January 28th, 2016

Tahap pendidikan pengaruhi pemikiran, kejayaan negara

KEJAYAAN sesebuah negara sering diukur daripada kemampuan kerajaan meningkatkan kemajuan ekonomi dan menjamin kestabilan politik negara.

Kejayaan ini biasanya seiring dengan kemajuan dalam bidang pendidikan rakyat di negara berkenaan. Hanya di negara yang maju dalam bidang pendidikan menunjukkan kemajuan dalam pelbagai bidang lain, termasuk sains dan teknologi.

Rata-rata di Malaysia, sudah tidak ada lagi rakyat yang berpendidikan setakat Tahun Enam seperti pada tahun 1960-an dan 1940-an atau lebih awal daripada itu, zaman datuk dan moyang dahulu.

Hari ini, sebahagian besar rakyat, khasnya mereka yang berumur 60 tahun ke bawah, mempunyai kelayakan minimum Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan yang setaraf dengannya seperti Sijil Pelajaran Vokasional (SPVM), sijil perguruan dan sebagainya. Ada juga yang meneruskan pengajian dalam bidang agama.


Bagi yang bernasib baik, mereka yang meneruskan pelajaran pula memiliki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia, sijil profesional dari pelbagai agensi, pelbagai diploma dari maktab, ijazah dari universiti awam dan swasta dan seterusnya.

Ini berlaku disebabkan sistem pendidikan negara yang membolehkan rakyat bersekolah sehingga Tingkatan Lima dan menduduki peperiksaan SPM serta peperiksaan setaraf dengannya.

Peluang belajar luas

Bagi yang hanya menamatkan SPM, mereka mengisi pelbagai jawatan berpangkat rendah di pelbagai kementerian, jabatan, syarikat dan sebagainya.

Sudah jarang didengar rakyat negara ini yang hanya berkelulusan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) atau Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Setelah mereka dinilai pada peperiksaan SRP atau PMR ketika di Tingkatan Tiga, mereka naik ke Tingkatan Empat secara automatik, kecuali segelintir yang terpaksa berhenti atas pelbagai alasan. Sebelum itu, mereka yang gagal SRP terpaksa berhenti sekolah.

Hari ini, tidak ada lagi jawatan yang menawarkan pekerjaan bagi mereka yang berkelulusan Tahun Enam atau SRP. Untuk menjadi anggota tentera dan polis, setiap calon mesti mempunyai SPM dan syarat lain yang ditetapkan.

Lima puluh atau 60 tahun lalu, mereka yang ingin menjadi rekrut dalam pasukan tentera atau polis hanya perlu mempunyai sijil tamat persekolahan sehingga Tahun Enam sahaja.

Ketika itu, ramai anak muda diperlukan untuk mempertahankan negara daripada ancaman komunis. Hari ini, sebahagian pekerja yang berpencen pada usia 60 tahun dan mereka yang akan berpencen adalah dalam kalangan berkelulusan minimum 60 tahun.

Kebanyakan ibu yang berada pada usia yang sama, sama ada bekerja atau menjadi suri rumah sepenuh masa juga adalah mereka yang berpendidikan minimum SPM.

Tanyalah kelulusan setiap pemandu teksi, jururawat, posmen, pembantu kesihatan, operator kilang, peneroka tanah rancangan, petani, peniaga burger dan sebagainya, ramai mereka mempunyai SPM atau setidak-tidaknya pernah bersekolah hingga Tingkatan Lima.

Jika tidak meneruskan pelajaran di pelbagai institusi kemahiran yang disediakan oleh Kementerian Belia dan Sukan, MARA dan sebagainya, mereka memohon pekerjaan yang memerlukan kelayakan SPM.

Mengurus rakyat yang berpendidikan di sesebuah negara adalah lebih mudah daripada menguruskan rakyat yang berpendidikan rendah.

Mereka mempunyai pemikiran yang lebih terbuka. Jika suatu masa dahulu, untuk menggalakkan rakyat khasnya petani bertukar cara membajak sawah daripada menggunakan tenaga kerbau kepada jentera Kubota, hari ini perubahan seperti itu lebih mudah dilaksanakan.

Dahulu, agak sukar untuk meyakinkan rakyat supaya pergi ke hospital dan jangan terlalu bergantung kepada bomoh, tetapi hari ini keadaan sudah jauh berubah.

Bagaimanapun, jika mengambil kira aspek lain, mengurus rakyat berpendidikan juga bukan mudah kerana mereka mempunyai idea dan pandangan yang lebih terbuka.

Mereka adalah golongan yang tidak menerima sebarang idea atau sasaran membuta tuli kerana mereka mampu menilai antara batu dengan permata.
Mior Kamarul Shahid Berita Harian Kolumnis KHAMIS, 28 JANUARI 2016 @ 7:00 AM

Rahsia panjang umur

Kathmandu: Seorang wanita berusia 112 tahun mendakwa umurnya panjang kerana dia menghisap rokok.

Batuli Lamichhane yang dilahirkan pada Mac 1903 mengaku menghisap 30 batang rokok sehari sejak 95 tahun lalu.

Tambahnya, tabiat itu bermula ketika dia berusia 17 tahun dan ia membantunya hidup lebih lama berbanding penduduk lain di kampungnya, termasuk anaknya.

Katanya: “Saya tidak peduli berapa usia saya, tetapi saya sangat tua. Saya sudah menyaksikan banyak perkara sepanjang hidup saya.”

Biarpun mencecah usia 112 tahun, Batuli tidak putus-putus merokok - hingga 30 batang sehari.


Batuli Lamichhane

“Saya merokok sejak 95 tahun lalu. Merokok tidak salah,” katanya.

Bagaimanapun, dia menasihatkan supaya tidak menghisap rokok yang dibuat secara komersial, sebaliknya mencadangkan rokok buatan tempatan yang dikenali sebagai beedi, tembakau yang dibungkus dalam daun tendu.

Suaminya meninggalkannya 80 tahun lalu selepas berhijrah ke India untuk mencari kerja.

Anak sulungnya pula berusia 85 tahun. Empat anaknya yang lain sudah meninggal dunia dan dia turut mempunyai beberapa cicit.

Percakapan Batuli kebanyakannya tidak jelas, namun cicitnya memberitahu, neneknya mampu melakukan kerja harian sendiri.

Dia kini hidup atas derma yang disumbangkan oleh kuil Hindu di situ.

Batuli percaya ada rahsia tertentu untuk hidup panjang.

“Orang zaman moden berdepan terlalu banyak tekanan. Mereka yang tidak mahu bekerja atau hidup menyendiri diri pada usia tua tidak akan hidup lama. Untuk itu, anda perlu aktif dan bebas daripada tekanan,” katanya.