February 11th, 2016

Isu defisit keyakinan cubaan jejas imej Malaysia

DI negara ini, Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Peguam Negara (AG), Tan Sri Mohamed Apandi Ali, untuk membuat keputusan menurut budi bicaranya. Namun, media sosial, akhbar luar negara, pembangkang mahupun orang perseorangan terus menimbulkan pelbagai tohmahan dan spekulasi, malah memperlekeh integriti dan kredibiliti AG.

Ini khususnya selepas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menunjukkan dana yang didakwa dimasukkan dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, datangnya daripada keluarga Diraja Arab Saudi sebagai 'derma' disusuli keputusan Apandi bahawa Najib tidak melakukan apa-apa kesalahan.

Akhbar United Kingdom, Financial Times (FT), menerusi artikel baru-baru ini bertajuk The threat Najib poses to Malaysia's reputation dengan mendakwa Malaysia dijangka menghadapi 'defisit keyakinan' dalam kalangan rakyat kerana kononnya AG melepaskan Perdana Menteri daripada tuduhan dana 1MDB dimasukkan dalam akaun peribadi beliau.

Laporan itu juga mendakwa bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hampir mengalahkan kerajaan pimpinan Najib dalam Pilihan Raya Umum Ke-13, selain sokongan warga bukan Melayu terhadap kerajaan kian merosot.

Jadi, apakah benar wujud 'defisit keyakinan' seperti dilaporkan oleh FT sedangkan Malaysia adalah antara ekonomi dunia yang mencatat prestasi terbaik bagi tempoh lima tahun berturut-turut?

Selain itu, tiga firma penarafan dunia seperti Standard & Poors, Moody's Investors Services dan Fitch Ratings, sepakat melaporkan bahawa Malaysia mempunyai asas ekonomi kukuh dan tidak menghadapi sebarang krisis walaupun berdepan persekitaran ekonomi global mencabar seperti yang dihadapi banyak negara lain.

IMF beri nilaian positif

Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) turut memberi penilaian positif dalam portalnya bertajuk Favourable Prospects For Malaysia's Diversified Economy berdasarkan pertemuan dan kajian ahli ekonomi IMF dalam kalangan pegawai kanan kerajaan Malaysia, Bank Negara, wakil komuniti perdagangan dan perniagaan, think-tank dan ahli akademik di Kuala Lumpur.

IMF menyatakan, After a year of very strong growth of 6 percent, lower energy export prices in 2015 will likely contribute to growth moderating to a still impressive rate of close to 5 percent. IMF mengakui, ekonomi mikro dan kewangan Malaysia pada landasan yang kukuh dan stabil.

Kerajaan dengan dasar strategik telah mengurus kewangan untuk menghadapi pelbagai cabaran seperti masalah kejatuhan harga komoditi dan minyak dalam pasaran dunia, kekurangan permintaan dunia, implikasi ekonomi China, aliran pengeluaran modal dan pelbagai persepsi terhadap politik dalam negeri (media@imf.org).

Ini bermakna, IMF menjangka, Malaysia mampu capai matlamat mengukuhkan struktur ekonomi supaya dapat memastikan pertumbuhan ekonomi lebih 4.4 peratus pada 2016.

Petunjuk ekonomi lain seperti prestasi kadar inflasi, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), GDP didapati amat memberangsangkan.

Pendapatan perkapita meningkat kepada RM33,385. Pelaburan langsung asing (FDI) terus meningkat daripada RM31.118 bilion pada 2012 kepada RM38.8 bilion pada 2013 dan seterusnya kepada RM39.6 bilion pada 2014.

Ekonomi negara kukuh

Kadar defisit fiskal berkurang daripada 6.7 peratus pada tahun 2009 kepada 5.3 peratus pada tahun 2010, 4.7 peratus pada tahun 2011, 4.3 peratus pada 2012, 3.8 peratus pada 2013, 3.4 peratus pada 2014 hingga 3.2 peratus pada 2015.

Negara yang defisitnya sekitar empat peratus atau kurang adalah sebuah negara yang ekonominya kukuh dan selamat.

Rizab antarabangsa pula kekal pada RM418 bilion pada 2015. Selain itu, 1.8 juta peluang pekerjaan diwujudkan, kadar pengangguran dikurangkan kepada 0.6 peratus berbanding 3.8 peratus pada tahun 2009.

Kadar kemiskinan pula dikurangkan kepada 1.7 peratus malah kemiskinan tegar telah hampir sifar. Bank Pembangunan Asia (ADB) mengumumkan, Malaysia mencatat penurunan 55.3 peratus bagi peratusan penduduk di bawah garis kemiskinan yang juga penurunan terbesar dalam kalangan negara ASEAN.

Malah, pendapatan purata bulanan atau keluarga juga semakin meningkat, iaitu daripada RM2,007 sebulan pada 2013 kepada RM 2,300 sebulan pada 2015.

Berdasarkan statistik prestasi ekonomi negara, laporan kononnya rakyat Malaysia menghadapi defisit keyakinan terhadap kerajaan tidak timbul, malah tidak masuk akal berdasarkan kejayaan pelan transformasi ekonomi (ETP), kerajaan (GTP) dan politik (PTP) yang diperkenalkan kerajaan Najib.

Pada hemat saya, rakyat tanpa mengira fahaman politik, perlu pertahan kepemimpinan negara yang jadi sasaran tuduhan liar yang jelas didorong meraih keuntungan juga dari segi wang ringgit dengan menjalankan propaganda pembohongan, sama ada media baharu atau lama untuk membantu kumpulan tertentu mencapai agenda politik mereka dengan menggunakan isu defisit keyakinan yang turut bertujuan menjejaskan imej negara.

M Periasamy Berita Harian Kolumnis Selasa  9 Februari 2016 @ 6:47 AM

Rukun Negara sebagai asas bina jati diri bangsa

Ada rungutan bahawa generasi muda kini umumnya kurang memiliki perwatakan nasional yang dapat mempamerkan keperibadian mereka sebagai warganegara Malaysia, baik ketika berada di dalam mahupun di luar negara, melalui identiti nasional kita yang dapat diserlahkan dengan cepat lagi mudah.

Apabila perkara sebegini berlaku, ia tidak dapat lari daripada keperluan meneliti kembali program tatanegara kita, sama ada dalam bidang pendidikan atau lain-lain.

Sehubungan ini, Rukun Negara yang mula diperkenal pada 31 Ogos 1970, sebagai peranti sosiobudaya mengenai kehidupan rakyat Malaysia yang berkongsi sejarah negara, tradisi dan nilai timur sepunya, bahasa kebangsaan dan aspirasi yang sama, tidak pun dimanfaatkan sepenuhnya.

Ia lebih banyak dihafal untuk mengingati sejumlah prinsip di dalamnya, tidak pernah dilaksanakan dalam bentuk serius melalui penghayatan yang rinci untuk menonjolkan bukan sahaja kepentingannya, tetapi kemuliaannya dalam pembentukan negara bangsa kita.


Perwatakan nasional

Masih tidak terlambat langsung untuk kita mengangkatnya semula untuk digemblengkan bagi tujuan pemupukan perwatakan nasional dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya generasi muda.

Melalui Rukun Negara ini, dengan menggunakan pelbagai cara dan bentuk hasil inovasi dan kreativiti kita, satu pemikiran dan kelakuan sepunya diyakini dapat diwujudkan untuk memperlihat unsur perkongsian perasaan kenegaraan yang sama oleh seluruh rakyat Malaysia.

Sebenarnya pemikiran dan kelakuan ini sudah pun lama tercetus dalam Rukun Negara, iaitu dalam bentuk minat dan sikap, kehendak dan kecenderungan, pandangan dan gagasan, dorongan dan panduan, serta keyakinan dan aspirasi yang perlu dikongsi bersama rakyat Malaysia.

Semua ini boleh dirujuk dengan cepat lagi nyata pada lima prinsipnya untuk diterapkan dalam semua aspek kehidupan segenap rakyat Malaysia, bukan sahaja sebagai panduan asas pembentukan negara bangsa kita, tetapi juga selaku bimbingan sahsiah unggul yang perlu ada pada mereka.

Dengan kata lain, kita menggunakan Rukun Negara untuk mempamerkan peribadi kita yang bukan sahaja berhemah dari segi susilanya, tetapi juga yang unik kerana berjaya mendukung asas kenegaraan yang dipercayai bersama oleh semua etnisiti di tiga wilayah, iaitu Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Dengan adanya prinsip pertama, iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan, sifat yang dianjurkan adalah rakyat Malaysia yang dibekalkan panduan dan nilai melalui agama masing-masing, bukan sahaja membolehkan mereka membezakan kebaikan dengan keburukan.

Malah berjaya mempererat solidariti sosial antara rakyat yang berlainan kepercayaan seperti yang diperintahkan setiap agama.

Prinsip kedua, iaitu Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, menganjurkan patriotisme, khususnya melalui perasaan keterikatan kuat dan kecintaan abadi kepada negara dalam konsep tanah air.

Dengan ini, kita bukan sahaja berkongsi destini yang bersama, tetapi juga kesediaan semua rakyat tanpa mengira keturunan untuk mempertahan negara ini.


Kontrak secara bersama

Keluhuran Perlembagaan yang menjadi prinsip ketiga mengajukan kemuliaan kanun tertinggi negara, yang berjaya menggarap perjanjian antara kaum ketika kemerdekaan ke dalam pelbagai fasal.

Ianya bukan sahaja adalah hak dan keistimewaan bersama, tetapi juga kontrak yang perlu dilangsai bersama-sama dengan penuh tanggungjawab dan keikhlasan.

Kedaulatan Undang-Undang selaku prinsip keempat menunjukkan keperluan semua pihak tanpa mengira kedudukan, untuk bukan sahaja mematuhi perundangan yang digubal, tetapi juga menerima kewibawaannya sekali.

Dengan ini, rakyat dikehendaki mematuhi dan menghormati undang-undang negara pada setiap masa.

Prinsip kelima, iaitu Kesopanan dan Kesusilaan, mencuarkan sikap saling menghormati sesama kita, selain keperluan rakyat memiliki kelakuan yang baik.

Sudah tentu, ini akan mempererat perpaduan di samping memperlihat pengamalan tradisi dan nilai kita bersama sebagai budaya nasional.

Melalui semua prinsip ini, pasti satu sikap positif mengenai perwatakan nasional akan terbentuk dalam kalangan semua rakyat.

Kehidupan etnik berlainan dalam tiga wilayah yang diikat sebagai satu yang dipunyai bersama, bersandar kepada pemahaman bersama tentang sejarah dan tradisi negara serta pembabitan bersekali dalam semua sistem negara.

Sehubungan ini, Rukun Negara yang dimanfaatkan untuk pembentukan perwatakan nasional ini hendaklah dirancangkan dengan penuh hemat sebagai kepercayaan negara, khususnya dalam bidang pendidikan dan bukannya dibiarkan difahami sendiri oleh rakyat, khususnya generasi muda untuk diamalkan dalam kehidupan harian mereka.

Sampai bila hendak harap pekerja asing? Timbang dengan sewajarnya keperluan 1.5j pekerja Bangladesh

Timbang dengan sewajarnya keperluan 1.5j pekerja Bangladesh

TERKEJUT saya apabila membaca berita bahawa kerajaan Bangladesh telah meluluskan draf perjanjian persefahaman (MoU) berhubung penghantaran sebanyak 1.5 juta rakyatnya untuk bekerja di Malaysia.

Masakan tidak, saya yakin jumlah pekerja asing di negara kita sudah terlalu ramai hingga dikatakan sudah mencecah antara tiga hingga lima juta orang.


Apakah kita masih tidak mahu ambil iktibar dan lupa tentang satu laporan yang pernah dibentangkan satu ketika dahulu yang menyatakan hampir 90 peratus tenaga kerja asing menguasai peluang pekerjaan di sektor pertanian dan pembinaan di negara kita. GAMBAR HIASAN.

Malah dalam satu berita yang pernah disiarkan pada 12 November 2014 di Utusan Malaysia, Kementerian Sumber Manusia menganggarkan jumlah pekerja asing di Malaysia adalah sebanyak 6.7 juta dalam pelbagai sektor.

Menterinya, Datuk Seri Richard Riot Jaem dalam siaran berita tersebut memaklumkan daripada jumlah tersebut didapati hanya 2.1 juta pekerja asing mempunyai permit manakala selebihnya memasuki negara ini secara haram.

Saya yakin anggaran jumlah berkenaan masih tidak berubah sehingga sekarang walaupun dinyatakan lebih setahun yang lalu. Jika ada perubahan sekalipun disebabkan ada program pemutihan atau pengusiran ke negara asal jumlahnya tidak jauh berbeza.

Sebagai rakyat Malaysia saya kira kemasukan 1.5 juga lagi pekerja Bangladesh ke negara kita hanya mengundang banyak masalah dari segi sosial dan tidak terkecuali ekonomi.

Kita sendiri banyak mendengar isu sosial yang timbul antaranya kisah-kisah percintaan wanita tempatan dengan ‘mat bangla’ kerana terpengaruh dengan filem hindi yang akhirnya mengundang seribu satu penderitaan.

Saya difahamkan pada masa ini terdapat lebih 300,000 rakyat Bangladesh yang bekerja secara sah di negara kita khususnya dalam sektor perladangan tetapi banyak pihak percaya jumlahnya lebih daripada itu jika dicampurkan dengan mereka yang tiada permit.

Kerajaan dalam hal ini perlu membuat pertimbangan sewajarnya. Tidak salah untuk kita mendapatkan pekerja asing terutama sektor-sektor yang kurang diminati oleh rakyat tempatan antaranya pembinaan dan perladangan tetapi biarlah berpada-pada.

Saya tidak nafikan keperluan kita terhadap penggunaan pekerja-pekerja asing dalam sektor-sektor tertentu namun jumlah 1.5 juta itu bagi saya terlalu besar.

Bayangkan dengan jumlah sebanyak itu akan pasti pertambahan populasi pekerja asing di negara kita akan meningkat secara mendadak.

Saya amat berharap kerajaan mempertimbangkan dari segala sudut sebelum menerima pekerja Bangladesh sebanyak itu walaupun kerajaan negara tersebut telah meluluskannya. Jika ada keperluan sekalipun angkanya hendaklah munasabah. Haikal Kajang Selangor Utusan Malaysia Rencana 11 Februari 2016 12:09 AM

Sampai bila hendak harap pekerja asing?


BARU-BARU ini pihak kerajaan memutuskan untuk membuat penyusunan semula kadar levi pekerja asing di negara ini. Kadar baharu itu menetapkan mereka yang berada di sektor pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan dike-
nakan bayaran RM2,500 dan yang bekerja di sektor ladang dan pertanian pula dikenakan RM1,500 bagi setiap pekerja. Secara umumnya pelaksanaan kadar ini dijangka memberi pendapatan tambahan RM2.5 bilion kepada negara.

Sejak pengumuman kadar baharu ini pihak majikan mula menyuarakan rasa tidak puas hati kerana dikatakan kadar ini agak tinggi dan membebankan majikan. Antaranya, Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) yang mahukan kerajaan menarik balik pelaksanaan kenaikan kadar levi baharu untuk pekerja asing khususnya dalam sektor pembinaan kerana dikatakan kenaikan itu membebankan dan akan menjejaskan pelaksanaan sesuatu projek pembangunan, selain menyebabkan peningkatan kos operasi.

Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) juga dilaporkan menolak langkah kerajaan menaikkan kadar levi pekerja asing daripada RM1,250 kepada RM2,500 setahun dan mahu keputusan itu ditarik balik. Pertubuhan itu menganggap kadar itu terlalu membebankan terutama ketika sektor pembuatan berhadapan situasi ekonomi mencabar dan peningkatan kos operasi.

Walaupun secara prinsipnya kita nampak rungutan pihak majikan ada asas kukuh terutamanya pada ketika keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan dan mungkin kerajaan boleh mempertimbangkan semula kadar kenaikan itu, namun dalam hal ini penulis berpandangan inilah masa terbaik untuk kita mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing seterusnya membuka ruang dan peluang kepada pekerja tempatan. Sampai bila kita hendak bergantung harap kepada pekerja asing ini?

Desakan dari pihak majikan yang mahukan kerajaan mengurangkan kadar levi atas alasan dikhuatiri akan mewujudkan situasi di mana Malaysia menjadi destinasi kurang menarik untuk pekerja asing sekali gus mencetuskan masalah yang serius kekurangan pekerja dalam bidang yang memerlukan tenaga mahir seperti pembinaan, pengilangan dan perladangan wajar membuka mata kita semua.

Ini membuktikan betapa majikan kita selama ini terlalu bergantung harap kepada tenaga kerja luar berbanding pekerja tempatan. Apakah kita masih tidak mahu ambil iktibar dan lupa tentang satu laporan yang pernah dibentangkan satu ketika dahulu yang menyatakan hampir 90 peratus tenaga kerja asing menguasai peluang pekerjaan di sektor pertanian dan pembinaan di negara kita. Apakah kita mahu membiarkan perkara ini berterusan?

Hakikatnya kita perlu melihat isu ini dari perspektif yang lebih positif dan demi kebaikan negara jangka masa panjang. Sudah tiba masanya kita menilai semula kemasukan beramai-ramai pekerja asing ke negara ini dalam semua sektor. Malah baru-baru ini juga didedahkan ketika ini ada dua juta pekerja asing tanpa dokumen di negara ini. Sewajarnya kita perlu mengambil peluang ini untuk secara perlahan-lahan mengurangkan dan seterus-nya menghentikan sepenuhnya kemasukan pekerja asing.

Persoalan klise yang sering diaju-kan ialah apa jadi dengan pekerja tempatan? Adakah benar segala dakwaan selama ini bahawa warga kita sememangnya tidak mahu dan tidak berminat bekerja dalam sektor yang berfokus kepada aspek 3D (difficult, dirty and dangerous) (kasar, kotor dan bahaya) yang menyediakan banyak peluang pekerjaan dan selama ini dikuasai oleh pekerja asing? Atau majikan yang sengaja menggunakan alasan ini supaya dapat meraih keuntungan yang lebih besar apabila menggaji pekerja asing dengan gaji yang lebih rendah.

Perkara ini perlu dirungkai dan dibuat kajian yang sewajarnya. Hal ini kerana apa yang pelik adalah pada hari ini masih kedengaran masalah pengangguran dan kekurangan peluang pekerjaan yang dihebahkan oleh pelbagai pihak dengan menyalahkan pihak kerajaan kononnya tidak dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan. Justeru wujud konflik yang cukup ketara. Satu pihak mendakwa pekerja tempatan tidak berminat manakala satu pihak lagi mendakwa tiada peluang pekerjaan dalam negara.

Apapun jawapannya, kita perlu terima kenyataan betapa negara ini sebenarnya mempunyai banyak peluang pekerjaan tetapi gagal direbut rakyat sendiri atas pelbagai alasan. Antara alasan klasik yang sering kali didengari adalah gaji yang rendah, tidak relevan dan sesuai dengan tahap pendidikan yang dimiliki serta kerja yang terlalu susah dan berat serta tiada standard. Jika kita terus beralasan seperti ini kita khuatir satu hari kelak 100 peratus semua peluang pekerjaan dalam semua sektor di negara ini akan dikuasai sepenuhnya oleh orang luar.

Baru-baru ini penulis terbaca satu laporan dalam akhbar mengatakan lebih 19,000 calon yang kebanyakannya penuntut lepasan universiti atau kolej sanggup memohon pekerjaan sebagai tukang sapu sampah di sebuah daerah di India walaupun kerja itu menawarkan gaji rendah iaitu sekitar 17,000 rupee (RM1,075) sebulan. Dilaporkan mereka bukan saja tidak memilih pekerjaan malah ribuan graduan berebut untuk mendapatkan pekerjaan tersebut memandangkan hanya terdapat 114 kekosongan sebagai tukang sapu. Ini kerana kadar pengangguran yang sangat tinggi menyebabkan lepas universiti dan kolej tidak mempunyai pilihan untuk mendapat pekerjaan yang lebih baik.

Rakyat kita wajar mengambil iktibar dengan situasi pengangguran global seperti ini. Kita akui pada hari ini kita sedang berhadapan dengan zaman ketidaktentuan ekonomi yang agak serius di samping kenaikan kos sara hidup yang cukup membebankan. Sudah mula kedengaran beberapa syarikat korporat yang besar kemungkinan akan mula berhentikan sejumlah pekerja mereka sebagai langkah penjimatan.

Maka kita nasihatkan agar masyarakat buang jauh-jauh sikap memilih, buruk sangka dan persepsi negatif tentang kerja-kerja berat atau yang dikategorikan sebagai 3D supaya dapat merebut peluang kerjaya yang disediakan oleh sektor berkaitan.

Ambillah contoh dari negara maju seperti Jepun dan Korea yang boleh bangun dari kehancuran dan membina empayar ekonomi yang hebat dengan bantuan dan kudrat rakyat mereka sendiri tanpa mengharapkan tenaga kerja dari luar. Justeru diharapkan agar semua pihak yang terlibat tidak hanya melihat kepada aspek negatif melalui kenaikan kadar levi ini semata-mata sebaliknya fokuslah kepada sisi positif yang boleh membantu membangunkan rakyat dan negara pada masa hadapan.

Humour will get us through

FIRST of all, let me wish everybody Gong Xi Fa Cai! May the Year of the Monkey be one of prosperity and happiness, despite the depressing circumstances facing us now.

What depressing circumstances? Well, the economy is hardly what anyone would call dynamic. I know many retailers and businesses are saying that things have really slowed down, even during the festive seasons.

Things are simply more expensive to import, what with our ringgit in the doldrums. The Goods and Services Tax (GST) hasn’t helped, of course. And virtually nobody was fooled by the 3% reduction in Employees Provident Fund contributions.

What is the point of having that little bit more money now when it is going to be GST’d every time you spend it? Better to save it for old age and earn some interest on it.

Then, there is just the state of things. We’re now facing a Government which literally thinks that, one, it can do what it wants with impunity and, two, that we are all fools who will believe anything it says.

If you say something it doesn’t like, here’s what will happen to you: if you’re not a well-connected person, they’ll charge you with all sorts of crazy things, including for saying things within your professional capacity, drawing cartoons or dropping balloons. (You have to wonder about a government that is scared of cartoons and balloons.)

If you’re a well-connected person, your way out may be well lubricated with lots of monetary inducements. Proof of this is that the first act of the new leader is to ask his boss for money, which he gets instantly. (You also have to wonder about people who think they can always buy support.)

Then, you get the endless stream of untruths about a supposed very big gift. I decided to read up on Arab gift-giving customs and learnt a few things. It’s a very delicate issue.

For one thing, if you’re a subordinate, you simply do not give gifts to someone ranked higher than you. Royalty is presumably ranked way above any commoners regardless of whatever position they may have at home.

Subordinates may of course be given gifts but the value of the gift has to be carefully calibrated: not too expensive and not too cheap either. One interesting fact: if you’re a man, you should never give gifts to an Arab man’s wife or even ask about her. I wonder if it works the other way round.

But what does cross many cultures, especially Middle Eastern and Asian ones, is that you should never return a gift. It would be considered grossly insulting. If it is inappropriate, then the recipient should return it immediately with a polite note explaining why.

You certainly don’t wait for a while before returning it, and that too while retaining some of it. I can’t think of a single culture where this would be considered polite. Perhaps some cultural anthropologists can enlighten us.

Perhaps this is why there has been some consternation among the alleged gift-givers about the return of this gift. They must be wondering: “Does he mean to insult us?”

They seem pretty sure it cannot have been a gift but rather an investment because it would make more sense. I think there is a book to be written called Saving Face for Dummies.

Meanwhile back home, someone has the awful job of having to explain all this and is truly making a hash of it.

“I know but I can’t tell you” is thundered in the same breath as “I don’t know why they gave it. It’s personal!”. All the while, papers are waved which should have been under lock and key.

And as all sorts of international authorities are piping up about the inappropriateness of all this, some bright spark tries to lecture them about not interfering in our internal affairs while forgetting that if we put money into overseas accounts, it is no longer internal. (Some people should really get out more.)

And then there are people who think the world is as gullible as us when they can blithely say that they received gigantic commissions for doing “a job”, yet feel the need to reinvent themselves as a scholar. Isn’t the very concept of gigantic commissions problematic?

How do we keep our sanity amidst all this monkey business? Why, with our unique Malaysian sense of humour, of course!

It’s so easy to know who’s on the right side of things: it’s those people who draw and write the wittiest responses to all the nonsense. There is virtually no way to humorously defend corruption, after all.

Oh, I forgot: it’s “let’s move on”.

Marina Mahathir The STAR Home Opinion Columnists Musings Thursday, 11 February 2016

Badan pemikir perlu bebas, jujur dalam tindakan

Badan pemikir atau 'Think Tank' (TT) berupaya mempengaruhi golongan pembuat polisi, mempunyai pelbagai definisi bergantung kepada kedudukannya.

Misalnya, negara China mempunyai kira-kira 400,000 anggota TT yang disokong oleh kerajaan. India tidak terkecuali turut mempunyai bilangan ahli TT yang agak besar.

Jika budaya Anglo-Amerika menyifatkan TT sebagai kumpulan tidak berasaskan keuntungan, tidak terbabit dengan
sebarang universiti juga bebas kerana tidak terikat dengan negeri dan negara, badan pemikir di Jepun berkait dengan sektor korporat sementara mereka dikatakan mempunyai hubungan dengan dana asing di Vietnam, manakala di Amerika Latin pula ahli TT tiada kaitan dengan parti politik.

Dengan pelbagai kesimpulan diberikan, apakah bentuk TT di negara ini pula? Pemegang Kerusi Tun Hussein Onn Institut Strategik dan Kajian Antarabangsa (ISIS), Dr Jomo Kwame Sundaram, berkata TT di Malaysia adalah kacukan daripada semua itu.


Katanya, TT boleh berubah berdasarkan beberapa faktor antaranya keupayaan kewangan dan ada yang tidak mewakili kelompok terbesar sesebuah institusi, juga ada TT yang mempunyai hubungan yang agak samar-samar dengan universiti.

Buka ruang perdebatan



Jomo menyampaikan ucaptama bertajuk Cabaran Pembangunan Malaysia dan Peranan TT pada sesi Meja Bulat ISIS di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Turut serta Rastam (kiri) dan Profesor Pembangunan Antarabangsa Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya, Dr Rajah Rasiah. - Foto Saifullizan Tamadi
Ketika menyampaikan ucaptama bertajuk Cabaran Pembangunan Malaysia dan Peranan TT pada sesi Meja Bulat ISIS bertajuk 'Masa Depan TT dan Pembinaan Negara Bangsa di Malaysia,'

Jomo berkata, apa pun TT cuba untuk memperoleh atau menyediakan legitimasi kepada kumpulan tertentu selain ia membuka ruang kepada perdebatan dan membuat keputusan di samping bertindak sebagai juruaudit dan juga menyediakan pemeriksa kebenaran.

Dalam perkembangan sama, beliau menyatakan, TT juga berperanan sebagai penyokong dasar yang memberi komitmen melalui penyelidikan, namun TT seharusnya bertindak sebagai kumpulan yang berkaitan dengan rakyat dan sebagai golongan intelektual kepada rakyat, TT harus melihat diri sebagai cendekiawan organik yang memegang tanggungjawab besar.

Beliau berkata, dalam sebuah negara, Perdana Menteri mungkin mewujudkan institusi TT bagi kepentingannya, namun ia menjadi masalah apabila pemimpin berkenaan tidak lagi berkuasa menyebabkan institusi itu menjadi lemah.

Apa yang menimbulkan persoalan kemanfaatan TT terutama jika ia mempunyai hubungan tertentu dengan pihak tertentu. Justeru katanya, TT harus menjadi institusi dengan peranan yang pelbagai.

Sementara itu, pada sesi bertajuk 'Cabaran Polisi Baharu di Malaysia' yang menampilkan TT dalam pelbagai bidang antaranya ekonomi dan perdagangan; dasar luar dan pertahanan dan keselamatan, Pengarah Pengasas Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin yang membincangkan topik Perpaduan Nasional, berkata bidang ini diperkatakan sejak 45 tahun lalu, namun kita masih dalam proses mencapainya.

Katanya, dalam membina pelan induk kebangsaan berhubung perpaduan nasional, KITA mentakrif dan memikirkan semula perkara ini dan mengambil kira apa yang orang ramai faham mengenai perpaduan kerana di sebalik kepelbagaian etnik yang terdapat di negara ini, ada sesetengah perkara yang menjadi kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

Katanya, satu yang menarik kita mungkin bertikam lidah, namun segalanya seperti selesai apabila masing-masing duduk semeja menikmati teh tarik di kedai mamak dan tambahnya, dalam menyelesaikan soal perpaduan, ramai mencadangkan apa dilaksanakan di Indonesia iaitu proses asimilasi, tetapi ia bukannya model perpaduan terbaik kerana bagi Malaysia, kita lebih kepada proses integrasi.

Subjek pengajian Malaysia

Untuk tujuan itu, satu model yang dicadangkan iaitu Pengajian Malaysia untuk pelajar di institusi pengajian tinggi tempatan supaya mereka menjadi celik Malaysia dan semua orang dapat berperanan dalam soal perpaduan nasional dengan kata kuncinya adalah inklusif, jelas Shamsul Amri.

Membincangkan cabaran kepada TT dari aspek hubungan luar, Pengarah Kajian Polisi Luar dan Keselamatan ISIS, Elina Noor, berkata dalam melaksanakan polisi luar negara, Malaysia memperlihatkan kebolehan yang baik, malah dalam beberapa isu kita memberikan yang lebih baik dengan apa yang penting adalah bagaimana kita memperlihatkan diri pada peringkat antarabangsa.

Untuk itu, katanya, TT perlu tenang dan berhati-hati terutama dalam soal tampuk kuasa dengan memikirkan bagaimana hendak menguruskannya selain menunjukkan kepemimpinan seperti yang diperlihatkan sewaktu negara menjadi Pengerusi ASEAN.

Elina berkata, untuk menunjukkan Malaysia terus relevan dan mendepani cabaran terhadap isu membabitkan soal hubungan luar,

TT harus mempunyai hubungan yang baik dengan pemegang taruh terutama dalam usaha memastikan sama ada perlu atau tidak kita mempopularkan polisi hubungan luar yang dimiliki dan jika ada persetujuan, bagaimana hendak dilaksanakan supaya masyarakat tidak mudah melatah.

Sementara itu, memperkatakan soal 'Media dan Pendemokrasian,' Felo Institut Pulau Pinang, Dr Mustafa Kamal Anuar, berkata antara cabaran yang dihadapi adalah persoalan berhubung kebebasan bersuara dan melihat kepada sejarah media di negara ini, kita sudah tersilap langkah sejak awal yang boleh dikaitkan dengan zaman kolonial yang mana media menjadi wadah untuk kepentingan penjajah dalam menjamin kedudukan mereka.

Pada zaman darurat pula, wujud keperluan untuk mengawal maklumat dan selepas merdeka, bagi membangunkan negara, media berperanan membantu kerajaan ke arah itu dan selepas tragedi tahun 1969 sekali lagi media membantu kerajaan dalam mengekalkan hubungan antara kaum.

Hubungan yang baik antara media dan kerajaan berlanjutan sehingga sekarang. Menyifatkan kebebasan bersuara mutlak seperti yang dilaungkan sesetengah pihak sebenarnya tidak ada, beliau berkata, akta dibentuk berkaitan penerbitan yang menjejaskan kebebasan bersuara serta mendapatkan maklumat dan ini memberikan kesan kepada penyelidik termasuk TT untuk mendapatkan data serta maklumat berhubung perkara tertentu.

Kepelbagaian media

Begitu juga dalam soal pemilikan media dan proksi yang menyebabkan kurangnya kebebasan bersuara yang pada masa sama mengurangkan kepelbagaian dalam bidang ini di mana hujahnya, dari segi kuantiti sememangnya kita mempunyai banyak agensi media, tetapi dari segi kualiti tidak memenuhi kepelbagaian masyarakat di negara ini.

Bagaimanapun, kata Mustafa Kamal, kepelbagaian media terutama selepas episod membabitkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menyaksikan kemunculan blog serta portal berita, idea dan pandangan memerlukan satu bentuk polisi selain kepelbagaian dilihat sebagai penting supaya suara semua pihak didengari.

Menurut beliau, mengambil contoh negara Scandinavia yang memberi subsidi kepada media untuk ia dapat bertahan terutama media yang bersifat tempatan, ia membuktikan kepelbagaian itu sesuatu yang seharusnya diperhatikan.

Walau apa pun diperkatakan mereka yang terbabit dalam sesi perbincangan ini, satu yang jelas kebanyakan peserta yang terdiri daripada kalangan ahli politik, pemikir dari universiti dan juga organisasi TT mengatakan, badan pemikir perlu menjalankan penyelidikan yang bebas dan tidak terikat selain bertindak menyatakan yang benar.

Jelas mereka, jika yang terbabit dengan mana-mana kerajaan, bentangkan dapatan kajian dibuat kepada menteri atau pihak terbabit dan berterus-terang dengan mereka mengenainya.

Hati emas Cikgu Sidek

“HEY Sidek! You better go back to kampung, tanam kacang lagi baik,” herdik guru Matematik sambil membaling buku latihan ke lantai.

Dengan menahan rasa malu dan rendah diri di hadapan rakan sekelas, pelajar tingkatan dua itu memungut bukunya.

Beliau sedar asal-usul keluarga miskin dari kampung dan kelemahan menguasai subjek Matematik dan Bahasa Inggeris menyebabkan beliau sering dihina dan dimarahi.

Inilah cetusan awal Prof Datuk Dr Sidek Baba, 70, bagi membuktikan suatu hari nanti beliau akan menjadi manusia berguna.

Buku Seteguh Tekad terbitan Alaf 21 juga menceritakan kehidupan beliau sebagai Anak kelahiran Kampung Pulau, Masjid Tanah Melaka hampir keciciran pelajaran kerana kemiskinan.

Namun pertemuan Guru Besar Sekolah Umum Jeram, Ab Rahman Hashim yang berjumpa arwah bapa Sidek, Baba Maakip, telah membuka jalan untuk meneruskan pelajaran ke Sekolah Menengah Inggeris, Gajah Berang, Melaka.



Rektor UIAM, Prof Datuk Dr Zaleha Kamarudin (tengah) menyampaikan Anugerah Merdeka kepada Sidek.

Gigih timba ilmu

Sidek pernah berbasikal lebih 60 km ke sekolah menengah bila tidak mampu beli tiket bas, buku dan bayar yuran sekolah. Beliau yang dibantu arwah datuknya, Tuk Hitam dan abangnya, Ninggal dari segi kewangan, digelar 'budak petai' kerana mencari duit poket dengan menjual petai datuknya.

Selepas peperiksaan MCE dengan Gred 3, Sidek diterima melanjutkan pengajian di Maktab Perguruan Sultan Idris (kini Universiti Perguruan Sultan Idris, 1966 -1967).

Sewaktu menjadi pendidik, beliau mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia tujuh kali untuk mendapatkan sijil penuh sebelum melangkah ke menara gading.

Beliau menerima ijazah Sarjana Muda Pengajian Melayu di Universiti Melaya (UM, 1979); Diploma Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM, 1985); Sarjana Sains Pendidikan Universiti Indiana, Bloomington, Amerika Syarikat (AS, 1987); dan Doktor Pendidikan (Kajian Dasar Pendidikan), Universiti Northern Illinois, Dekalb, Illinois, AS (1991).

Pakar bidang pendidikan perbandingan ini dilantik sebagai penyelia akademik peringkat sarjana dan doktor falsafah di pelbagai universiti dalam dan luar negara, seterusnya menghasilkan lebih 1,000 kertas kerja, ceramah di lebih 20 negara, penyiaran radio, televisyen, majalah, akhbar, kaset dan CD.

"Menjadi pendidik perlu memiliki rasa kasih dan prihatin terhadap pelajar seperti anak sendiri. Perjuangan untuk memartabatkan ilmu dan berjuang membebaskan diri, keluarga, bangsa dan umat Islam agar menjadi insan terbaik, keluarga contoh dan bangsa model teladan dan umat pilihan menjadi asas perjuangan hidup," nukil Sidek dalam buku biografinya.

Kerja dakwah

Zaman kampus UM, Sidek yang menjadi pemangku Presiden Persatuan Mahasiswa Islam (PMIUM-1978), mengambil pendekatan menyantuni iaitu dakwah dan tarbiah kalangan siswa untuk menjadi pendakwah dan pemimpin masa depan.

Beliau juga sebagai Ahli Majlis Persatuan Mahasiswa (PMUM), mewujudkan forum, perbincangan, ceramah dan dialog bagi mewujudkan perhubungan dua hala terjadi dengan pemimpin dan pihak berkaitan.

“Melalui Latihan Kepimpinan Islam Universiti Malaya (Lakium), kami membina agenda jangka panjang untuk memberi kesedaran kepentingan ilmu, kefahaman Islam, dan pelaksanaan syariat.

“Dari situ, timbul kesedaran mahasiswa mendekati Islam. Siswi mula menutup aurat. Kempen beri salam dan proses dakwah secara berkala melalui ceramah dan usrah di UM turut dicontohi universiti lain seperti UKM dan UPM," katanya.

Bekas editor akhbar Mahasiswa Negara UM ini berkata, kecenderungan siswa dahulu dan sekarang dari sudut jiwa kepembangkangan tidak banyak berubah.

"Manfaatkan zaman belajar untuk mempelajari dan berkongsi. Mahasiswa kena ada idealisme dalam perjuangan tapi perlu menyantuni realiti, dalam dakwah disebut waqi’ supaya wujud keseimbangan.

Perjuangan kita perlu diperkukuh dengan ilmu dan kepakaran, barulah boleh menyumbang secara berkesan,” ujar bekas Ketua Satu Persatuan Penulis Negeri Melaka (1979-1982)

Sidek sebagai pencetus idea dan pelaksana dalam kepimpinan mahasiswa, mendapat bimbingan awal dari Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) sejak 1973.

Bermula sebagai Yang Dipertua Abim Melaka (1976-1985), Ketua Penerangan Abim Pusat (1982–1986); Setiausaha Agung Abim Pusat (1986), seterusnya Naib Presiden Abim Pusat (1992–1996).

Sewaktu belajar di luar negara, Sidek dilantik sebagai Presiden Abim Amerika Utara (1989-1990) dan bergerak aktif untuk memberi ceramah di seluruh Amerika, Kanada, England, Mesir, dan Jordan.

Antara pengalaman pahit tokoh pendidik dan pendakwah ini apabila ditahan di bawah ISA selama 16 hari bermula 21 September 1988. Namun ini tidak menghalang beliau terus berjuang ke jalan yang benar.

“Kini lebih 50 tahun, saya berdakwah. Dakwah dan kerja akademik sebati dalam hidup saya. Pendekatan saya tak suka maki hamun dan labelkan orang. Tetapi saya memfokuskan mendidik membangunkan fikrah/pemikiran untuk beri kesan penghayatan.

Alhamdulillah saya telah menulis 35 buku berkaitan Islam untuk dijadikan pedoman hidup," ujar mantan Timbalan Rektor UIAM (1994-2002) ini, yang ingin menghabiskan sisa usianya dengan berdakwah, menulis dan melakukan penyelidikan.

Budaya bodek di kampus , Bina hubungan rapat pensyarah

Budaya bodek di kampus

MEMBODEK pensyarah semata-mata mahu mencapai objektif tertentu bukanlah perkara baharu dilakukan penuntut. Ia adalah amalan kebiasaan yang sering dilakukan mahasiswa dalam memenuhi keinginan peribadi mereka sendiri.

Si kaki bodek dalam kalangan penuntut sebenarnya seorang yang panjang akal. Banyak cara yang dilakukan oleh mereka hanya kerana mahukan sesuatu. Walaupun begitu, jika bodek anda itu beretika dan kena pada caranya, mungkin anda akan dapat apa yang dimahukan sebaliknya jika mahasiswa itu membodek melampaui batas, anda akan terima nasibnya nanti.

Seperti kata Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar, Universiti Utara Malaysia, Muhamad Aiman Mohd Nahzeri, wujud seribu satu cara lain untuk menambat hati pensyarah selain menggunakan taktik bodek yang boleh dikatakan taktik bagi mereka yang terdesak.

Mahasiswa seharusnya lebih bijak dalam merangka strategi untuk mendapatkan perhatian pensyarah seterusnya keputusan yang cemerlang. Misalnya, seorang mahasiswa boleh menarik perhatian pensyarah dengan mempamerkan hasil tugasan yang berkualiti, sering terlibat dalam perbincangan ketika kuliah, menunjukkan prestasi cemerlang dalam ujian mahupun kuiz serta menunjukkan akhlak dan adab yang baik ketika bersama pensyarah. Jika mahasiswa mampu melaksanakan perkara tersebut, insya-Allah usaha keras yang dilakukan akan dikenal pasti oleh pensyarah tanpa usaha bodek yang melampau.

Katanya, banyak kaedah yang digunakan oleh kaki bodek di universiti seperti memuji pensyarah dengan puji-pujian yang berlebihan dan memberikan hadiah mahal demi menambat hati pensyarah. Malah ada juga yang sanggup mengiakan arahan atau kenyataan dari pensyarah yang dirasakan menyusahkan mahasiswa demi untuk mendekatkan diri dengan pensyarah tersebut.

Itu antara pandangan Muhamad Aiman berkenaan isu ini. Bagaimana pula dengan yang lain? Isu Kampus mendapatkan pandangan daripada mereka yang berkaitan dengan isu ini. Diharapkan ia mendapat perhatian semua penuntut pusat pengajian tinggi agar tidak menjadikan amalan suka membodek pensyarah terus melanda universiti masing-masing.


Bina hubungan rapat pensyarah

MENDENGAR perkataan ‘kaki bodek’ pasti ramai yang mempunyai persepsi agak negatif terhadap individu yang suka membodek. Isu ini biasa melibatkan bodek kepada bos, ibu bapa, rakan, pensyarah atau sesiapapun.

Kali ini saya terpanggil untuk berkongsi mengenai isu bodek kalangan penuntut kepada pensyarah mereka, dan uniknya saya akan memberi penjelasan kepada kesan positif dan negatif yang mampu membawa kepada kebaikan serta keburukan tertentu terhadap kedua-dua belah pihak.

Ada antara kita mendefinisikan bodek sebagai individu yang mengampu seseorang untuk mendapatkan apa sahaja matlamat yang dihajati. Manakala ada juga sesetengah pihak yang berpendapat bodek adalah tingkah laku atau komunikasi memanipulasi seseorang secara tidak beretika untuk mencapai kemahuan yang kurang sesuai dengan keadaan si pelaku pada ketika itu.

Pada hemat saya pula, secara umum saya nyatakan bodek sebagai kemahiran untuk membina hubungan secara sedar atau tidak untuk mempengaruhi seseorang atau untuk menunjukkan kebaikan diri sendiri dengan tujuan tertentu.



Afizul Mohammad

Senario bodek yang biasa berlaku ialah sentiasa menolong pensyarah mengangkat barang, membelikan air atau makanan kepada pensyarah, sentiasa bertanya khabar pensyarah di bilik pensyarah atau terkini melalui telefon (Facebook dan WhatsApp), mengajak pensyarah makan bersama serta sanggup membayar makanan pensyarah, menghadiahkan hadiah tertentu kepada pensyarah, memberi makanan ringan setiap kali kuliah berlangsung, dan mengajak pensyarah bermain sukan bersama.

Isu bodek kalangan penuntut terhadap pensyarah terutamanya di kampus memang banyak berlaku secara sedar atau tidak sedar. Namun kita harus ketahui dan peka bahawa keadaan ini berlaku mempunyai pelbagai sebab.

Ada sesetengah siswa sanggup membodek bagi mendapatkan bayangan kertas soalan untuk peperiksaan, dan ada bertujuan untuk mendapatkan markah yang tinggi.

Dalam masa sama, ada antara mereka sanggup untuk bodek kerana untuk mempunyai hubungan yang baik bagi jangka masa panjang. Sebagai contoh, bagi siswa yang ingin bekerja dalam dunia akademik sendiri perlu sentiasa peka untuk membina hubungan baik dengan pensyarahnya bagi memperoleh kepercayaan dan maklumat bersesuaian.

Oleh demikian, terpulanglah kepada setiap individu itu sendiri untuk melakukan bodek atas tujuan apa. Setiap yang berlaku pasti ada baik dan buruknya. Contohnya, seorang penuntut malas dan selalu tidak hadir kelas, namun sentiasa berbuat baik terhadap pensyarahnya bagi mendapatkan markah yang selesa, ini tentunya adalah budaya bodek yang negatif dan memberi kesan buruk kepada mereka sendiri.

Di masa hadapannya, mereka ini pasti akan bekerja dan tabiat ini akan berterusan iaitu bekerja sambil lewa tetapi boleh lakukan bodek untuk mendapat hasil yang baik.

Sebaliknya ia akan jadi budaya positif apabila seseorang mahasiswa lakukan bodek untuk perhubungan yang baik selama-lamanya. Seperti kita maklum, penuntut bidang kejuruteraan akan sentiasa memerlukan networking atau pendapat pensyarahnya yang sama bidang pada masa depan kelak.

Sama seperti penuntut lain dalam bidang apa sekalipun. Oleh itu sentiasa tanya diri dan sentiasa berdikari untuk mencapai sesuatu secara adil dan berhak mendapatkannya. Orang yang positif selalunya menghasilkan keputusan yang sangat positif.

Bagi pensyarah pula, tentu sekali mereka sebagai golongan terpelajar dan berpengalaman luas, tahu bagaimana untuk membezakan bodek positif dan negatif ini atau membandingkan yang mana kaca dan yang mana permata. Cuma bagi pensyarah yang masih baru berjinak dalam dunia kampus pasti akan menempuhi pelbagai cabaran yang menarik.

Suka saya kongsikan, pensyarah yang bijak akan melatih setiap mahasiswanya untuk bertindak dengan betul dan tahu di mana batasnya. Tidak salah melayan pelaku yang membodek kerana ini akan melatih siswa untuk proses mempengaruhi seseorang, namun jangan dilayan ajakan bodek negatif sehingga termakan umpan.

Berbuat baik kepada penuntut adalah amalan mulia, kerana mereka adalah masih lemah ilmunya. Oleh itu pensyarah patut berterus terang mengenai amalan bodek tidak sihat jika berlaku dan terangkan mana yang bagus dan sebaliknya.

Ayuh semua kita tukar persepsi bahawa bodek ini bagus untuk mendidik kita menjadi baik kepada semua orang. Mungkin awalannya niat tidak baik, namun setiap manusia boleh berubah.

Tingkatkan kecerdasan emosi kita sebagai pelajar yang mempunyai hubungan baik kepada semua orang apatah lagi seorang guru yang mendidik kita iaitu pensyarah. Biarlah apa orang nak kata kita bodek atau tidak, namun yang pasti kita memang ingin punyai hubungan yang terbaik kepada semua orang.

Pesanan saya kepada diri sendiri dan semua masyarakat di luar sana, sentiasa kuatkan jati diri, dan perlulah kita meningkatkan kualiti diri menjadi lebih baik dari hari ke hari. Pekakkan telinga untuk kata-kata yang menjatuhkan kita, dan bukalah hati dan minda kita kepada kata-kata yang membangunkan kita. Jadilah seperti katak yang melompat jauh ke luar kotak. Kita berhak hebat.