October 1st, 2016

Mengenali KPN pertama

Salam Sejahtera dan semoga kita sama-sama dapat memperbaharui tekad dan iktikad kita untuk terus berusaha ke arah kejayaan sempena Maal Hijrah 1438H yang bakal kita sambut esok, 2 Oktober 2016.

Pembaca sekalian. Selama dua minggu berturut-turut sebelum ini, saya berbicara mengenai Galeri Ketua Polis Negara yang dirasmikan pada 5 September 2016, bagi tujuan mengabadi serta menzahirkan penghargaan dan penghormatan di atas sumbang bakti yang dicurahkan setiap KPN sepanjang tempoh berkhidmat di dalam pasukan.

Sebagai kesinambungan, saya mengajak pembaca untuk terus bersama saya selama sembilan minggu seterusnya bagi mengenali dengan serba ringkas, sejarah perkhidmatan dan sumbangan yang dicurahkan oleh Ketua-Ketua Polis Negara sebelum ini. Minggu ini, saya mulakan Siri Mengenali Ketua Polis Negara ini dengan menyingkap sejarah perkhidmatan Ketua Polis Negara yang pertama iaitu, Tan Sri Claude Harry Fenner.

Tan Sri Claude Harry Fenner


Ketua Polis Negara Pertama

Tan Sri C H Fenner dilahirkan pada 16 Januari 1916 di London dan menyertai Pasukan Polis Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada 1936 sebagai Kadet Penolong Penguasa Polis. Sebelum dilantik sebagai Ketua Polis Negara, beliau pernah berkhidmat di beberapa cawangan dan bahagian dalam pasukan polis, termasuk Cawangan Trafik Kuala Lumpur, Ketua Polis Daerah Klang, Teluk Intan, Kinta dan Tronoh. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai ASP Sikh Kontinjen bagi Negeri-Negeri Selat dan pada 1945, bertugas dengan Pentadbiran Tentera British (British Military Administration) (dengan pangkat Leftenan Kolonel) semasa menumpaskan gerakan Malayan People’s Anti-Japanese Army (MPAJA). Beliau juga pernah menjawat jawatan Ketua Polis Johor pada 1955, dipinjamkan ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebagai Pemangku Timbalan Setiausaha Keselamatan dan Perisikan pada 1958, dilantik sebagai Pengarah Hal Ehwal Polis pada 13 Julai 1962 dan menjadi Ketua Polis Negara (KPN) pertama apabila terbentuknya Malaysia pada 16 September 1963. Beliau bersara daripada perkhidmatan pasukan polis pada 16 Julai 1967 dan meninggal dunia pada 15 Mei 1978 pada usia 62 tahun.

Peralihan kuasa dan proses Malayanisasi

Ketika proses peralihan sistem pentadbiran membabitkan pegawai Inggeris yang berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam Persekutuan Tanah Melayu digantikan dengan anak watan, pasukan polis turut terbabit dalam proses yang dipanggil proses ‘Malayanisasi’ tersebut. Proses Malayanisasi dalam bidang kepolisan dimulakan dan dilaksanakan oleh Pesuruhjaya Polis W L R Carbonell pada 14 April 1953, turut dibantu Fenner yang pada ketika itu menjawat jawatan Timbalan Pesuruhjaya Polis Persekutuan Tanah Melayu.

Ancaman Komunis dan Konfrontasi


Sungguhpun darurat diisytiharkan tamat pada 31 Julai 1960, namun ancaman pengganas komunis masih wujud. Semasa Fenner mengambil alih pucuk pimpinan pasukan polis, salah satu cabaran yang dihadapinya ialah bagi memulihkan negara daripada ancaman pengganas komunis. Ancaman tersebut kian ketara apabila pengganas komunis bertindak membunuh Sir Henry Gurney, Pesuruhjaya Tinggi British semasa dalam perjalanan ke Bukit Fraser pada 6 Oktober 1961, membabitkan 5 anggota polis turut cedera parah.

Belum reda dengan ancaman dan tindak tanduk pengganas komunis, pasukan polis terpaksa berhadapan pula tindakan Indonesia yang melancarkan ‘Kempen Konfrontasi’ dan ‘Operasi Ganyang Malaysia’ berikutan pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.

Fenner menyusun semula pasukan polis dengan memanggil semula pasukan Home Guard (HG) yang sudah dibubarkan pada 1960 bagi mengawal keselamatan kampung daripada disusupi oleh pasukan musuh. Berkat usaha pasukan polis dan lain-lain agensi keselamatan, di samping perubahan iklim politik di Indonesia, ancaman konfrontasi ini dapat ditamatkan dengan termeterinya perjanjian persahabatan pada 11 Ogos 1966 dan hubungan dua negara pulih seperti sedia kala.

Perkembangan dan Pemodenan Pasukan

Era kepemimpinan Fenner turut menitikberatkan hal kebajikan, beliau berusaha meningkatkan ekonomi anggota pasukan polis dengan menjadikan Koperasi Polis yang sudah diwujudkan sejak 24 April 1928 sebagai sebuah koperasi yang dapat menjalankan fungsinya dengan lebih cekap dan berkesan di samping dapat membantu ahli-ahlinya membuat pinjaman dan menggalakkan mereka berjimat cermat. Sebuah bangunan baru yang lebih lengkap dan sempurna didirikan dan dirasmikan pembukaannya pada 10 Januari 1959. Sebelum ini Koperasi Polis menjalankan operasinya dengan menumpang di bangunan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Fenner mengorak langkah dengan menjalinkan hubungan kepolisan dengan negara lain. Beliau memulakan usaha ini dengan mendaftar bagi menyertai INTERPOL yang keahliannya diperoleh semasa persidangan Agung ke-30 yang diadakan di Copenhagen, Denmark pada 4 hingga 9 September 1961. Cawangan INTERPOL ini diletakkan di bawah pentadbiran Jabatan Siasatan Jenayah dan ia terus berkembang sehingga ke hari ini.

Di peringkat awal beliau memegang jawatan sebagai Pesuruhjaya Polis Persekutuan Tanah Melayu pada 1958, Fenner telah membuka peluang skim Kadet ASP sebagai usaha mewujudkan bakal pegawai kanan polis yang berkebolehan dan dapat mengambil alih pentadbiran pasukan pada masa hadapan.

Pada 1 April 1963, beliau menubuhkan Pasukan Pengakap Sempadan bagi Sabah dan Sarawak bagi membantu pasukan keselamatan dalam menghadapi ancaman konfrontasi dan komunis. Anggota Pengakap Sempadan direkrut daripada kalangan anak muda tempatan yang mahir dengan selok-belok perkampungan dan hutan di sekitar sempadannya. Mereka juga mahir dalam kawasan masing-masing membabitkan tugas dan tanggungjawab mereka menjadi jurupandu dan jurubahasa kepada pasukan keselamatan. Ini dapat memudahkan pasukan keselamatan mengatur strategi dan gerakan untuk memerangkap musuh.

Pada 1 Jun 1963, beliau menubuhkan perkhidmatan Peronda Lebuhraya yang mengandungi 6 unit Polis Peronda Lebuhraya bergerak, bagi mengawal laluan lebuh raya menggunakan kereta peronda dan diiringi dua polis peronda bermotosikal.

Ketika pembentukan Malaysia pada 1 September 1963, pasukan polis bagi negeri di Tanah Melayu, Sabah, Sarawak serta Singapura digabungkan dan diketuai seorang Ketua Polis Negara. Penggabungan ini melahirkan satu pasukan lebih mantap dan teratur serta dapat memberikan khidmat bakti kepada masyarakat dengan lebih baik lagi. Berikutan penggabungan ini, nama pasukan polis dikenali dengan nama Polis Diraja Malaysia. (Singapura menarik diri daripada Malaysia pada 1965). Jawatan Pesuruhjaya Polis Persekutuan Tanah Melayu ditukar kepada nama baru iaitu Ketua Polis Negara, bersesuaian dengan corak pentadbiran dan keperluan negara. Fenner adalah orang pertama menggunakan gelaran jawatan Ketua Polis Negara selepas pembentukan Malaysia, yang sebelum itu menggunakan jawatan ‘Commisioner Police’. Beliau juga memilih lambang polis yang mengandungi sebilah keris dan parang illang yang bersilang di belakang kepala singa menggambarkan percantuman Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Nama Pasukan Polis Diraja Malaysia atau PDRM kekal digunakan sehingga ke hari ini.

Fenner juga merupakan pelopor dalam perjalanan dan perkembangan Sekolah Latihan Pasukan Polis Hutan (SLPHH), Ulu Kinta dan turut bertanggungjawab dalam proses pembesaran Pasukan Polis Hutan (PPH) dan Cawangan Polis Marin.

Fenner adalah seorang pegawai Inggeris yang banyak memberikan khidmat bakti yang tidak berbelah bagi terhadap keamanan dan keselamatan Persekutuan Tanah Melayu dan kemudiannya Malaysia. Pembabitan beliau secara langsung dalam proses Malayanisasi, terutama dalam perkhidmatan pasukan polis merupakan sumbangan terbesar beliau ke arah pembentukan sebuah pasukan polis yang dipimpin sepenuhnya oleh anak watan selepas pasukan polis ditadbir selama 159 tahun (1807-1966) oleh British.

Minggu hadapan, kita akan sama-sama mengenali dengan lebih dekat Ketua Polis Negara Ke-2, iaitu Tun Hj Mohammad Saleh Ismael (1917-1973). Insya-Allah.

Mencari ranking mengikut petunjuk

ULASAN Saya merujuk kepada Advokasi Ilmuwan, Ranking Universiti Malaysia: Adakah Relevan? yang berlansung di Dewan Budaya, Universiti Sains Malaysia (USM) pada 28 September 2016.

Kenyataan yang berunsur telus, jujur dan ikhlas yang datangnya dari pihak atasan Malaysia adalah kenyataan “Lima universiti tempatan berada dalam kelompok satu peratus universiti terbaik dunia,” oleh Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh. (Bernama, 24 September 2016) adalah berkaitan.

Kenyataan tersebut adalah berdasarkan dari kedudukan oleh QS Quacquarelli Seymonds World University 2016/2017. Cuma yang kita kurang pasti adalah kedudukan universiti –universiti Malaysia oleh Times Higher Education World University.

Lima universiti penyelidikan yang tersenarai termasuklah UM, UUM, UKM, UPM dan UTM yang dikatakan melahirkan graduan holistik yang berteraskan kepada kesusahawanan dan keimanan.

Ramai tentu tahu bahawa untuk disenaraikan dalam kedudukan empat petunjuk utama yang mempengaruhi kedudukan adalah pengajaran, penyelidikan, petikan atau sitasi (citing) dan pengantarabangsaan.

Namun, untuk mengejar kedudukan dan keinginan untuk mendapatkan pengiktirafan yang tidak setanding yang berorientasikan komersial adalah sesuatu yang tidak rasional.

Seruan tokoh akademik yang mahu Malaysia melupakan perkara kedudukan universiti dan kembali kepada keperluan asasi pendidikan dan untuk kekal relevan dan berupaya saing pada peringkat global dalam konteks keilmuan adalah lebih sesuai dihayati.

Kedudukan kewangan universiti yang terpaksa mencari dana sendiri, keupayaan mendapatkan tenaga pengajar yang berpengalaman, berkelayakan tinggi dan tersohor sudah dengan sendirinya menjadi halangan dan kekangan bagi institusi terlibat.

Usaha menjalankan dan menghasilkan penyelidikan bertaraf dunia juga masih dalam senarai panas sesebuah institusi. Mungkin ilmuwan Malaysia yang berkhidmat dan berada di luar negara dan yang turut sudi menyumbang hasil kerja mereka dapat membantu.

Pihak barat terutamanya akan sentiasa merubah matrik yang mereka gunakan, jadi sukar untuk membuat perbandingan yang bermakna daripada satu tahun seterusnya.

Para pengkritik juga mendakwa bahawa ini adalah satu langkah pemasaran sebagai usaha untuk meningkatkan kualiti kedudukan: perubahan dalam metrik akan menghasilkan perubahan dalam kedudukan yang mendorong orang ramai untuk mempercayai perubahan yang berlaku.

Proses keseluruhan seolah menunjukkan satu jenis autoritatif kepersisan dan ketegasan yang menyampaikan maksud sebenar kepada kedudukan, tetapi adalah karut semata-mata untuk mengatakan bahawa, sebagai contoh, Unimap "berada di kedudukan lebih tinggi" daripada USM atau Unitar harus berada dikedudukan lebih baik dari OUM.

Oleh kerana sistem kedudukan ini diikuti ramai, ia turut menggalakkan kolej dan universiti untuk menyertai sistem ini iaitu untuk melakukan apa yang mereka boleh untuk meningkatkan kedudukan, sebagai contoh, menghabiskan banyak wang kepada perkara-perkara yang di rancangkan atau dianggap penting atau agresif contohnya meningkatkan jumlah pemohon dan menolak permohonan yang dimajukan supaya kelihatan "hanya yang terpilih" sahaja yang mendapat tempat dan lantas meningkatkan kedudukan mereka.

Dengan bantuan media, institusi terbabit dapat melonjak kos yang lebih tinggi kerana institusi memberi ganjaran kepada media dan seterusnya kos pengajian turut meningkat.

Dikhabarkan ‘kedudukan’ yang dinyatakan tidak mengukur kualiti pendidikan di institusi terbabit, maupun apa-apa "hasil" pertimbangan (sebagai contoh, adakah pelajar di kolej X benar-benar belajar dan adakah pelajarnya mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian?).
Sebahagian besar (22.5 hingga 25 peratus) kedudukan sesebuah institusi bukanlah dari kajian bermakna tetapi daripada ukuran "reputasi", atau pun laporan "rakan penilaian".

Dengan memberi "pemberatan ketara kepada pendapat orang berkedudukan untuk menilai kecemerlangan akademik mahasiswa sekolah", status kedudukan membenarkan penggunaan "merupakan" seperti "universiti pembekal pengajaran."

Pengkritik berkata, komponen ini menjadikan ‘kedudukan’ seolah pertandingan populariti atau pertandingan ratu cantik, dan kemudiannya meminta pegawai kolej memberi kenyataan merit relatif yang berdasarkan panduan oleh media. Langkah reputasi ini dilakukan semata-mata demi himpunan "prejudis" yang menjadikan ‘kedudukan’ sebagai "nubuatan memenuhi diri."

Pengkritik turut memberi perhatian terhadap budaya taksub dengan prestij dan kehebatan. Status kedudukan "memburukkan lagi kebimbangan status" bakal pelajar dan ibu bapa. Apa akan orang kata dan bagaimana jika saya tidak berjaya ke institusi bertaraf dan berstatus? Apa akan orang fikir?

Kita perlu kembali kepada fundamental dan membuat muhasabah dari mana kita bermula dan bagaimana untuk kekal relevan dan berupaya bersaing pada peringkat global dalam konteks keilmuan. (Mohamad Abdullah, 21 September 2016).

malaysia_kini.JPG Azizi Ahmad Malaysiakini Berita Ulasan 01 Oktober 2016