September 16th, 2016

Adakah kita benar-benar merdeka?

TANGGAL 31 Ogos lalu, negara ini menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-59. Secara zahirnya, Malaysia sudah mencapai kemerdekaan untuk suatu tempoh yang agak lama. Walaupun negara ini secara zahirnya kelihatan bergerak ke tahap sebuah negara maju, namun adakah bangsa kita bergerak pada kadar yang sama? Iaitu pada tahap yang membolehkan kita secara ikhlas mengatakan bahawa kita benar-benar merdeka?

Untuk menjawab soalan ini, kita harus meneliti erti merdeka dari sudut definisinya terlebih dahulu. Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, merdeka membawa maksud bebas daripada penjajahan, kurungan atau naungan. Merdeka juga boleh ditafsirkan sebagai berdiri sendiri dan tidak bergantung pada yang lain.

Selepas Malaysia mencapai kemerdekaan sehinggalah ke hari ini, orang Melayu dan bumiputera telah diberi berbagai hak keistimewaan. Hak-hak ini, antara lain, adalah sepertimana yang termaktub di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Antara contoh yang jelas, Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah ditubuhkan sebagai sebuah universiti eksklusif untuk orang Melayu dan ­bumiputera yang bertujuan untuk memberi peluang menaikkan status akademik mereka.

Pada 2 Januari 1990, Amanah Saham Nasional Berhad telah melancarkan skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) khusus untuk orang Melayu dan bumiputera. Objektif dana ini adalah untuk membantu orang Melayu dan bumiputera untuk menaikkan taraf ekonomi mereka. Sehingga ini, dividen yang diagihkan oleh dana ini adalah antara yang tertinggi di negara ini.

Walaupun pada dasarnya keistimewaan-keistimewaan ini kelihatan seolah-olah memberi kelebihan kepada orang Melayu dan bumiputera, namun keistimewaan-keistimewaan yang diperuntukkan ini sebenarnya memberi impak yang positif kepada orang Melayu dan bumiputera itu sendiri.

Pada tahap ini, penulis ingin membawa pembaca untuk mengamati kata-kata Tun Mohamed Suffian Hashim, Ketua Hakim Negara ketika itu di dalam kes Datuk Harun Idris v. Public Prosecutor (1976) 1 LNS 19. Beliau menyatakan: “ 1. The equality provision is not absolute. It does not mean that all laws must apply uniformly to all persons in all circumstances everywhere. 2. The equality provision is qualified. Specifically, discrimination is permitted within cl (5) of art 8 and within art 153...”

Namun, wajarkah orang Melayu dan bumiputera secara berterusan bergantung kepada keistimewaan-keistimewaan yang diperoleh ini? Pernahkah difikirkan sejenak apakah tujuan keistimewaan ini diberikan?

Mohamed Suffian juga dalam bukunya bertajuk, “An Introduction To The Constitution of Malaysia”, Edisi Ke-2, di muka surat 321, secara tepat berkata berhubung dengan Perkara 153 “Protective provisions were written into the Malaysian constitution not with the intention of pulling back the advancement of the non-indigenous people but with the intention of securing the advancement of the indigenous people who, through no fault of their own, were and are educationally, socially and economically less advanced, and the leaders of the non-indigenous people consented to these provisions in return for generous citizenship terms that enabled a large number of them to become citizens by a stroke of the pen.”

Dalam erti kata lain, Perkara 153 digubal bertujuan menaikkan status orang Melayu dan bumiputera yang pada ketika itu berada di tahap yang mundur jika dibandingkan dengan bangsa lain. Penekanan harus dilakukan pada ungkapan ‘pada ketika itu’. Persoalannya, berlandaskan landskap negara kita pada ketika ini, haruskah Perkara 153 diberi terjemahan yang sama?

Di sini, kita terpaksa kembali kepada niat asal kenapa Perkara 153 digubal. Seperti mana dinyatakan tadi, Per­kara 153 adalah untuk menaikkan taraf dan status orang Melayu. Selepas taraf kita dinaikkan, apa akan berlaku? Seharusnya, dengan penaiktarafan ini, seseorang itu akan menyumbangkan tenaga dan keringatnya kepada pembangunan dan kemajuan negara.

Malangnya, keistimewaan-keistimewaan yang diberi ini tidak dihargai dan dipandang enteng oleh sesetengah orang Melayu dan bumiputera. Malah, terdapat juga beberapa cendekiawan yang sememangnya menerima manfaat keistimewaan ini, yang enggan pulang ke tanah air setelah melanjutkan pelajaran di luar negara.

Sering kali kita mendengar cerita siswazah tajaan kerajaan atau Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang me­lanjutkan pelajaran ke luar negara yang enggan pulang ke tanah air selepas tamat pengajian kerana tidak mahu bekerja di sektor kerajaan. Kononnya, bekerja dalam ­sektor kerajaan tidak setaraf dengan kelulusan mereka dan pendapatan yang ditawarkan tidak setanding kelulusan. Kenapa tidak dipandang dari sudut positif dengan berfikir bahawa dengan kemahiran yang ada ini, dapat membantu memajukan negara tercinta ini?

Setelah menikmati sesuatu yang dicita-citakan dengan menggunakan kemudahan yang telah disediakan, adakah ini cukup kerana kita telah pun mencapai cita-cita itu? Sewajarnya, kenikmatan dan kejayaan yang dikecapi ini perlu dibantingkan semula kepada negara mahu pun masyarakat umum tidak kira melalui apa cara jua pun.

Pada hemat penulis, Perkara 153 bukan sahaja masih relevan, tetapi harus dikekalkan demi memastikan kita tidak ketinggalan dek arus zaman. Walau bagaimanapun, kita tidak harus mengambil mudah hak keistimewaan ini. Alangkah baiknya setelah dikecapi keistimewaan-ke­istimewaan ini, kita kemudiannya juga menyumbang kepada negara ini. Dengan cara ini, setelah menyemai bakti kepada bumi keramat ini, barulah kita mampu tidur lena dan layak mendabik dada tanpa perlu khuatir akan pertikaian dan persoalan yang mungkin diajukan berkenaan hak-hak keistimewaan itu.

Inilah yang dimaksudkan dengan kemerdekaan. Baharulah kita boleh mendabik dada dan menyatakan dengan seikhlas-ikhlasnya bahawa kita sudah merdeka.

- Datuk M Reza Hassan Utusan Malaysia Rencana 15 September 2016 6:00 PM

Sayangilah 
negara ini

MUKADIMAH: SELEPAS 59 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan, nilai-nilai murni dan jati diri rakyat untuk terus mengekalkan kesepaduan dan keharmonian masih kukuh sehingga hari ini. Namun tidak dinafikan adanya cabaran sama ada dari luar mahupun dalam negara yang sedikit sebanyak menjejaskan keharmonian dalam kalangan masyarakat termasuk generasi muda yang mudah terpengaruh.

Dalam hubungan ini, kerajaan melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) di bawah Jabatan Perdana Menteri dipertanggungjawabkan untuk memelihara dan meningkatkan perpaduan serta keharmonian di negara ini berasaskan Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan Gagasan 1Malaysia.

Berikut temu bual wartawan UTUSAN MALAYSIA, MUZDALIFAH MUSTAPHA bersama MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI, TAN SRI JOSEPH KURUP berhubung cabaran dan langkah-langkah yang diambil JPNIN dalam memastikan perpaduan kaum kekal terpelihara.


Joseph Kurup

BAGAIMANA Tan Sri melihat kerjasama pelbagai pihak seperti kementerian, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), swasta dan pemimpin masyarakat dalam mengeratkan perpaduan kaum?

JOSEPH KURUP: Sejak negara merdeka sehingga hari ini banyak pihak telah memberikan kerjasama yang baik dalam menyampaikan mesej perpaduan. Perkara itu dapat dilihat khususnya menjelang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada setiap tahun.

Mereka memainkan peranan dalam menyampaikan maksud perpaduan melalui pelbagai medium. Apa yang penting, teras perpaduan amat jelas iaitu mendidik masyarakat hormat-menghormati antara satu sama lain, menghormati agama dan budaya.

Semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat terutama gene­rasi muda sekarang semakin rapuh dan media sosial sering dijadikan alat untuk mewujudkan sentimen berbentuk sensitif dan perpe­cahan antara kaum dan agama?

Tidak dinafikan ini adalah cabaran kita. Apatah lagi segelin­tir masyarakat mudah mempercayai apa sahaja maklumat yang dimuat naik di dalam media sosial tanpa mengetahui kebenaran di sebaliknya.

Perkara ini mudah berlaku kerana kurangnya penghayatan dalam lima prinsip Rukun Negara yang sepatutnya menjadi teras kepada perpaduan rakyat bagi mengekalkan keharmonian dan penyatuan. Dalam hal ini, ibu bapa sama ada di bandar mahupun luar bandar sewajarnya sentiasa berwaspada terhadap anak-anak terutama dalam penggunaan medium teknologi maklumat kerana mereka mudah mencapai apa sahaja menerusi medium tersebut. Kita juga harus faham pendidikan bermula dari rumah.

Apakah cabaran yang JPNIN lihat boleh mengancam negara ke­tika ini dan bagaimanakah ja­batan boleh menanganinya?

Kumpulan militan Daesh adalah antara cabaran utama rak­yat negara ini, tindakan mereka sememang­nya boleh menghakis semangat penyatuan dan sayangkan negara. Dalam hal ini JPNIN tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak, justeru tindakan tegas terhadap mereka pasti diambil.

Walau bagaimanapun dengan kerjasama banyak pihak di negara ini terutama pihak berkuasa, kerajaan berupaya menangani kumpulan pelampau yang membawa budaya ekstremis ke negara ini. JPNIN akan terus memainkan peranan sebagai jambatan penghubung di antara universiti awam dan swasta agar pemahaman konsep perpaduan terus terpahat dalam kalangan mahasiswa.

2016 dilihat sebagai tahun yang mencabar dari aspek ekonomi, sosial dan politik. Bagaimanakah JPNIN dapat membantu negara mengekalkan kestabilan rakyat dan negara?

Usaha JPNIN melaksanakan pelbagai program seperti penubuhan Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman Antara Penganut Agama (JKMPA) banyak memberikan kesan positif dalam menangani isu-isu agama.

Selain itu, perhimpunan Rukun Tetangga peringkat kebangsaan pada Mac lalu menunjukkan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) amat prihatin terhadap isu-isu kebajikan dan keselamatan khususnya di peringkat akar umbi. Begitu juga lawatan saya ke Australia pada April lalu, JPNIN berjaya mengadakan sesi dialog bersama pelajar dan kakitangan kedutaan Malaysia dalam menjelaskan beberapa perkara tentang dasar kerajaan serta isu perpaduan kaum.

Boleh Tan Sri jelaskan pendekatan Strategi Lautan Biru JPNIN yang bakal dilaksanakan tidak lama lagi?

JPNIN melalui Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (NUCC) telah menghasilkan satu blueprint iaitu Pelan Induk Perpaduan, Kesepa­duan dan Penyatupaduan Malaysia yang bertujuan meningkatkan perpaduan, penyatuan kaum dan integrasi nasional yang jelas dan kohesif.

Blueprint ini adalah pelan induk yang akan menjadi satu payung bagi menyeragamkan pelaksanaan semua program dan aktiviti berorientasikan perpaduan di negara ini. Fokus utama pelan adalah mewujudkan pendekatan proaktif untuk mengukuhkan kepelbagaian dan perpaduan di negara ini selain menangani isu-isu perselisihan dalam masyarakat.

Menerusi pelan induk ini, tindakan serta-merta berdasarkan akta-akta sedia ada akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan berunsur perkauman, keagamaan dan perpaduan. Segala pelan tindakan yang terkandung di dalam blueprint itu merentasi semua kementerian dan agensi di negara ini.

Apakah harapan Tan Sri terhadap integrasi Sabah, Sarawak dan Semenanjung selaras dengan gagasan 1Malaysia?

Kita perlu berpegang teguh pada Rukun Negara yang menjadi tonggak kepada kekuatan perpaduan di negara ini. Jauhkan diri daripada terlibat dalam demonstrasi jalanan yang boleh menggugat keharmonian rak­yat dan negara. Kekalkan sikap menghormati pemerintah dan kerajaan yang dipilih rakyat. Ge­nerasi muda jangan terpengaruh dengan isu-isu yang dipolitikkan termasuk berkaitan agama dan keselamatan negara.

Interaksi positif etnik membina Malaysia

INTERAKSI sosial yang positif dan membina perpaduan bukan sesuatu yang asing untuk dibincangkan dalam konteks Malaysia. Era kerjasama yang melibatkan etnik yang berbeza telah bermula pada 1947 menerusi kerjasama politik pertubuhan berhaluan kiri Melayu dengan pertubuhan berhaluan kiri Cina dan India.

Pertubuhan politik dan persatuan kiri tersebut ialah All Malayan Council of Joint Action (AMCJA), Malayan People’s Anti Japanese Army Ex-Services Comrades Association (MPAJESCA), Pan-Malaya Federation Uni­on (PMFTU), New Democratic Youth League (NDYL), Malayan Democrate Union (MDU), Women Federation, Malayan Indian Congress (MIC), Angkatan Pemuda Insaf (API), dan Angkatan Wanita Sedar (AWAS) yang membentuk Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA).

Perkongsian matlamat perjua­ngan yang sama terjalin pada 1947. Pakatan kerjasama politik antara etnik tersebut telah berjaya menghasilkan draf perlembagaan baru yang dipanggil Perlembagaan Rakyat. Pakatan ini telah bersatu mengadakan mogok ekonomi bagi mendesak pihak British menerima tuntutan mereka. Bagaimanapun usaha pakatan ini gagal setelah beberapa pertubuhan yang meng­anggotai PUTERA diharamkan, serta Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dikuatkuasakan pada 1948.


PERPADUAN kaum yang menjadi asas kemerdekaan serta tunjang pembangunan Malaysia perlu dipupuk dari usia muda demi masa depan lebih kukuh. GAMBAR HIASAN/UTUSAN

Pada masa sama kerjasama politik juga turut dirintis oleh UMNO dan MCA pada 1946 dalam usaha mendapatkan kemerdekaan daripada British. Sikap tolak ansur, pengorbanan, matlamat bersama dan penerimaan terhadap hak setiap etnik yang ada di Tanah Melayu (pada ketika itu) telah berjaya memenangi Pilihan Raya Majlis Perbandaran pada 1952. Kerjasama seterusnya dalam Parti Perikatan yang dianggotai UMNO, MCA dan MIC telah berjaya memenangi pilihan raya umum pada 1955. Kerjasama di peringkat kepimpinan dilanjutkan ke peringkat rakyat berbilang etnik telah berjaya menghasilkan kemerdekaan kepada negara pada 31 Ogos 1957.

Interaksi sosial sehingga membentuk kerjasama bagi mencapai matlamat bersama memerlukan usaha yang giat dan berterusan. Usaha-usaha membentuk persefahaman sebenarnya telah dilakukan bermula seawal 1949 lagi. Kerjasama itu dilakukan dengan penubuhan Jawatankuasa Perhubungan Kaum yang bertujuan mengatasi masalah yang berkaitan perlembagaan, politik dan ekonomi dalam masyarakat berbilang etnik. Kerjasama erat antara etnik menghasilkan banyak kejayaan kepada negara dan rakyat. Kejayaan negara membanteras kegiatan pengganas komunis hasil kerjasama erat antara rakyat dan kerajaan dengan semangat bersatu-padu masyarakat berbilang etnik.

Penubuhan Malaysia juga adalah manifestasi hasil kerjasama erat rakyat berbilang etnik di negara ini. Idea yang dibangkitkan oleh pemimpin negara terhadap gagasan Malaysia diterima oleh majoriti rakyat. Pada Julai 1961, Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Antara Kaum (JPPK) telah ditubuhkan di Singapura bagi menjelaskan gagasan Malaysia kepada orang ramai.

Pada Februari 1962, ahli-ahli mesyuarat bekerjasama untuk menghasilkan memorandum kepada Suruhanjaya Cobbold. Laporan Suruhanjaya Cobbold menunjukkan majoriti rakyat berbilang etnik menyokong rancangan penubuhan Malaysia. Akhirnya, menjelang Disember 1962, Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak menyetujui penubuhan Malaysia pada 1963. Penubuhan Malaysia menunjukkan wujudnya kerjasama di antara semua etnik berasaskan matlamat bersama dan menjaga kepentingan etnik masing-masing dalam negara. Penyatuan dalam kepelbagaian merupakan asas kerjasama yang dibina.

Dalam mengisi kemerdekaan, setiap etnik yang ada di Malaysia mempunyai tuntutan dan kehendak yang berbeza. Kerjasama politik yang dilakukan antara parti politik berbilang etnik telah berjaya mengurangkan tuntutan melampau yang boleh menjejaskan keharmonian dalam masyarakat. Kerjasama yang dilakukan menerusi pakatan Barisan Nasional (BN) telah membawa kemakmuran dalam aspek politik, sosial dan ekonomi.

Kestabilan politik telah menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi yang pesat kepada negara Malaysia. Tentu sekali kemakmuran politik, ekonomi dan sosial tidak menjadi realiti jika interaksi sosial dalam masyarakat berbilang etnik berlaku dalam bentuk-bentuk yang negatif. Ini menunjukkan bahawa interaksi sosial yang bersifat positif wujud dalam masyarakat.

Perpaduan dalam kepelbagaian dan perpaduan nasional merupakan suatu harapan positif terhadap suatu masa hadapan yang gemilang.

Pembentukan identiti sebagai satu “Bangsa Malaysia” dan sikap keterbukaan dalam menerima nilai etnik lain di samping nilai etnik sendiri merupakan kematangan hidup bernegara dalam masyarakat majmuk. Perkongsian nilai sepunya melalui lambang-lambang negara seperti lagu kebangsaan, bendera kebangsaan, bahasa kebangsaan dan meraikan perayaan etnik lain salah satu elemen mewujudkan interaksi sosial yang positif dalam kalangan etnik berbeza.

Secara keseluruhannya, interaksi sosial antara etnik yang berlaku semenjak merdeka sehingga kini berada dalam keadaan yang baik. Insiden negatif yang berlaku sekali-sekala seperti Peristiwa 13 Mei 1969 dan insiden Kampung Medan pada 7 Mac 2001 tidak boleh dijadikan justifikasi untuk mengatakan bahawa interaksi sosial di Malaysia berada pada tahap yang buruk. Tahap toleransi terhadap budaya dan nilai etnik lain masih lagi menjadi amalan rakyat Malaysia bagi mencapai kemajuan, kesejahteraan, peningkatan taraf hidup dan kestabilan sosial, politik dan ekonomi.

-

Penubuhan Malaysia penuh liku dan cabaran

TARIKH 16 September 1963 adalah detik bersejarah buat negara ini. Ia menjadi realiti kepada gagasan Malaysia yang dicadangkan oleh Tunku Abdul Rahman Putera Al-Haj yang diiktiraf dan diperakukan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai sebuah negara berdaulat. Idea gagasan Malaysia ini dilontarkan oleh Tunku Abdul Rahman pada 27 Mei 1961. Gagasan Malaysia berjaya menggabungkan Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak dalam satu unit politik yang dikenali sebagai Persekutuan Malaysia.

Walaupun, idea penggabungan wilayah pernah dikemukakan oleh Lord Brassey, Pengarah Syarikat Borneo Utara pada 1887 yang mencadangkan kepada British untuk menggabungkan Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak dengan negeri-negeri Melayu dan Negeri-negeri Selat tetapi tidak menjadi realiti. Demikian juga cadangan serupa yang pernah disuarakan oleh Tun Ghazali Shafie pada 1954 dan Tan Cheng Lock pada 1955.

Tunku sebelum mencadangkan penubuhan yang lebih besar pernah menyuarakan cadangan penggabungan Singapura, Sarawak, Sabah dan Brunei. Cadangan itu dikemukakannya dalam persidangan UMNO 1955. Pada 1959, Lee Kuan Yew pula cuba mempengaruhi pihak British untuk menggabungkan Singapura dengan Tanah Melayu. Namun, cadangan itu ditolak Tunku kerana bimbang berlakunya ketidaksamaan atau ketidakseimbangan penduduk. Gagasan Malaysia yang dicadangkan Tunku pada 1961 itu didorong oleh beberapa faktor merangkumi politik, keselamatan, sosial dan ekonomi.

Faktor politik adalah berkaitan usaha menyekat ideologi komunis di Singapura, Sabah dan Sarawak. Ideologi komunis ini sekali gus membawa ancaman kepada keselamatan wilayah terbabit. Komunis menggunakan pendekatan keganasan untuk mencapai hasrat mereka menguasai negeri-negeri terbabit. Faktor ekonomi pula merujuk kepada tujuan memperluas pasaran serta mewujudkan kerjasama serantau dalam bidang ekonomi.

Sementara itu, faktor sosial adalah untuk mengimbangi komposisi kaum, mewujudkan perpaduan kaum, memajukan negeri yang belum membangun, khususnya Sabah dan Sarawak serta melahirkan satu bangsa yang kaya warisan kebudayaan. Selain faktor tersebut, British pula sedang menjalankan dasar dekolonisasi untuk merdekakan tanah jajahan. Untuk menyegerakan kemerdekaan Singapura, Sabah dan Sarawak, British melihat gagasan yang dikemukakan Tunku itu adalah cara terbaik untuk mencapai hasrat tersebut.

Tunku sendiri memulakan lawatan ke Sabah, Sarawak dan Brunei untuk menerangkan konsep dan tujuan penubuhan Malaysia. Perundingan juga diadakan antara pegawai kanan Persekutuan Tanah Melayu dengan Pegawai-pegawai British dari Sarawak, Sabah dan Singapura yang telah membawa kepada pembentukan Jawatankuasa Perunding Perpaduan Kaum (JPPK) di Singapura pada Jun 1961.

Jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Donald Stephan dari Sabah dan mengadakan empat kali mesyuarat. Brunei hanya menghantar pemerhatinya menghadiri tiga mesyuarat terakhir. Akhirnya, dalam mesyuarat terakhir di Singapura, ahli-ahli bersepakat mengemukakan satu memorandum kepada Suruhanjaya Cobbold. Suruhanjaya Cobbold ditubuhkan oleh kerajaan British pada 17 Januari 1962 bertujuan meninjau pendapat sebenar penduduk di Sabah dan Sarawak mengenai cadangkan menggabungkan kedua-dua negeri itu ke dalam Malaysia.

Suruhanjaya itu mendapati lebih 80 peratus penduduk Sabah dan Sarawak menyokong gagasan Malaysia. Selain itu, suruhanjaya terbabit turut mencadangkan Perlembagaan Malaysia yang baru mestilah berasaskan Perlembagaan Tanah Melayu 1957. Bahasa Melayu juga dicadangkan menjadi Bahasa Kebangsaan, jaminan terhadap hak dan kedudukan Bumiputera Sabah dan Sarawak serta kedua-dua negeri itu diberikan kuasa menentukan dasar imigresen masing-masing.

Suruhanjaya berkenaan turut mencadangkan pemberian nama ‘Malaysia’ kepada negara baru yang akan dibentuk dan juga penentuan tarikh penubuhan Malaysia. Sebenarnya nama ‘Malaysia’ telah digunakan sejak 1800an lagi dengan merujuk kepada peta yang dibuat oleh Alexander Keith Johnston pada 1845 bertajuk ‘South Eastern Peninsula and Malaysia’.

Penubuhan Malaysia bukanlah sesuatu yang mudah. Ia melalui ranjau dan duri, tumpahan air mata dan darah. Walaupun ramai yang menyokong, namun wujudnya pelbagai anasir yang cuba mempengaruhi rakyat supaya menentang gagasan Malaysia. Cabaran-cabaran getir yang dilalui itu turut melibatkan ancaman terhadap kedaulatan negara yang datang dari dalam dan luar negara.

Di dalam negara, idea pengintegrasian wilayah yang besar mendapat reaksi yang pelbagai daripada parti-parti politik serta penduduk Tanah Melayu dan Singapura. Pas lebih cenderung untuk menerima gagasan Maphilindo dan mendesak supaya isu ini dibincangkan terlebih dahulu. Namun, setelah memahami manfaatnya Pas akhirnya menerima idea gagasan Malaysia. UMNO pula sejak awal-awal lagi bersetuju. Di Singapura, Barisan Sosialis yang berhaluan kiri (dipengaruhi komunis) menentang keras gagasan Malaysia dan menganggapnya sebagai neokolonialisme.

Lee Kuan Yew yang bersetuju dengan idea Tunku itu sangat bimbang dengan pengaruh parti Barisan Sosialis yang semakin berpengaruh di Singapura ketika itu. Jika perjuangan parti sosialis itu berhasil maka ia kejayaan buat komunis. Justeru, untuk mendapatkan reaksi rakyat Singapura maka satu referendum umum rakyat Singapura mengenai penubuhan Malaysia diadakan pada 1 September 1962. Keputusan yang diperoleh ialah majoriti menyerahkan sepenuhnya kepada kerajaan Singapura untuk membuat keputusan mengenai penggabungan itu.

Di Brunei pula tercetus pemberontakan rakyat pada 8 Disember 1962. Mereka membangkitkan isu-isu mengenai kedaulatan Sultan Brunei, isu minyak dan bayaran tahunan. Rakyat Brunei berpendapat penyatuan akan memudaratkan negara dan menggugat kemakmuran Brunei.

Cabaran paling getir datang dari Filipina dan Indonesia yang kuat menentang gagasan Malaysia. Presiden Macapagal membuat pengumuman menuntut hak terhadap Sabah (1962) berdasarkan perjanjian Sultan Jamalul Alam dengan Baron Overbeck. Indonesia di bawah kepimpinan Sukarno pula melihat gagasan Malaysia itu sebagai satu bentuk neokolonisme. Indonesia mengisytiharkan Konfrontasi pada 20 Januari 1963. Slogan ‘Ganyang Malaysia’ telah mencabar kedaulatan negara kerana Indonesia berhasrat menakluki Tanah Melayu.

Oleh sebab kerasnya tentangan kedua-dua negara itu mendorong PBB menghantar satu misi ke Borneo untuk meninjau dan melaporkan pandangan rakyat Sabah dan Sarawak mengenai penubuhan Malaysia. Misi itu mendapati majoriti penduduk di Borneo menyokong gagasan Malaysia. Akhirnya, setelah melalui pelbagai cabaran getir, penubuhan Malaysia dapat direalisasikan dan Perjanjian Malaysia telah ditandatangani pada 9 Julai 1963 di pejabat Perhubungan Komanwel di Malborough House.

Pengisytiharan Malaysia dibuat pada 16 September 1963 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu, Gabenor-Gabenor Pulau Pinang, Melaka, dan Sabah. Selain Tunku Abdul Rahman, tiga lagi pemimpin utama dari tiga negeri baru turut hadir iaitu Lee Kuan Yew ((Singapura), Donald Stephens (Sabah) dan Stephens Kalong Ningkan (Sarawak). Pada 9 Ogos 1965, atas faktor-faktor tertentu Singapura mengambil keputusan keluar daripada Malaysia dan menubuhkan negara republik.

Penubuhan Malaysia membawa pelbagai nikmat dan manfaat kepada negara tercinta ini. Antaranya mempercepat kemerdekaan bagi Singapura, Sabah dan Sarawak. Ancaman komunis di Singapura, Sabah dan Sarawak dapat dibendung dan diatasi. Hakikatnya, penubuhan Malaysia adalah pembinaan satu ‘keluarga besar Malaysia’ yang dalam satu wilayah geopolitik, iaitu Persekutuan Malaysia yang mendukung cogan kata yang terkandung dalam Jata Negara, iaitu ‘Bersekutu Bertambah Mutu’. - Mohd Ayop Abd Razid Utusan Malaysia Rencana 16 September 2016 12:18 AM