January 29th, 2016

PBS: Sudah-sudahlah pandang ke belakang

28 JANUARI — Kementerian Pendidikan baru-baru ini mengumumkan hasratnya untuk menggantikan sistem peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diambil oleh murid Tahun Enam kepada sistem yang kurang berasaskan peperiksaan semata-mata; kemungkinan suatu sistem pentaksiran yang berakhir dengan Penilaian Tingkatan Tiga (PT3) ialah idea mereka.

Terdahulu, Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dirancang untuk menggantikan sepenuhnya sistem sebelum ini yang terlalu berorientasikan peperiksaan. Sudah tentu ketika itu niatnya ialah mentransformasi pendidikan Malaysia ke arah yang lebih berkualiti.

Kita telah serik dengan pendidikan yang menghasilkan robot menghafal buku teks bulat-bulat.

Kita telah puas dengan sistem yang menyebabkan ramai yang membolehkan sesetengah pihak oportunis murahan yang hanya belajar demi memenuhi apa yang dijangkakan bakal keluar (atau soalan “spot”)  dalam peperiksaan awam saban tahun.

Namun malangnya, walaupun sistemnya memberikan peluang kepada guru menjadikan pengajaran dan pembelajaran lebih berpusatkan bilik darjah dan kurang berpusatkan peperiksaan awam mahupun Putrajaya, guru-guru dilihat belum bersedia dengan penurunan sistem baharu ini yang dilihat agak tergesa-gesa.

Selain itu, kekangan-kekangan serius lain seperti nisbah guru kepada murid yang kurang sihat dan kekurangan fasiliti dan kelemahan sambungan internet di luar bandar yang menyukarkan para pendidik mengemas kini perkembangan dan penilaian semasa murid-murid mereka dalam talian.

Apa matlamat akhir yang ingin dicapai?

Ditambahkan semua sekali, PBS yang begitu bermasalah dari guru yang tidak bersedia sehinggalah sekecil-kecil masalah fasiliti, akhirnya PT3 menjadi kompromi dalam masa yang sama menjadi platform “soft landing” untuk peralihan pelaksanaan PBS sepenuhnya daripada sistem peperiksaan awam akhir semata-mata, Penilaian Menengah Rendah (PMR) khususnya bagi Tingkatan Tiga sementara SPM tetap akan dikekalkan sebagai suatu bentuk peperiksaan awam dan akhir yang tunggal untuk peringkat menengah.

Sungguhpun kompromi dicapai, hal ini tidak bermaksud masalah ini selesai sepenuhnya, dalam proses perancangan dan transformasi pendidikan yang sentiasa dicuba-cuba oleh pihak kerajaan, anak-anak kita kekal menjadi “mangsa eksperimen.

Lebih malang lagi, kita hanya perasan atau menganggap ini semua salah kerajaan; para pendidik dan ibu bapa seolah-olah tiada saham dalam “perjudian” ini.

Benar, kerajaan tidak menyediakan ruang buat para pendidik bersedia untuk menghadapi suasana baharu ini. Tetapi ini tidak bermakna  sistem terdahulu adalah lagi bagus sehingga kita begitu benar mahu meromantisasi sistem lama itu.

Tidakkah kita berasa pelik apabila kita memberikan alasan “tidak ada standard” yang boleh digunakan untuk PBS apabila niat sistem ini adalah untuk memberi lebih autonomi kepada guru dan murid untuk mengajar dan belajar tanpa cengkaman pemikiran “berapa A yang perlu aku dapat untuk peperiksaan tahun ini?” atau “berapa ramai murid sekolah aku perlu dapat semua A supaya sekolah aku jadi nombor satu negeri atau kebangsaan?”.

Sememangnya hak ibu bapa itu sendiri mendapatkan pendidikan terbaik buat anak-anak mereka dan hak anak itu sendiri mendapat pendidikan terbaik untuk pembangunan diri mereka.

Tetapi adakah “melarikan” anak anda suatu solusi terbaik bagi menyelesaikan masalah pendidikan yang terlalu berasaskan peperiksaan ini? Adakah pendidikan berbentuk seperti Cambridge O-Level dan A-Level ini mampu menyelesaikan masalah sistem yang terlalu berorientasikan peperiksaan sedangkan SPM dan STPM dahulunya sendiri merupakan suatu adaptasi pendidikan nasional berdasarkan sistem ini?

Benar, setiap kali memperkenalkan dasar baharu dalam pendidikan, kerajaan seolah-olah sentiasa tidak bersedia dalam melaksanakannya dan hampir sentiasa tidak menjalankan analisis keberkesanan jangka panjang.

Namun hal ini tidak sepatutnya menjadi alasan untuk kita serta merta berkata tidak apabila kerajaan cuba mempertimbang menghapus UPSR untuk sistem PBS yang hakikatnya lebih baik daripada sistem yang terlalu berorientasikan peperiksaan.

Kali ini, kerajaan sepatutnya memberi lebih peluang kepada para pendidik dan ibu bapa serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili mereka untuk mereka meluahkan kekangan mereka dalam melaksanakan sistem ini.

Pihak pendidik dan penjaga juga harus lebih memberi peluang untuk sistem baharu yang lebih memberi kemenangan pada pendidikan – bukan sekadar prestasi peperiksaan dan sekolah semata-mata – agar pendidikan kita benar-benar mampu diangkat tarafnya setanding pendidikan negara maju lain dan bukan sekadar retorik sahaja.

Dalam jangka panjang, peralihan kepada pendidikan berpusatkan bilik darjah sepenuhnya ini akan melahirkan modal insan yang lebih tinggi kebolehpasarannya serta tidak lagi melahirkan mahasiswa robot apabila mereka meningkat ke alam pengajian tinggi atau pekerjaan yang lebih mencabar dan tidak terjangka; bukan seperti peperiksaan awam tahunan yang boleh dijangka apa soalannya berdasarkan soalan-soalan percubaan setiap negeri.

Kerajaan juga perlu memperkuatkan usaha bagi meningkatkan prasarana dan fasiliti yang membolehkan sistem PBS sepenuhnya berjalan dengan lancar dan tidak pula menjadi bebanan kepada pendidik sekarang.

Dalam masa guru amat terbeban dengan kerja mengemas kini pencapaian semasa murid mereka, ramai graduan bidang pendidikan masih menganggur tetapi nisbah guru kepada murid dalam bilik darjah masih tidak sihat.

Maka inilah masanya kerajaan memikir mekanisme mengambil graduan pendidikan menganggur ini sebanyak mungkin untuk bekerja agar sistem PBS ini sendiri dapat diperkuat selain akhirnya meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran dan mengurangkan kadar pengangguran graduan pendidikan.

Ayuh, usahalah memandang ke belakang. Mari terus mentransformasi pendidikan kita demi masa depan anak-anak kita dan demi negara yang terus progresif!   *— Wan Salman Wan Sallam ialah Timbalan Pengerusi Ikram Siswa Pandan Indah.The Malay Mail Online Projek MMO:Pendapat Thursday January 28, 2016 04:34 PM GMT+8