April 16th, 2016

Bina kedamaian, keharmonian secara berterusan

RAKYAT kita terdiri daripada pelbagai agama, tetapi perbezaan ini tidak semestinya membawa kepada salah faham, ketegangan dan konflik antara mereka hingga menghangatkan suhu hubungan antara penganut agama.

Kajian antara penganut agama menunjukkan tahap kefahaman adalah tinggi dan persepsi prasangka adalah rendah. Kepelbagaian kehidupan penganut antara agama di negara ini didapati baik, aman dan damai.

Perkongsian perayaan budaya dan agama sudah diraikan bersama melalui kongsi raya antara Hari Raya dan Tahun Baharu Cina, 'Deepa Raya' antara agama Hindu dengan Islam dan lain-lain.

Bazar Ramadan sudah diterima bersama oleh pelbagai penganut agama hingga mereka yang berpuasa dan tidak berpuasa bertemu untuk mencari makanan dan kuih-muih tradisional yang disukai bersama.

Ini menunjukkan di sebalik perbezaan penganut agama, rakyat kita mampu membina titik pertemuan yang membawa kita ke ruang sosial sama untuk berhubungan dan membina rasa keterikatan antara kita bersama.

Perkongsian nilai dan hidup antara penganut pelbagai agama didapati sudah terserlah di kawasan kediaman, gelanggang permainan, tempat kerja, ruang perniagaan, dalam persatuan dan politik.

Kegiatan bersama pupuk kerjasama

Kegiatan yang dilakukan bersama ini berjaya mewujudkan budaya hormat menghormati dan saling mempercayai antara penganut agama dalam masyarakat kita.

Hal ini memupuk budaya kerjasama antara rakyat pelbagai agama. Mereka sudah mampu bertemu dan berhubungan antara satu sama lain untuk menjalankan kegiatan persatuan mereka seperti menderma darah, menderma organ dan menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan bersama-sama.

Ketika rakyat Malaysia dilanda masalah dan malapetaka seperti kebakaran, kemalangan jalan raya, bot karam dan tanah runtuh, terserlah nilai murni dalam kalangan penganut pelbagai agama ini.

Bukti terbaik dapat dilihat ketika banjir besar melanda Kelantan pada 2014. Ketika dan selepas banjir itu, kenderaan agensi kerajaan, masyarakat awam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang masing-masing membawa muatan air minuman, makanan, kain selimut, pakaian, peralatan memasak dan pelbagai keperluan harian yang lain, berbaris di sepanjang jalan menghala Gua Musang dan Kuala Krai.

Mangsa banjir terdiri daripada pelbagai penganut agama, namun jumlah terbesar adalah beragama Islam. Bantuan mencurah-curah datang dari dalam dan luar negara tanpa mengira latar belakang etnik dan agama.

Selain itu, mereka juga sama-sama terbabit menentang keganasan Israel di Gaza, membantu anak perang di Iraq dan sama-sama mendesak kerajaan Malaysia supaya memberi perlindungan kepada pelarian Rohingya.

Meskipun hubungan baik antara penganut agama sudah wujud kini, namun ini tidak bermakna kita sudah mencapai keharmonian dan kedamaian agama sepenuhnya di negara ini.

Usaha untuk membina keharmonian dan kedamaian ini ialah satu tugas yang perlu dijalankan secara berterusan kerana negara akan sentiasa berdepan perubahan dan transformasi sosial dalam masyarakat.

Perubahan sosial ini mewujudkan budaya baharu dalam masyarakat. Mereka tidak patuh dan taat kepada Perlembagaan, tidak merujuk kepada ibu bapa, membelakangkan hujah golongan agama dan menggantikan nilai tradisi dengan budaya kosmopolitan, globalisasi dan alaf baharu yang bertindak berdasarkan perkiraan kepentingan diri semata-mata.

Pandangan sempit dijadikan viral

Melalui media sosial terkini, pengguna tanpa mengira agama dan budaya membahaskan isu sensitif secara bebas dan tidak beretika sehingga berlaku kekeliruan dan ketegangan dalam masyarakat.

Apa yang paling menakutkan adalah apabila pandangan sempit segelintir individu atau kumpulan pelampau ini turut diviralkan oleh rakyat yang baik dan tidak pula disanggah oleh pemimpin masyarakat pelbagai agama.

Selain itu, apa yang lebih menyedihkan ialah isu sensitif seperti pertukaran agama, kedudukan anak dan harta sering kali dimanipulasi dan dijadikan agenda oleh NGO dan parti politik demi mencari pengaruh.

Hal ini menyebabkan hubungan antara penganut agama di negara ini menjadi renggang dan tegang. Walhal negara kita telah pun memiliki acuan untuk mengurus agama.

Acuan ini mengambil kira pelbagai tafsiran perintah agama dan terbukti dapat melahirkan pelbagai projek berlandaskan syariah seperti Tabung Haji, Bank Islam, Takaful Islam, sekolah agama dan Mahkamah Syariah yang memberi manfaat kepada keseluruhan rakyat Malaysia.

Di Sabah dan Sarawak pula masalah agama antara penganut diselesaikan dalam ruang lingkup keluarga bersama ketua kaum adat tanpa membabitkan NGO dan parti politik.

Kedua-dua contoh pengurusan agama dalam kehidupan dan bernegara ini menunjukkan kita memiliki acuan kita sendiri untuk mengharmoni dan mendamaikan negara walaupun rakyatnya terdiri daripada pelbagai penganut agama.


Dr Mansor Mohd Noor Berita Harian Kolumnis 16 April 2016 @ 6:57 AM

Berani untuk berubah pacu gelombang transformasi perkhidmatan awam

IZINKAN saya meneruskan wacana ini dengan berkongsi beberapa kisah kejayaan inisiatif transformasi yang dilaksanakan oleh JPA sejak tahun 2013.

Dalam kembara saya melaksanakan misi ini, saya sentiasa diperingatkan oleh bait-bait pantun yang mengajar saya supaya setiap usaha yang dilaburkan itu harus diakhiri dengan keberhasilan.

Orang berkebun kita berkebun;


SEBAHAGIAN penjawat awam yang hadir mendengar ucapan Mohamad Zabidi di USM, Pulau Pinang, baru-baru ini. - Foto RAMDZAN MASIAM

Orang berbunga kita mendaun;
Orang bertekun kita bertekun;
Orang berguna kita berpulun.

Inisiatif pertama yang ingin saya kongsikan ialah pelaksanaan inisiatif Blue Ocean Leadership. JPA menerokai inisiatif strategik baharu yang dinamakan Blue Ocean Leadership atau B.O.L.

Diilhamkan dari konsep Blue Ocean Strategy oleh Profesor W Chan Kim dan Rene Mauborgne, B.O.L. adalah satu pendekatan sistematik bagi memantapkan amalan kepemimpinan ke arah memaksimumkan bakat dan modal insan dalam usaha meningkatkan prestasi organisasi.

Empat tahap pengurusan Inisiatif B.O.L. menampilkan naratif baharu dalam wacana kepemimpinan global dengan memberi penegasan kepada empat pendekatan iaitu memfokus kepada tindakan dan aktiviti, berhubung rapat dengan realiti, kepemimpinan merentasi semua peringkat pengurusan serta membawa natijah atau impak yang tinggi dengan kos rendah.

Inisiatif B.O.L di JPA bermula pada Mac 2015 dengan menggunakan kepakaran Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan JPA.

Pelaksanaan inisiatif ini menyaksikan pewujudan 32 orang profiling experts selaku penggerak B.O.L iaitu 125 orang responden dari pelbagai peringkat pengurusan di JPA dan INTAN; proses engagement dan temu bual selama lebih tiga bulan, termasuk melaksanakan analisis kualitatif ke atas transkrip yang dihasilkan; dan penghasilan 16 kanvas kepemimpinan merentasi empat tahap pengurusan di JPA.

Empat tahap pengurusan tersebut adalah Kepimpinan Transformatif dan Humanistik bagi Gred JUSA C dan ke atas, Kesiapsiagaan Pelapis Kepemimpinan bagi gred 48 hingga 54, Kepemimpinan Proaktif dan Analitikal bagi gred 41-44, dan Berpengetahuan dan Memimpin Dengan Ceria bagi gred 22 - 36.

Cadangan B.O.L@JPA dibentangkan sebanyak dua kali di National Blue Ocean Summit yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Kini, pelaksanaan B.O.L kini berada pada peringkat penginstitusian dengan pengisian pelbagai program dan aktiviti bagi mencapai aktiviti kepemimpinan utama yang dihasratkan oleh warga JPA.

Pencapaian gemilang ini meletakkan INTAN dan JPA pada persada global sebagai organisasi perkhidmatan awam pertama berjaya menerapkan amalan kepemimpinan lautan biru terbaik di JPA.

Hasil kejayaan inisiatif B.O.L di INTAN dan JPA, Perdana Menteri dalam NBOS Summit pada 24 Mac 2016 bersetuju agar pelaksanaannya diperluaskan kepada lima kementerian terpilih pada tahun ini.

Lima kementerian itu adalah Kementerian Kemajuan Wilayah dan Luar Bandar; Kementerian Dalam Negeri; Kementerian Belia dan Sukan; Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Seterusnya adalah 1Malaysia Customer of Civil Servants atau 1Serve. JPA diberi mandat untuk menerajui inisiatif 1Serve dengan kerjasama Unit Pemodenan Pentadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia atau MAMPU, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, dan Setiausaha Kerajaan Negeri. 1Serve merupakan satu inisiatif transformasi yang digagaskan kerajaan melalui pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dan dilancarkan pada 2 November 2015 yang lalu.

Tambah baik kaunter kerajaan

Ia merupakan penambahbaikan kepada perkhidmatan kaunter kerajaan yang mana sebelum ini mengamalkan konsep satu kaunter satu perkhidmatan kepada konsep satu kaunter pelbagai perkhidmatan. Ini adalah selaras dengan prinsip Doing More With Less For More.

Melalui pendekatan ini, tuan dan puan boleh mendapatkan semua perkhidmatan yang ditawarkan hanya melalui satu kaunter sahaja.

Di Kaunter 1SERVE JPA4U, tuan dan puan bukan hanya boleh mendapatkan perkhidmatan JPA sahaja, malah boleh juga mendapatkan perkhidmatan merentas jabatan seperti perkhidmatan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Justeru, inisiatif ini melebarkan horizon perkhidmatan kaunter melalui suntikan nilai tambah yang signifikan dan di luar amalan biasa.

Pada masa ini, Kaunter 1Serve diperluaskan ke agensi dan lokasi tertentu. Sistem penyampaian petugas barisan hadapan di sektor awam juga diperkasakan dengan menerapkan lapan ciri utama penyampaian perkhidmatan iaitu senyum; mendengar; menunjukkan empati; psikologi berbalik; memahami pelanggan; kebersihan perkhidmatan; kepantasan dan kecekapan; penyelesaian masalah, serta kesungguhan dan pengetahuan melahirkan juara bertindak. Inisiatif 1Serve ternyata memudahkan urusan rakyat dari segi penjimatan perbelanjaan dan masa.


Bagi kita penjawat awam, 1Serve dapat memastikan kualiti perkhidmatan dan layanan yang diberikan kepada orang ramai adalah standard di seluruh negara.

Secara keseluruhannya, 1Serve menyediakan 14 perkhidmatan oleh JPA, empat perkhidmatan oleh Jabatan Imigresen Malaysia, lima perkhidmatan oleh Jabatan Pendaftaran Negara dan dua perkhidmatan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan.

Oleh itu, daripada kaedah konvensional satu kaunter satu perkhidmatan, 1Serve membawa paradigma baharu penyampaian perkhidmatan menerusi pendekatan satu kaunter pelbagai perkhidmatan.

Alhamdulillah, pada Jumaat lepas, saya melancarkan 1Serve Transit Lounge @JPA4U sebagai nilai tambah kepada inisiatif 1Serve JPA4U.

Melalui inisiatif ini, JPA menyediakan ruang menunggu kepada pelanggan yang ingin mendapatkan perkhidmatan shuttle buggy. Jasa pesara penjawat awam Seterusnya adalah 1Pesara.

Kita sering memperkatakan kebajikan penjawat awam, namun jangan sekali-kali dilupakan pesara yang banyak menyumbang dan berkorban ketika dalam perkhidmatan kerajaan.

Sehingga kini, jumlah pesara penjawat awam melebihi 739,000 orang termasuk 109,000 pesara tentera. Sehubungan itu, untuk menjaga kebajikan mereka, JPA telah memperkenalkan 1Pesara.

Inisiatif 1Pesara memberi fokus perkhidmatan kepada golongan pesara kerajaan dalam empat aspek utama iaitu kesihatan, keusahawanan, bekerja semula dan pengurusan kewangan.

Matlamat inisiatif ini adalah untuk membantu golongan pesara dan bakal pesara terus produktif dalam menyusuri alam persaraan; menyediakan perkhidmatan holistik dan merentasi pelbagai agensi; dan membantu kerajaan dalam menjelaskan dasar dan program kerajaan kepada rakyat.

Inisiatif ini kemudiannya dipermudahkan lagi dengan pembangunan portal 1Pesara yang menjadi pusat sehenti perkhidmatan pesara penjawat awam dengan pelbagai perkhidmatan, membabitkan agensi kerajaan dan bukan kerajaan dapat diperoleh di sini.

Dalam konteks ini, JPA turut memberi perhatian terhadap mereka yang bakal bersara melalui pelaksanaan kursus prapersaraan.

Menerusi kursus ini, bakal pesara diberi pendedahan secara komprehensif aspek yang bakal dihadapi oleh mereka selepas perkhidmatan.

Salah satu pendekatan yang kita laksanakan bagi mendekati dan memahami golongan pesara adalah melalui program turun padang.

Kelmarin, saya berkesempatan untuk sama-sama menziarahi tiga pesara kerajaan di Pulau Pinang. Sebagai keprihatinan kerajaan terhadap nasib mereka, saya telah menyampaikan pelbagai sumbangan seperti kerusi roda, kaki palsu dan makanan keperluan harian kepada mereka bertiga.

Pelaksanaan Dasar Pemisah

Pelaksanaan Dasar Pemisah merupakan salah satu inisiatif di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dan merupakan mekanisme strategik kerajaan yang terbaik dalam mewujudkan perkhidmatan awam yang berprestasi tinggi, produktif dan berintegriti.

Bagi memastikan dasar ini diterima oleh penjawat awam, JPA melaksanakan kaedah libat urus (engagement) dengan pelbagai pihak khususnya pihak Kongres CUEPACS, Majlis Bersama Kebangsaan dan Pengurusan Sumber Manusia. Ini selaras dengan hasrat Perdana Menteri supaya perkhidmatan awam menekankan kepada produktiviti dan inovasi bagi mewujudkan sebuah negara berpendapatan tinggi. P

engukuhan budaya kerja berprestasi tinggi dalam persekitaran perkhidmatan awam yang kompetitif adalah perkara yang sentiasa diberikan penekanan oleh Ketua Setiausaha Negara kepada penjawat awam.

Rasional pelaksanaan Dasar Pemisah adalah untuk mengekalkan pegawai yang komited dan berprestasi tinggi; meningkatkan daya saing dalam menghadapi cabaran persekitaran masa kini dan akan datang dan mewujudkan perkhidmatan awam berprestasi tinggi dan berintegriti.

Dasar Pemisah ini menyediakan mekanisme untuk menamatkan perkhidmatan pegawai berprestasi rendah, serta mereka yang gagal mempamerkan kemajuan kerjaya atau mengalami masalah kesihatan menjejaskan keupayaan untuk menjalankan tugas.

Pelaksanaan dasar ini bukanlah satu bentuk penganiayaan kepada penjawat awam, tetapi bertujuan untuk membolehkan perkhidmatan awam meningkatkan lagi daya saingnya dalam mendepani cabaran persekitaran masa kini dan akan datang.

Pegawai berprestasi tinggi tidak perlu bimbang. Dasar ini adalah bersifat developmental dan bukannya bersifat punitif. Inisiatif flagship JPA4U merupakan program untuk menjalin hubungan lebih dekat dengan pelanggan melalui Khidmat Konsultasi Pengurusan Sumber Manusia, Turun Padang dan Libat Urus, Penyebaran Maklumat dan Khidmat Masyarakat.

Antara program yang mendapat sambutan ramai ialah Karnival JPA4U (Penajaan) di MAEPS Serdang, JPA4U-Psycare Outreach Psikologi di Kangar Perlis, Misi Bantuan Kemanusiaan JPA4U (Kempen Derma Darah) dan Program Moh Senam JPA4U.

Pelaksanaan agenda transformasi perkhidmatan awam adalah bertujuan untuk meningkatkan imej serta mengubah persepsi pelanggan yang lebih positif kepada JPA melalui pengenalan pelbagai perkhidmatan baharu yang lebih mesra serta turun padang mendekati rakyat.

Menerusi pelaksanaannya, JPA4U dapat memupuk kerjasama berpasukan, persefahaman dan kekuatan warga JPA ke arah kelestarian transformasi agar kekal relevan.

Menerusi pelbagai program unik dan aktiviti turun padang, JPA4U kini menjadi brand atau jenama yang meniti bibir setiap warga perkhidmatan awam, stakeholders dan masyarakat keseluruhannya.

Model baharu penajaan JPA 2016: Memperkasa modal insan, memartabatkan institusi pengajian tempatan Model baharu penajaan JPA adalah satu lagi usaha strategik di bawah agenda transformasi perkhidmatan awam.

Model itu dirangka berdasarkan empat teras utama iaitu merit dan inklusiviti; fokus kepada golongan B40, M40 dan technical & vocational education and training (TVET); pembangunan Malaysia sebagai hab pendidikan dan pulangan pelaburan.

Model baharu ini membolehkan penajaan dilaksanakan secara komprehensif merangkumi aspek merit dan kecemerlangan serta keperluan membantu golongan berpendapatan rendah dalam kategori B40 terutama dalam bidang teknikal dan vokasional.

Di bawah model baharu ini juga, tumpuan akan diberikan kepada penajaan pelajar ke IPT dalam negara bagi menyokong usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan serantau.

Model baharu penajaan merangkumi enam program iaitu program penajaan nasional; program khas kejuruteraan Jepun, Korea, Perancis dan Jerman; program ijazah dalam negara; program dermasiswa B40; program lepasan bursary; dan program bursary.

Sebagai langkah untuk memastikan pulangan setimpal dengan pelaburan yang dikeluarkan oleh kerajaan, mulai tahun 2016 program penajaan akan dilaksanakan dalam bentuk Pinjaman Boleh Ubah kecuali bagi Program Dermasiswa B40.

Ia berteraskan prinsip pulangan pelaburan kepada negara (ROI) dalam memastikan kerajaan akan memperoleh bakat yang terbaik untuk perkhidmatan awam.

Secara keseluruhannya, Model Baharu Penajaan JPA 2016 dirangka bagi mencapai objektif pembangunan modal insan negara untuk memberi peluang kepada lebih ramai pelajar melanjutkan pengajian di IPT tempatan serta memfokuskan kepada pelajar daripada golongan berpendapatan tinggi.

Rasionalisasi skim perkhidmatan

Inisiatif terkini yang dilaksanakan oleh JPA ialah Rasionalisasi Skim Perkhidmatan bagi agensi persekutuan di bawah Sistem Saraan Malaysia.

Ini merupakan satu lagi inisiatif bersifat breakthrough di mana buat julung kalinya kesatuan sekerja khususnya CUEPACS memberikan kerjasama padu dalam menjayakan pelaksanaan inisiatif ini.

Kerjasama ini jelas terpancar melalui kehadiran Presiden dan Pegawai Tertinggi serta Ahli Majlis Kongres CUEPACS sewaktu saya menandatangani Pekeliling Perkhidmatan 1/2016 pada 7 April 2016 yang lalu.

Pepatah Melayu ada mengatakan 'bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.'

Hakikatnya, untuk mencapai kata sepakat dalam menjayakan rasionalisasi 252 skim ini, pelbagai ranjau dan onak terpaksa dilalui.

Sepanjang kajian ini dijalankan bermula pada tahun 2013 sehingga 2016, kita sudah mengadakan 87 rundingan melalui sesi libat urus yang begitu menyeluruh dan intensif melibatkan ketua perkhidmatan, ketua setiausaha kementerian, ketua jabatan termasuk setiausaha kerajaan negeri, ketua agensi, majlis bersama kerajaan, kesatuan sekerja dan badan profesional yang berkaitan. Inisiatif ini melibatkan penambahbaikan terhadap 252 skim perkhidmatan sedia ada yang merangkumi 1.61 juta penjawat awam.

Rasional di sebalik inisiatif ini adalah untuk menarik dan mengekal modal insan terbaik, menambah baik mobiliti dan kemajuan kerjaya, mewujudkan fleksibiliti dalam urusan perkhidmatan penjawat awam, mengemas kini syarat lantikan supaya relevan dengan keperluan semasa, memperkemaskan pengurusan skim perkhidmatan dan memperuntukkan kelayakan TVET dalam skim perkhidmatan.

Menerajui transformasi perkhidmatan awam

Profesor Raymond Miles dan Profesor Charles Snow, dua tokoh akademik tersohor memperkenalkan empat kategori kepemimpinan dalam karya Groundbreaking bertajuk Organizational Strategy, Structure and Process iaitu Defenders, Analyzers, Reactors dan Prospectors.

Sifat kepemimpinan Defenders lebih cenderung untuk mengekalkan status quo dan selesa untuk berada dalam domain sedia ada demi mengekalkan kestabilan organisasi.

Kepemimpinan Analyzers agak berhati-hati untuk keluar dari kepompong kebiasaan dan mengambil masa untuk melakukan perubahan.

Reactors pula sering kali memberi tindak balas negatif terhadap perubahan dan ketidaktentuan persekitaran, sekali gus menjejaskan prestasi serta keupayaan organisasi.

Berbanding dengan tiga bentuk kepemimpinan sebelumnya, Prospectors lebih inovatif, dinamik dalam menjuarai perubahan dan mengungguli persaingan.

Jelas kepemimpinan Prospectors membolehkan organisasi melebarkan sempadannya dan menjadi perintis dalam meneroka peluang baharu.

Justeru, untuk memacu gelombang transformasi perkhidmatan awam, saya mengambil pendekatan Prospectors yang sentiasa berani untuk berubah, merapatkan jeriji silo dan melebarkan sempadan tindakan.

Dalam menggalas misi ini, JPA memilih untuk merintis laluan mengambil pendekatan road less travelled dalam menggerakkan transformasi Perkhidmatan Awam.

Berasaskan kepada testimoni kejayaan yang sayahujahkan tadi, JPA diberi peranan dan tanggungjawab untuk menerajui perancangan dan pelaksanaan inisiatif dan program ke arah mentransformasikan perkhidmatan awam untuk produktiviti sebagaimana termaktub di dalam bab ke sembilan RMK-11.

Ini merupakan satu lagi lakaran sejarah dalam Perkhidmatan Awam Negara di mana JPA buat julung kalinya diberi tanggungjawab untuk menggalas amanah mentransformasikan Perkhidmatan Awam ke arah menyediakan Perkhidmatan Awam berprestasi tinggi dalam mendokong aspirasi negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020. Melunasi tanggungjawab paling besar iaitu kesejahteraan rakyat sebagai matlamat akhir, maka saya mengajak semua hadirin agar dapat memperhebat rentak kecemerlangan, memantapkan barisan kepemimpinan, memperkukuhkan jalinan permuafakatan sebagai landasan menuju ke destinasi kejayaan.

Dalam hubungan ini, saya penuh yakin dan percaya seluruh warga USM yang berada di hadapan saya pada pagi ini, bersedia untuk mendakap kemas iltizam dan cita-cita bagi menjayakan agenda Transformasi Perkhidmatan Awam demi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju, inklusif dan lestari.

Dengan lafaz kalimah wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, saya akhiri sesi syarahan perdana ini.

‘Selamat datang ke Great Britain’, Setiap rumah ada kubu sendiri

Setiap rumah ada kubu sendiri

BUNYI tembakan dan siren amaran merupakan situasi paling ditakuti seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun, Fatimah Jusuh sejak dia dan keluarga berpindah dari Kampung Pasir Lembu ke Kampung Bertam Baru pada tahun 1952.

Bagaimanapun, setiap kali perkara itu berlaku, mereka tidak panik kerana telah dilatih supaya bertindak mengikut 'prosedur' tertentu sebaik sahaja siren amaran dibunyikan.



Fatimah Jusuh

Dia yang kini mencecah usia 73 tahun memberitahu, jika penduduk gagal bertindak cepat dan masih berada dalam rumah yang berdinding kayu serta buluh, nyawa mereka mungkin melayang terkena peluru sesat.

“Dengar sahaja bunyi amaran, semua orang terutama kanak-kanak, wanita dan orang tua akan segera berlindung di dalam lubang yang digali di bawah rumah masing-masing.

“Lubang tersebut digali memanjang betul-betul di bawah rumah. Jadi, biasanya kami melompat dari lantai rumah terus masuk ke dalam lubang,” katanya.

Menurut Fatimah, mereka hanya akan keluar dari lubang berkenaan jika menerima isyarat keadaan benar-benar selamat.

“Kadang-kadang, kami berada di dalam lubang berjam-jam, malah sehari suntuk. Mahu keluar takut terkena tembakan.

“Sayangnya, kini kesemua lubang telah pun tertimbus. Tidak ada satu pun yang tinggal,” katanya.



Naim Sulaiman

Insiden yang paling tidak dilupakan Fatimah ialah melihat jasad bapa saudaranya yang maut selepas rusuknya terkena tembakan rambang yang dilepaskan pengganas.

“Jasadnya lencun dengan darah. Tembakan tersebut terkena pada bahagian tulang rusuknya dan tembus di bahagian belakang,” katanya.

Mengakui trauma, Fatimah berkata, insiden itu menyebabkan rasa bencinya terhadap komunis bertambah manakala semangat mahu mempertahankan tanah air terus berkobar-kobar dalam diri.

“Seingat saya, sepanjang menetap di Kampung Bertam Baru, pertahanan kami tidak pernah dibolosi musuh. Walaupun diserang, kami berjaya mempertahankan tempat ini.

“Memang kenalah gelaran 'Great Britain' dengan kampung ini,” katanya.


‘Selamat datang ke Great Britain’,

Selamat datang ke ‘Great Britain’. Itu ungkapan pertama yang menyapa telinga kru S2 ketika berkunjung ke Kampung Bertam Baru, Gua Musang, Kelantan baru-baru ini.

Sepanjang tiga jam meluangkan masa di sana, rata-rata penduduk setempat berseloroh dan menyapa dengan ayat lebih kurang sama.

Kami yang kehairanan cuba meninjau keadaan sekeliling kalau-kalau ada petanda yang boleh mengaitkan Kampung Bertam Baru dengan Britain. Sayangnya, tidak banyak tanda-tanda yang mampu menjawab persoalan, kenapa Kampung Bertam Baru digelar Great Britain?


Kampung Bertam, Republik Komunis.

“Gelaran Great Britain ini sebenarnya ada kaitan dengan sejarah Gua Musang yang pernah diancam komunis sekitar 1948 hingga 1960. Dalam tempoh itu, kampung ini dipagari kerawat (kawat) besi dan dikawal rapi anggota keselamatan sehingga dianggap sebagai lokasi paling selamat di Gua Musang.

“Sejak itu, orang ramai sering berjenaka mengatakan kampung ini hebat dan tidak ubah seperti Great Britain. Nama ini disebut dari mulut ke mulut dan turun dari generasi ke generasi sehingga sekarang,” kata seorang penduduk, Naim Sulaiman.

Naim yang juga Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) memberitahu, pada zaman dahulu, kampung tersebut yang terletak di tebing Sungai Betis hanya dikenali sebagai Kampung Bertam.

Katanya, sepanjang zaman darurat, penempatan masyarakat Melayu yang bertumpu di tebing sungai tersebut merupakan kawasan paling kritikal dengan ancaman komunis.

“Menurut sejarah dan cerita orang tua-tua, pada 1952, kerajaan Inggeris mengarahkan semua penduduk di kawasan terpencil iaitu Kampung Kuala Sungai, Kampung Limau Kasturi dan Kampung Pasir Tumbuh yang terdiri daripada kira-kira 500 orang berpindah ke satu lokasi selamat di Kampung Bertam.



Jambatan Clementi menghubungkan Kampung Bertam Lama dan Kampung Bertam Baru

“Pada mulanya, kawasan penempatan baharu ini dipanggil ‘kampung dalam kerawat’ kerana dikelilingi kawat besi. Bagaimanapun tidak lama selepas itu, namanya ditukar kepada Kampung Bertam Baru dan kekal sehingga sekarang," katanya.

Menurut Naim, pembentukan kampung tersebut mungkin mempunyai kaitan dengan Rancangan Briggs yang dilancarkan oleh Sir Henry Gurney di Tanah Melayu pada pertengahan tahun 1950 bagi menyekat kemaraan komunis.

“Dalam Rancangan Briggs, mereka memindahkan penduduk Cina dari kawasan terpencil yang bertaburan dan menempatkan mereka di kawasan penempatan semula atau kampung baru bagi menghalang penduduk kampung menyertai pengganas atau membantu komunis mendapatkan makanan serta maklumat.

“Bezanya di Kampung Bertam Baru, semua penduduk yang dipindahkan adalah orang Melayu dan nyawa mereka diancam komunis kerana enggan membantu pengganas tersebut,” katanya.

Dikatakan sudah wujud lebih 150 tahun lalu, Kampung Bertam yang terletak kira-kira 76 kilometer dari bandar Gua Musang mempunyai bentuk muka bumi yang berbukit-bukau.

Selepas pembentukan penempatan baharu terbabit, kampung itu dibahagikan kepada dua iaitu Kampung Bertam Lama dan Kampung Bertam Baru.

Sungai Betis yang merupakan bahagian hulu kepada Sungai Kelantan menjadi sempadan semula jadi kepada kedua-dua kampung itu.

Paling menarik perhatian ialah kewujudan sebuah jambatan kereta api dengan reka bentuk zaman kolonial yang tergantung merentangi Sungai Betis.

Difahamkan, jambatan tersebut dibina pada zaman pemerintahan Inggeris dan dipanggil Jambatan Clementi, iaitu sempena nama seorang Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu sekitar 1930-an, Sir Cecil Clementi Smith.

Memandangkan ia merupakan jambatan kereta api utama yang menghubungkan Pantai Barat dengan Pantai Timur, jambatan itu sering menjadi sasaran serangan pihak musuh. Malah, struktur itu pernah dibom sehingga runtuh oleh tentera Jepun ketika Perang Dunia Kedua namun berjaya dibina semula pada akhir 1940-an.

Di hujung jambatan berkenaan, terdapat sebuah pondok pengawal kereta api yang dindingnya dipenuhi lubang, dipercayai akibat kesan tembakan dalam beberapa siri pertempuran anggota keselamatan dengan pengganas komunis sepanjang tempoh darurat.

Tidak jauh dari situ pula, terdapat sebuah kubu yang dibina di atas tebing sungai, dipercayai digunakan anggota keselamatan memantau pergerakan keluar masuk sampan penduduk, selain untuk berlindung ketika bertempur. Bagaimanapun, sisa-sisa pagar dawai besi yang pernah mengelilingi kawasan kampung gagal ditemukan.

-

‘Kami anak kerawat besi’, 'Kampung dalam kerawat' untuk penduduk Cina

'Kampung dalam kerawat' untuk penduduk Cina

Jika masyarakat Melayu ditempatkan di Kampung Bertam Baru iaitu sebuah penempatan baharu dikelilingi kawat besi bagi memastikan keselamatan mereka terjamin daripada ancaman komunis, kerajaan Inggeris turut mengambil langkah serupa untuk masyarakat Cina.

Mengikut catatan sejarah, kerajaan Inggeris membuka 'kampung dalam kerawat' khusus untuk masyarakat itu di sebuah lokasi yang terletak tidak jauh dari bandar Gua Musang pada awal 1950-an.

KEADAAN di sebuah Kampung Baru Cina, berhampiran bandar Gua Musang

Mereka dikatakan mewujudkan penempatan berkenaan bukan sekadar ingin melindungi masyarakat Cina, tetapi ingin menyekat golongan itu, terutama yang tinggal di pinggir hutan daripada membantu atau terpengaruh dengan dakyah komunis.

Di kampung tersebut, mereka membina sebanyak 440 buah rumah secara berkelompok dalam bentuk bulatan bagi membolehkan setiap rumah dipantau secara teliti oleh anggota mata-mata dikenali sebagai special constable (SC).



Chang Chin Kok

Seorang penduduk asal kampung itu, Yap Kam Seng, 55, berkata, mengikut cerita orang tua-tua, masyarakat Cina pada masa itu bekerja di ladang sawit, ladang getah, lombong bijih timah dan lombong emas.

Katanya, walaupun dibenarkan keluar bekerja, gerak-geri mereka dikawal ketat selain dicatu makanan.

“Rumah mula-mula yang dibina oleh pihak Inggeris dikatakan amat daif kerana diperbuat daripada buluh dan kulit kayu balak.



Yap Kam Seng

“Kehidupan mereka ketika itu amat susah, mahu ke mana-mana pun perlu lapor dulu kepada SC, selain perlu ada pas masuk khas.

“Penduduk juga sentiasa hidup dalam kebimbangan kerana selain diancam komunis, mereka juga khuatir kalau-kalau dituduh bekerjasama dengan komunis,” katanya.

Setiausaha Dewan Perniagaan Cina Gua Musang, Chang Chin Kok, 50, pula berkata, gelaran 'kampung dalam kerawat' untuk kawasan itu tidak kekal lama kerana digantikan dengan nama Kampung Baru Cina.

Katanya, pada 1980, Kampung Baru Cina mula berubah secara drastik apabila kebanyakan rumah-rumah yang sebelum ini daif dibina semula dan dilengkapi dengan infrastruktur seperti jalan, bekalan air serta elektrik.

“Sekarang kebanyakan rumah tersebut sudah digantikan dengan struktur binaan baharu. Sukar untuk melihat binaan asal,” katanya.


‘Kami anak kerawat besi’

APABILA keluarganya yang tinggal di Kampung Kuala Sungai, Gua Musang sibuk mengemas barangan selepas menerima arahan supaya berpindah ke satu lokasi yang digelar 'kampung dalam kerawat', Mat Lia Senik melompat-lompat keriangan.

Mat Lia yang ketika itu berusia 10 tahun menyangka mereka mahu berjalan ke tempat orang. Dia mula terbayangkan keseronokan meredah hutan, memancing ikan dan melastik burung di tempat baharu.

STESEN Keretapi Lama Gua Musang menghubungkan Kampung Bertam dengan dunia luar satu ketika dahulu

Apa yang dia tidak tahu, 'kampung dalam kerawat' yang kemudiannya dipanggil Kampung Bertam Baru merupakan sebuah kawasan yang dipagari kawat besi dan dikawal ketat sepanjang masa oleh anggota keselamatan.

“Di kampung asal, kami tidak bebas bergerak kerana komunis sentiasa merayu meminta makanan atau mengganggu penduduk. Arwah mak dan ayah melarang saya keluar bermain di luar walaupun di halaman rumah sendiri.

“Jadi, apabila mendapat tahu kami akan berpindah, saya menjadi insan paling gembira kerana menyangka tidak perlu hidup dalam ketakutan lagi,” katanya ketika ditemui S2 baru-baru ini.

Mat Lia yang kini berusia 74 tahun berkata, mengharungi kehidupan serba terkepung dalam kawasan yang dikelilingi kawat besi bukan perkara mudah, terutama bagi golongan kanak-kanak yang sifat semula jadi mereka gemar meneroka.



Junus Latif

“Demi keselamatan, pergerakan kami cukup terhad. Kami perlu mengikut bermacam-macam peraturan ditetapkan seperti tidak boleh keluar rumah selepas Maghrib dan api pelita perlu dipadamkan selepas Isyak.

“Kami tidak dibenarkan keluar masuk kampung sewenang-wenangnya. Kalau ada yang mahu keluar, perlu ada alasan kukuh dan ambil pas di balai polis.

“Makanan juga dicatu dan kami hanya boleh membawa makanan untuk kegunaan sendiri sahaja. Sesiapa yang membawa makanan lebih daripada keperluan akan dirampas,” katanya.

Menurut Mat Lia, dia dan beberapa rakan sebaya pernah curi-curi keluar dari kawasan kampung dengan cara merangkak dalam parit namun ditangkap oleh anggota pengawal atau dikenali sebagai home guard.

Mat Lia Senik

“Kami sebenarnya mahu menjala di luar kawasan kampung. Selepas ditangkap, segala bekalan makanan kami dirampas. Mujur kami tidak diapa-apakan. Mereka cuma mengarahkan kami pulang dan tidak mengulangi perkara sama.

“Ketika itu saya sudah remaja, jadi saya faham tujuan mereka melaksanakan peraturan itu semata-mata demi menjaga keselamatan kami di samping mahu mengelak pengganas komunis mendapat bekalan makanan,” katanya.

Sementara itu, Junus Latif, 68, yang merupakan anak jati Kampung Bertam Baru berkata, dia lahir pada 1948 iaitu ketika darurat mula-mula diisytiharkan di Tanah Melayu.

“Sebagai anak zaman darurat, saya memang tidak mengetahui bagaimana suasana negara yang aman. Saya hanya tahu hidup kami dikelilingi kawat besi dan di luar sana ada orang jahat mahu tembak kami.

“Saya hanya mula mengenali dunia luar selepas zaman darurat berlalu, iaitu sekitar 1960-an, apabila pertama kali keluar dari kampung tanpa perlu memakai pas atau melapor diri di balai.

“Saya rasa seperti dibebaskan dari penjara,” katanya.

-

Enam hari diperintah komunis, Apakah Rancangan Briggs?

Apakah Rancangan Briggs?

“ PADA Jun 1950, kerajaan British di Tanah Melayu memperkenalkan 'Rancangan Briggs' dalam usaha menyekat pengganas komunis daripada mendapat bekalan makanan, ubat-ubatan, penyokong, maklumat dan menyebar luas fahaman komunisme.

“ Rancangan tersebut diilhamkan oleh bekas Komander Divisyen Ke-14 di Myanmar, Sir Harold Briggs yang kemudiannya dilantik sebagai Pengarah Operasi menentang komunis di Tanah Melayu.

“ Dalam rancangan itu, penduduk yang tinggal di pinggir-pinggir hutan dan dianggap sebagai punca kekuatan kepada Parti Komunis Malaya (PKM) telah dipindahkan ke kampung-kampung baru.





Sebuah kubu yang dibina di atas tebing sungai, dipercayai digunakan anggota keselamatan memantau pergerakan keluar masuk sampan penduduk, di Kampung Bertam Baru, di sini, baru-baru ini.Gambar : Wahidin SalimPemberita : Zaain Zin / Aimuni Tuan Lah (Utusan)

“ Kampung-kampung baru ini dipagar kawat berduri dan dikawal oleh pasukan keselamatan. Sebarang pergerakan keluar masuk individu, makanan dan ubat-ubatan di kampung berkenaan turut dikawal selia dengan rapi.

“ Difahamkan, menjelang 1954, seramai 550,000 penduduk dipindah ke lebih 550 kampung baru yang diwujudkan. Mereka menikmati pelbagai kemudahan seperti tempat tinggal, bekalan elektrik, air paip, pendidikan serta perkhidmatan kesihatan.

“ Sebanyak 86 peratus daripada mereka terdiri daripada orang Cina, sembilan peratus orang Melayu, empat peratus orang India dan satu peratus bangsa lain.


Enam hari diperintah komunis

Berdasarkan buku My Side of Story tulisan Chin Peng, pada awal pagi 17 Julai 1948, segerombolan kira-kira 100 pengganas komunis menyusup masuk ke pekan Gua Musang.

Mereka berpecah kepada beberapa kumpulan dan memasuki kampung-kampung berdekatan untuk menangkap ketua-ketua masyarakat Gua Musang.

Menjelang siang, pengganas diketuai komander tempatan bernama Soon Chip Sip @ Kim Siong mengepung dan menyerang Balai Polis Gua Musang yang diketuai oleh seorang Inspektor dengan 15 anggota.

Tembak menembak berlaku selama hampir sejam sehinggalah pihak polis kehabisan peluru.



Tapak yang dipercayai merupakan bekas lokasi Balai Polis di Bandar Lama Gua Musang.

Menurut catatan sejarah, kejadian yang berlaku pada pagi Sabtu tersebut telah mengorbankan seorang polis dan seorang inspektor percubaan berbangsa Melayu serta 14 orang konstabel ditawan.

Pihak komunis kemudiannya mengisytiharkan kawasan itu sebagai Republik Komunis dan dalam masa yang sama menawan sebuah kampung Cina terpencil di situ iaitu Lembah Pulai.

Bagaimanapun, penawanan Gua Musang hanya bertahan untuk enam hari sahaja. Pada 21 Julai 1948 dengan kerjasama penduduk tempatan dan maklumat daripada Cawangan Khas, pihak pasukan keselamatan telah menawan semula Gua Musang.

Rentetan kejayaan itu, pasukan keselamatan berjaya merampas alat senjata, peluru, ubat bedil, bom mortar kepunyaan pengganas dalam kuantiti yang banyak.



Masjid Razaleigh yang terletak di Bandar Lama Gua Musang.

Kesemua komunis terlibat telah terbunuh manakala ketuanya dihukum gantung di Penjara Pulau Pinang pada 2 Februari 1949.

Insiden tersebut menjadikan Gua Musang mencatat sejarah sebagai satu-satunya kawasan di Tanah Melayu yang pernah diisytihar Republik Komunis.

Menurut tulisan Chin Peng, apabila Parti Komunis Malaya (PKM) menilai semula cadangan pendekatan strategik baru, mereka merancang menubuhkan satu kawasan bebas atau 'liberated area' sebagai permulaan ke arah penubuhan negara komunis.

Bagi tujuan itu, mereka sepakat memilih Kelantan, namun misi tersebut telah gagal.


Nik Hassan Nik Jaafar menunjukkan diari milik arwah bapanya yang merupakan bekas Penggawa Hulu Kelantan, Nik Jaafar Nik Soh.

Sebuah kubur yang berada di dalam ruang solat Masjid Razaleigh, Gua Musang menyimpan kisah tersendiri yang menyayat hati.

Kisah tersebut mempunyai kaitan dengan peristiwa serangan pengganas komunis sebagaimana diceritakan bekas Penggawa Hulu Kelantan, Nik Jaafar Nik Soh dalam sebuah diari yang kini disimpan anaknya, Nik Hassan Nik Jaafar, 56.

Menurut catatan diari tersebut, komunis menyerang bandar Gua Musang pada pukul 6.30 pagi, 1 Januari 1943. Ekoran serangan itu, penduduk panik dan bertempiaran lari menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa kekejaman komunis.

Nik Jaafar berjaya melepaskan diri dengan terjun ke dalam sungai dan berendam di situ dari pagi sehingga menjelang Maghrib.

Selepas yakin tidak lagi diburu komunis, dia berlari seorang diri untuk meminta bantuan di Balai Polis Bertam yang terletak kira-kira 76 kilometer, menggunakan jalan darat dan tiba di sana pada 4 Januari 1943.



Imam Masjid Razaleigh, Mohd. Saifuldin Mohamed, menunjukkan sebuah pusara yang terletak di dalam ruangan solat utama masjid itu di Bandar Lama Gua Musang.

Sekembalinya ke Gua Musang bersama pasukan polis, dia melihat rumah penduduk, kuaters kereta api dan balai polis musnah dibakar komunis.

Dua hari kemudian, mereka pergi ke Kampung Batu Papan bagi menemui isteri dan anak-anaknya termasuk penduduk kampung yang terselamat.

Bagaimanapun, adiknya, Nik Mah yang sarat mengandung lapan bulan dikatakan tidak sempat melarikan diri dan hanya mampu bersembunyi di dalam sebuah longkang tidak jauh dari sebuah madrasah.

Wanita malang itu berjaya dikesan oleh sekumpulan komunis yang kemudian menembaknya sehingga mati. Turut maut dalam serangan itu ialah 26 penduduk kampung yang lain.

Balai Polis Kampung Bertam Baru

Memandangkan ketika itu dalam keadaan darurat, hanya jenazah Nik Mah sempat disemadikan dengan sempurna. Allahyarham dikebumikan bersebelahan madrasah.

Selepas beberapa tahun, madrasah berkenaan dinaik taraf menjadi masjid dan diperbesarkan dari semasa ke semasa sehingga menyebabkan kubur Nik Mah berada dalam ruang solat masjid sehingga sekarang.

Ketika ditemui, Nik Hassan memberitahu, manuskrip diari usang ditemukannya di dalam bilik Allahyarham bapanya. Selain catatan peristiwa itu, Nik Jaafar turut berkongsi kesukaran hidup orang Melayu di Gua Musang ketika zaman darurat.

Nik Jaafar meninggal dunia kerana sakit tua ketika berusia 89 tahun.

-