March 22nd, 2016

Malaysia dapat ‘D’, risiko tinggi berlaku rasuah

KUALA LUMPUR, 4 Nov — Malaysia masih terdedah kepada rasuah dalam bidang pertahanan negara apabila mencapai tahap “D”, atau berisiko tinggi, dalam kajian terbaru badan anti-rasuah terkenal Transparency International.

Walaupun tahap ini meningkat sedikit berbanding “D-” dalam tinjauan badan yang sama pada 2013, Transparency International cawangan Malaysia (TI-Malaysia) masih tidak berpuas hati dengan pencapaian tersebut.



Presiden TI-Malaysia Datuk Akhbar Satar berkata Malaysia mampu membangunkan kerangka kerja anti-rasuah. — Foto oleh Zurairi AR

Presidennya Datuk Akhbar Satar berkata Malaysia mampu membangunkan kerangka kerja anti-rasuah kerana sudah wujud kawalan rasmi terhadap kakitangan ketenteraan dan juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Namun wujud kelemahan ketara untuk berdepan rasuah akibat lemahnya penegasan undang-undang, peruntukan tidak telus, perlindungan lemah pada pembocor maklumat [rasuah] dan juga latihan pencegahan rasuah yang tidak mencukupi di jabatan-jabatan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kajian bertajuk Indeks Anti-Rasuah Pertahanan Kerajaan (atau, GI 2015) membahagikan risiko rasuah kepada enam tahap: A (sangat rendah), B (rendah), C (sederhana), D (tinggi), E (sangat tinggi) dan F (teruk).

Tinjauan ini dijalankan di 17 negara Asia Pasifik, termasuk tujuh anggota kumpulan ASEAN.

GI 2015 menilai keberkesanan institusi kerajaan mengendalikan rasuah dalam bidang pertahanan dan keselamatan, dan juga sejauh mana penguatkuasaannya.

Kumpulan penyelidik Transparency International mengumpul maklumat daripada pelbagai sumber dan melalui wawancara yang melibatkan 77 petunjuk.

Menurut kenyataan TI-Malaysia, kerajaan negara ini turut terlibat dalam tinjauan GI 2105, menunjukkan kesediaannya untuk terus bersemuka dengan badan anti-rasuah ini.

Tinjauan badan ini, seperti Indeks Persepsi Rasuah (CPI), sering menjadi pertikaian kerajaan apabila Malaysia didapati berada di tahap yang tidak memuaskan pemimpin-pemimpin negara.