March 13th, 2016

Apabila kehebatan Shakespeare diragui

PADA 9 Mac lalu Universiti Birgmingham, United King­­dom dan Universiti Waseda, Jepun telah me­nandatangani perjanjian kerjasama dalam pe­nyelidikan mengenai karya-karya William Shakespeare pengarang Inggeris ternama abad ke-14. Ini adalah salah satu program akademik yang diadakan menjelang 400 tahun kematian Shakespeare pada 23 April depan. Shakespeare meninggal dunia pada 23 April 1616, sama dengan tarikh lahirnya pada 23 April 1564.

Sementara itu di tempat kelahiran Shakespeare, Stratford-upon-Avon akan diadakan World Shakespeare Congress pada 31 Julai hingga 6 Ogos depan dengan tema Creating and Recreating Shakespeare. Sepanjang empat abad, karya-karya Shakeapeare sentiasa dibahaskan oleh para sarjana di seluruh dunia. Malah karya-karya Shakespeare sendiri sudah dianggap sebahagian daripada institusi Inggeris yang gah itu.

Saya berpeluang menonton banyak karya teater Shakespeare di Kuala Lumpur sejak menyertai Utusan Melayu 32 tahun lalu. Antaranya Hamlet, A Midsummer Night’s Dream, The Merchant of Venice, Romeo and Juliet, Julius Ceaser, Macbeth, King Lear dan Othello. Aktivis teater Marzuki Ali mengadaptasi Macbeth dalam latar budaya Sarawak dengan judul Mekbeh. Namron pula mengadaptasi Julius Ceaser dalam latar semasa dengan judul Gedebe.

Watak Brutus dalam Julius Ceaser pernah menjadi popular dalam kalangan orang politik di negara ini selepas Dr. Mahathir Mohamad menyebut nama itu. Disebabkan banyak yang pertama kali mendengar nama “Brutus”, mereka pun menyerbu ke kedai buku untuk mendapatkan buku naskhah Julius Caeser. Tujuannya untuk menyelitkan nama Brutus dalam ucapannya supaya dilihat selari dengan ketua.

Baru-baru ini saya terjumpa buku A Midsummer Night’s Dream di sebuah kedai terpakai di Lebuh Ampang, Kuala Lumpur diterbitkan tahun 1965. Keadaan buku itu amat lusuh. Buku ini antara lain memuatkan lebih 3,000 perkataan asal yang digunakan semasa zaman Shakespeare.

Bagaimanapun di sebalik san­ju­­ngan dan pujian yang tinggi kepada Shakespeare, terdapat pi­hak yang sangsi adakah semua kar­­yanya ditulisnya sendiri? An­tara yang dipertikaikan ialah pen­gu­asaan bahasa Shakespeare sa­ngat kaya, tidak sepadan dengan kedudukannya sebagai rakyat biasa pada zaman itu.

Walaupun begitu, memper­ti­kai­kan keaslian karya Shakespeare bukan kontroversi murahan. Ini kontroversi akademik yang me­nuntut sandaran ilmu yang tinggi, malah hujah yang meyakinkan. Di Barat, selain mengkaji karya-karya, mengkaji kontroversi seperti ini juga adalah sebahagian daripada jurus akademik.

Sebenarnya keaslian karya-karya Shakespeare sudah diba­has­kan sejak pertengahan abad ke-19 lagi. Antara nama-nama yang dikaitkan sebagai pe­ngarang asal karya-karya Shakespeare adalah Francis Bacon, Christopher Marlowe dan juga Queen Eliza­beth I. Ketika itu wujud satu gerakan yang menamakan diri mereka sebagai “anti-Stratfordian” yang mengambil nama tempat lahir Shakespeare.

Pengaruh Shakespeare sangat hebat. Dia mempunyai pe­nyokong dan penentangnya yang cuba menulis semula sejarah yang didakwa benar. Dalam kalangan penyokong Shakespeare pula dilabelkan sebagai Orthodoks atau Stratfordians. Dalam kalangan penentang ada melabelkan diri mereka sebagai Baconians, Oxfordians atau Ruthlanders yang anti-Stratfordians. Bagi penentang, mereka mempunyai hujah yang sangat asas iaitu isi kandungan dan tema karya Shakespeare tidak mungkin dapat dihasilkan oleh orang kelas bawahan seperti Shakespeare pada zaman itu.

Hujah mereka, seorang rakyat biasa pada abad itu hanya menguasai 300 perkataan dalam perbendaharaan katanya, pemikir terbilang mempunyai 10,000 perkataan tetapi anehnya daripada karya-karyanya, Shakespeare dianggarkan mempunyai 15,000 perkataan dalam perbendaharaan kata. Ini sangat aneh bagi Shakespeare yang dibesarkan dalam keluarga biasa dan membesar di sekitar pekan Stratford-upon-Avon.

Bagaimanapun daripada beberapa nama yang disebut sebagai pengarang asal, nama Henry Neville, seorang politikus Tudor dan juga ahli diplomat yang pernah menjadi duta di Paris paling menonjol dan sangat meyakinkan. Malah Henry Neville dijadikan asas yang paling kukuh oleh dua sarjana, Brenda James dan Profesor William Rubinstein untuk menolak karya-karya hebat itu ditulis oleh Shakespeare. Hujah-hujah akademik itu dimuatkan dalam buku The Truth Will Out: Unmasking the Real Shakespeare (2005). Mereka secara sangat yakin mendakwa Henry Neville adalah pengarang asal yang berselindung di sebalik Shakespeare.

Ini bertolak daripada peristiwa terjumpanya buku catatan Neville yang tersimpan di Tower of London sekitar 1602. Peristiwa ini berlaku selepas pementasan Henry VIII yang pertama. Kalau dilihat kembali dalam karya-karya Shakespeare, sekitar dekad inilah yang menjadi latar kepada karya yang disifatkan oleh Brenda James dan William Rubinstein sebagai “Great Shakespearian Tragedies” kerana banyak karya yang menyentuh kisah yang tragis. Misteri yang tersimpan di Tower of London itu telah menimbulkan persoalan besar tentang keaslian karya Shakespeare.

Menurut buku itu, selepas Neville menjadi duta di Paris pada 1599 dia kembali ke England dia terlibat dengan konspirasi Essex bersama Richard II. Mereka melancarkan penentangan tetapi dapat dipatahkan oleh pemerintah. Akibatnya dijatuhkan hukuman mati tetapi hukuman dikurangkan dengan penahanan di Tower of London. Naskhah Hamlet yang menjulang nama Shakespeare, menurut buku ini ditulis oleh Neville semasa dalam tahanan yang ditujukan kepada rakannya Lord Southamphon. Hingga kini belum ada hujah yang menyanggah kewujudan buku catatan Neville seolah-olah menjadi kunci kepada misteri karya Shakespeare.

Tetapi harus diingat untuk mempertikaikan pengarang ternama seperti Shakespeare bukanlah satu perkara mudah. Lihatlah bagaimana peritnya seorang sarjana Belgium, Celestin Demblon yang terpaksa membaca tidak kurang 5,000 buah buku apabila dia cuba menulis kontroversi tentang keaslian karya-karya Shakespeare. Semua ini kerana mempertikaikan keaslian karya Shakespeare adalah sama dengan mempersoalkan institusi monarki Inggeris yang sangat dihormati. Institusi itu adalah sebahagian daripada milieu karya Shakespeare. - Ku Seman Ku Hussain Utusan Malaysia Rencana 13 Mac 2016 6:01 PM

Emosi, kebencian melampau

PADA Julai 2013, Mohamed Mursi, Presiden Mesir pertama yang dipilih secara demokrasi dalam sejarah republik Arab itu akhirnya digulingkan menerusi campur tangan tentera setelah berlakunya tunjuk perasaan besar-besaran dalam kalangan rakyat beberapa minggu sebelum itu.

Penulis yang berada di Kaherah bagi membuat liputan krisis politik Mesir pasca Mursi masih ingat bagaimana aktivis dan penyokong Tamarud, kumpulan yang memainkan peranan penting dalam menjatuhkan Mursi tetap bertegas bahawa tindakan mereka mengikut lunas demokrasi.


Imbas kembali gambar penunjuk perasaan antikerajaan (atas) bertembung dengan kumpulan penyokong kerajaan (bawah) di Dataran Tahrir, Kaherah pada 2 Februari 2011. Pemerintahan Hosni Mubarak jatuh pada tahun itu. Di kawasan yang sama gerakan dilakukan untuk jatuhkan Mohamed Mursi pula pada 2013.

Kumpulan ini yang turut menjayakan watak utama menjatuhkan pemerintahan Hosni Mubarak pada musim bunga 2011, memberikan hujah Mursi digulingkan berdasarkan kehendak rakyat.

Kata mereka, ini sama seperti dilakukan ke atas Mubarak, diktator yang tidak lagi diinginkan kerana mentadbir secara kuku besi tetapi tindakan itu dialu-alukan masyarakat dunia.

Memahami golongan kecanduan demokrasi akibat terlalu lama di bawah pemerintahan Mubarak yang mengamalkan "demokrasi terpimpin" membuatkan penulis hanya mengangguk dalam keadaan dahi berkerut.

Apatah lagi temu bual itu berlangsung di Dataran Tahrir, kubu kuat penyokong Tamarud yang sebenarnya agak "menyeramkan" apabila dipenuhi pelbagai golongan termasuk hipi (hippies) - 360 darjah berbeza daripada penyokong Mursi yang penuh tertib dan berpendidikan.

Selepas hampir tiga tahun peristiwa itu, penulis kembali teringat kisah di Dataran Tahrir apabila tidak semena-mena Tun Dr. Mahathir Mohamad menggerakkan satu deklarasi bagi menggulingkan Datuk Seri Najib Tun Razak bersama maestro DAP, Lim Kit Siang yang juga seteru lama beliau. Ramai geleng kepala.

Anehnya deklarasi yang mahu menggulingkan Perdana Menteri menerusi saluran di luar Perlembagaan dan pilihan raya disokong pula oleh parti-parti yang mencanang sebagai juara demokrasi dan keadilan.

Ketika diajukan perkara ini kepada Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, ayat pertama beliau: “Hakikatnya kita "rapuh" kerana berbilang kaum dan agama tetapi Perlembagaan menjadi tiang seri yang cukup mantap dan sempurna dalam memberi garis panduan haluan negara bernama Malaysia.”

Sebab itu, tegas pemimpin muda ini, sebarang usaha yang tidak menghormati kerangka Perlembagaan sebagai contoh melakukan proses menjatuhkan pemimpin di luar pilihan raya akan hanya mencetuskan kemudaratan.

Rakyat kecewa

“Cukuplah peristiwa yang berlaku di rantau Arab sebagai teladan terbaik bagaimana rakyat yang difatamorganakan dengan suatu persepsi seolah-olah negara akan menjadi sempurna secara sekelip mata sekiranya satu-satu pemimpin dijatuhkan, akhirnya menyebabkan rakyat sendiri kecewa dengan apa yang berlaku,” katanya.

Pemimpin politik Malaysia pastinya bukan golongan Tamarud di Mesir yang hanya menghirup udara demokrasi sehari dua selepas kejatuhan Mubarak. Tetapi, apa yang cuba dilakukan kedua-dua pihak ini ada persamaan.

Apatah lagi situasi "tidur satu bantal mimpi lain-lain" Dr. Mahathir dengan pemimpin-pemimpin yang bersamanya mengingatkan penulis kepada gerakan menjatuhkan Mubarak dan Mursi. Pelbagai latar belakang yang punya satu keinginan tetapi akhirnya tidak mampu bersama untuk tugas lebih besar iaitu memimpin negara.

Kedua-dua golongan sama ada anti-Mursi atau penyokong beliau yang ditemui penulis, mereka sederap selangkah dalam menolak Mubarak dan pada masa sama mengharapkan magis berlaku kepada Mesir. Ternyata apabila jalan yang dipilih bukan melalui demokrasi, harga yang perlu dibayar terlalu mahal.

Tidak ada apa yang mampu dikecapi dalam sekelip mata, sebaliknya mudarat yang datang lebih besar apabila perkara pokok, iaitu kestabilan negara diperjudikan.

Namun di negara ini syukur, Pas khususnya Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menunjukkan kematangan apabila bertegas memilih saluran demokrasi dalam menukar pemimpin dan bukannya melalui "tuntutan dan tandatangan" ciptaan sendiri. Ternyata masih ada kelompok yang rasional di sebalik keghairahan pemimpin kepada kuasa.

“Saya amat bersetuju dengan Abdul Hadi. Tindakan menjatuhkan pemimpin di luar pilihan raya hanyalah sia-sia. Kita tidak menafikan negara tidak sempurna, ada cacat-cela tapi harus diingat, 59 tahun kita capai keharmonian di atas kekurangan yang ada kerana kebijaksanaan pemimpin kita memandu negara berdasar Perlembagaan.

“Kalau kita meletakkan emosi dan kebencian melampau, itu hanya melunturkan nilai rasional rakyat,” kata Dr. Asyraf Wajdi.

Hakikatnya, untuk menukar Perdana Menteri salurannya perlu dilakukan melalui penentuan sokongan majoriti di Dewan Rakyat sama seperti ketika menukar ketua eksekutif di peringkat negeri. Semua itu, pastinya melalui pilihan raya dengan rakyat memilih wakil mereka yang kemudian akan memilih Perdana Menteri.

Setakat ini, pembangkang tidak mampu menggunakan saluran Dewan Rakyat malah usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri yang dibawa pada mesyuarat lalu juga berkecamuk, tidak seia-sekata yang memperlihatkan mereka tidak mampu mendapatkan sekurang-kurangnya sokongan 112 ahli Dewan Rakyat.

Dan terbaharu, hasrat menjatuhkan Najib bukan lagi melalui "pintu belakang" tetapi melalui cara menggulingkan. Walau bagaimanapun sehingga kini gegak gempita hanya seketika.

Siapa yang hendak "ditabalkan" juga belum diputuskan. Di Mesir, individu berlatar belakang ketenteraan akhirnya menguasai pemerintahan sama seperti Mubarak dahulu.

Pemikiran penulis terimbau kepada perbualan bersama seorang ekspatriat rakyat Mesir bernama Ghazi di Switzerland ketika berkunjung ke Geneva tahun lalu. Lelaki itu cukup mengagumi Dr. Mahathir.

Ketika ditanya apakah kekaguman itu berkaitan kemajuan yang berlaku kepada Malaysia sewaktu era pemerintahan Dr. Mahathir, Ghazi yang berkelulusan universiti di Jerman dengan bingkas berkata: “Mahathir lepaskan jawatan Perdana Menteri ketika majoriti rakyat masih menyokongnya. Hampir tidak ada pemimpin dunia Islam khususnya Arab yang mahu berbuat seperti itu. Inilah yang paling hebat,” katanya.

Kata Ghazi itu benar. Dr. Mahathir menyerahkan kuasa kepada timbalan beliau secara penuh demokratik dan tersusun pada 2003. Walaupun Dr. Mahathir tidak mengikuti jejak mendiang Lee Kuan Yew di Singapura dengan menjadi Menteri Kanan dan Menteri Mentor untuk terus berada dalam Kabinet, tetapi realitinya Dr. Mahathir mahu suaranya terus didengar dan diikuti oleh penggantinya baik Tun Abdullah Ahmad Badawi mahupun Najib ketika ini.

Pilihan yang diberi Dr. Mahathir, My Way atau No Way. Ternyata beliau tidak sepi daripada kejutan dalam mencapai kemahuannya tetapi sampai bila UMNO harus menempuh konflik disebabkan Dr. Mahathir.

Malaysia menuju ke kancah rusuhan ala-Arab Spring?

TITAH Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah ketika merasmikan pembukaan sidang Parlimen Keempat Penggal Ke-13, Isnin lalu begitu jelas. Baginda mahu semua Ahli Yang Berhormat berhenti berpolitik untuk kepentingan sempit.

Hal yang demikian kerana politik berkepentingan sempit telah berlarutan sejak sekian lama. Tepatnya sejak Pilihan Raya Umum 2008. Tetapi malangnya, politik sedemikian secara sengaja dan terancang telah dikembangkan menjadi budaya baharu.

Politik saling menjatuhkan, bermusuhan dan fitnah-memfitnah, malah turut dipertontonkan secara leluasa dalam sidang dewan yang mulia itu. Benarlah seperti titah baginda, rakyat yang menjadi penonton dan diheret-heret sudah lelah.

Lidah politikus ini kemudian disambung dengan maki hamun dan cacian yang sangat keterlaluan oleh para penyokong di dalam portal dan media sosial, yang menjadi milik atau proparti mereka.

Politik Malaysia sudah sampai ke tahap tidak ada adabnya. Yang politikus bebas berkata dusta, yang penyokong bebas mencaci-maki.

Bolehkah politik sebegini berhenti? Supremo DAP, Lim Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah menanggapi titah itu dengan kenyataan "ucapan Agong disediakan kerajaan". Kata-kata politikus berusia 75 tahun ini kemudiannya mencetuskan kontroversi sehingga laporan polis dibuat mendakwa kenyataan Kit Siang menghina Yang di-Pertuan Agong.

Begitupun Kit Siang enggan menarik balik kenyataan itu, malah meminta polis menyiasat mereka yang membuat laporan polis kerana menghasut.

Begitulah perilaku Kit Siang dan DAP, yang licik bermain emosi dan persepsi, yang sentiasa akan menguji kesabaran banyak pihak.

PAN, parti baharu yang mendakwa membawa suara sederhana itu seperti dinyatakan oleh Presidennya, Mohamad Sabu pula berhujah sebagai parti politik mereka perlu "berpolitik sepanjang hayat". Apa akan daya, sudah begitu nafsu politik mereka.

Jadi, jangan harapkan mereka akan berhenti. Pergaduhan politik yang tujuannya untuk mengheret rakyat kerana dijenamakan atas nama rakyat, bahkan akan terus menyelebungi kehidupan kita. Akan terus sesaklah kita dengan jerebu politik ini, yang tidak akan sirna walaupun ditiup angin kencang.

Jerebu politik itu bertambah mengelamkan kehidupan kita apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad membuat langkah luar biasa sanggup bergandingan dengan musuh-musuh tegarnya untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mereka menamakan langkah ini sebagai Deklarasi Rakyat tetapi yang jelas dan nyata ialah, ini hanya satu lagi permainan politik sempit. Mereka menyatakan mendapat sokongan rakyat tetapi sehingga sekarang masih bersusah payah untuk mengumpulkan tandatangan orang ramai.

Kumpulan pakatan diterajui Dr. Mahathir bersama NGO dan parti pembangkang ini sedang merancang untuk menggerakkan program dan kempen bagi menarik sokongan rakyat. Mereka merancang untuk menganjurkan siri jelajah ke seluruh negara, sesuatu yang sinonim dengan gerakan parti-parti pembangkang.

Peluang

Banyak analisis telah dibuat tentang pakatan ini. Yang jelas, pakatan ini bakal melebarkan lagi perpecahan dalam kalangan rakyat Malaysia. Lebih teruk, pakatan ini berpotensi melorongkan Malaysia ke kancah rusuhan ala-Arab Spring yang selama ini berjaya dicegah daripada menular ke negara ini.

Parti-parti pembangkang dan gerombolan mereka nampaknya begitu ghairah untuk memanfaatkan pentas empuk berpermaidani merah yang disediakan oleh Dr. Mahathir ini. Mereka seperti mendapat lesen dan motivasi baharu untuk mengerahkan jentera menggegar Putrajaya.

Aneh bunyinya apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim diuar-uarkan bersetuju dengan pakatan Dr. Mahathir ini. Tentu sekali ada perangkap, kalau tidak pun muslihat dalam gerakan yang tidak terduga ini.

Benar, Dr. Mahathir adalah seorang strategis yang tiada taranya. Dalam apa juga permainan, beliau jarang kalah. Tetapi tentu sekali ada yang terpaksa dikorbankan terutama apabila bersekongkol dengan karakter seperti Kit Siang dan Anwar.

Bagi kem Anwar yang sudah buntu dalam kempen mereka untuk membebaskan beliau daripada hukuman penjara kerana kesalahan meliwat pembantunya sendiri, pakatan ini umpama sinar di hujung terowong.

Tiba-tiba, Dr. Mahathir yang selama berkurun ini menjadi musuh utama sehingga digelar Mahafiraun telah memberikan pelampung kepada Anwar. Anwar yang sudah terhumban ke dalam penjara, umpama mendapat bantuan pernafasan.

Maka, dalam kalangan penyokong tegar pemimpin de facto pakatan pembangkang, ini tentu sekali adalah peluang yang tidak boleh dilepaskan walaupun berhadapan dengan tentangan daripada sebahagian ahli dan penyokong sendiri. Sebab itulah, tanpa banyak berfikir mereka bersetuju dengan pakatan yang dipelopori oleh kumpulan Dr. Mahathir itu.

Maka, tidak mustahil pakatan aneh ini boleh bertukar menjadi gelombang yang akhirnya menjerumuskan negara ke kancah huru-hara atau anarkis yang berpanjangan. Kita hampir-hampir mengalaminya. Kini, mampukah kita menyekatnya? - Zulkefli Hamzah Utusan Malaysia Rencana 13 Mac 2016 6:05 PM

Popular sebagai kartunis sebelum ceburi politik

HARI ini nama Datuk Sohaimi Shahadan lebih menonjol sebagai seorang ahli politik. Beliau aktif dalam UMNO Bahagian Selayang dan merupakan salah seorang Ahli Majlis Tertinggi parti itu.

Bagaimanapun, sebelum menceburi dunia politik, beliau merupakan seorang guru sekolah teknik dan pernah mencipta populariti sebagai kartunis dengan menggunakan nama penanya Chek.

Bagi para peminat majalah kartun Gila-Gila, Batu Api dan Geli Hati pada penghujung tahun 1980-an dan awal 1990-an mungkin perasan dengan nama itu serta lakaran-lakarannya yang mencuit hati.

Menurut bekas kartunis berusia 47 tahun ini, beliau mula berjinak-jinak dalam bidang perkartunan sejak berusia 15 tahun. Sejak usia remaja banyak karyanya yang telah disiarkan dalam majalah tersebut.

Malah, beliau terhutang budi dengan kartunis Gila-Gila, Allahyarham Rejabhad yang banyak memberinya tunjuk ajar dalam bidang itu bermula pada tahun 1984 iaitu sewaktu beliau bersekolah di tingkatan tiga lagi.

“Saya banyak mengikuti kelas melukis kartun yang dijalankan oleh Rejabhad di pejabat Gila-Gila iaitu Creative Enterprise Sdn. Bhd. di Bangsar, Kuala Lumpur yang diadakan pada hujung minggu.

“Sejak itu, saya semakin aktif melukis kartun dan banyak karya saya disiarkan di Gila-Gila. Saya juga menjadikan melukis kartun sebagai kerja sampingan kerana ketika itu saya masih belajar,” katanya.

Bekas penuntut Politeknik Kuantan, Pahang ini sukar untuk menjauhkan dirinya daripada bidang lukisan biarpun ketika itu sudah pun memiliki pekerjaan tetap sebagai guru di beberapa buah sekolah.

Sohaimi yang pernah mengajar di Sekolah Menengah Vokasional Kluang, Johor pada tahun 1990 hingga 1992 dan Sekolah Menengah Teknik Cheras, Kuala Lumpur (1992-1995) misalnya, terus berkarya dalam bidang seni yang diminatinya itu.

Sambil tidak menafikan melukis kartun bukan sahaja membariskan namanya dalam kalangan kartunis terkenal ketika itu, malah ia juga telah banyak memberi kepuasan dalam jiwanya.

Tidak disangka Sohaimi pernah menjadi kartunis.

Anak kelahiran Butterworth, Pulau Pinang ini juga mengakui bahawa pendapatan bulanannya sebagai kartunis sambilan ketika itu lebih lumayan berbanding sebagai guru yang mengajar subjek lukisan.

“Sebagai kartunis sambilan, pendapatan bulanan saya ketika itu mampu mencecah RM3,000 berbanding gaji sebagai cikgu sekolah yang tidak sampai pun RM2,000 sebulan.

“Selain itu, nama saya sebagai kartunis juga mula dikenali ramai bersama banyak lagi kartunis di Gila-Gila ketika itu antaranya Che Li dan Roslin yang merupakan kartunis sepenuh masa,” ujarnya.

Tidak dinafikan bapanya yang juga gemar membaca pelbagai majalah seperti Mat Jenin dan sering membawa pulang ke rumah naskhah majalah seperti itu banyak menyuntik minatnya melukis.

Kredibiliti Presiden Konsortium Cartoonist At Work (CAW) yang dianggotai puluhan kartunis tanah air ini juga menyerlah apabila pernah diberi kepercayaan mengendalikan ruangan Ragam Kota di akhbar tabloid Mingguan Perdana pada tahun 1990-an.

Beliau yang mendirikan rumah tangga dengan Datin Ruby Arshad, 47, dan dikurniakan enam anak Danial Syafiq, 20, Danish Ameerul, 19, Harith Darwish, 13, Anis Batrisyia, 12, dan Aleesya Qaisara, 6, juga pernah menerbitkan sebuah buku komik kartun bertajuk Ada-Ada Sahaja.

Penerbitan buku itu sebagai bukti minat serta komitmennya dalam bidang perkartunan. Selama terbabit dalam dunia kartun, banyak pengalaman yang telah diraihnya.

Selain sentiasa berfikiran kreatif dan bekerja keras, beliau turut mendapati bidang itu merupakan salah satu saluran untuk mengembangkan lagi kerjayanya.

Sebab itu, tidak hairanlah bermula dengan melukis kartun, seni dan kreativiti dalam bidang seni yang dimiliki oleh anak sulung daripada enam beradik ini diperluaskan lagi dalam bidang-bidang lain.

Sohaimi bersama Datuk Seri Najib Tun Razak. "Bekas kartunis" itu juga aktif dalam politik

Antaranya beliau mula terbabit dalam bidang rekabentuk grafik dengan melakukan pelbagai kerja seperti merekabentuk kulit buku, poster dan bidang penerbitan buku.

“Ketika mula-mula terbabit sebagai kartunis saya tidak menduga akan menceburi bidang itu walaupun mempelajari selok belok melukis secara tidak formal.

Malah, hobi itu juga akhirnya bertukar menjadi duit,” katanya yang amat mengagumi lukisan kartun kartunis Jaafar Taib dan Kerengga.

Pengalaman menceburi dunia kartun juga banyak mengajarnya agar sentiasa peka dengan keadaan sekeliling. Kepekaan itu menjadikan beliau sentiasa berusaha untuk memajukan diri dari semasa ke semasa.

Lantaran itu, maka tidak hairanlah bidang politik yang diceburinya itu banyak memerlukannya berdampingan dengan masyarakat yang mempunyai pelbagai permasalahan serta latar belakang.

“Arwah Rejabhab selalu berpesan kepada saya supaya sentiasa membawa sebuah buku nota kecil sewaktu saya pergi ke mana-mana. Beliau menyuruh saya mencatat apa-apa juga peristiwa penting yang berlaku untuk saya jadikan idea atau bahan dalam berkarya.

“Syukur Alhamdulillah walaupun saya tidak aktif melukis kartun lagi tetapi saya banyak belajar daripada arwah. Antaranya tidak semua pelukis boleh jadi kartunis tetapi boleh dikatakan semua kartunis boleh melukis,” ungkapnya.

Sewaktu kunjungan Mingguan Malaysia di kediaman beliau di Desa Moccis, Sungai Buloh, Selangor baru-baru ini Sohaimi yang dilahirkan pada 4 Mac 1969 sempat menunjukkan bakatnya melakar kartun dan melukis.

Minat yang mendalam terhadap seni kartun dan lukisan menyebabkan beliau meletakkan jawatannya sebagai guru pada 1996 bagi memberi sepenuh tumpuan dalam bidang tersebut.

United 8 Sdn. Bhd., merupakan syarikat pertama yang ditubuhkannya bersama lima orang pekerja aktif dalam bidang penerbitan buku dan juga periklanan.

Selain aktif berpolitik, beliau yang merupakan bekas Pengerusi Kraftangan Malaysia dan bekas Pengerusi Pelaburan Mara Berhad juga aktif dalam kerja-kerja amal berbentuk tanggungjawab sosial koporat (CSR) terhadap masyarakat.

Beliau yang kini antaranya merupakan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Teratak Che Dah di Kampung Melayu, Kuang, Selangor banyak mencurahkan masa dan tenaganya bagi membantu anak-anak yatim di rumah kebajikan tersebut.

Pada masa sama, beliau bercita-cita mahu menubuhkan sebuah sekolah tahfiz al-Quran yang diuruskan secara lebih profesional bagi membantu para pelajarnya menimba ilmu dan mendapatkan pekerjaan setimpal pada masa depan.

“Saya dapati ramai pelajar tahfiz al-Quran yang tidak terbela nasib mereka sedangkan mereka ini juga amat penting dalam masyarakat. Saya mahu orang yang hafaz al-Quran seperti mereka juga diberi ruang bekerjaya yang setaraf dengan bidang-bidang lain,” katanya.

-

Terap budaya benci rasuah

ANCAMAN akibat perlakuan rasuah bukanlah sesuatu yang baharu malah telah wujud sejak awal kewujudan tamadun manusia.

Akibat tamak haloba dalam memenuhi kehendak nafsu manusia yang senantiasa tidak pernah cukup maka rasuah dijadikan seolah-olah satu budaya, yang mana dianggap tidak berdosa jika diteruskan.

Hakikatnya rasuah merosakkan minda dan menjadikan masyarakat porak poranda kerana nilai jujur dan amanah dalam kehidupan sudah semakin menipis.

Untuk itu seperti kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) DATUK SERI MUSTAFAR ALI, usaha mengenai keburukan rasuah ini perlu dimulakan dari peringkat kecil dan sekolah lagi.

"Kita bantu dari segi melatih atau mendidik atau memberikan pendedahan bagaimana pencegahan rasuah boleh dilakukan. Sudah ada sambutan menggalakkan daripada institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) untuk mewujudkan sekretariat ini".

Kepada wartawan Mingguan Malaysia HAFIZAHRIL HAMID dan AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI, beliau turut memberikan pesanan, "Persepsi memang sentiasa dilontarkan. Apabila dilontarkan persepsi negatif, adakah ia persepsi atau realiti? Apa yang perlu dibincangkan adalah bagaimana untuk menangani permasalahan ini".

MINGGUAN: Jumlah aduan salah laku berkaitan rasuah meningkat lebih lima kali ganda iaitu daripada 1,902 pada 2014 kepada 10,813 pada tahun lalu, hanya dalam tempoh setahun Unit Integriti (UI) ditubuhkan di setiap agensi berkaitan. Boleh Datuk Seri terangkan tentang kewujudan UI ini?

MUSTAFAR: Jumlah 10,813 aduan itu sebenarnya keseluruhan maklumat yang diterima. Ada yang berunsur rasuah, ada unsur pentadbiran dan ada juga tidak ada unsur apa-apa seperti mereka memberikan cadangan dan sebagainya. Hasil daripada pemerhatian kita, peningkatan ini disebabkan adanya mekanisme UI iaitu saluran dalaman yang dekat.

UI diwujudkan selepas kita melihat beberapa kejayaan di luar negara apabila wujud UI atau apa yang dipanggil internal affairs (unit urusan dalaman) di beberapa tempat atau organisasi, dengan wujudnya pegawai penguat kuasa undang-undang sendiri menerajui kapasiti begitu. Pada 2012, kita buat beberapa benchmarking (perbandingan) dan perancangan mengenai cadangan pewujudan UI. Dan lebih awal daripada itu, kita sudah membincangkan tentang Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO).

Bertauliah ini maknanya, pegawai-pegawai yang hendak dilantik nanti selepas kewujudan UI, disiap sediakan dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran khususnya tentang aspek-aspek termasuk tadbir urus, penyiasatan dan tindakan yang perlu mereka lakukan sekiranya terdapat perlakuan seperti rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa, pemalsuan dan sebagainya yang berkaitan dengan isu rasuah dan lain-lain salah laku.

Berbangkit daripada itu, kerajaan telah bersetuju dengan cadangan SPRM untuk menubuhkan UI di semua kementerian, jabatan dan juga syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) telah membangkitkan perkara ini dan menubuhkan UI masing-masing. Setakat ini, kita ada 887 institusi, agensi, jabatan atau kementerian yang mewujudkan UI. Daripada itu, ada tiga peringkat institusi iaitu yang berisiko tinggi, sederhana dan rendah.

Kita melihat dari segi jumlah maklumat diterima oleh SPRM, siasatan yang dijalankan, tangkapan, pertuduhan di mahkamah, sabitan dan kes tindakan disiplin. Penilaian itu dibuat untuk melihat tahap risiko termasuk bebanan kerja SPRM yang berkaitan dengan sesebuah institusi itu. Mana-mana jabatan yang berisiko tinggi ini, kita hantar pegawai SPRM ke jabatan berkenaan. Setakat ini, kita tempatkan 43 orang pegawai SPRM di situ, termasuk di GLC. Ada 10 GLC yang kita kenal pasti dan juga mereka minta. Ada 11 pegawai kita ditempatkan di GLC. Sebagai contoh Petronas, Felda Global Ventures Holding Bhd. (FGV), Telekom Malaysia Bhd. (TM) dan sebagainya.

Dasar wujudkan UI dan penempatan pegawai itu juga memberikan satu peluang dari dalam, menyiasat dan membantu ketua-ketua jabatan. Sebab adanya, kerjasama yang lebih rapat antara pegawai SPRM dengan ketua jabatan termasuk di peringkat menteri, berbanding apabila ada kes baru kita pergi ke sana. Keduanya, mereka juga sumber punca maklumat dari dalam. Mereka juga dirundingi oleh ketua jabatan dan pegawai untuk mendapat nasihat berhubung dengan tindakan melibatkan siasatan, sama ada kes itu melibatkan rasuah atau tidak ada kaitan langsung. Kalau melibatkan elemen rasuah, maklumat-maklumat itu akan sampai kepada SPRM.

Dengan penubuhan UI ini, boleh disimpulkan bahawa kesedaran dalam kalangan kakitangan institusi kerajaan semakin meningkat. Bagaimana pula dengan sektor swasta?

MUSTAFAR: Sebenarnya apabila kita sebut UI, ia merupakan satu komitmen daripada jabatan, kementerian dan GLC dengan wujudkan satu unit berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 6 2013. Di dalam itu ada disebutkan enam terma rujukan termasuk tadbir urus, pengukuhan integriti, pengesanan dan pengesahan, pengurusan aduan dan pematuhan tatatertib. Pegawai-pegawai SPRM di dalam melihat sesuatu kesalahan yang dilakukan dengan kecepatan untuk ada maklumat-maklumat itu diperolehi atau disalurkan terus kepada mereka.

Kepada pihak luar atau swasta, sudah ada sahutan untuk mendapat tahu apa yang dibuat. Cuma di sektor swasta, tidak dinamakan UI tetapi wujudkan unit pematuhan, tetapi ada juga yang menubuhkan UI. Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 6 2013 ini sebenarnya hanya untuk jabatan kerajaan. GLC pula disebabkan berkaitan dengan kerajaan, maka mereka tubuhkan. Berbalik tentang sektor swasta tadi, tanggunjawab sosial korporat adalah satu aspek, dan mereka juga ada penekanan tentang tadbir urus. Apabila sebut tadbir urus dalam GLC atau jabatan kerajaan, mereka juga laksanakan.

Contohnya kod etika dalam GLC dan sektor swasta, mereka mewujudkan apa yang dipanggil Whistleblower protection policy (polisi perlindungan penyalur maklumat). Akta Whistleblower ada, tetapi di peringkat swasta, mereka mewujudkan polisi. Selain itu, mereka wujudkan no gift policy (polisi enggan menerima hadiah). Ini antara inisiatif yang telah disebutkan dalam kewujudan UI dan pelaksanaannya dilaksanakan menghasilkan pelbagai bentuk maklumat. Kerana adanya saluran aduan yang dekat. Apabila pegawai kita ada di situ, mereka cepat melaporkan.

Apabila UI ditubuhkan, antara agenda utama ialah pemantauan dari segi pihak agensi kerajaan, GLC dan swasta. Mungkin boleh dikembangkan kepada parti-parti politik?

MUSTAFAR: Tentunya, kalau hendak kata idealis, kita alu-alukan. Dalam mana-mana parti politik, ada lembaga disiplin. Dalam lembaga disiplin ini ada terma-terma tertentu seperti siapa lembaga, apa dibincangkan dan apa bentuk salah laku yang ditentukan. Tetapi untuk meletakkan pegawai SPRM di pelbagai tempat, bunyinya bagus, tetapi lebih bagus kalau kita melatih pegawai-pegawai mereka untuk menjadi CeIO dari dalam.

Sekarang ini sudah ada 887 institusi sudah mewujudkan UI. Bayangkan kalau 887 orang pegawai SPRM diletakkan, berapa kerat yang tinggal. Kita ada 2,000 lebih pegawai SPRM tetapi 1,000 orang lebih yang melaksanakan operasi. Kalau letakkan 887 orang, separuh termasuk pegawai kanan terpaksa diletakkan di sana. Sekarang ini memang pun, ada GLC yang minta dan kementerian yang berisiko tinggi, kita hantar sampai peringkat JUSA sebab permintaan begitu. Ada yang gred 54 dan kita hantar ramai. Selepas itu gred 44 dan 48.

Kalau kita hantar pegawai kita untuk ditempatkan di dalam parti-parti politik, kita terpaksa menghantar ramai pegawai kita ke luar. Jadi, bagusnya kalau kita melatih pegawai dalaman sebagai CeIO dan balik ke institusi masing-masing melaksanakan apa yang terma-terma rujukan tentang aspek integriti. Itu yang kita buat untuk risiko rendah. Pegawai-pegawai dalaman sendiri yang mengendalikan UI.

Tidakkah lebih baik aspek integriti ini ditekankan dari peringkat kanak-kanak bermula dari sekolah rendah untuk kesedaran. Seperti kata peribahasa, “melentur buluh biarlah daripada rebungnya”.

MUSTAFAR: Itu sangat mulia. Tetapi dalam pendekatan yang sama, kita melaksanakan dengan mewujudkan elemen kurikulum dan kokurikulum yang melibatkan nilai murni dan pencegahan rasuah. Kalau di peringkat sekolah, di tahun enam contohnya kita ada buku teks yang mengandungi selain isu-isu sivik, ada isu melibatkan pencegahan rasuah di peringkat sekolah. Tahun ini telah dimulakan. Mulai tahun ini juga kita membincangkan untuk mewujudkan modul itu dalam buku teks untuk tingkatan satu dan ke atas. Itu untuk sekolah rendah dan menengah.

Untuk institusi pengajian tinggi (IPT) baik awam atau swasta, kita mewujudkan sekretariat pencegahan rasuah (SPR). Semua IPT khususnya awam telah tubuhkah SPR ini. Di dalamnya adalah program yang dilaksanakan dan kita ada sedikit sebanyak peruntukan untuk menjalankan program dengan mereka. Kita bantu dari segi melatih atau mendidik atau memberikan pendedahan bagaimana pencegahan rasuah boleh dilakukan. Sudah ada sambutan menggalakkan daripada institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) untuk mewujudkan sekretariat ini.

Dalam kesempatan yang sama, saya sendiri telah mencadangkan dan mewujudkan bersama-sama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi iaitu majlis eksekutif sekretariat pencegahan rasuah, di mana kita kumpul ketua-ketua sekretariat ini untuk membincangkan program-program yang boleh dilaksanakan di peringkat IPT masing-masing. Itu pada peringkat IPT. Apabila ahli SPR ini habis belajar, mereka akan tubuhkan alumni sekretariat pencegahan rasuah yang dipanggil ASPIRA. Mereka mungkin menjadi profesional atau ketua pegawai eksekutif syarikat dan sebagainya, mereka masih bersama-sama dengan SPRM bagi menerajui di luar sana. Kalau mereka sebagai NGO, mereka akan terajui pelbagai program berkaitan pencegahan rasuah yang telah mereka terdedah dan pelajari dalam SPR semasa di peringkat IPT. Jadi, ia berterusan dan kita akan kembangkan.

Masalah seperti penerokaan haram di Cameron Highlands, mesin judi, judi dalam talian dan juga pendatang asing tanpa izin sering dikaitkan dengan kelemahan agensi penguatkuasaan. Ini menyebabkan timbulnya persepsi dalam kalangan masyarakat bahawa wujud elemen rasuah dalam agensi kerajaan, sekali gus memberikan imej buruk terhadap agensi kerajaan. Komen Datuk Seri?

MUSTAFAR: Persepsi memang sentiasa dilontarkan. Apabila dilontarkan persepsi negatif, adakah ia persepsi atau realiti? Apa yang selalu dibincangkan ialah bagaimana untuk menangani permasalahan ini. Apabila sebut penguatkuasa undang-undang, memang ada perkara ini kita bincangkan. Dalam aspek menangani persepsi itu, kita tekankan tiga strategi. Strategi pertama ialah penguatkuasaan undang-undang, baik kita kata ada pelanggaran undang-undang, tangkapan, siasatan, dakwaan di mahkamah dan sebagainya. Aspek kedua iaitu pencegahan, kita tengok balik di mana agaknya ruang dan peluang perlakuan rasuah ini berlaku.

Contoh isu Cameron Highlands, tangkapan dibuat terhadap beberapa peneroka tanah haram dan anggota agensi penguat kuasa undang-undang. Tetapi kita tengok elemen pencegahan, kenapa ini berlaku, termasuk kelemahan pengeluaran lesen, penerokaan tanah secara haram yang tidak dikuatkuasakan, atau adanya orang awam yang tidak bersama-sama untuk memastikan pematuhan undang-undang dan sebagainya. Apa sahaja insiden berlaku di sana, kita telah perbetulkan. Setelah kita buat pemeriksaan dan perundingan, kita telah keluarkan 12 cadangan. Saya telah keluarkan kenyataan media tahun lepas. Dua belas cadangan ini yang diperakukan, malah kita berjumpa dengan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar serta kerajaan negeri.

Saya sendiri bertemu dengan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob bersama dengan Ahli Jawatankuasa Majlis Mesyuarat Negeri (Exco), kita bentangkan apakah langkah-langkah terbaik untuk memastikan perkara yang berlaku tidak akan berlaku lagi, bagaimana mengekangnya memastikan pematuhan berlaku dan bagaimana kesepaduan antara masyarakat tempatan dengan agensi penguatkuasaan undang-undang, kerajaan negeri dan kementerian melaksanakan bersama-sama.

Apa saya sebut ini ialah tidak boleh bertindak seorang, sebaliknya semua pihak mesti bersama-sama menanganinya. Lebih-lebih lagi kalau agensi yang sepatutnya melihat secara lebih dekat. Jabatan Pengairan dan Saliran misalnya, yang mesti memastikan keadaan sama ada sungai, saliran dan pengairan tidak berlaku apa yang tidak diingini. Jabatan Alam Sekitar secara umumnya tentang pencemaran sampah sarap, bahan kimia yang dibuang ke dalam sungai dan sebagainya. Pejabat tanah juga perlu melihat sama ada cerun-cerun yang tidak boleh ditarah itu ditarah dan apa tindakan tegas yang perlu diambil.

Langkah pencegahan ini kita tidak tamatkan di situ. Ada strategi ketika iaitu pendidikan masyarakat. Dalam Bahagian Pendidikan Masyarakat yang kita ringkaskan sebagai PenMas di SPRM ini, kita mendidik anggota penguatkuasaan undang-undang supaya berintegriti, jangan lakukan rasuah dan pastikan pematuhan dilaksanakan. Tetapi masyarakat yang hendakkan keuntungan atau apa sahaja dengan meneroka tanah, kita mendidik mereka bahawa bumi ini adalah bumi kita. Kalau hancurkan bumi ini sekarang, dalam tempoh 30 tahun akan datang langsung hancur, anak cucu hendak duduk mana. Jadi, pendidikan itu kita selarikan dan sepadukan sampai akhir nanti pencapaian-pencapaian itu dilaksanakan.

Apakah yang seharusnya dilakukan oleh agensi kerajaan supaya imej tidak terjejas?

MUSTAFAR: Biasanya pihak swasta, agensi dan jabatan kerajaan serta kementerian, mungkin ada yang dipanggil sebagai “menyembunyikan di bawah karpet”. Mereka ambil tindakan sendiri sahaja. Tetapi menutup sesuatu kes supaya tidak terdedah dan memalukan, sebenarnya lebih teruk lagi apabila pendedahan-pendedahan kemudian yang dibuat selepas perkara lebih buruk berlaku. Kalau kita berlaku jujur dan amanah, kita nampak kelemahan berlaku, kita bersama-sama dengan jabatan-jabatan lain untuk menangani permasalahan tersebut. Jangan sampai nanti selepas tiga orang mati tertimbus dalam lumpur misalnya dan selepas itu berlaku lagi lima orang. Takkan kita hendak tunggu sampai 300 orang mati tertimbus sekali atau lebih ramai lagi. Pada masa itu, kemusnahan lebih besar lagi akan berlaku.

Bercakap tentang isu Cameron Highlands hari itu, saya panggil tujuh agensi penguatkuasaan undang-undang ke pejabat saya dan kita bincangkan. Kita bersepadu. Di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Lahad Datu, ada juga elemen-elemen integriti penguatkuasa undang-undang yang kita bincangkan. Ketirisan yang berlaku yang dipanggil Op Licin apabila ketirisan penyeludupan PATI khususnya yang datang dari utara sempadan tanah air. Kita buat mesyuarat dan kesepaduan. Kita berbincang dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan yang menjaga integriti tadbir urus, kertas itu dibangkit dan dibawa dalam mesyuarat Kabinet.

Selepas itu, saya bentang dalam mesyuarat menteri besar dan ketua menteri. Hasil daripada itu, ada inisiatif-inisiatif seperti Agensi Keselamatan Sempadan ditubuhkan. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah menubuhkan satu agensi yang mensepadukan, yang namanya dulu Unit Pencegah Penyeludupan (UPP), termasuk bagaimana kastam, imigresen dan angkatan tentera yang menjaga sempadan. Semua ini dibuat supaya cara bersepadu melihat isu itu. Persepsi negatif yang dilemparkan mungkin menimbulkan kesedaran, cara-cara proaktif pun ada diambil sebelum kerosakan berlaku. - Utusan Malaysia Rencana 13 Mac 2016 6:06 PM