May 17th, 2016

Generasi Y tidak sesuai ikut acuan lama

BAGI mereka yang dilahirkan dalam zaman baby boomer tentunya masih teringat lagi kuliah dalam tahun 1970-an. Hadir kuliah adalah kepastian untuk mendapat ilmu kerana ilmu berada pada pensyarah.

Pelajar hanya menyalin nota bahan syarahan. Bagi mereka yang cekap menyalin dan fokus semasa syarahan, nota mereka adalah lengkap dan sering dijadikan bahan rujukan pelajar lain.

Begitulah cara pengajaran dan pembelajaran pada 1970-an. Ramai dalam kalangan baby boomer kini yang masih bertugas dengan aktif sebagai pensyarah di institusi pengajian tinggi dan ramai juga menjadi penggubal dasar pendidikan negara.

Mereka ini ditugaskan untuk mendidik generasi Y yang mempunyai personaliti berbeza antara baby boomer dengan generasi Y. Ketidaksepadanan akan berlaku sekiranya pendidik daripada baby boomer tidak memahami personaliti dan kehendak generasi Y.

Perbezaan personaliti

Banyak karya telah membincangkan mengenai perbezaan personaliti antara baby boomer dengan generasi Y.


GAMBAR hiasan. Seisi pembelajaran generasi Y. - Foto Amir Irsyad Omar



Secara amnya generasi Y adalah digital native yang dilahirkan dalam era ledakan maklumat, cepat jemu mendengar syarahan, gemar kepada bekerja dalam kumpulan dengan kecenderungan mendapatkan pengalaman guna tangan (hands-on), sentiasa terangsang untuk mencuba, suka belajar secara kreatif, interaktif, menyeronokkan dan gemar berfikir di luar kotak.

Baby boomer pula agak terasing kepada dunia digital kerana kebiasaannya mengekalkan gaya pembelajaran tradisional dalam pengajaran yang mana teknologi digunakan untuk penambahbaikan dan bukannya sebagai acuan.

Kumpulan generasi Y mempunyai pengharapan yang berbeza terhadap gaya pembelajaran berbanding generasi sebelumnya.

Pemimpin dari segenap disiplin telah memberikan perhatian ke atas cabaran dan peluang berkaitan dengan latihan ke atas kumpulan generasi unik ini.

Untuk memastikan kejayaan dalam pengajaran, pendidik perlu memahami hakikat bahawa generasi Y tidak boleh ditangani mengikut acuan generasi lalu.

Kita juga perlu terus memahami keadaan generasi Y dan mengambil strategi pengajaran yang menjawab dan responsif kepada kehendak akademik mereka.

Pembelajaran moden

Menyedari hakikat ini dan untuk memastikan dapat menggapai pembelajaran yang efektif untuk generasi Y, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mengamalkan pembelajaran teradun di mana sebahagian daripada pengajaran dan penyampaian kandungan sesuatu kursus dilaksanakan secara dalam talian.

UPM mewujudkan 'Putra Learning Hub' yang mengandungi portal PutraBlast, PutraMOOC, PutraOCW, gamifikasi dan penilaian pengajaran atas talian. PutraBlast diperkenalkan untuk melaksanakan pembelajaran teradun di samping menyokong usaha UPM ke arah pembudayaan e-Pembelajaran yang lebih komprehensif.

Pembelajaran secara Atas Talian Terbuka dan Meluas (MOOC) melalui portal PutraMOOC membenarkan pelajar di serata dunia mendaftar dan belajar sesuatu kursus secara fleksibel.

Contohnya kursus Pertanian dan Manusia yang ditawarkan oleh UPM dipelajari pelajar dari 24 negara.

Putra Open Courseware atau PutraOCW pula merupakan platform yang dibangunkan bertujuan untuk berkongsi e-kandungan kursus yang ditawarkan di UPM untuk komuniti global.

Gamifikasi pula merupakan pendekatan yang menggunakan kaedah permainan seperti permainan video dalam proses pengajaran dan pembelajaran bertujuan untuk menjadikan proses pembelajaran ini menjadi lebih menarik, interaktif dan terlibat.

Natijahnya, tugas pensyarah telah beralih daripada memberi syarahan kepada pemudahcara pembelajaran, perubahan daripada pembelajaran berpusatkan pengajar kepada pembelajaran berpusatkan pelajar.

Kuliah tidak sewajarnya lagi berbentuk satu hala daripada pensyarah kepada pelajar, tetapi kepada perbincangan dengan pelajar.

Dewan kuliah di mana kerusi dan meja disusun untuk membolehkan pelajar melihat pensyarah tidak lagi relevan. Sebaliknya, dewan kuliah mengandungi meja bulat yang menggalakkan interaksi antara pensyarah dengan pelajar dan dalam kalangan pelajar

Guru dihargai mampu galas tanggungjawab

TANGGAL 16 Mei setiap tahun menjadi hari yang ditunggu-tunggu oleh semua warga bergelar guru atau panggilan keramatnya 'Cikgu'. Tema Hari Guru yang dipilih pada 2016 ialah 'Guru Pembina Bangsa'.

Tema ini dipilih buat kali ketiga selepas tema sama diraikan pada 2009 dan 2010. Apa yang ingin dirungkaikan ialah di sebalik tema yang dipilih setiap tahun, sudah pasti terselit peranan dan tanggungjawab serta jasa seorang yang bergelar Guru.

Begitulah betapa rencamnya peranan guru. Walaupun saya sudah meninggalkan alam yang penuh nostalgia sebagai guru, setiap kali menjelang 16 Mei, hati kecil saya pasti terusik dan mengimbau kembali ketika saya dipanggil oleh murid 'Cikgu Mary'.

Ketika itu saya dapat melihat murid saya begitu bersungguh-sungguh meraikan cikgu dengan pelbagai persembahan menarik dan mencuit hati, semata-mata untuk menggembirakan hati seorang guru.

Tidak cukup dengan persembahan, malah murid saya juga turut menghadiahkan dengan ucapan Selamat Hari Guru yang tidak lekang dari bibir mereka serta pemberian hadiah yang amat menyentuh hati.

Semua itu dilakukan oleh murid sebagai tanda terima kasih dan penghargaan terhadap jasa dan titik peluh guru mereka walau di mana juga ceruk rantau sekolahnya.

Bentuk kualiti murid

Kini, Hari Guru disambut lagi buat kali ke-45 dengan meletakkan peranan guru sebagai Pembina Negara Bangsa.

Peranan guru dilihat sebagai individu yang membina dan membentuk kualiti murid dalam aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek bagi memenuhi aspirasi pendidikan negara.

Dalam konteks Negara Bangsa pula, guru perlu menyuntik dalam diri setiap murid untuk memiliki jati diri yang kukuh, patriotik, berpegang teguh kepada ajaran agama dan nilai moral serta hidup dalam masyarakat penyayang, berbudaya saintifik dan bersatu padu.

Begitulah betapa besar dan hebat amanah serta komitmen yang harus dipikul oleh guru. Apabila kita membuat refleksi mengenai sambutan Hari Guru pada tanggal 16 Mei, maka sudah pasti terbayang di minda kita sambutan penuh meriah peringkat kebangsaan, daerah dan sekolah.

Tujuannya hanya satu iaitu 'Jasamu Guru Disanjungi, Jasamu Guru Dihargai'.

Tanpa guru, kita tidak akan berada pada posisi sekarang dengan pelbagai kejayaan, ketinggian ilmu dan jawatan disandang.

Setinggi mana kejayaan digapai oleh muridnya, tidak akan terlintas langsung rasa cemburu di sanubari seorang guru.

Keikhlasan seorang guru menjadikan mereka mampu tersenyum puas apabila melihat kejayaan anak didiknya.

Falsafah seorang guru cukup mudah, tetapi mendalam iaitu kejayaan anak didiknya adalah kejayaan guru jua, walaupun mereka tidak menerima apa-apa ucapan atau hadiah akan sumbangan dan jasa mereka.

Cukuplah sekadar melihat dari kejauhan anak didik yang diasuh, menjadi 'manusia' berguna kepada negara bangsa dan yang lebih penting meraih kejayaan dunia dan akhirat.

Setiap tahun silih berganti, datang dan pergi anak murid yang dididik, namun seorang guru yang ikhlas dan memiliki integriti yang tinggi akan setia dengan tugasnya untuk menyebarkan ilmu serta membimbing murid mereka tanpa rasa prejudis.

Sebagai seorang bekas pengetua, saya dapat berasakan bahawa jika kita ikhlas dan amanah dalam tugas, sudah pasti hasilnya di luar jangkaan.

Kejayaan saya membawa Sekolah Menengah Teknik Tawau suatu masa dahulu menjadi sekolah cemerlang adalah kerana dengan izin Tuhan serta kerja yang dilakukan oleh guru dan staf sokongan dengan penuh keikhlasan serta berintegriti.

Saya melihat peranan guru dan staf sokongan sekolah adalah satu keutamaan dan aset yang sangat penting untuk memacu kecemerlangan sekolah.

Bagi saya, penghargaan dan keraian perlu diberikan selayaknya dengan peranan dipertanggungjawabkan kepada mereka.

Sebagai pemimpin sekolah, bukan sekadar hanya menunggu Hari Guru barulah guru diraikan dengan pelbagai juadah, hadiah dan ucapan.

Sebaliknya, letak dan kalungkan penghargaan itu kepada guru sewajarnya dan pada tempatnya.

Pendekatan ARRAS (Accept, Respect, Recognise, Appreciate, Support) yang menjadi amalan saya sehingga kini dan selaku pengetua ternyata berjaya memenangi hati warga sekolah serta mewujudkan hubungan yang bertatasusila antara warganya.

Kejeleketan yang diwujudkan ini akhirnya menjadikan SM Teknik Tawau muncul sebagai sekolah disegani peringkat kebangsaan dengan pelbagai kejayaan.

Motivasikan guru

Justeru, seorang pengetua mesti mempunyai kecergasan fizikal, kemahiran komunikasi berkesan, kecerdasan emosi dan kecerdasan sosial yang tinggi untuk memenangi hati guru, staf sokongan dan murid supaya mereka berasa sebagai satu pasukan dihormati dan dihargai.

Penghargaan dan keraian kepada guru sememangnya sentiasa menjadi keutamaan saya sebagai satu daripada cara memotivasikan guru.

Guru yang bermotivasi sudah pasti mampu menggalas apa juga tanggungjawab yang diletakkan di bahu mereka.

Mana mungkin guru yang tidak dihargai dan tertekan dengan pelbagai kerenah pentadbiran sekolah akan mampu melaksanakan tugas dan agenda pendidikan negara.

Sempena Hari Guru 2016, saya ingin menyeru kepada semua kepemimpinan sekolah, ibu bapa, murid serta masyarakat agar menghulurkan rasa terima kasih dan penghargaan kepada guru dalam apa juga cara dan acara.

Sebagai ibu bapa, semaikan rasa penghargaan dalam diri anak untuk menghargai guru kerana anak yang boleh menghargai orang lain sudah pasti akan menghargai diri sendiri dan ibu bapa mereka.

Sememangnya pengorbanan dan jasa guru tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata.

Jasamu guru perlu disanjung kerana 'guru menyentuh masa depan' dan 'merekalah yang membuat perubahan'. 'Jasamu Guru Dikenang, Budimu Guru Ditatang', bersyukur dan berbanggalah kerana anda seorang guru!

Selamat Hari Guru! Guru Pembina Negara Bangsa.
Mary Yap Kain Ching Berita Harian Kolumnis 17 MEI 2016 @ 6:05 AM

Hari Guru, antara keikhlasan dan harapkan balasan

Semalam. 16 Mei. Hari Guru.

Hari Guru kembali lagi dan ia kini menjadi pesta masyarakat di negara ini, bukan saja di kalangan anak-anak kita tetapi juga ibu bapa sebagai tanda mengucapkan rasa terima kasih kepada individu yang bertanggungjawab mengajar ilmu formal kepada kita semua.

Secara kebetulan hujung minggu lalu saya ke kedai cenderamata berhampiran kawasan rumah. Penuh sesak kedai itu dengan ibu bapa bersama anak masing-masing. Sibuk memilih hadiah untuk guru. Kedai itu juga menyediakan bahagian khas hadiah untuk guru. Ada kad, ada juga cawan tercetak ucapan ‘Selamat Hari Guru’.

Saya lihat seorang emak mengangkut sebakul besar pelbagai cenderamata dipilih untuk dijadikan hadiah guru. Katanya, anak pilih sendiri hadiah untuk guru sekolah kebangsaan, menengah, malah untuk guru sekolah agama pun ada. Diangkat diletakkan atas tempat juruwang. Berkeping-keping juga wang bertukar tangan.


Zaman terkini, tidak ada lagi hadiah untuk guru hanya sebatang pen. Malu anak kita kalau dia bagi hadiah pen saja pada guru.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ia sudah jadi satu budaya. Murid beri hadiah pada Hari Guru seolah-olah kini jadi satu kemestian. Bukan lagi trend, tapi sudah jadi wajib dan menjadi kewajipan kepada ibu bapa menyediakannnya.

Hari Guru ialah hari kita menzahirkan apresiasi atas sumbangan tulus murni dan khidmat bakti dicurahkan pendidik kepada masyarakat seluruh negara. Itu kata pembuka ucapan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid sempena sambutan semalam.

Maka, tepatlah juga keadaannya jika hadiah bertukar tangan antara murid dan pendidik pada hari itu.

Cuma, saya ingin membawa perspektif berbeza dalam melihat cara sambutan Hari Guru yang saban tahun kita raikan.

Zaman terkini, tidak ada lagi hadiah untuk guru hanya sebatang pen. Malu anak kita kalau dia bagi hadiah pen saja pada guru.

Bila Hari Guru tiba, penuh Facebook saya dengan gambar rakan-rakan yang kini bergelar guru bergambar di samping lambakan hadiah diterima daripada murid. Senyuman bangga terukir. Saya tumpang bangga dan jujurnya, ada sedikit cemburu. Rugi tak jadi cikgu dulu, kalau tak mesti setiap tahun dapat hadiah berlambak.

Tahun ini, seorang kawan beritahu, ada murid di sekolah anaknya kumpul duit beramai-ramai sesama rakan, belikan guru beg berjenama antarabangsa yang harganya ratusan atau boleh jadi juga cecah ribuan ringgit. Hebat.

Itu kisah guru di sekolah ternama yang menempatkan murid-murid bijak, anak orang ada-ada di mana ibu bapa tidak lokek beri duit untuk bagi cikgu hadiah. Di sekolah seperti ini juga, sedar atau tidak, ibu bapa berlumba-lumba hendak beri yang terbaik supaya anak dapat jadi perhatian guru.

Namun, guru yang mengajar di sekolah sederhana, di kampung atau di kawasan pedalaman dan luar bandar tidak merasa kemewahan terima hadiah pada Hari Guru. Dapat sabun mandi atau kotak tisu pun sudah boleh dianggap mewah.

Rakan saya beritahu dia tempah hadiah khas untuk guru anaknya sejak awal tahun. Tahun ini ditempahnya magnet peti sejuk tertera ucapan untuk guru dilengkapi nama anaknya. Begitu sekali seorang emak menjaga hati guru yang mendidik anaknya.

Seorang lagi rakan saya, dia pendidik. Garang orangnya. Dia awal-awal lagi buat pengumuman dalam kelas, jangan beri dia hadiah, terutama sekali hadiah yang mahal-mahal. Tidak mahu nanti bila diberi hadiah, dia rasa bersalah untuk marah pelajar, katanya.

Dia beritahu hadiah paling ditunggu-tunggu ialah bila pelajar tamat belajar, mereka hantar Whatsapp beritahu dapat kerja yang elok, sentiasa ingat pesanan cikgu dan ucap terima kasih. Itu yang dia tunggu, hadiah dalam bentuk itu.

Seorang lagi kawan saya, juga pendidik. Guru di sekolah menengah biasa. Dia suka sekolah tempat dia mengajar. Katanya, sekolah biasa yang sederhana. Hadiah paling best dia terima pada Hari Guru ialah nasi dan asam pedas kegemarannya, selain seutas jam tangan. Itu pun, katanya, dia rasa kasihan pada pelajar yang beri, kerana bersusah-susah membelikan hadiah. Apatah lagi, pelajarnya bukan anak orang senang.

Cuba kita lihat begini, mungkin dalam kemeriahan guru terima hadiah hebat-hebat itu, ada murid yang ambil keputusan untuk tidak hadir ke sekolah pada hari berkenaan. Mungkin kerana malu dia tidak ada apa-apa untuk dihadiahkan, barangkali tidak mampu, tidak ada duit. Yang dia mampu hanya beri ucapan dan doa.

Satu lagi situasi. Mungkin dalam cuba memenuhi permintaan anak yang mahu rasa seronok bila cikgu gembira terima hadiah daripadanya, ada ibu bapa berpuasa kerana terpaksa korbankan duit makan tengah hari di pejabat demi membelikan sesuatu untuk guru anaknya. Siapa yang tahu kan?

Bukanlah saya kata guru tidak patut dapat hadiah. Memang patut pun dan mereka berhak diberi penghargaan sedemikian.

Tetapi mungkin perlu ada hadnya. Had daripada segi harga atau jenis barang. Supaya jangan sampai ia dilihat seperti sesuatu yang melampau.

Saya kenang jasa guru-guru saya dan guru anak saya. Tapi, saya rasa budaya berhabis duit beli hadiah sempena Hari Guru perlu dihentikan.

Saya faham beri hadiah adalah hak ibu bapa dan murid berkenaan sebagai tanda terima kasih tidak terhingga kepada guru yang mendidik. Duit masing-masing, suka hati masing-masinglah.

Bukan juga salah guru sehinggakan budaya ini terdidik dalam masyarakat kita sekarang. Guru hanya menjalankan tugas dan kemudian diberikan pula penghargaan. Di mata kasarnya, ia hanya satu proses timbal balik.

Sememangnya tanpa guru, siapalah kita. Sebesar mana pangkat kita, apa yang kita ada, guru yang terlebih dulu beri. Jadi, logik juga jika kita tak berkira, sedia berhabis untuk membalas jasa guru dalam bentuk material.

Tapi, logik juga jika kita melihat ia dari sisi yang berbeza, iaitu keikhlasan guru mencurahkan ilmu ke dada murid tidak sepatutnya dinilai dengan balasan dan material.

Walau apa pun, tiada kuasa dalam tangan saya. Saya tidak akan mampu mengubah budaya itu. Saya juga terpaksa mengaku kalah bila anak sendiri teresap dalam budaya itu. Kalau hendak mengubahnya, kita kena ubah sama-sama. Kita sebagai ibu bapa, dan anda sebagai guru.

Mungkin kita tidak perlu menyambut Hari Guru

Tidak ada keraguan mengenai guru-guru yang telah membentuk kehidupan kita. Walau bagaimanapun, kita tidak boleh bayangkan bahawa isu sistem pendidikan kita masih tidak mencapai tahap yang membanggakan. Isu ini memang berkait rapat dengan golongan pendidik.

Kes-kes murid-murid dan pelajar tidak berinteraksi dan berkomunikasi di dalam bilik darjah telah diketahui umum. Sekiranya anda membuat pertanyaan, anda adalah seorang yang bermasalah. Jika perlu ‘menghafal’ atau ‘berserah kepada takdir’ untuk berjaya dalam peperiksaan, mengapa anda perlu membuat pertanyaan?

Ada isu yang seragam dengan hubungan pelajar-pendidik di sekolah-sekolah Malaysia. Pendidik dikatakan ‘kemaruk kuasa’ walhal pekerjaannya adalah untuk melatih dan mendidik.

Nampaknya apa pendidik kita telah menunjukkan bahawa kita adalah masyarakat kasar dan ganas.

Persekitaran dan pengawalan bilik darjah adalah bersifat diktator. Pelajar digesa untuk takut dan patuh akan pendidik.

Dalam situasi yang tidak keruan ini jugalah masyarakat dianjurkan dengan budaya menyambut Hari Guru, yang meletakkan pendidik pada platform sebagai ‘raja sehari’, dan bukannya dengan menganggap mereka sebagai profesional.

Guru diketahui kerap tidak berada di dalam bilik darjah atau sekolah kerana mesyuarat, menghadiri bengkel dan latihan. Kanak-kanak dan penjaga tidak boleh menegur salah laku yang berlaku kerana tatacara dan bidang yang disemai dalam sistem pendidikan kita.

Lain-lain bentuk yang turut berada dalam kelas ini adalah hukuman dan penderaan.

Berita mengenai guru Malaysia menyalahgunakan kuasa terhadap pelajar adalah biasa. Cerita seperti ini kerap muncul dalam akhbar dan media massa. Tentunya kita melihat apa yang berlaku sebagai sesuatu yang tidak normal. Namun, kekerapan isu yang berlaku hanya dilihat sekadar hanya kes yang dilaporkan.

Walaupun hukuman adalah tidak dibenarkan, namun sebahagian besar masyarakat Malaysia masih percaya ‘menghukum dengan merotan, merosakkan kanak-kanak’.

Anda tentunya tertanya-tanya atau memikirkan bagaimana anak-anak sekolah beriya-iya dan berkira-kira untuk menyambut Hari Guru apabila mereka pergi ke kelas setiap pagi.

Anda mungkin berkata kejadian dan laporan salahguna kuasa guru adalah kejadian terpencil. Tidak semua guru akan menghukum memukul anak-anak kecil kerana tidak melakukan kerja rumah.

Pihak pentadbir sekolah seharusnya berupaya mengawal kebimbangan dan tahap disiplin di sekolah.

Nampaknya apa pendidik kita telah menunjukkan bahawa kita adalah masyarakat kasar dan ganas. Orang yang mempunyai pengaruh yang besar akan menggunakan kekejaman untuk menjinakkan yang lemah.

Kita amat bersetuju bahawa pendidik adalah individu yang paling penting untuk pembentukan dan pembangunan negara dan Hari Guru perlu diadakan namun kita juga perlu mengambil kira mereka yang bertanggungjawab terhadap tindakan yang tidak wajar terhadap anak-anak sekolah.

Kejadian pendidik menghukum murid sehingga menjadi viral harus di kawal dengan baik dan sempurna dan ini memerlukan pelaksanaan undang-undang yang mantap dan memerlukan perubahan sosial.

Untuk perubahan sosial menjadi kenyataan, ia adalah penting untuk bermula dengan mengharuskan atau tidak menyambut Hari Guru secara besar-besaran, dan mungkin berubah menjadi Hari Pendidik-Pelajar. Ini patut menjadi hari menyokong hubungan yang mesra, menghargai dan penuh keterbukaan di kalangan pelajar dan pendidik. Kita perlu merubah kearah yang lebih ceria berbanding dekad kebelakangan ini.

Pada Hari Guru, kanak-kanak bimbang dan risau tentang membeli kad ucapan untuk guru dan bersaing dengan rakan-rakan pelajar dalam memberi mereka hadiah yang bermakna. Sebaliknya, kita perlu membuat mereka mengharapkan ia sebagai satu hari dimana sesi perbincangan dan bersoal jawab dengan guru-guru bagaimana untuk menjadikan sekolah mereka tempat yang lebih baik, bebas daripada keganasan dan buli.

Mungkin penulisan ini berbunyi negatif namun perbincangan diatas kebenaran dan keterbukaan adalah langkah terbaik. Apabila seorang guru berasa bertanggungjawab terhadap tindakan-tindakan mereka, pelajar akan dilahirkan semula di dalam kelas. Jika guru-guru kekal tidak berubah, ia harus dimaklumkan dan ia adalah hari yang kita tidak patut menyambut Hari Guru.

“Tidak semua orang sama, namun tetap ada batu-batu di dalam lautan mutiara, dan batu-batu yang wujud di dalam lautan mutiara mewujudkan pendapat terhadap lautan tersebut”.

Azizi Ahmad adalah pembaca FMT

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT

Artikel ini ditulis secara-men-men dan diterima oleh media berdasarkan urutan 'Hari Guru, antara keikhlasan dan harapkan balasan FMT Opinion 17 May 2016'