July 25th, 2016

Jasa besar Ibrahim kepada UiTM

“Sekitar pukul 1 pagi saya melarikan diri ke dalam hutan berdekatan Batu Tiga, Shah Alam, namun tidak bernasib baik apabila terjatuh ke dalam kolam. Mahu tidak mahu saya terpaksa meredah paya hingga ke stesen kereta api Batu Tiga. Bagaimanapun saya tidak dapat naik ke jalan raya kerana kawasan itu dikawal polis. Saya juga terpaksa merangkak di atas landasan kereta api kerana helikopter polis berlegar-legar di udara. Suasana malam itu seperti medan perang dan tembakan gas pemedih mata pula seperti pertunjukan bunga api.”

Itulah yang dicatatkan oleh bekas Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali dalam bukunya, Perjuangan Tanpa Noktah bagi memaparkan suasana pada 22 April 1974 berikutan tercetus­nya demonstrasi pelajar Institut Teknologi Mara (ITM), kini Universiti Teknologi Mara (UiTM)- bagi menuntut institut tersebut dinaik taraf menjadi universiti.


Ibrahim Ali berucap di sudut pidato ITM, Shah Alam pada 1974 bagi membangkitkan semangat pelajar untuk menuntut ITM menjadi universiti.

Ibrahim yang ketika itu menjadi Presiden Kesatuan Siswa ITM (KSITM) adalah watak penting yang mencetuskan gelombang kebangkitan pelajar institut itu bagi tujuan tersebut.

Tetapi persoalannya, berapa ramaikah bekas pelajar ITM atau UiTM mengetahui betapa besar­nya jasa anak kelahiran Kelantan itu? Walaupun demonstrasi ber­kenaan berakhir dengan kerajaan yang ketika itu dipimpin oleh Tun Abdul Razak Hussein hanya memberikan pengiktirafan beberapa diploma ITM setaraf dengan ijazah, namun impian Ibrahim untuk melihat institut tersebut menjadi universiti tidak pernah padam.

Berikutan itulah saban tahun, biarpun apa juga jawatan yang beliau sandang, di mana juga forum beliau berucap perjuangan untuk menjadikan ITM sebagai universiti sentiasa sahaja me­niti di bibirnya. Ini termasuklah bagaimana setiap tahun bermula 1982 hingga 1987 dalam Mesyuarat Agung Pergerakan Pemuda UMNO Pasir Mas yang dipimpin oleh beliau, mereka meluluskan usul mendesak kerajaan menaiktaraf ITM menjadi universiti.

Dalam memastikan usahanya berjaya, Ibrahim tidak gentar untuk berhujah dengan Tun Abdul Razak dan Tun Dr. Mahathir Mohamad apabila kedua-dua pemimpin itu menyatakan ITM tidak boleh menjadi universiti kerana institut itu tidak terletak di bawah Akta Universiti.

“Saya berhujah undang-undang ini buatan manusia dan kalau hendak bagi seribu daya, kalau tidak hendak bagi, seribu dalih. Makna­nya kerajaan boleh susun semula atau pinda peraturan.” Catat Ibrahim lagi dalam buku tersebut.

Akhirnya perjuangan Ibrahim selesai pada 26 Ogos 1999, apabila Dr. Mahathir yang ketika menjadi Perdana Menteri melancarkan pengisytiharan ITM menjadi universiti di Stadium Malawati, Shah Alam.

Kejayaan itu adalah hasil usaha Ibrahim yang tidak pernah mengenal erti putus asa dalam perjuangan beliau bagi meningkatkan mutu pendidikan anak bangsa. Segala­nya hasil penganjuran Perhimpunan Siswazah ITM di stadium tersebut pada tahun berkenaan. Perasaan sayang Ibrahim kepada UiTM (ITM) tidak berakhir di situ sahaja, malah beliau turut memainkan peranan penting bagi mewujudkan Fakulti Perubatan dan penubuhan Yayasan Budiman bagi memberikan sumbangan kepada alumni dan pelajar-pelajar Melayu di UiTM.

Tetapi soalnya, setelah berjuang selama 25 tahun untuk membolehkan ITM menjadi universiti dan kini ratusan ribu graduan dilahirkan sejak 1999, adakah Ibrahim menerima pengiktirafan sewajarnya?

Mahu tidak mahu sesiapa juga harus mengakui berdasarkan rentetan peristiwa sejak demonstrasi pelajar pada 1974, Ibrahim sudah selayaknya menerima penghargaan tertinggi daripada UiTM kerana perjuangannya. Tidak ada janggalnya kalau beliau dipertimbangkan untuk menerima anugerah doktor kehormat daripada universiti itu. Kalaulah tokoh lain yang sumbangan mereka tiada kaitan dengan kejayaan menaiktaraf ITM menjadi universiti mendapat anugerah tersebut, kenapa Ibrahim tidak boleh?

UiTM juga sepatutnya berasa bangga kerana mampu melahirkan seorang pelajar seperti Ibrahim yang jiwa perjuangan untuk bangsanya tidak pernah luntur sehingga sanggup ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebanyak dua kali iaitu pada 1974 dan 1987.

Mungkin atas semangat itu juga dalam bukunya Ibrahim mencatatkan, “Kalau dibandingkan dengan apa juga pencapaian saya, perjuangan menaiktaraf ITM menjadi universiti adalah satu kejayaan yang tiada tolok bandingnya. Ia bukan kerana saya tetapi demi masa depan pendidikan anak-anak Melayu dan bumiputera.”

Oleh itu, adalah wajar kepemimpinan UiTM merenung kembali jasa besar Ibrahim kepada institusi pengajian tinggi (IPT) tersebut. Ibrahim mungkin tidak pernah merayu atau meminta beliau diberi anugerah kerana perjuangan berkenaan tetapi sebagai IPT yang kini semakin terkenal kerana keupayaan melahirkan tokoh yang hebat-hebat, tidak ada salah secebis penghargaan se­perti anugerah doktor kehormat diberikan kepada Ibrahim.

Dalam membuat keputusan tersebut adalah penting mana-mana juga individu dalam UiTM mengenepikan sebarang sentimen tidak berasas terhadap Ibrahim yang kini Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa). Ini memandangkan penulis difahamkan suatu ketika dahulu ada cadangan beliau diberi anugerah berkenaan namun hasrat itu terbantut apabila ada yang iri hati.

Apa yang penting untuk ditegaskan, kalau bukan kerana insan bernama Ibrahim Ali belum tentu ITM menjadi universiti pada 1999. Oleh itu fikir-fikirkanlah. Penulis yakin kepemimpinan UiTM berjiwa besar dan bijak menilai jasa seseorang terutamanya bekas pelajar seperti Ibrahim.

-

Pentingnya ketaatan dalam setiap perkara

SEBELUM ini berlaku perpecahan dalam sebuah parti yang berpunca daripada isu ketaatan terhadap ketua sehingga wujud sebuah parti baharu dengan wadah yang kononnya lebih segar berbanding parti lama. Ahli yang berpaling tadah ini sebenarnya telah menjadi boneka kepada sebuah parti seteru yang selama ini bergandingan bahu di bawah tahaluf siyasi. Roh ketaatan mereka kepada ketua lain walaupun jasad mereka berada dalam parti.

Golongan yang sering tidak taat itulah yang ‘terkeluar’ dan yang tinggal adalah yang mencintai perpaduan dan kesatuan umat tanpa mengira ideologi politik. Mereka kembali kepada penyatuan semata-mata kerana agama. Sedangkan yang tidak dapat menerima perkara ini sanggup memperlekehkan usaha penyatuan dan membelakangkan agama. Tidak perlu dihujahkan ribuan ayat al-Quran dan hadis, cukup dengan satu perintah Allah yang menyeru kepada penyatuan dan perpaduan sesama Islam untuk menjadi sandaran atau alasan kita untuk tidak berpecah-belah. Ini dinamakan ketaatan.

Selepas ‘fasa pembersihan’ ini, lihatlah alangkah bermaruah dan gahnya parti tersebut. Ulama-ulama diangkat ke tempat yang sepatutnya dan ahli-ahlinya mentaati ketua mereka. Segala keputusan mudah untuk dicapai kerana tiada lagi gunting dalam lipatan atau api di dalam sekam. Alhamdulillah. Ini kerana apabila kita berkehendakkan agama, maka agamalah yang akan di­sibuk-sibukkan oleh Allah SWT ke atas kita dan kalau kita berkehendakkan dunia, maka berterusanlah kita akan disibuk-sibukkan dengan dunia.

Sepertimana mafhum hadis, apabila kita menyukakan seseorang dalam keadaan Allah murka kepada kita maka Allah akan letakkan kemurkaan tersebut dalam hati orang yang kita sukakan tadi. Sebalik­nya, jika kita membuat satu perkara yang menyukakan Allah namun membuatkan orang lain tidak suka, maka akhirnya Allah akan letakkan kesukaan dalam hati orang yang tidak suka kepada kita tadi.

Lihat betapa hebatnya Allah mencorakkan hati manusia ini kerana sesungguhnya hati manusia seluruhnya berada dalam genggaman Allah. Jadi jangan takut untuk menyukakan Allah walaupun penyokong kita tidak faham, marah ataupun tidak bersetuju dengan tindakan kita. Kelak Allah akan campakkan kesukaan di hati-hati mereka dan semuanya akan kembali bersatu.

Begitu juga di dalam organisasi atau institusi lain. Lihatlah bagaimana jika seorang ketua jabatan memberikan arahan, jika pihak di bawahnya tidak taat, maka belum tentu mereka akan melaksanakannya mengikut apa yang telah diputuskan oleh ketua mereka ataupun melaksanakannya mengikut logik akal masing-masing. Akhirnya ketirisan berlaku, penyelewengan semakin berleluasa dan akibatnya tugas yang diamanahkan tidak akan terlaksana.

Kesannya, masyarakat atau rakyat hilang percaya, menyalahkan pihak atasan atau kerajaan yang akhirnya mereka terjemahkan dalam bentuk bangkangan dan undian. Atas perkara inilah maka dapat kita lihat sebagai contoh, walaupun pihak akhbar membuat pembongkaran demi pembongkaran, pendedahan semakin banyak dibuat namun penyelewengan tetap berlaku, masalah tetap sama seperti sebelumnya kalau tidak pun semakin membesar dan parah. Jauh sekali daripada mampu dibanteras. Puncanya hanya bermula dengan satu perkara iaitu ketidaktaatan yang akhirnya berkembang menjadi perkara yang lebih serius.

Dapat juga kita lihat di dalam kerajaan sendiri berlakunya peristiwa tidak taat kepada ketua dan mereka ini akhirnya berpaling tadah. Sepertimana contoh dalam sebuah peperangan, apabila timbalan komander tidak lagi sehaluan dengan komander perang tersebut, beliau mengambil tindakan drastik dengan menyertai kem musuh yang sebelum ini diperangi olehnya sendiri. Sewajarnya beliau mengundurkan diri secara terhormat apabila memutuskan untuk tidak lagi mampu taat kepada ketuanya. Maka integritinya akan terpelihara dan maruahnya akan terbela. Masyarakat juga tidak akan memandang serong terhadapnya.

Tidak bersetuju dengan ketua itu perkara biasa dan tidak ada yang anehnya. Namun apa yang menjadi kemusykilan apabila mereka ini menyertai pakatan lain yang sebelum ini dicemuh, dihentam, dikritik habis-habisan oleh mereka sendiri. Tidakkah ini menunjukkan ketamakan masing-masing berbanding perjuangan yang berlapik alasan ‘pengisytiharan rakyat’? Kumpulan atau pakatan yang ‘kelihatan bersama’ mereka ini sebenarnya hanya mengambil kesempatan atas perkara yang berlaku namun tetap tidak percaya kepada mereka ini.

Kita lihat pula contoh ketidaktaatan dalam usaha agama atau usaha dakwah cara baginda Nabi Muhammad SAW. Apabila keputusan mesyuarat alim ulama dan Syura tidak dipatuhi maka wujudlah pelbagai istilah atas nama agama sedangkan tidak diputuskan dan tidak pernah dibenarkan. Pelbagai kaedah dan program baru diwujudkan sedangkan usaha dakwah ini berpaksikan hanya satu jalan iaitu ‘cara Nabi Muhammad SAW. Para sahabat seluruhnya mengikut cara baginda 100 peratus dan sanggup berperang jika ada pihak meninggalkan sunnah baginda walaupun kecil. Inilah lambang ketaatan mereka, sekecil-kecil perkara pun diambil kira kerana mereka tidak sanggup melihat agama berkurangan walau sedikit pun ketika mereka masih hidup.

Sebab itu, Allah telah menurunkan Nabi Muhammad SAW untuk menjadi contoh ikutan terbaik bagi kita. Cara, jalan dan kaedah yang terbaik telah diberikan dan kita hanya perlu ikut dan taat maka kejayaan menanti kita.

Begitulah apabila kita lihat dan himpunkan segala penerangan di atas, segala-galanya kembali kepada satu asas utama iaitu ketaatan. Tidak kiralah dalam usaha agama atau usaha dakwah, usaha politik atau untuk mencari rezeki. Apabila tidak disertai dengan sifat ‘ketaatan kepada ketua’ akan menjadi cacamarba, kelam-kabut, tidak terurus, terbuka kepada kritikan dan kecaman. - Ismawi Ishak Utusan Malaysia Rencana 25 Julai 2016 6:30 PM