January 17th, 2016

Hang Tuah dibuktikan wujud, bukan mitos, Catatan Albuquerque sebut tentang laksamana

Catatan Albuquerque sebut tentang laksamana

BUKTI kewujudan laksamana Hang Tuah tidak hanya bersandarkan kepada kandungan surat yang yang diterima dari kerajaan Ryukyu, malah diperkukuhkan dengan catatan yang dibuat oleh Ketua Armada Portugis iaitu Alfonso de Albuquerque pada 1511.

Pensyarah Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Prof. Emeritus Dr. Hashim Musa menemukan data primer dari Portugis yang menyebut tentang perihal seorang laksamana yang ciri-cirinya cukup melambangkan Hang Tuah sebagai seorang pahlawan Melayu.

“Albuquerque di dalam catatannya menyebut laksamana pada ketika itu usianya 80 tahun merupakan seorang perwira yang handal, mempunyai reputasi yang bagus dan berpengetahuan tinggi.

“Meskipun hanya menyatakan laksamana dan tidak menyebut nama Hang Tuah, namun setelah dikaji ciri-ciri yang disebut lebih berpadanan dengan Hang Tuah berbanding laksamana lain.

“Jika dikatakan laksamana tersebut boleh jadi laksamana Khoja Hassan yang dilantik selepas Hang Tuah (hilang jejak), namun dari segi umur tidak berpadanan kerana usianya dianggarkan antara 30 hingga 40 tahun pada masa itu.

“Bahkan Khoja Hassan juga tidak memiliki reputasi yang baik setelah memfitnah Bendahara, Tun Mutahir. Jadi, laksamana yang diperkatakan itu merujuk kepada Hang Tuah jika melihat dari sudut keperwiraan pahlawan itu dan dari segi perkiraan umurnya,”katanya.

Turut disebut laksamana itu berada di Temasik (Singapura) ketika Albuquerque mengetuai armada Portugis menawan Melaka pada tahun 1511.

Dalam catatan Albuquerque turut menyebut hubungan perkahwinan di antara Sultan Mansur Shah dengan puteri laksamana Hang Tuah.

“Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang putera (Husin) yang kemudian menaiki takhta sebagai Sultan Alauddin Riayat Shah.

“Ini berdasarkan catatan Albuquerque sebelum meninggalkan Melaka untuk kembali ke Portugis. Namun, maklumat tentang perkahwinan kedua Sultan Mansur Shah dengan anak Hang Tuah tiada dinyatakan di dalam Sejarah Melayu,” katanya.

Dalam pada itu, Hashim menyangkal pandangan yang menyatakan perkataan tuah hanya wujud selepas kurun ke-16 kerana menurutnya penggunaan perkataan itu telah ada dalam bahasa Melayu sejak 2000 tahun lalu iaitu dalam bahasa Maori, satu daripada rumpun Melayu Polinesia yang mencatatkan perkataan tuah dan tuha.

“Sebetulnya, perkataan tuah memang tidak ada tercatat dalam mana-mana manuskrip pada abad ke-15 memandangkan tidak ada satu pun manuskrip yang wujud dalam alam Melayu pada masa itu.

“Namun, kajian saya mendapati penggunaan perkataan tuah telah wujud dalam bahasa Maori yang merupakan bahasa serumpun dengan bahasa Melayu sejak 2000 tahun lalu. Selain itu, perkataan itu juga digunakan dalam bahasa Rejang yang berasal dari Sumatera Selatan yang menggunakan tulisan rencong. Tulisan rencong adalah tulisan Melayu awal yang digunakan sebelum tulisan jawi mengambil alih.

“Jika sebelum tulisan jawi perkataan tuah sudah digunakan, ini bermakna tuah telah wujud dalam bahasa Rejang kira-kira tahun 1600, malah mungkin lebih awal daripada itu,” ujarnya. Utusan Malaysia Rencana 16 Januari 2016 6:11 PM

Hang Tuah dibuktikan wujud, bukan mitos
PADA asasnya ‘menggali’ sesuatu peristiwa sejarah atau seseorang tokoh dilakukan menerusi kajian yang bersandarkan kepada sumber primer (sumber pertama) dan sumber sekunder (sumber kedua).

Sumber primer biasanya terdiri daripada dokumen, surat, catatan, watikah, warkah, manuskrip, peninggalan dan sebagainya yang dihasilkan oleh seseorang yang sezaman dengan peristiwa yang dikisahkan.


Dr. Hashim Musa menunjukkan salinan catatan surat yang membuktikan wujudnya hubungan antara Melaka dengan kerajaan Ryukyu.

Sementara sumber sekunder pula merupakan tafsiran, kesimpulan serta andaian yang dibuat pengkaji mengenai sesuatu peristiwa berdasarkan sumber pertama. Sumber itu digunakan penyelidik lain sebagai rujukan, perbandingan atau ungkapan bagi mengukuhkan pandangan serta tafsiran terhadap kajian.

Sesuatu karya dianggap bernilai tinggi apabila kajian yang dijalankan berasaskan sumber primer.

Sumber sekunder juga amat penting dan digunakan di dalam mengukuhkan sesuatu kajian, namun pemilihan maklumat harus mengambil kira dari segi kualiti dan kesesuaian data yang digunakan sebagai pendukung data primer bagi memastikan maklumat yang diperolehi itu adalah tepat.

Justeru itu, di dalam kajian mengenai Laksamana Hang Tuah, penyelidik dari Universiti Putra Malaysia iaitu pensyarah Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Moden dan Komunikasi, Prof. Emeritus Dr. Hashim Musa berpegang terhadap keyakinan yang menyatakan kewujudan Hang Tuah bersandarkan bukti yang diperolehi melalui sumber primer, selain turut disokong oleh maklumat dari sumber sekunder.

Sebagaimana kewujudan Julius Caesar, Alexander the Great dan Laksamana Cheng Ho atau Zheng He dibuktikan dengan catatan daripada sumber primer dan artifak yang ditemukan sezaman dengan mereka. Kewujudan Laksamana Hang Tuah juga didukung dan diperkukuhkan dengan sumber primer.

“Berdasarkan dokumen rasmi Rekidai Hoan yang diterima dari kerajaan Ryukyu, terdapat surat-surat yang membuktikan wujudnya hubungan di antara kerajaan Melaka dan Ryukyu pada abad ke-15.

“Dokumen itu dalam bahasa Cina yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh Atushu Kobata dan Mitsugi Matsada.

“Ada 19 surat kesemuanya dan lapan daripada surat berkenaan diterima dari pihak kerajaan Melaka, sementara selebihnya dari pihak kerajaan Ryukyu. Daripada jumlah berkenaan, sebanyak tiga yang ditulis oleh laksamana Melaka. Paling penting turut dinyatakan mengenai tarikh surat berkenaan dicatat” katanya.

Catatan surat pertama dalam dokumen 9 bertarikh Februari 1480 menyebut surat berkenaan adalah bagi pihak sultan. Meskipun, tidak menyebut laksamana, namun pengkaji tempatan malah dari Jepun percaya ‘bagi pihak sultan’ itu merujuk kepada laksamana.

“Dari segi terjemahan ayat itu turut menyatakan ‘Raja bagi Negeri Melaka dengan penuh takzimnya menghantar perutusan ini kepada duli yang maha mulia tuanku raja negeri Ryukyu...’. Akhir sekali dinyatakan bingkisan hadiah yang disertakan dan tertera di situ ‘bagi pihak raja’ yang merujuk laksamana.

“Surat kedua dalam dokumen 10 bertarikh April 1480 pula dengan jelas ada tercatat ‘laksamana’, namun tidak menyenaraikan senarai bingkisan hadiah yang disertakan.

“Saya berpendapat surat kedua ditulis oleh laksamana semasa di Ryukyu memandangkan dia tidak membawa bingkisan hadiah sebagaimana kebiasaannya akan membawa bingkisan hadiah sekiranya datang dari Melaka.

“Surat ketiga di dalam dokumen 15 yang bertarikh 17 Mac 1941 juga dicatat oleh laksamana,” katanya.

Meskipun, tidak dinyatakan nama Hang Tuah, namun berdasarkan catatan tersebut, laksamana yang dimaksudkan itu merujuk kepada Hang Tuah jika dipadankan dengan maklumat dari sumber sekunder.

“Jika merujuk kepada surat pertama, ada menyatakan ‘Beta kini berumur enam tahun, dan beta bersyukur di atas anugerah keamanan dan kebajikan ke atas negeri beta...’ Jadi, persoalannya sultan mana yang ditabalkan ketika masih kanak-kanak?

“Bagi menjawab persoalan itu, kita melihat Sejarah Melayu halaman 164 terdapat pesanan Sultan Mansur Shah sebelum mangkat ‘adapun pertaruhkulah anak kita Husin (kemudian ditabalkan sebagai Sultan Alauddin)...ialah gantiku...jikalau barang suatu salahnya, hendaklah dimaafkan oleh tuan-tuan sekalian kerana ia budak, belum sampai akalnya, belum tahu adatnya’.

“Justeru, berdasarkan catatan itu, putera Sultan Mansur Shah iaitu Sultan Alauddin Riayat Shah merupakan satu-satunya sultan menaiki takhta ketika masih kanak-kanak lagi pada zaman kesultanan Melayu Melaka.

“Sewaktu zaman pemerintahan Sultan Alauddin (1477-1488), Hang Tuah berpangkat laksamana pada ketika itu yang berusia antara 46 hingga 57 tahun. Bahkan, jika melihat kepada tarikh surat itu, ia dicatat pada 1480. Ini jelas menunjukkan tarikh catatan itu adalah pada zaman pemerintahan Sultan Alauddin,” katanya.

Selain surat itu, kewujudan Hang Tuah juga dibuktikan dengan artifak berupa keris berluk sembilan tanpa hulu dan sarung yang merupakan sebahagian daripada bingkisan hadiah dari kerajaan Melaka kepada kerajaan Ryukyu.

“Di dalam terjemahan surat pertama, dinyatakan salah satu bingkisan hadiah ialah sejenis ‘dagger’ (pisau atau keris) yang diletakkan di tali pinggang. Ciri ini jelas merujuk kepada keris yang dibawa oleh laksamana pada 1480 untuk dihadiahkan kepada pemerintah Ryukyu.

“Keris yang ditemukan di perkarangan Kuil Diraja Enkakuji Ryukyu itu membuktikan dengan jelas wujudnya hubungan di antara kerajaan Melaka dengan Ryukyu,” katanya.

Hang Tuah difitnah, meninggal di Palembang? Laksamana itu Hang Tuah? Banyak bukti perlu diselongkar

Banyak bukti perlu diselongkar

BENAR atau tidak? Kebanyakan masyarakat lebih banyak melihat gambaran watak Hang Tuah menerusi filem berbanding mengenalinya menerusi dokumen penting yang menyebut nama pahlawan terunggul itu berulang kali.



Azhar Mad Aros

Kecenderungan mereka untuk menonton filem daripada membaca bahan berkenaan bagaimanapun telah mendorong segelintir penggiat bidang itu menghasilkan karya mengikut selera umum tanpa membuat kajian mendalam mengenai watak Hang Tuah yang menjadi lambang kegagahan masyarakat Melayu Melaka.

Lebih mengecewakan apabila terdapat sesetengah pihak yang bertindak memutar belit fakta sebenar Hang Tuah dan menokok tambah serta mereka cerita sehingga membuatkan Hang Tuah dilihat sebagai watak fiksyen dan kisah perjalanan hidupnya dianggap mitos atau legenda semata-mata.

Wal hal terdapat banyak sumber yang menceritakan kewujudan pahlawan itu sama ada dalam bentuk hikayat, manuskrip mahupun catatan sejarah. Antaranya Sulalatu’s-Salatin atau Sejarah Melayu, Tuhfat Al-nafis dan Hikayat Hang Tuah.

Meskipun, dokumen-dokumen berkenaan dicatat hanya selepas abad ke-15 dan bukan sezaman dengan Hang Tuah, namun data yang diperolehi dari catatan itu diterima pakai sebagai sumber sekunder.

Bahkan, bukti yang menjadi warisan berharga itu turut diiktiraf dunia menerusi Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Terbaru, surat tulisan Laksamana Hang Tuah kepada kerajaan Ryukyu di Jepun pada abad ke-15 yang ditemui dalam dokumen rasmi Rekidai Hoan membuktikan tokoh itu wujud dan bukan sekadar mitos semata-mata.

Surat berkenaan ditemui melalui kajian yang dilakukan Profesor di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Emeritus Dr. Hashim Musa bersama Pensyarah Kanan fakulti itu, Dr. Rohaidah Kamaruddin di Ryukyu atau kini dikenali sebagai Okinawa baru-baru ini.

Dalam pada itu Pensyarah Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Dr. Azhar Mad Aros (gambar) percaya selain dokumen itu, terdapat lebih banyak lagi bukti lain yang masih tersimpan dan belum ditemui di Okinawa.

“Mungkin lebih banyak lagi dokumen terdapat di sana yang perlu diselongkar, digarap dan dikaji bagi menambah nilai kajian dalam usaha membuktikan kewujudan laksamana itu adalah benar.

“Namun, usaha ini memerlukan peruntukan besar dari kerajaan bagi memudahkan proses pemerolehan dokumen yang dilihat penting di dalam membantu mengukuhkan lagi bukti kewujudan pahlawan yang menjadi lambang semangat jati diri masyarakat Melayu,” katanya.

Tambahnya, kewujudan Hang Tuah sebagai pahlawan terunggul di zaman pemerintahan Kesultanan Melaka perlu dipertahankan memandangkan ketokohan laksamana itu sudah sebati dalam pemikiran dan kehidupan masyarakat Melayu.

“Hang Tuah telah menunjukkan kehebatan, keberanian, kehandalan, kebijaksanaan dan taat setianya sebagai wira nasional yang mewakili masyarakat Melayu bukan sahaja pada zaman Kesultanan Melayu Melaka malah pada hari ini dan generasi seterusnya,” katanya.

Selain itu, Hang Tuah dipercayai turut dicatat dalam pelbagai lipatan sejarah negara-negara lain, namun masih belum dibongkar termasuklah seperti yang pernah diungkapkan oleh pelukis tersohor, Leonardo da Vinci yang hidup sezaman dengan Hang Tuah.


Laksamana itu Hang Tuah?

Baru-baru ini, kecoh isu polemik kewujudan Hang Tuah yang dianggap sebagai hero dan inspirasi dalam sejarah masyarakat Melayu Nusantara.

Jika beberapa tahun lalu dalam sebuah seminar, Profesor Jabatan Sejarah Fakulti, Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim pernah menggemparkan masyarakat dengan kenyataannya yang menyebut Hang Tuah serta empat orang sahabatnya iaitu Jebat, Kasturi, Lekir dan Lekiu termasuklah Hang Li Po hanyalah sebuah dongeng.



INILAH manuskrip asal Hikayat Hang Tuah yang telah dipulihara dan kini disimpan di Perpustakaan Negara.

Justeru, hari ini kenyataan tersebut telah dikukuhkan lagi oleh Penyelidik dan Karyawan Tamu dari universiti yang sama iaitu Prof. Emeritus Dr. Ahmat Adam (gambar) yang turut menafikan kewujudan hulubalang yang menjadi legenda pada sekitar abad ke-15 dahulu bersama empat saudaranya yang lain.

“Saya mendapati kebanyakan pengkaji-pengkaji sejarah laksamana yang dikatakan wujud pada zaman pemerintahan Sultan Mahmud menjadikan manuskrip Hikayat Hang Tuah sebagai rujukan sumber pertama.

“Sedangkan manuskrip tersebut ditulis oleh pengarang yang tidak dikenali. Sementara itu ia ditulis pada kurun ke-17 iaitu kira-kira 300 tahun selepas zaman yang dikatakan wujudnya insan bernama Hang Tuah.

“Kemudian, pada hemat saya hikayat tersebut hanya boleh dianggap sebagai sebuah nukilan sastera yang berfungsi sebagai penglipur lara sama seperti novel-novel hari ini,” katanya ketika ditemubual S2 baru-baru ini.

Tambahnya lagi, hikayat tersebut sebenarnya telah mewujudkan sebuah kisah perjalanan hidup seorang pahlawan yang disebut sebagai Hang Tuah dan ia telah mempengaruhi sebahagian besar masyarakat dunia.



Prof.Emeritus Dr Ahmat Adam

“Saya dapati Hikayat Hang Tuah sebenarnya telah mendapat ilham untuk ditulis ceritanya berdasarkan karya-karya sastera lama dan banyak plot-plot cerita diambil daripada cerita-cerita panji seperti Hikayat Cekel Wanengpati, Hikayat Panji Semirang mengisahkan kehebatan pahlawan Jawa dan kisah pengembaraan mereka yang ditulis dalam bahasa Jawa Kuno.

“Cerita-cerita panji itu mula diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu sebelum kurun ke-16 dan menurut satu sumber tulisan C.C. Berg pada 1928, karya-karya tersebut mula tersebar pada tahun 1277 selepas serangan Jawa ke atas Sumatera pada 1275.

“Oleh demikian, saya tidak menolak persamaan Hikayat Hang Tuah dengan cerita-cerita panji Jawa sebab ia ditulis ratusan tahun selepas sastera panji itu tersebar.

“Sementara itu, watak-watak seperti Jebat, Kasturi, Lekir dan Lekiu diwujudkan untuk menambah lagi kesedapan cerita yang cuba menunjukkan kehebatan Hang Tuah,” jelasnya.

Berbalik kepada polemik kewujudan Laksamana Empayar Melaka itu, Ahmat Adam akui laksamana itu sebenarnya wujud.

“Banyak manuskrip yang ditemui di Jepun, India dan China mendakwa terdapat seorang laksamana hebat dari Empayar Melaka, jadi yang disebut dalam catatan tersebut adalah laksamana, bukannya Hang Tuah.

“Bukan itu sahaja, sumber yang diperoleh dari Portugis turut menyebut terdapat seorang laksamana sewaktu pemerintahan Sultan Melaka sekitar tahun 1490-an, bukan Hang Tuah.

“Kaitannya kenapa nama tidak disebut kerana, zaman dahulu masyarakat Melayu mempunyai satu kepercayaan iaitu mengundang sial jika nama orang disebut. Maka gelaran akan menggantikan nama empunya diri.

“Justeru, gelaran laksamana itu telah menggantikan nama sebenar pahlawan tersebut dan ditulis dalam manuskrip-manuskrip seperti surat kepada kerajaan Ryukyu di Jepun pada kurun ke-15,” ujarnya.

Oleh demikian, menurut beliau lagi, hakikat yang perlu dibangkitkan ialah persoalan nama laksamana tersebut berdasarkan kepercayaan kepada sebutan gelaran oleh masyarakat Melayu hampir 1,000 tahun lalu.

“Saya akui laksamana zaman Kesultanan Melaka itu sebenarnya wujud dan dialah yang sepatutnya perlu menjadi ikon orang Melayu. Saya menolak istilah Hang Tuah.

“Ini kerana dalam Hikayat Hang Tuah pula, berdasarkan ejaan jawi perkataan Tuah itu boleh jadi ‘Toh’ atau ‘Tuha (Tua)’ masing-masing membawa maksud ayam tambatan dan pemimpin dalam bahasa Jawa Kuno.

“Sementara itu ‘Hang’ pula merupakan satu lagi gelaran yang digunapakai masyarakat Melayu dahulu menunjukkan seseorang yang mahir dalam bidang tertentu seperti ‘Hang Tuha atau Toh’ sebagai seorang pemimpin dan hebat.

“Persoalan yang sepatutnya timbul adalah siapa nama sebenar laksamana tersebut kerana saya percaya ‘Hang Tuah’ hanyalah gelaran watak yang ditulis dalam manuskrip Hikayat Hang Tuah,” katanya mengakhiri perbualan.


Hang Tuah difitnah, meninggal di Palembang?

KEHEBATAN
Hang Tuah atau Tun Tuah sebagai seorang pahlawan ketika zamannya menyebabkan dia diangkat sebagai laksamana istana pada usia remaja. Setelah berguru bersama empat sahabat rapatnya, Jebat, Kasturi, Lekir dan Lekiu di Gunung Tundok berdekatan Gunung Ledang, mereka pulang ke Kampung Duyong.



KERIS Paman Sari, salah satu keris milik Hang Tuah.

Kelima-lima mereka dikatakan berguru dengan seorang lelaki bernama Seri Petala Adi Putera. Nama Hang Tuah mula disebut-sebut sehingga ke dalam istana ekoran peristiwa dia menyelamatkan Bendahara Tun Perak daripada amukan seorang lelaki berketurunan Jawa.

Setelah diangkat sebagai laksamana, wujud perasaan iri hati dalam kalangan pemuda Melaka terhadap kehebatan Tuah. Sejak dari itu, hidup Tuah dikatakan tidak asing dari asakan fitnah yang datang satu per satu sehingga membawa kepada peristiwa dia dihukum bunuh oleh sultan yang memerintah ketika itu.

Namun, menurut Pengerusi Persatuan Sejarah dan Warisan Melayu Duyong (Pesawad), Khalid Hussin, Hang Tuah pada akhir zaman sebelum kejatuhan kerajaan kesultanan Melayu Melaka telah membawa diri ke Palembang, Indonesia kerana merajuk dengan Sultan Mahmud.



INILAH dulang tembaga berlubang yang dikatakan tertusuk ketika pergaduhan antara Hang Tuah dan Hang Jebat.

“Oleh kerana itu, kita percaya bahawa makam Hang Tuah berada di Palembang. Menerusi apa yang ditulis oleh sepupu Hang Tuah, Tun Kola dalam manuskrip Hikayat Hang Tuah Duyong, laksamana Melayu terbilang itu terkesan dengan sikap dan perbuatan Sultan Mahmud yang banyak melakukan perkara tidak betul pada masa itu,” katanya kepada S2 baru-baru ini.

Katanya, tindakan Hang Tuah yang membawa diri ke Palembang itu juga merupakan kesan daripada fitnah-fitnah yang dilontarkan kepadanya dan sikap sultan yang lebih mempercayai orang luar daripada mendengar pandangan panglima istananya sendiri.

Malah, Hang Tuah sebenarnya dikatakan merupakan bapa mentua kepada Sultan Mahmud apabila baginda berkahwin dengan seorang anak Hang Tuah, Tun Sabariah. Maka, apabila Sultan Mahmud lebih mengutamakan pandangan orang luar yang banyak mempunyai agenda tersirat, Hang Tuah berkecil hati.

Lalu, beberapa tahun sebelum kejatuhan Melaka di tangan Portugis pada 1511, Hang Tuah membawa diri ke Palembang dan menetap bersama saudaranya, Tun Alam sehingga dia meninggal dunia di sana.

Ironinya, Khalid berkata, semasa Hang Tuah menjadi panglima perang istana, Melaka beberapa kali berjaya menewaskan serangan Portugis yang begitu mendambakan Melaka sehingga penjajah itu merasa gerun dengan kehebatan laksamana Melayu itu.

Manuskrip itu, katanya, ada menyebut ibu bapa Hang Tuah iaitu Tun Mahmud dan Tun Lela Wati dan beberapa pengikutnya belayar meninggalkan Palembang untuk mencari tanah baharu. Apabila mereka tiba di Pulau Besar, bapa kepada Tun Lela meninggal dunia dan dimakamkan di pulau itu.

“Tun Mahmud menamakan kawasan yang dimudik di kuala sungai sebagai Kampung Duyong. Inilah kampung yang wujud pada hari ini. Tidak lama selepas itu, Hang Tuah dilahirkan di situ.

“Hang Tuah berasal dari kampung ini. Dakwaan mengatakan Hang Tuah berasal dari Tanah Besar China tidak benar. Sebenarnya, Hang itu adalah gelaran bagi pahlawan Melaka. Ia bukanlah nama berketurunan Cina ataupun sebagainya seperti yang diandaikan banyak pihak,” katanya.



Khalid Hussin

Katanya, berdasarkan apa yang tertulis di dalam manuskrip itu, maka logik dikatakan dakwaan makam Hang Tuah di Palembang itu mempunyai asas yang lebih meyakinkan bahawa pahlawan itu meninggal dunia di Palembang. Pendek kata, kewujudan Hang Tuah bukan satu mitos.

“Masyarakat di Palembang begitu mengagumi Hang Tuah. Mereka tahu kisah pahlawan Melayu ini. Malah mereka yakin Hang Tuah wujud berdasarkan bukti yang ada di sana. Jadi, bagaimana pula wujud dakwaan bahawa Hang Tuah ini mitos atau tidak wujud? Itu sesuatu yang menyedihkan,” katanya.

Menyentuh mengenai kewujudan Hang Tuah, ujar Khalid, Hang Tuah merupakan simbol kekuatan orang Melayu sejak sekian lama. Dia merupakan figura yang menguatkan lagi semangat orang Melayu. Sewajarnya sejarah mengenai Hang Tuah diperkukuhkan dengan membangkitkan fakta logik mengenai kewujudannya.

Bagi persatuan itu katanya, mereka tampil dengan fakta dan bukti yang menunjukkan Hang Tuah merupakan seorang insan yang pernah dilahirkan di bumi Melaka. Fakta sejarah yang dinukil sendiri oleh saudara Hang Tuah, Tun Kola di Kampung Duyong.

Katanya, jika hendak disangkal, masakan kerajaan negeri mengangkat Kampung Duyong sebagai perkampungan Hang Tuah yang telah wujud selama 600 tahun.

Malah, terdapat bukti fizikal seperti Masjid Laksamana Hang Tuah, Perigi Hang Tuah, beratus-ratus kubur purba dan Sungai Duyong yang menjadi penghubung penduduk kampung itu dan seluruh Melaka.

Tambah Khalid, sesiapa yang mahu mengetahui kisah lengkap mengenai Hang Tuah dialu-alukan datang dan berjumpa dengannya mahupun ahli persatuan tersebut yang rata-rata terdiri daripada keturunan dan susur galur Hang Tuah di Kampung Duyong.

“Walaupun manuskrip asli Hikayat Hang Tuah Duyong yang dikarang Tun Kola itu kini disimpan oleh Perpustakaan Negara Malaysia, namun persatuan ini mempunyai salinannya. Malah, ahli keluarga kami sempat menterjemahkan tulisan jawi kuno itu ke dalam tulisan rumi untuk difahami orang ramai mengenai kisah Hang Tuah,” katanya.

Hang Tuah difitnah, meninggal di Palembang?