupakan ‘pelakon atau aktor/aktres’  yang berupaya ‘menonjolkan muka sardin atau muka kambing’ yang bersahaja dan kerap berbangga dengan sikap ‘ya tuan’ (yes man).

Kita boleh mengesan ‘pembodek dan pengampu’ melalui percakapan dan pertuturan yang biasanya seperti dalam ‘skrip drama bersiri’;  melalui ‘gelak atau ketawa’ mereka yang ‘seperti gelak olok-olok’;  bila mereka bertemu muka dengan kita mereka akan memalingkan sedikit muka mereka bila bercakap dengan kita.

Mereka yang gemar menjadi penyapu bontot, pengangkat buah atau penghawa dingin percaya dengan bertindak sedemikian dapatlah mereka kedudukan yang ‘terpuji lagi disanjungi’ walaupun mereka sendiri tahu mereka tidak mampu mencapai kedudukan tersebut dengan ketidakcekapan yang mereka ada.

Mereka juga percaya sikap tidak baik dan mesra ini boleh dialurkan dan dikongsikan bersama rakan sekerja lain. Mereka tidak peduli tentang kualiti mutu kerja, yang penting adalah fokus dan tumpuan hanya untuk diri sendiri sahaja. Mereka akan mengambil kredit terhadap hasil kerja kumpulan. Tidak akan ada rasa hak pemilikan sebenar terhadap kerja sendiri.

Dengan Ketua Jabatan atau pengurus yang juga ‘sewaktu’ dengannya yang juga tidak cekap bekerja;  berada di tempat kerja sehingga lewat malam, berpura-pura bekerja keras dan bertungkus-lumus sama ada atau tidak mempunyai kerja yang sebenar merupakan sesuatu yang ingin diperlihatkan.

Mereka akan melakonkan keperluan menyiapkan tugasan dengan penggunaan teknologi terkini walalupun keupayaan mereka dan pengetahuan teknologi adalah terhad. Mereka adalah pelakon kelas pertama yang akan bertindak seolah-olah mereka berminat dalam teknologi dan perkembangannya. Mereka berusaha untuk mendapatkan nama tanpa menyumbang, minat dan usaha mereka akan terhenti setelah apabila mereka mendapat apa yang mereka mahu.

Turut menyumbang kepada keadaan ini adalah ‘ketidakcekapan ketua’ sesebuah Jabatan atau tempat kerja.  Hanya seorang tentera yang baik mampu mengetuai sepasukan tentera perang. Namun begitu, dalam kebanyakan organisasi, ketua jabatan biasanya adalah mereka yang tidak kompeten, yang biasanya dilantik oleh mereka yang serupa dengan mereka yang melantik. Ketua yang dilantik juga adalah mereka yang dilantik dengan cara yang tidak beretika. Jadi bagaimana seseorang ketua yang tidak beretika mampu menunjukkan etika kerja yang baik dan betul?

Bagaimana kah anda mengharapkan beliau akan memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada seorang yang kompeten? Seorang ketua sebegini biasanya akan turut berbohong dan menipu dalam menjayakan sesuatu pengurusan kerja, tugasan atau projek.

Ketua yang tidak kompeten ini juga akan memberi penekanan kepada perbincangan atau mesyuarat berkali-kali, dari menumpukan kepada hasilan mutu kerja. Beliau turut akan ‘memberi ganjaran’ kepada sesiapa yang ‘tidak melawan dan menyerah diri’ terhadap apa saja yang di usulkan atau di perkatakan. Oleh kerana beliau juga merupakan ‘kambing hitam’ maka beliau juga mahukan yang lain turut menjadi ‘kambing bertompok hitam’ dan ini akan membunuh kreativiti dan minat yang ditunjukkan oleh ahli kumpulan.

Ketua yang tidak kompeten ini berpandangan ‘mendiamkan diri’ adalah kaedah paling baik untuk berurusan. Jika ditanya ada atau tidak sebarang permasalahan, risiko atau sempat atau tidak urusan di siapkan, tidak memberi jawapan dianggap bagus dan baik.

Ketua yang tidak kompeten ini akan memberi kata dua kepada ahli-ahlinya bahawa masa depan mereka yang berkebolehan adalah dibawah telapak tangan beliau dan tentunya beliau mengharap staf dibawah beliau untuk ‘menyapu, mengosok  dan menjilat’.

Seseorang yang mampu dan tahu melaksanakan tugas  biasanya membuat kerja dengan menghasilkan keputusan yang baik dari lebih bercakap. Beliau tidak akan berpura-pura bila diminta melaksanakan kerja yang beliau tidak mampu hasilkan. Beliau tentunya tidak suka atau benci akan tindakan ‘menyapu, mengosok atau menjilat’ dan akan berasa tidak gembira jika di minta berbuat demikian.

Namun, budaya tempat kerja harus dipatuhi tanpa kompromi. Tapi kita perlu ingat budaya ‘menyapu, mengosok dan menjilat’ bukanlah sesuatu budaya kerja yang diamalkan di mana organisasi. Bahkan budaya kerja yang tidak baik adalah satu kesalahan dan merupakan satu ‘dosa’ dalam Islam.

Mereka yang tidak mampu dan berupaya atau tidak kompeten biasanya tidak akan membenarkan mereka yang mampu untuk melibatkan diri bersama dalam sesuatu tugasan. Ketidakcekapan dan kerisauan dalam menerima tugas dan tanggungjawab merupakan di antara penyebab berlakunya budaya tidak sihat ini.

‘Pengampu dan pembodek’ bukanlah merupakan permata berharga di mana-mana organisasi. Boleh dikatakan mereka adalah merupakan liabiliti dan seharusnya tidak bersama organisasi. Mereka juga akan berubah dan menukarkan kesetiaan mereka jika mempunyai seorang ketua yang baru, mereka tidak mempunyai sikap kekeluargaan dan akan mengharu-birukan sesuatu organisasi.

Mereka boleh dikategorikan sebagai penjenayah berkepentingan yang tidak mempunyai etika asas terhadap pekerjaan.

Dalam masa yang sama mereka tetap akan berpura-pura sibuk dan tidak habis dengan tugasan yang harus disiapkan atau berpura-pura ‘berinovasi’. Mereka akan menghasilkan tugasan yang sedikit tetapi akan ‘bersorak riuh sekampung’ walaupun sumbangan mereka adalah sebesar siput.

* Tulisan ini pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya menggambarkan pandangan Malay Mail Online. Artikel ini disiarkan di Malay Mail Online Projek MMO Pendapat  Januari 12, 2016 08:39 PM GMT +8

Mengatasi Plagiarisme

Artikel ini di siarkan di mSTAR Rencana Januari 12, 2016 9.03PM  Penulis Azizi Ahmad

PLAGIARISME
berlaku kerana beberapa sebab. Salah satu daripadanya adalah kerana sesetengah pelajar tahu dan sedar untuk mendapatkan kredit dari hasil kerja orang lain. Kebanyakan kejadian plagiarisme bukanlah hasil menipu secara sengaja tetapi disebabkan oleh kurang kefahaman dalam kemahiran akademik.

Plagiarisme berasal dari perkataan Latin 'plagiarius' yang bermaksud 'penculik' atau 'perompak'. Ia ditakrifkan sebagai amalan menggunakan idea dan lain-lain teks hasil karya orang lain dan kemudian digunakan semula dengan mendakwa diri sebagai pengarang atau penulis tanpa memberi kredit dari mana asal sumber tersebut. Plagiarisme datang dalam pelbagai bentuk.

Bentuk plagiarisme yang paling serius adalah "mengaku dan mengemukakan hasil penulisan orang lain sebagai hak penulisan sendiri."

Lain-lain bentuk plagiarisme termasuklah melakukan ‘salin dan tampal’ (copy and paste) teks tanpa menyatakan siapakah pengarang asalnya, memparafrasa idea asal orang lain tanpa menyatakan sumber rujukan atau mengaitkan petikan teks kepada seorang pengarang palsu.

Pelajar memplagiat kerja-kerja orang lain sebagai kerja mereka sendiri kerana latar belakang budaya. Sebab-sebab yang paling jelas adalah masalah pengetahuan bahasa dan kandungan yang dihadapi oleh pelajar.

Diburukkan lagi dengan masalah lain seperti kekurangan motivasi, keinginan untuk mendapatkan hasil produk yang lebih baik, hasrat untuk mendapatkan gred yang lebih tinggi dan lain-lain.

Penciptaan teknologi moden seperti internet telah membuat plagiarisme lebih mudah berbanding sebelum ini.

Mengenal pasti plagiarisme dalam kertas kerja akademik adalah tugas yang sangat sukar.

Sungguhpun teknologi perisian seperti "Copycatch" atau "Turnitin" dihasilkan untuk membanteras plagiat, namun ia tidak boleh dilaksanakan dalam semua konteks, terutamanya di negara-negara membangun yang berhadapan dengan masalah-masalah akses kepada kemudahan komputer dan internet, ditambah pula dengan bilangan pelajar yang ramai.

Bagaimana untuk mengelak kejadian plagiarisme? Berikut adalah sekadar beberapa cadangan dan syor;

> Mendefinisikan Plagiarisme: Langkah pertama ke arah mengelak berlakunya plagiarisme di tempat anda adalah untuk memaklumkan dan menerangkan definisi plagiarisme kepada pelajar anda terutamanya di pusat pengajian tinggi. Ramai pelajar mungkin tidak sedar plagiarisme merangkumi parafrasa dan pinjaman idea tanpa memberi pengiktirafan kepada pengkarya asalnya.

> Bincangkan Dasar Plagiarisme Anda: Bincangkan dasar plagiarisme di tempat anda. Terangkan bahawasanya plagiarisme adalah merupakan satu penipuan dalam dunia akademik di mana penulis asal tidak mendapat kredit untuk kerja-kerja mereka, bahawasanya ia tidak adil kepada pelajar-pelajar lain dan memplagiat tidak akan membina kemahiran seseorang itu yang turut menyebabkan kegagalan bagi mereka yang melakukannya. Satu cara yang baik untuk membawa topik plagiarisme di dalam kelas anda adalah dengan menjalankan kuiz mengenai plagiarisme.

> Nyatakan Penalti dan Tindakan Yang Akan Diambil: Bincangkan penalti dan tindakan yang akan diambil terhadap plagiarisme. Jika makluman penalti dan tindakan yang serius telah dinyatakan, pelajar akan kurang cenderung untuk mengambil risiko.

> Memasukkannya Ke Dalam Sukatan Pembelajaran Kursus: Memasukkan dasar plagiarisme bersama dalam sukatan pembelajaran kursus. Dengan memasukkan dan menonjolkan dasar plagiarisme ia akan mengingatkan pelajar anda tentang takrif dan akibat plagiarisme. Anda boleh membincangkan mengenai plagiarisme pada hari pertama ketika memaklumkan dan membincangkan sukatan pelajaran bagi menunjukkan kepada pelajar bahawa anda serius mengenainya.

> Mengajar Kaedah Membuat Petikan: Anda harus menunjukkan dan mengajar kaedah membuat petikan yang wajar. Mengetahui bahawa terdapat kaedah yang betul untuk menghargai hasil kerja orang lain boleh mengajar pelajar untuk memahami plagiarisme dengan lebih serius.

> Keperluan Membuat Petikan: Adalah perlu melaksanakan keperluan petikan terperinci, termasuk menyatakan nombor halaman dan muka surat.

> Penggunaan Petikan: Tidak ada cara yang lebih baik untuk mengajar konsep-konsep kepentingan pengunaan petikan kecuali anda sendiri menunjukkannya dengan kepimpinan melalui teladan. Amalkan menggunakan petikan termasuklah dalam semua nota perkongsian anda.

> Bincang Mengenai Perkhidmatan Menulis: Biarlah pelajar tahu bahawa anda tahu tentang khidmat perkhidmatan menulis. Pelajar kadang-kadang berfikir guru-guru mereka tidak faham dan tidak tahu mengenai internet. Yakinkan mereka bahawa anda tahu tentang khidmat perkhidmatan penulisan dan perkhidmatan lain penyediaan esei penulisan.

> Keperluan Salinan E-mel: Minta pelajar memberi salinan ‘hard-copy’ dan juga menghantar salinan ‘soft-copy’ penulisan mereka melalui e-mel. Mendapatkan salinan penulisan dalam bentuk dokumen akan membuat ia lebih mudah bagi anda untuk menjalankan semakan dan pemeriksaan plagiarisme terhadap hasil kerja mereka.

> Menggalakkan Perancangan: Plagiarisme biasanya adalah hasil daripada keadaan terdesak. Jika anda dapat mengalakkan pelajar anda untuk mula bekerja awal, mereka akan menjadi kurang cenderung untuk memplagiat.

> Keperluan Deraf Awal: Pastikan anda memperolehi deraf awal atau deraf cadangan perancangan beberapa minggu sebelum tarikh penghantaran akhir. Ini akan membolehkan pelajar untuk mula bekerja awal. Dan jika pelajar tahu bahawa penulisan awal mereka adalah hasil ciplak setelah dimaklumkan, tentunya mereka masih mampu mencari dan membina semula penulisan sendiri.

> Bincang dengan Pelajar Anda: Berbincanglah dengan pelajar anda tentang idea-idea kertas penulisan mereka. Ini menggalakkan perancangan dan membolehkan anda untuk melihat sama ada pelajar mengemukakan kertas kerja mengenai topik yang mereka hasilkan sendiri.

> Halang Perubahan Di Saat Akhir: Jangan benarkan apa-apa perubahan di saat terakhir terutama mengenai topik atau tajuk penulisan. Tindakan terdesak ini akan memperlihatkan kecenderungan untuk berlakunya plagiarisme.

> Jadikan Ia Unik: Pilihlah topik yang unik dan jika boleh, gunakan senarai bacaan yang unik. Plagiarisme di internet adalah mudah kerana terdapat banyak tajuk dan topik esei dan penulisan yang standard yang diperolehi dari penulisan buku yang standard. Jika anda menulis secara yang unik dan merubahkannya setiap tahun, plagiarisme akan menjadi mustahil.

> Beri Galakan: Galakkan pelajar untuk datang, berjumpa dan berbincang dengan anda mengenai soalan-soalan tentang kaedah rujukan. Pelajar perlu diingatkan bahawa guru mereka adalah ahli dalam bidang mereka dan mengetahui sumber yang lebih daripada pelajar-pelajar sendiri. Menghukum pelajar kerana melakukan plagiat dalam bidang akademik, adalah tidak produktif.

Kesimpulannya, guru mesti memaklumkan kepada pelajar bukan dari pendekatan menghukum, tetapi sebaliknya dengan menarik minat mereka kepada penulisan yang baik, membuat rujukan yang betul dan memahirkan diri dalam membuat petikan. Mereka perlu diingat bahawa mesti ada perbezaan di antara kerja asal dengan karya ciplak yang akan menentukan pencapaian mereka sendiri sebagai seorang pelajar.

> PENULIS berkhidmat di Jabatan Ilmu Pendidikan, Kampus Bahasa Antarabangsa, Lembah Pantai, Kuala Lumpur.