January 19th, 2016

Merencana perubahan pendidikan

SEBAGAI seorang ayah yang punya lima orang anak bersekolah, adakalanya penulis rasa khuatir dengan kenya­taan-kenyataan ‘besar’ berkenaan keperluan perubahan sistem pendidikan negara. Tidaklah bermakna ibu bapa di luar sini menentang perubahan. Namun, sebarang cadangan dan ikhtiar perubahan mestilah bersifat terurus dan konkrit.

Penulis sempat meneliti banyak pandangan rakan ibu bapa, baik di dalam media sosial mahupun perbualan biasa di luar kawasan sekolah. Apabila sahaja pihak Kementerian Pendidikan Malaysia bercakap tentang perubahan - kita sebagai ibu bapa juga berasa rusuh hati dan bimbang.

Kerisauan dan kebimbangan ini pastinya bersandarkan beberapa sebab dan alasan. Ada kalangan rakan yang berkata, setiap pertukaran kepimpinan di kementerian, akan pas­tinya menzahirkan perubahan.

Soalnya, apakah perubahan itu menjadi keperluan atau sekadar menjadi satu teori indah di atas kertas semata-mata. Bukanlah juga kita mahu bersikap pesimis dan kecil jiwa akan kemampuan generasi dan anak-anak kita mendepani perubahan. Soalnya, apakah itu yang sedang nusa dan bangsa ini perlukan? Apakah kita perlukan perubahan ‘struktur’ dan ‘skema soalan/jawapan’; atau pendidikan di Malaysia ini memerlukan penghijrahan nawaitu asas kepada bidang pendidikan.

Baru-baru ini, diumumkan pula tentang kemungkinan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang mahu dirubah bentuk pentaksirannya supaya lebih bersifat ala-Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3). Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dirasakan boleh membuatkan pelajar kurang tertumpu kepada usaha mendapat lebih ‘A’ di dalam peperiksaan.

Apakah sudah ada kajian dibuat mengenai pendekatan PBS di peringkat PT3; termasuk dari sudut kemampuannya mengurangkan beban pemikiran berasaskan peperiksaan (exam oriented)? Sudahkah dibuat kajian akan impak dan kesan PBS kepada masa hadapan pelajar ini di Tingkatan 4 dan 5?

Penulis cuma bimbang, kesungguhan kita untuk melakukan perubahan ‘struktural’ ini hanya nampak indah dan manis di atas kertas; tetapi tidak terurus daripada sudut pelaksanaannya. Yang lebih malang, jika segala perubahan ini akan akhirnya memberikan beban tambahan kepada guru biasa yang ada di bawah.

Kita belum lupa bagaimana suatu ketika dulu, guru berhadapan beban yang melampau dalam usaha memasukkan data dan menyediakan pembuktian (evidences) berkait kecapaian pelajar. Jika seorang pelajar ini mempunyai ‘12’ ruang pembuktian yang mahu diisi, bayangkan sahaja beban untuk guru yang menjaga lebih da­ripada dua atau tiga kelas.

Ironinya, bila kita cuba berdialog berkenaan dapatan dan pembuktian berkenaan, adakalanya penerangan yang diberikan juga kurang jelas dan tidak seperti yang dibentangkan sebagai ‘matlamat’ asal kepada perubahan yang dimaksudkan.

Inilah yang penulis katakan, ‘jurang’ di antara kenyataan besar pembeduk polisi dan mereka yang melaksana ‘dasar’ mestilah dirapatkan. Pandangan dan buah fikiran mereka yang berada di bawah, bergelumang dengan cabaran mendidik anak bangsa mesti diambil kira.

Terus terang penulis katakan, perubahan di peringkat sekolah rendah, termasuk membawa masuk elemen ‘Kemahiran Berfikir Aras Tinggi’ (KBAT), sebagai misal, boleh membangkitkan keterujaan dalam pembelajaran. Dengan sendirinya, guru dan ibu bapa juga perlu menyuntik jalur pemikiran KBAT yang sama. Mungkin inilah yang kita perlukan. Menambahbaik modul dan pendekatan pembelajaran agar anak-anak kita menjadi kelompok ‘pemikir’ dan bukannya generasi yang menunggu disuap dengan ilmu.

Niat dan kemahuan itu sudah baik dan wajar dihargai. Perubahan ini memerlukan ‘tempoh matang’ untuk dihargai oleh pelajar dan ibu bapa. Untuk itu berlaku, ia tidak perlu ditambah baik pula dalam bentuk lain. Penambahan ‘kertas’ semata tidak melambangkan perubahan sebenar yang sedang berlaku di peringkat bawah.

Ada negara tetangga kita yang lebih berhati-hati di dalam melakukan perubahan kepada sistem peperiksaan dan pentaksiran. Peperiksaan PSLE (tahap sama seperti UPSR), hanya akan dirubah apabila keseluruhan sistem di peringkat sekolah menengah bersedia dengan perubahan yang mahu dilaksanakan.

Ibu bapa diberikan keyakinan terlebih dahulu akan perubahan yang bakal dilaksanakan. Pengumuman perubahan tidak dibuat tahun ini dan bakal dilaksanakan tahun hadapan. Cukup masa untuk semua pemegang taruh faham dan menghargai apa yang dimahukan oleh pihak berwajib.

Tidak salah untuk kita belajar pendekatan perubahan yang lebih menyantuni pandangan dan input semua pihak. Lebih penting daripada itu, jangan sampai kita dianggap sebagai mereka yang gemar melakukan perubahan hanya kerana keterdesakan kita mencipta nama dan dilihat sebagai pereformasi agenda pendidikan.

Wujud juga keperluan untuk kita lebih selektif di dalam usaha menggembar-gemburkan cerita kejayaan. Sebagai sebuah negara yang menuju kedudukan negara maju dalam tempoh kurang lebih 4 tahun, pembaris perbandingan kemampuan sistem pendidikan kita sudah perlu dilonjak lebih tinggi.

Bidang pendidikan adalah satu bidang paksi yang tidak boleh terlalu tergugat dengan kegawatan ekonomi. Benar, ia akan menjadi cabaran besar - tetapi kita mengharapkan ada pendekatan yang lebih efektif dalam memastikan kelompok pelajar tidak terkena tempias yang terlalu teruk.

Pada pandangan penulis, langkah dan cabaran inilah yang perlu lebih diberikan prioriti dan tumpuan. Bukannya bagaimana kita merubah sistem pentaksiran UPSR yang sedia ada. Ibu bapa, guru, pelajar dan seluruh ‘sarana’ pendidikan mesti dimaklumkan akan perubahan besar bidang pendidikan dengan kesuraman ekonomi mutakhir ini.

Kita hanya mampu mengharapkan, usaha menyusun semula bajet yang akan dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dapat memberi tumpuan ‘khas’ dan ‘spesifik’ kepada isu dan darihal pendidikan.

Merencana perubahan pendidikan memerlukan ke­sedaran perkara dan isu yang perlu diberikan keutamaan. Adakalanya, kita akan lebih dihormati jika tidak terlalu galak melakukan perubahan, terutamanya atas perkara yang hanya nampak hebat di atas kertas.

- Khairuddin Mohd Zain Utusan Malaysia Rencana 18 Januari 2016 6:10 PM

Bahana kemaruk gelaran Datuk

SATU hari ketika Al-Imam Abu Hanifah r.a sedang berjalan-jalan, beliau menegur seorang budak: “Wahai budak, jaga-jaga dengan kasut kayu mu itu... bimbang kamu akan tergelincir nanti”.

Budak tersebut mengucapkan terima kasih di atas perhatian Al-Imam kepadanya. Budak itu tiba-tiba bertanya: “Wahai tuan, siapakah nama tuan?”. Al-Imam Abu Hanifah lalu menjawab: “Nama ku Nuiman”.

“Ohh..rupa-rupanya tuanlah yang digelar Al-A’dzam (Imam yang sangat hebat) itu? Budak itu bertanya kembali kepada Al-Imam Abu Hanifah. Al-Imam Abu Hanifah lalu menjawab: “Bukan aku yang meletakkan gelaran tersebut. Namun orang ramai yang bersangka baik dengan aku meletakkannya”.

Budak itu menjawab: “Wahai Imam, janganlah engkau sampai ter­­gelincir ke dalam api neraka di se­babkan gelaranmu itu. Aku hanya memakai kasut kayu yang jika aku tergelincir sekali pun hanya di dunia semata-mata. Namun gelaranmu itu terkadang membuatkan seseorang akan tergelincir ke dalam neraka Allah lantaran angkuh dan berbangga-bangga”.


Pingat dan kebesaran yang dimiliki oleh `Sultan Melaka'.

Begitulah kisah dalam Islam berkaitan soal kedudukan, pangkat dan gelaran. Tetapi kajilah apa yang berlaku di negara kita sekarang, bermula dengan ‘Sultan Melaka’, diikuti dengan ‘Bonda Ratu’ kini muncul pula ‘Maharaja Kinta’. Kesemua mereka hanya orang biasa tetapi mahu disanjung berketurunan raja mahupun sultan.
Mustahil mereka tidak tahu apa yang dilakukan salah atau hanya menjadi bahan jenaka, tetapi malangnya ada dalam kalangan orang ramai yang percaya. Paling tidak masuk akal ada yang sanggup membayar puluhan ribu ringgit semata-mata mahu bergelar ‘Datuk’ dan ‘Datuk Seri’.

Ketiga-tiga individu hanya contoh, terdapat ramai lagi yang akan muncul untuk ‘menyampaikan anu­gerah darjah dan pingat’ dengan mendakwa diri daripada keturunan entah apa-apa.

Sebenarnya, individu itu jauh lebih bijak daripada mereka yang bersedia menerima anugerah pingat-pingat yang diberikan kerana kemaruk mahu bergelar ‘Datuk’ dan ‘Datuk Seri’.

Ini kerana mereka boleh mengaut keuntungan beratus-ratus ribu ringgit dengan menyampaikan anugerah palsu tersebut. Tetapi yang membayar peduli apa, yang pen­ting dapat gelaran ‘Datuk’ dan ‘Datuk Seri’ biarpun ia disampaikan di dalam hutan!

Malah apa yang melucukan, ada pula yang sanggup menyediakan plat atau plak di kenderaan yang tertera bermacam-macam gelaran termasuklah ‘Yang Mulia’, ‘Ahli Kerabat’ dan pelbagai lagi. Mungkin sudah menjadi perangai orang kita khususnya orang Melayu suka sangat perkara-perkara aneh seperti itu. Mereka berbangga mendapat gelaran ‘Datuk’ dan ‘Datuk Seri’ biarpun daripada individu tidak diiktiraf oleh kerajaan.

Gelaran itu digunakan di mana-mana termasuklah di laman sosial seperti Facebook. Soalnya, adakah ini bertepatan dengan ajaran Islam? Tidakkah mereka membaca kisah Imam Abu Hanifah r.a? Atau meneliti pesanan Allah SWT dan Rasulullah SAW mengenai anugerah, kedudukan dan pangkat?

Tidak salah menerima gelaran ‘Datuk’ dan ‘Datuk Seri’ asalkan ia daripada darjah yang diberikan secara rasmi oleh raja-raja Melayu dan Yang Dipertuan Negeri sebagai mengenang jasa seseorang. Namun ketika ini ada kelompok yang bangga tidak bertempat dalam menggunakan ge­laran ‘Datuk’ dan ‘Datuk Seri’ walaupun ia pemberian individu yang boleh dikategorikan sebagai ‘sakit’.

Contohnya, apabila seseorang itu mengaku ‘Sultan Melaka’, ia bagaikan diiktiraf oleh sesetengah pihak. Dia mengadakan pelbagai majlis bagi menonjolkan dirinya sebagai ‘Sultan’ termasuk upacara penganugerahan pingat-pingat.

Begitu juga apabila munculnya wanita yang mendakwa dirinya ‘Bonda Ratu’. Wanita berasal daripada Indonesia itu mengaku keturunan Raja Sumatera sedangkan dia hanya tukang urut. Lebih hebat ‘Maharaja Kinta’, entah fakta apa yang digunakan sehinggakan dakwaan berasal daripada keturunan ‘Panglima Kinta’ secara tiba-tiba boleh bertukar menjadi ‘Maharaja’.

Pokok pangkal kepada kemunculan individu-individu itu disebabkan kelemahan undang-undang sedia ada dan sikap kemaruk serta bangga dengan gelaran serta kedudukan. Seperkara lagi, bukan sahaja dari segi akta perlu diperkemaskan malah siasatan juga harus dijalankan untuk mengetahui bagai­mana individu terlibat begitu mudah menambah nama mereka di dalam kad pengesahan nama yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)?

Sepatutnya penggunaan gelaran pada kad pengenalan dan pasport hanya boleh dilakukan apabila seseorang individu itu menunjukkan watikah yang disampaikan oleh raja-raja Melayu dan Yang Dipertua Negeri. Tetapi bagaimana seseorang boleh sewenang-wenangnya meletakkan gelaran ‘Yang Mulia’, ‘Datuk’, ‘Datuk Seri’ atau ‘Datuk Seri Paduka Diraja’ tanpa disiasat terlebih dahulu kesahihannya oleh JPN? Di mana silapnya?

Penulis bukannya mahu menu­ding jari menyalahkan JPN tetapi se­kadar mahukan siasatan dijalankan kerana ia melibatkan perbuatan yang boleh mencemarkan kemuliaan institusi raja-raja. Sementara pindaan dilakukan ke atas Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 (Akta 414), siasatan perlu dijalankan oleh pihak berkuasa untuk mengenal pasti mereka yang mendapat gelaran daripada individu yang tidak diiktiraf.

Ini memandangkan mereka tidak berasa malu untuk menggunakan gelaran tersebut. Mereka berbangga dipanggil ‘Datuk’ dan ‘Datuk Seri’, biarpun dengan sengaja sedang menghimpunkan dosa kerana menipu orang ramai melalui gelaran palsu tersebut.

-

Awang fikir, kita tidak boleh menolak bahawa pendorong kepada kegilaan perbuatan ‘Sultan Melaka’ diikuti ‘Bonda Ratu’ dan kini ‘Maharaja Kinta’ yang menganugerahkan gelaran ‘Datuk’ dan ‘Datuk Seri’ kepada sesiapa sahaja yang tidak memberi sumbangan atau jasa apa-apa kepada negara, ialah pihak menerima anugerah berkenaan.

Ini kerana, jika tiada pihak yang sanggup mengeluarkan wang ribuan ringgit untuk mendapatkan gelaran tersebut sedangkan dia tidak layak langsung untuk menerimanya, sudah pasti ‘majlis penganugerahan’ tersebut tidak akan berlaku.

Melalui pendedahan yang dibuat oleh akhbar Awang ini, kita semua terkejut kerana pengurniaan pingat yang membawa gelaran ‘Datuk’ dan ‘Datuk Seri’ palsu ini, rupa-rupanya sudah berada pada tahap serius di negara ini.

Ini bukan perkara lawak jenaka. Seharusnya, perbuatan yang telah mencemar dan memperlekehkan imej institusi raja-raja Melayu ini perlu dihentikan dan tindakan setegas-tegasnya perlu diambil terhadap pihak terbabit termasuk penerima gelaran ini supaya jangan ada sesiapa lagi berani tampil kononnya kerabat diraja itu dan ini.

Jadi Awang berharap, selain mengesan kerabat diraja palsu ini, pihak berkuasa perlu juga memburu pihak yang mendapat gelaran tersebut. Kita juga bimbang penerima gelaran ‘Datuk’ dan ‘Datuk Seri’ palsu ini, akan berselindung di sebalik gelaran itu untuk membuat kerja-kerja yang salah, melakukan jenayah misalnya.

- Awang Selamat Utusan Malaysia Rencana 18 Januari 2016 6:15 PM

Air sebagai sumber kehidupan

AIR merupakan satu khazanah alam yang tidak ternilai harganya. Kita perlukan air untuk menjalani kehidupan seharian kerana ia sumber penting dalam menjana pelbagai bidang ekonomi seperti pertanian, perindustrian, perikanan dan penjanaan sumber tenaga elektrik dan sebagainya.

Seperti yang kita sedia maklum, hampir 3/4 daripada permukaan bumi adalah kawasan berair. Begitu juga dengan tubuh manusia di mana 70% daripada komposisi tubuh manusia adalah air.

Kajian menunjukkan bahawa manusia boleh hidup lebih seminggu tanpa makanan tetapi hanya beberapa hari tanpa air. Ini menggambarkan betapa pentingnya air dalam kehidupan kita.

Negara kita juga telah mengalami beberapa krisis bekalan air yang serius.




Antaranya krisis air pada tahun 1998 di Lembah Kelang di mana kira-kira 600,000 penduduk Selangor dan Kuala Lumpur telah terjejas.

Sebagai pengguna kita haruslah mengambil iktibar dan pengajaran daripada peristiwa ini dengan menyediakan satu pelan tindakan agar krisis seperti ini dapat dielakkan daripada berulang atau setidak-tidaknya mengurangkan impaknya.

Antara tugas dan tanggungjawab pengguna yang paling utama ialah menjimatkan air. Kita sememangnya berhak untuk mendapatkan bekalan air yang terjamin keselamatannya serta menggunakan sebanyak mana yang kita ingini berdasarkan harga yang telah dibayar.

Tetapi, sedarkah bahawa kita sebenarnya berurusniaga dengan alam. Setiap liter air yang digunakan akan melalui proses kitaran semulajadi.

Hari demi hari kita harus menyaksikan betapa pencemaran terhadap sumber alam ini masih berlaku.

Adakah suatu hari nanti kita sanggup membayar harga yang begitu tinggi untuk mendapatkan bekalan air yang selamat dan bersih?

Jawapannya pada diri kita sendiri. Oleh itu, langkah yang paling mudah boleh diambil oleh setiap pengguna ialah dengan menjimatkan penggunaan air.

Apabila kita menyentuh isu penjimatan air, ia tidak akan lengkap tanpa kita melihat dan membincangkan tentang cabaran dan kesan jika terdapat masalah kepada bekalan air bersih kerana tiada sesiapa pun yang menjimatkannya.

Sehingga kini, pencemaran air terutamanya sumber utama air bagi kehidupan harian dan kegunaan industri iaitu sungai sudah terlalu kritikal kecederaannya.

Di manakah punca dan siapa pula yang harus dipersalahkan. Pelbagai kempen kesedaran telah dilaksanakan tetapi hasilnya masih mendukacitakan.

Dalam setiap persidangan sedunia atau di peringkat kebangsaan dan serantau mengenai alam sekitar mahupun bekalan air, pencemaran pastinya akan menjadi isu pokok.

Namun sedemikian, biar sekerap atau seserius mana pun perbincangan dan persidangan itu diadakan, tetapi tanpa tindakan dan susulan yang sewajarnya, pencemaran sungai-sungai ini akan bertambah parah.

Peranan pihak kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam Air usaha memelihara dan memulihara sungai-sungai dan sumber air yang lain sewajarnya diberi pujian.

Tetapi tanpa kesedaran pengguna, sebagai pengguna utama alam sekitar yang mendagangkan air ini, semua usaha akan sia-sia umpama mencurahkan air ke daun keladi.

Kesedaran pengguna sebenarnya merupakan aset terpenting untuk terus memastikan bahawa sumber ini akan terus wujud, bersih dan selamat serta dapat meneruskan khidmatnya kepada kehidupan sejagat.

Yang pasti, ibu bapa harus memainkan peranan untuk mendidik anak-anak yang bakal menjadi pengguna alam ini agar sedar akan tanggungjawab mereka dan bersama-sama menjaga khazanah ini.

Kesedaran pengguna di peringkat awal akan menjadi pemangkin kepada jaminan bahawa sumber alam ini akan terus selamat dan berdekatan.

Ibu bapa pastinya akan tersenyum lega kerana warisan anak cucu mereka akan terus menikmati kehebatan sumber air ini dan meneruskan kemandiran tamadun dan kehidupan.

Seterusnya, pengguna harus sedar bahawa mereka juga mempunyai hak mengenai kualiti pembekalan air agar kita sentiasa mendapat perkhidmatan air yang benar-benar berkualiti, bersih dan selamat.

Saban tahun, pelbagai isu mengenai kualiti pembekalan air yang semakin menurun dilaporkan.

Pengguna seringkali menghadapi pelbagai masalah seperti mendapat bekalan air yang kotor, gangguan perkhidmatan yang terlalu kerap dan kadar bayaran perkhidmatan yang kadangkala terlalu tinggi dan tidak masuk akal.

Malah ramai pengguna terpaksa berbelanja lebih dengan memasang sendiri penapis air berteknologi tinggi di premis masingmasing lantaran kualiti air yang begitu teruk.

Selain itu, beberapa tempat di Semenanjung Malaysia pula turut mengalami masalah catuan bekalan air kerana hujan yang tidak menentu dan mempengaruhi kadar takungan air serta masalah penyaluran bekalan.

Satu perkara lagi yang perlu diberikan perhatian mendalam oleh semua pihak terutamanya pengguna ialah keselamatan dan keupayaan kawasan tadahan hujan serta alam sekitar yang bersih untuk memastikan sumber ini akan terus kekal dan berupaya menampung penambahan bilangan penduduk.

Perkara ini perlu diberikan perhatian serius kerana sumber ini adalah asas utama kemandirian tamadun dan kehidupan.

Tanpa usaha yang berterusan dan berkesan, suatu hari nanti pasti tiada lagi sumber air yang benar-benar bersih untuk kehidupan sejagat.

Mungkin suatu hari nanti air untuk kegunaan harian terpaksa melalui satu proses kompleks untuk dijadikan air yang benar-benar bersih dan selamat.

Justeru itu, pengguna haruslah memainkan peranan utama dengan memupuk kesedaran agar kawasan tadahan hujan dan alam sekitar kita akan terus sesuai untuk kehidupan sejagat.

Oleh itu, semua pihak harus sedar tentang tanggungjawab dan tugas mereka mengenai penggunaan air. Pengguna terutamanya sebagai pengguna utama alam sekitar harus mempunyai kesedaran yang tinggi untuk terus memastikan bahawa generasi masa depan akan terus menikmati alam sekitar yang bersih seterusnya bekalan air yang selamat.

Semoga air bersih akan terus 'hidup' di muka bumi ini bagi memastikan kemandirian tamadun kehidupan yang gemilang.

Kawal perbelanjaan negara elak defisit naik

Datuk Seri Najib Razak dijangka mengumumkan pengubahsuaian Bajet 2016 pada 28 Januari ini. Ramai setuju langkah itu perlu berikutan kejatuhan mendadak harga minyak dunia selain ekonomi China serta dunia kurang memberangsangkan.

Apa yang menjadi perhatian umum ialah apakah akan berlaku pemotongan drastik perbelanjaan dan penangguhan projek pembangunan tertentu.

Wartawan BH Ahad, MOHD AZIS NGAH dan MOHD ANWAR PATHO ROHMAN mendapatkan komen Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani dan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang juga Ketua Kluster Ekonomi dan Pengurusan, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali.



Datuk Johari Abdul Ghani

Soalan: Ekonomi negara tahun ini dijangka tidak banyak berubah, malah lebih mencabar berbanding 2015. Adakah keadaan ini menjadi faktor kerajaan terpaksa berbelanja secara berhemat termasuk pengubahsuaian semula Bajet 2016?

Jawapan: Kerajaan terpaksa berbelanja secara berhemat pada 2016 kerana ekonomi negara dijangka berada dalam keadaan yang lebih mencabar berbanding tahun 2015.

Antara faktor penyebab adalah kesan kejatuhan harga minyak mentah yang mendadak, kejatuhan ekonomi China serta kelembapan ekonomi dunia selain kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika.

Perbelanjaan berhemah ini perlu dibuat bagi memastikan kerajaan mengawal kadar defisit negara kita kepada 3.1 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Jika kita tidak mengawal perbelanjaan kerajaan ini, maka defisit negara akan bertambah besar dan ia juga akan menurunkan atau menjejaskan penarafan negara kita oleh agensi penarafan antarabangsa seperti Moody, Standard & Poor dan Fitch.

Apabila taraf penarafan ini rendah, ia akan menjejaskan usaha kerajaan menarik ramai pelabur asing dari luar negara. Di samping itu, ia juga akan meningkatkan kos pinjaman negara. Ini akan memberi kesan lebih buruk dalam jangka masa panjang.

Apabila kurang pelaburan, maka peluang pekerjaan juga akan berkurangan. Di samping itu, kos pinjaman yang meningkat akan menyebabkan kadar pertumbuhan penggunaan juga terjejas dan kos untuk menjalankan perniagaan juga akan bertambah tinggi.

S: Adakah situasi sekarang terlalu sukar hingga terpaksa mengubah suai semula Bajet 2016?

J: Penyelarasan ini dibuat kerana pada ketika bajet 2016 diumumkan kerajaan, ia menggunakan anggaran harga minyak AS$48 satu tong tetapi sekarang ini sudah mencecah di bawah paras AS$30. Setiap kejatuhan AS$1 harga minyak, kerajaan dijangkakan akan hilang RM300 juta pendapatan. Ini bermakna jika kejatuhan sekarang ini ialah sebanyak AS$18, bermakna kerajaan akan kehilangan RM5.4 bilion pendapatan negara. Ia satu angka yang besar dan sudah tentu akan menjejaskan perbelanjaan kerajaan. Sebab itu kita perlukan selaraskan semula perbelanjaan.

S: Sektor manakah yang perlu dikurangkan bajet dan yang perlu diutamakan?

J: Perkara ini masih pada peringkat perbincangan. Tidak matang sekiranya ia diumumkan lebih awal sedangkan keputusan belum muktamad. Perdana Menteri, (PM) Datuk Seri Najib Razak dijangka akan mengumumkan penyelarasan Bajet 2016 pada 28 Januari nanti. Seperti yang diumumkan oleh PM sebelum ini, beliau akan memastikan kesejahteraan kehidupan rakyat tidak terjejas akibat daripada penyelarasan ini. Pelbagai jenis bantuan kepada rakyat seperti bantuan pendidikan, kesihatan, bantuan rakyat 1Malaysia (BR1M), bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat, subsidi berpusat serta perbelanjaan lain rakyat, akan dikekalkan.

S: Itu bermakna, bantuan subsidi akan dikekalkan?

J: Seperti yang saya tegaskan tadi, bantuan kepada rakyat tidak akan terjejas. Mana-mana subsidi atau bantuan seperti bantuan persekolahan untuk pelajar miskin, bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat akan kekal. Semua itu tidak akan terjejas. Jangan risau, itulah komitmen yang dijanjikan PM.

S: Kenaikan kos sara hidup termasuk harga barang menyebabkan majoriti rakyat terpaksa 'mengikat perut' sedangkan pendapatan bulanan masih di takuk lama?

J: Kenaikan kos sara hidup dan harga barang memang sangat dirasakan oleh rakyat berpendapatan rendah. Faktor kenaikan harga barang ini disebabkan sebahagian barang keperluan asas yang dijual, menggunakan bahan mentah diimport. Oleh kerana kejatuhan nilai ringgit ini, menyebabkan kos barang berkenan juga meningkat.

Ada juga sebahagian peniaga mengambil kesempatan dengan menaikkan harga kepada pengguna dengan alasan pelaksanaan sistem GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) menggantikan sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST). Kos sara hidup yang tinggi ini juga banyak terkesan daripada kebolehan rakyat golongan bawahan untuk memiliki rumah kos rendah dan sederhana.

Contohnya di bandar, kebanyakan harga rumah meningkat dengan mendadak sehingga di luar kemampuan rakyat golongan bawahan. Rumah banyak dibina dengan harga RM300,000 ke atas.

Apabila golongan bawahan ini tidak mampu membeli, maka mereka terpaksa menyewa. Harga sewaan di bandar turut meningkat. Jika seseorang warga kota itu mempunyai gaji sebanyak RM2,500 sebulan, hampir 50 peratus akan dibelanjakan untuk membayar ansuran atau sewaan rumah.

Baki gaji itu, terpaksa digunakan untuk pengangkutan, makan dan pendidikan anak.

Sebab itu, saya menekankan perlu ada campur tangan kerajaan secara serius dan besar-besaran untuk membina lebih banyak rumah PPR (Projek Perumahan Rakyat) atau perumahan awam dengan kadar segera bagi menampung kehidupan rakyat golongan miskin bandar ini.

Jika semua tanah kerajaan yang boleh dibangunkan rumah kos rendah dan sederhana ini diberi pada pemaju swasta, akhirnya kita akan lihat tidak ada lagi rakyat tempatan golongan bawahan ini boleh tinggal dalam bandar.

Dalam jangkamasa panjang kerja yang boleh dilakukan oleh rakyat tempatan dalam bandar ini akan diambil oleh pekerja asing kerana rakyat tempatan tidak mampu untuk hidup dalam bandar dengan gaji kecil oleh kerana kos kehidupan yang tinggi.

Setakat ini, hampir 50,000 rakyat golongan bawahan dalam bandar ini sedang menunggu untuk mendapatkan rumah PPR atau perumahan awam untuk disewa.

Sebahagian daripada mereka terpaksa menyewa bilik bagi meneruskan kehidupan bersama isteri dan anak-anak. Kita lihat banyak tanah milik kerajaan yang terletak di pinggir bandar, telah dijual pada pemaju swasta untuk membina rumah mampu milik yang di luar kemampuan golongan bawahan ini.

S: Adakah hasil cukai GST mampu menampung sebahagian perbelanjaan kerajaan?

J: Hasil kutipan GST ini digunakan semula untuk kepentingan rakyat seperti membiayai perbelanjaan pendidikan, kesihatan, keselamatan dan bantuan kebajikan.

Peningkatan kutipan GST ini dapat menampung sebahagian daripada kehilangan pendapatan hasil minyak akibat kejatuhan harga minyak dunia yang mendadak.

Sistem GST adalah satu sistem pencukaian yang sangat cekap dan efisen. Kalau dulu sistem SST banyak kelemahan berlaku sehingga ramai peniaga tidak membayar cukai jualan mereka.

Dengan sistem GST, pematuhan pembayaran cukai dalam kalangan peniaga akan lebih efisen dan hasil kutipan ini disalurkan semula kepada rakyat dalam pelbagai bentuk bantuan.

Sebab itu, kalau kita lihat lebih 170 negara di dunia ini menggunakan sistem GST. Tetapi masalah yang kita hadapi sekarang ini adalah dari segi pelaksanaan. Terdapat peniaga mengambil kesempatan dengan menaikkan harga sewenang-wenangnya.

S: Kelembapan ekonomi global dijangka kekal untuk beberapa tahun lagi. Malaysia selaku pengeluar minyak adalah antara yang terjejas kerana bergantung kepada pendapatan sumber ini. Apakah pelan alternatif kerajaan?

J: Kejatuhan harga minyak ini sememangnya menjejaskan pendapatan negara. Harga minyak jatuh mendadak daripada AS$100 hingga ke paras bawah AS$30 satu tong. Ini menyebabkan pendapatan negara berkurangan sebanyak RM30 bilion. Harga minyak ini dijangkakan terus kekal rendah untuk jangka masa satu atau dua tahun lagi.




Sumber sedia ada perlu dioptimum bagi merancakkan ekonomi negara. - Gambar hiasan

Kekejaman rejim Pol Pot masih berbekas

DIPUKUL sepanjang hari, dicabut kuku menggunakan playar, dikenakan renjatan elektrik dan dipaksa bekerja sepanjang hari tanpa rehat, tidak dibenarkan mandi hanya disiram air tiga bulan sekali dan diberikan nasi bubur cair bagi mengalas perut. Itu adalah sebahagian rutin harian tahanan Penjara Tuol Sleng, Phnom Penh, Kemboja ketika zaman pemerintahan kejam rejim Pol Pot.

Dalam tempoh hampir empat tahun dari 1975 hingga 1979 pemerintahan rejim itu, lebih dua juta rakyat Kemboja mati kebuluran, diseksa dan dibunuh, manakala ramai lagi yang terselamat mengalami kecacatan fizikal dan mental.


GAMBAR mangsa kekejaman tentera Khmer Rouge yang dipamerkan di Muzium Tuol Sleng.


Biarpun zaman itu sudah berlalu lebih 30 tahun, namun parutnya masih berbekas dalam sanubari rakyat Kemboja yang melalui kehidupan di zaman Khmer Rouge itu terutama bagi warga emas yang masih hidup.

Tentera Khmer Rouge membunuh artis, guru, peguam, doktor, wartawan, ahli agama atau sesiapa saja yang dianggap sebagai 'intelek,' atau sesiapa saja yang mempamerkan bangsa, agama atau kedudukan mereka.

Tanpa sebarang alasan, penduduk ditangkap dan dibunuh atau dipaksa menjadi buruh kasar.

Ada kalanya, alasan yang tidak boleh diterima akal manusia waras seperti memanjat pokok kelapa kerana haus atau hanya kerana memakai cermin mata yang menampakkan seolah-olah bijak atau kaya turut ditangkap atau dibunuh.

Penjara Tuol Sleng adalah bekas Sekolah Tinggi Chao Ponhea Yat yang dijadikan penjara menempatkan hampir 20,000 tahanan yang kemudiannya dibunuh ketika di zaman pemerintahan kuku besi itu.

Peluang mengunjungi Penjara Muzium Tuol Sleng bersama Persatuan Kakitangan Perkhidmatan Ugama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (PKPU JAKIM) yang kini dijadikan Muzium Tuol Sleng baru-baru ini, benar-benar menginsafkan penulis.


GAMBAR mangsa kekejaman tentera Khmer Rouge yang dipamerkan di Muzium Tuol Sleng.
Apakan tidak terutama apabila melihat ribuan gambar wajah insan tidak bersalah dipamerkan, selain lukisan gambaran penyeksaan yang dilakukan tentera rejim itu dan tengkorak tahanan yang ditemui di perkuburan besar di banyak kawasan dikenali sebagai Killing Fields.

Pertemuan dengan Chum Mey, 86, satu-satunya bekas tahanan Penjara Tuol Sleng yang masih hidup, di mana 12,000 yang lain didera dan dibunuh dengan kejam serta dihantar ke lapangan pembunuhan (Killing Field), benar-benar menyentuh jiwa.

Selain menceritakan pengalamannya kepada wartawan dunia dan pengunjung penjara itu yang kini dijadikan muzium menempatkan maklumat, gambar serta tengkorak mangsa kekejaman rejim Pol Pot, Chum turut menulis pengalamannya melalui buku dalam bahasa Inggeris berjudul Survivor.

CHUM menjual buku yang menceritakan pengalaman beliau.


Saksi utama kes perbicaraan

Beliau turut menjadi saksi utama dalam kes perbicaraan Ketua Penjara itu, Kaing Guek Eav atau Duch yang diadakan di tribunal jenayah antarabangsa. "Saya tidak mahu zaman itu berulang. Menjadi tanggungjawab saya untuk bercerita kepada dunia mengenai kebenaran dan apa yang terjadi ketika itu.

Saya bukan hanya bercerita kepada orang Kemboja saja, tetapi seluruh dunia tidak kira orang Cina, orang Champa (Muslim), sesiapa saja yang berjumpa dengan saya. Saya mahu dunia tahu apa sebenarnya terjadi dan tidak mahu ia berulang," katanya.

Chum bernasib baik tidak dibunuh kerana mempunyai kemahiran membaiki peralatan seperti mesin, jana kuasa, trak dan kenderaan.

"Saya bernasib baik tidak dibunuh kerana mereka mahukan kepakaran dan kemahiran saya dalam membaiki peralatan. Mesin taip adalah peralatan pertama yang perlu dibaiki, ini kerana semua pengakuan direkodkan.

Saya kemudian diarah melakukan kerja pembaikan mesin termasuk mesin jahit. "Saya bekerja bersebelahan dapur, kadangkala saya diarahkan mengangkut kayu api, apabila bernasib baik saya diberikan kerak nasi yang disorokkan dalam laci mesin jahit," katanya.

Chum berkata, dua anak perempuannya hilang pada zaman pemerintahan Pol Pot. Hanya selepas tahun 1979, beliau diberitahu kedua-dua anak perempuannya dibawa menaiki kereta api ke Pursat atau Battambang.

"Saya dengar kereta api itu meletup dan kemungkinan besar kedua-dua mereka meninggal dunia. Saya cuba mencari mereka, tetapi tidak menemui atau mendengar berita mengenai mereka.

Jika mereka dibawa keluar negara untuk proses anak angkat dan masih hidup, tentu mereka pernah mendengar nama saya kerana saya banyak ke Asia, Eropah dan Amerika. Namun, sehingga kini tiada berita mengenai mereka," katanya yang turut kehilangan isteri dan dua anak lelaki pada zaman itu akibat sakit.

Tarikh 28 Oktober 1978 menjadi kenangan pahit dalam hidupnya apabila ditangkap pihak rejim Pol Pot atas alasan mahu meminta tolong membaiki trak berhampiran Vietnam, namun beliau terus dibawa ke Penjara Tuol Sleng.

Mengikut prosedur, semua tahanan dirakam gambar dan ditanggalkan pakaian sebelum dimasukkan dalam sel kecil. Dipukul, kuku dicabut Berhari-hari didera dengan dipukul tanpa henti dan kuku kaki dicabut dengan playar atas dakwaan menyertai Agensi Perisikan Amerika (CIA).

Mendengar nama CIA pun kali pertama, inikan pula menjadi perisiknya. Selama 10 hari didera, dipukul dan telinga kiri dipasang wayar elektrik, akhirnya beliau tidak tahan dan terpaksa mengaku atas pertuduhan walaupun tidak tahu menahu butiran pangkalnya.

"Mereka bukan manusia tetapi lebih teruk daripada haiwan. Kami diberikan kotak plastik untuk membuang air, jika terjatuh di lantai kami diarahkan menjilatnya.

Jika kedengaran kaki yang diikat dengan besi bergerak, mereka datang dan menyebat kami sebanyak 200 sebatan. "Bagi mengalas perut, kami diberi makan bubur nasi dua kali sehari, jika meminta tambah akan dipukul, kadang kala cicak dan tikus turut menjadi santapan penghuni penjara," katanya.

Selepas berdekad kejadian itu, walaupun menderita akibat kekejaman rejim Pol Pot, Chum tidak menyalahkan tentera yang menderanya kerana mereka hanya melaksanakan arahan pegawai atasan. "Saya menganggap mereka juga mangsa seperti saya kerana terpaksa mengikut perintah ketua mereka. Jika saya di tempat mereka, sanggupkah saya berdepan dengan hukuman bunuh jika gagal melaksanakan arahan supaya mendera tahanan," katanya yang turut mengenal pasti tentera yang menderanya.

Kini, Chum menghabiskan masa tuanya dengan menjual buku tulisannya di pekarangan Muzium Tuol Sleng dan bercerita dengan pengunjung mengenai kekejaman dan pengalamannya menghuni tirai besi itu.

Umat Islam dibunuh, hidup dalam ketakutan

Kemboja terus berdepan perang dengan Vietnam di sempadan Kemboja-Thailand selepas bebas daripada pemerintahan kuku besi Pol Pot. Bukan itu saja, perang saudara turut tercetus antara saki-baki penyokong Pol Pot dan pihak berkuasa sekitar 1990-an yang menyukarkan kerajaan untuk mewujudkan kestabilan dan keamanan. Pilihan raya pertama Kemboja diadakan pada tahun 1993 dan pilihan raya kedua pada tahun 1998 menjadi titik-tolak keamanan kepada negara itu menerusi kepemimpinan kerajaan campuran yang berusaha mengekalkan kestabilan Kemboja.


CHUM (kiri) bersama enam lagi tahanan Penjara Tuol Sleng yang terselamat.
Di bawah pemerintahan Perdana Menteri, Hun Sen, negara itu banyak berubah dan rakyat diberi kebebasan beragama dan mencari rezeki termasuk umat Islam di negara itu.

Bagi Pengerusi Cambodia Muslim Intellectual Alliance (CMIA), Farid Hosen, walaupun tidak merasai secara langsung keperitan kekejaman rejim Pol Pot tetapi ia meninggal parut yang masih berbekas apabila bapanya, Hosen Abu Bakar turut ditangkap dan meninggal dunia ketika dalam tahanan. "Seperti yang diceritakan ibu, saya ketika itu hanya berusia 15 hari semasa bapa ditangkap rejim Pol Pot.

Ketika itu, regim itu memburu dan menahan guru agama. Bapa saya seorang imam dan guru agama. Kami difahamkan beliau meninggal dunia ketika dalam tahanan akibat kebuluran," katanya ketika ditemui di Phnom Penh, Kemboja, baru-baru ini.

Hanya tiga tahun, lapan bulan dan 10 hari saja, pemerintahan kuku besi itu menyaksikan kira-kira setengah juta umat Islam Kemboja berketurunan Melayu Champa meninggal dunia dan yang tinggal hanyalah sejumlah 100,000 saja ketika zaman itu.


BILIK seksaan.


Guru agama Kampung Suay Bakau, wilayah Kampong Chnang, Ishak Irham, 72, yang kehilangan kebanyakan ahli keluarganya ketika di zaman Pol Pot menyifatkan keamanan yang dikecapi sekarang perlu dipertahankan kerana penderitaan hidup ketika itu tidak boleh gambarkan oleh akal waras manusia.

Hidup dalam ketakutan

"Di zaman Pol Pot, hidup memang susah. Kami hidup dalam ketakutan kerana bimbang ditangkap dan dibunuh. Kebanyakan yang dibunuh adalah guru agama dan imam kerana komunis tidak percaya kepada agama. Adik beradik saya ada juga yang ditangkap dan dibunuh," katanya.

Bagi generasi muda, Nasief Mohamad, 25, walaupun tidak sempat merasai penderitaan di zaman Pol Pot tetapi ibu bapanya serta saudara yang lebih tua di rumah serta kampungnya pernah bercerita mengenai kekejaman yang dialami ketika itu.

"Alhamdulillah, kami tidak merasai keperitan yang pernah dialami generasi sebelum ini. Kami berharap sejarah tidak berulang dan negara ini terus aman di mana umat Islam boleh mengamalkan ajaran dan menjalani hidup harmoni dengan penduduk yang beragama dan berbangsa lain," katanya.

Berasal dari wilayah Kampong Cham, Nasief yang kini menuntut di Universiti SEGI, Kota Damansara, Kuala Lumpur, turut menyuarakan rasa kesyukuran kerana berpeluang melanjutkan pengajian di Malaysia dengan tajaan Yayasan al Bukhary dan berharap dapat kembali menabur bakti di negaranya selepas tamat pengajian.

Mengapa begitu susah nak turunkan harga rumah?

Seorang ayah risau mengenang nasib anaknya dalam tempoh 10 atau 20 tahun akan datang - sama ada mampu untuk memiliki rumah sendiri atau sebaliknya.

Bapa berusia 45 tahun dengan empat anak yang masih bersekolah dan bermastautin di Lembah Klang itu, bimbang tiada lagi rumah berharga bawah RM500,000 menjelang 2030.

Dia sendiri membeli sebuah rumah teres pada harga RM150,000 kira-kira 12 tahun lalu di Bangi tetapi katanya, tiada lagi rumah teres pada harga itu, di tempat sama sekarang.

Baginya, jika trend harga rumah terus meningkat, mungkin anaknya cuma mampu untuk menyewa bilik di Lembah Klang apabila mula bekerja menjelang 2030 nanti.



Agensi seharusnya bertanggungjawab membangunkan kawasan bandar bagi membantu Bumiputera memiliki rumah di bandar - seperti membangunkan Shah Alam dan Bandar Baru Selayang. Jika tidak, 50 tahun akan datang, tiada lagi Melayu tinggal serta memiliki harta di bandar. - Foto hiasan


Mungkin juga orang Melayu sudah tidak mampu lagi memiliki rumah di bandar.

Dalam hal ini, ada kebenaran kenyataan Majlis Perundingan Melayu (MPM) yang mahu kerajaan menubuhkan semula agensi seperti Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) yang bertanggungjawab membangunkan kawasan bandar bagi membantu Bumiputera memiliki rumah di bandar - seperti membangunkan Shah Alam dan Bandar Baru Selayang.

Jika tidak, 50 tahun akan datang, tiada lagi Melayu tinggal serta memiliki harta di bandar. Itulah hakikatnya yang perlu diberi perhatian sekarang.

Entah apa sebenarnya menjadi punca harga rumah amat payah untuk turun atau kekal lama pada paras harga munasabah.

Apakah ia dipengaruhi harga tanah semata-mata? Apakah ia berpunca daripada kegiatan berbentuk spekulatif untuk mengaut keuntungan? Apakah ia berkaitan dengan dasar perumahan kerajaan? Apakah benar keghairahan pemaju untuk menjual gaya hidup dan bukan rumah sebagai satu keperluan antara faktor yang menyebabkan harga rumah mahal?

Antaranya, termasuk tindakan pemaju menyediakan kemudahan mewah seperti kolam renang, jakuzi, SPA dan rumah kelab hingga menyebabkan harga rumah melambung.

Jika peningkatan harga rumah itu gara-gara 'permainan' swasta/pemaju, maka wajib kerajaan campur tangan untuk melakukan pembetulan.

Disebabkan harga rumah ini jugalah penyumbang kepada peningkatan kadar kemiskinan bandar berikutan kos sara hidup yang tinggi.

Seorang timbalan menteri memberitahu, di kawasan bandar, kebanyakan harga rumah meningkat dengan begitu mendadak sehingga di luar kemampuan rakyat bawahan.

Rumah banyak dibina dengan harga RM300,000 ke atas. Apabila golongan bawahan ini tidak mampu membeli, katanya, maka mereka terpaksa menyewa.

Harga sewaan di bandar juga turut meningkat. Jika seseorang warga kota itu bergaji RM2,500 sebulan, hampir 50 peratus akan dibelanjakan untuk membayar ansuran atau sewaan rumah saja, sekali gus dia terjerumus dalam kemiskinan bandar.

Kita sendiri juga tertanya-tanya, mengapa terlalu susah harga rumah untuk diturunkan?

Mungkin sudah tiba masanya untuk kerajaan memanggil semua pemaju perumahan dan syarikat yang terbabit dalam pembinaan rumah, cari jalan bagaimana untuk menstabilkan harga rumah.

Mustahil tiada jalan keluar untuk kemelut harga rumah ini yang bagaikan hanya mampu untuk dilihat, bukan untuk dibeli.