October 8th, 2016

Pindaan Akta 355: Kesan sebenar

KITA semua tahu bahawa Pas ada mengemukakan satu usul di Parlimen un­tuk meminda Akta Mah­kamah Syariah (Bi­dang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355). Daripada carian saya, se­hing­ga ke hari ini belum ada rang undang-undang dibuat untuk tu­juan itu. Yang ada hanyalah usul Pas yang ringkas itu. Jadi, segala perbincangan mengenainya ha­nya­lah berdasarkan usul itu. Itu pun saya percaya banyak orang, ter­masuk ahli politik yang membuat kenyataan mengenainya, tidak mem­bacanya.

Pindaan itu bertujuan menggantikan seksyen 2 Akta ber­kenaan dengan seksyen 2 dan 2A baharu.

Seksyen 2 baharu memperuntukkan:

“2. Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa ke atas seseorang penganut agama Islam dan dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara-perkara yang disenaraikan di dalam Butiran 1 Senarai Negeri di bawah Jadual Kesembilan Undang-Undang Persekutuan.”

Seksyen 2A baharu memperuntukkan:

“2A. Dalam menjalankan undang-undang jenayah di bawah Seksyen 2 Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang syariah berkaitan hal-hal kesa­lahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan di atas, selain hukuman mati.”

Jelas sekali bahawa seksyen 2 baharu itu tidak memperuntukkan apa-apa perkara baharu, ha­nya mengulangi undang-undang yang sedia ada.

Tetapi, yang lebih penting ialah seksyen 2A baharu yang dicadang­kan itu. Perbezaan paling ketara antara pindaan yang dicadangkan dengan seksyen 2 yang ada sekarang ialah bahawa undang-undang yang ada sekarang me­ngandungi syarat (proviso) seperti berikut:

“Dengan syarat bahawa bidang kuasa sedemikian tidaklah boleh dijalankan berkenaan dengan apa-apa kesalahan yang boleh dihukum penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi lima RM5,000 atau sebatan melebihi enam kali atau apa-apa gabungan hukuman tersebut.”

Kesan pemansuhan syarat dalam seksyen 2 yang ada sekarang ialah bahawa tidak ada lagi sekatan mengenai jenis dan had hukuman yang Dewan undangan negeri boleh peruntukkan kepada Mahkamah Syariah. Dewan undangan negeri (DUN) boleh membuat undang-undang memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk menjatuhkan semua hu­kuman yang dibenarkan oleh hukum syarak (dan fiqh) termasuk hukuman hudud dan qisas, ke­cuali hukuman mati.

Itulah kesannya. Tetapi, setakat mana DUN boleh mewujudkan kesalahan-kesalahan untuk dikenakan hukuman-hukuman itu adalah satu perkara lain.

Dalam hal ini, Pas mengatakan bahawa pindaan itu hanyalah untuk menaikkan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan tidak kena-mengena dengan agenda hududnya. Kenyataan seperti itu boleh berbangkit daripada dua sebab. Pertama, pemimpin-pe­mimpin Pas sendiri tidak faham kesan pindaan yang dicadangkan oleh mereka. Kedua, mereka faham dan tahu kesan yang sebenar, tetapi mereka berkata demikian (kepada bukan ahli Pas) kerana tujuan politik: untuk mengelirukan orang-orang yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan hudud (Islam dan bukan Islam) dan memudahkan UMNO menyokongnya. Kepada ahli Pas, semestinya mereka akan mengatakan tujuan sebenar pindaan itu dan kesannya.

Saya yakin, sebenarnya pe­mimpin-pemimpin Pas faham dan tahu kesan pindaan yang dicadangkan oleh mereka itu. Mereka bukan bodoh, malah dalam isu hudud itu, dari segi politik, Pas lebih cerdik daripada UMNO. Maka, saya menolak alasan pertama. Oleh itu, alasan Pas berkata demikian adalah alasan kedua.

Nampaknya pemimpin-pe­mimpin UMNO turut melaungkan (echoing) apa yang dikatakan oleh pe­mimpin-pemimpin Pas itu. Saya percaya mereka berbuat demikian atas sebab atau sebab-sebab yang saya sebutkan di atas. Di sini, saya percaya, ada pemimpin UMNO itu yang tidak faham dan turut me­ngulangi apa yang dikatakan oleh pemimpin-pemimpin Pas kerana mereka tidak mahu UMNO dilihat sebagai “menentang hudud”, satu lagi salah anggapan. Maka, mereka termasuk ke dalam perangkap Pas sekali lagi.

Saya juga percaya ada pe­mimpin UMNO yang faham ke­sannya yang sebenar, tetapi mereka ingin berada dalam arus utama. Maka, mereka juga turut melaungkan kenyataan yang sama dengan harapan akan memuaskan semua pihak yang, bagi saya, adalah satu anggapan yang meleset.

Selain itu, ada pula yang me­ngatakan bahawa pindaan itu hanya melibatkan negeri Kelantan. Ini juga tidak betul. Akta 355 adalah undang-undang Persekutuan. Maka akta ini terpakai di seluruh Malaysia. Usul tersebut tidak berkata akan terpakai di Kelantan sahaja.

Satu perkara lagi yang dikatakan ialah akta ini hanya mempunyai kesan terhadap orang Islam. Itu betul kerana kesalahan-ke­salahan di bawah Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan hanya terpakai kepada orang Islam dan Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa terhadap orang Islam sahaja.

Apa yang Pas boleh buat jika pindaan itu diluluskan? Jawabnya, Kerajaan Pas Kelantan bolehlah menggerakkan DUN Kelantan untuk meluluskan undang-undang memperuntukkan hukuman hudud kepada kesalahan-kesalahan hudud yang termasuk di bawah Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan seperti berzina, menuduh perempuan berzina, meminum minuman yang memabukkan dan murtad. (Saya tidak mahu berhujah sama ada kesalahan-kesalahan itu kesalahan hudud atau tidak. Untuk tujuan rencana ini, saya te­rima bahawa ini adalah kesalahan hudud).

Undang-undang itu hanya terpakai kepada orang Islam. Memanjangkannya kepada kesa­lahan undang-undang jenayah yang terletak di bawah bidang kuasa Persekutuan dan juga kepada orang bukan Islam akan menjadikan peruntukan-peruntukan berkenaan tak keperlembagaan, tak sah dan batal. (Perlu diingatkan bahawa, negeri-negeri lain juga boleh melakukan perkara yang sama)

Saya ulangi bahawa saya tidak mahu mengulas mengenai pendirian yang diambil oleh Pas dan UMNO berhubung pindaan itu dan pelaksanaan hudud. Saya serahkan hal itu kepada parti berkenaan. Itu soal dasar parti masing-masing.

Saya cuma mahu melihat pe­mimpin-pemimpin UMNO dan Pas memahami kesannya yang sebenar, membuat keputusan berdasarkan pemahaman yang betul, menceritakan kepada orang ramai pendirian masing-masing yang sebenar dan tidak terkeliru dan mengelirukan orang ramai.

Tidak kurang pentingnya juga, ahli-ahli akademik yang membentang kertas kerja di seminar-se­minar perlulah memahami isu perundangan dan keperlembagaan dalam perkara ini dan tidak membawa peserta-peserta seminar dan menyesatkan mereka dalam hutan belantara ilmu.

Akhirnya, terserahlah kepada orang ramai untuk menilainya dan mengambil pendirian ma­sing-masing. - Tun Abdul Hamid Muhamad Utusan Malaysia Rencana 07 Oktober 2016 6:00 PM

.

Hak kebebasan berhimpun

DALAM masyarakat demokratik, rakyat memainkan peranan penting menyemak dan mengimbangi (check and balance) cabang-cabang kerajaan supaya tidak berlakunya penyalahgunaan kuasa. Artikel 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan digubal demi mengambil kira peranan ini.

Artikel itu mengiktiraf hak rakyat berhimpun secara aman, dengan syarat perhimpunan itu dilangsungkan tanpa senjata. Hak berhimpun memberi peluang kepada masyarakat untuk menyatakan pandangan mereka terhadap apa-apa keputusan ataupun dasar kerajaan.

Hak ini penting kerana melalui perhimpunan tersebut, kerajaan mampu mengukur sentimen awam terhadap sesuatu keputusan atau dasar. Tindakan dan langkah-langkah sewajarnya kemudian dapat di ambil untuk menangani isu tersebut.

Keberkesanan hak berhimpun ini dapat dilihat apabila pihak British terpaksa membatalkan rancangan mereka untuk menubuhkan Malayan Union ekoran bantahan masyarakat Melayu ketika itu.

Walaupun contoh ini adalah sebelum termeterainya Perlembagaan Persekutuan, namun ini contoh baik yang menunjukkan hak berhimpun memainkan peranan amat penting dalam membentuk sejarah Tanah Melayu.

Bagaimanapun, hak berhimpun di bawah Perlembagaan Persekutuan bukan suatu hak yang mutlak. Perhimpunan yang bertujuan mengganggu-gugat ketenteraman awam tidak diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan.

Di dalam kes Meor Safizal Meor Mohamed Amin & Yang Lain lwn. PP [2015] 4 CLJ 709, Hakim Mahkamah Rayuan menyatakan bahawa: “Berhimpun secara aman bukanlah satu kesalahan, malah satu hak yang dijamin oleh per.10 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan.

Namun, seperti juga hak-hak kebebasan yang lain, hak ini bukanlah satu hak yang mutlak tanpa batasan atau sekatan. Perkataan ‘aman’ itu sendiri membawa maksud bebas daripada keadaan kacau-bilau, gangguan atau suasana yang tidak menyenangkan: lihat Kamus Dewan Edisi keempat.

Bukan sahaja perlu diadakan secara aman, per.10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan juga mengandungi syarat tersirat bahawa peserta perhimpunan tidak dibenarkan membawa apa-apa senjata semasa berhimpun. Justeru, perhimpunan yang menimbulkan keadaan kacau-bilau, gangguan atau suasana yang tidak menyenangkan bukanlah satu perhimpunan aman dalam erti kata per.10 Perlembagaan Persekutuan.

Begitu juga sekiranya ada dalam kalangan peserta yang membawa senjata. Mana-mana orang yang menyertai atau te­rus menyertai perhimpunan yang mempunyai unsur-unsur tersebut tidak boleh berselindung di sebalik per.10 Perlembagaan Persekutuan untuk melepaskan diri daripada tindakan undang-undang.”

Di samping itu, Artikel 10(2)(b) Perlembagaan Persekutuan juga memberi kuasa kepada Parlimen untuk menggubal undang-undang mengekang kebebasan berhimpun bagi kepentingan keselamatan negara atau ketenteraman awam. Akta Perhimpunan Aman 2012 adalah salah satu contoh akta yang mengawal perhimpunan di negara ini.

Sebelum itu, perhimpunan awam di Malaysia dikawal selia oleh Seksyen 27 hingga 27 C Akta Polis 1967. Tanpa permit polis, satu perhimpunan atau perarakan lebih daripada tiga orang dianggap tidak sah dan menyalahi undang-undang di bawah Akta Polis 1967.

Akan tetapi, hak Parlimen untuk mengekang kebebasan berhimpun menurut Artikel 10(2)(b) Perlembagaan Persekutuan mestilah munasabah. Dalam kes Nik Nazmi Nik Ahmad v. PP [2014] 4 CLJ 944, Hakim Mahkamah Rayuan menyatakan bahawa: “I have earlier referred to the decisions of our courts in Sivarasa Rasiah v. Badan Peguam Malaysia, supra, and Dr. Mohd. Nasir Hashim v. Menteri Dalam Negeri, supra, as requiring laws passed imposing fetters on the right of peaceable assembly under art. 10 to satisfy the test of “reasonable restrictions.” Sesuatu undang-undang yang tidak munasabah boleh diputuskan oleh Mahkamah sebagai tidak menurut Perlembagaan dan tidak sah.

Pada hemat penulis, bagi memastikan sesuatu perhimpunan itu dijalankan mengikut lunas undang-undang, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing. Bagi pihak yang berhimpun, mereka bertanggungjawab mematuhi peraturan dan mengikut arahan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa manakala bagi pihak berkuasa pula, mereka bertanggungjawab memastikan ketenteraman awam kekal terjamin.

Salah satu contoh terbaik perhimpunan yang berjaya dijalankan dengan aman adalah perhimpunan Bersih yang diadakan di Dataran Merdeka pada Ogos tahun lepas dan perhimpunan baju merah yang diadakan di Padang Merbok pada September tahun lepas.

Kedua-dua perhimpunan ini mempamerkan kerjasama baik di antara pihak penganjur dan polis bagi memastikan tidak ada sebarang keadaan yang tidak diingini berlaku.

Tetapi, pada pandangan penulis, penghargaan utama seharusnya diberi kepada kerajaan kerana membenarkan perhimpunan-perhimpunan ini berjalan dengan lancar.

Keprihatinan kerajaan terhadap hak ini jelas mempamerkan suatu pengalihan dasar yang ketara yang pada suatu masa dahulu perhimpunan seumpama ini akan disekat.

Kita masih ingat sebarang perhimpunan dahulu akan dikerumuni oleh Pasukan Simpanan Persekutuan atau Federal Reserve Unit (FRU), walaupun perhimpunan itu dilangsungkan dengan aman.

Pelbagai rang undang-undang digunakan untuk menyekat perhimpunan-perhimpunan ini daripada dilangsungkan, termasuklah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960.

Kita seharusnya memberi pujian kepada pihak-pihak yang berkenaan kerana akta ini telah dimansuhkan pada 2012. Jelas pengalihan dasar ini adalah suatu langkah yang amat bijak serta positif, selaras dengan dasar kerajaan untuk menjadikan negara ini sebagai sebuah negara maju.

Adalah menjadi harapan penulis agar mana-mana pihak yang berniat untuk menganjurkan perhimpunan memastikan penganjurannya berdasarkan lunas undang-undang. Ini bagi memastikan perhimpunan itu berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

Jadikan kekacauan yang berlaku di Asia Barat akibat perhimpunan tanpa sekatan sebagai pedoman. Jangan sampai nasi menjadi bubur barulah kita menyesal kerana pada masa itu kita tidak boleh berbuat apa-apa lagi.

Renung-renunglah... - M Reza Hassan Utusan Malaysia Rencana 07 Oktober 2016 6:00 PM

Jangan sesekali dedah aib sendiri

TIDAK seperti sesetengah amalan agama lain yang memerlukan pengakuan dibuat kepada individu tertentu sebagai tanda penyesalan dan pengampunan dosa, Islam mengajar umatnya untuk menutup aib sendiri daripada pengetahuan orang lain termasuk kepada tokoh agama dan keluarga terdekat.

Ketua Umum Yayasan Ats Tsabat Jakarta Timur, Khalid Zeed Abdullah Basalamah berkata, perkara itu membuktikan keunikan dan toleransi dalam agama Islam bagi memelihara kemuliaan manusia, di samping memberi peluang kepada umatnya untuk bertaubat serta menginsafi kesilapan silam.

Tambah pendakwah terkemuka Indonesia itu, sebagaimana peristiwa berlaku kepada Rasulullah SAW ketika didatangi seorang wanita yang mengakui dosa dilakukan dan memohon untuk dihukum.

“Diriwayatkan oleh Muslim, daripada Imran bin Hushain menceritakan, seorang perempuan dari (suku) Juhainah datang kepada Nabi yang pada ketika itu sedang mengandung hasil zina, lalu dia berkata: “Ya Rasulullah, saya telah berzina, hukumlah aku”. Lalu Rasulullah bertanya, “adakah kamu sedang mengandung?” Wanita itu menjawab: “Ya.”

“Rasulullah meminta wanita terbabit pergi dan melahirkan anaknya. Tanpa dipaksa, setelah melahirkan anak, wanita itu kembali kepada Rasulullah meminta untuk dikenakan hukuman, lalu Rasulullah memerintahkan wanita itu supaya direjam dan baginda sendiri yang menyembahyangkan wanita itu.

Sahabat Rasulullah bertanya, “wanita ini telah berzina”. Lalu Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya dia telah bertaubat, nilai taubat ini jika dibahagikan kepada 70 penduduk Madinah, nescaya cukup buat mereka. Adakah engkau dapati (seorang) lebih utama daripada (perempuan) yang menyerahkan dirinya kerana Allah?” katanya.

Khalid berkata, walaupun hudud merupakan hukum syarak yang ditetapkan Allah kepada pesalah dalam Islam, namun Rasulullah mengajarkan supaya bertaubat dan tidak menceritakan keburukan kepada orang lain jika melakukan kesalahan.

“Di sini, Rasulullah menunjukkan supaya wanita itu pergi dan bertaubat, tetapi kerana dia betul-betul ingin dihukum maka dia dihukum. Kisah sama juga ditunjukkan oleh Rasulullah ketika baginda didatangi seorang meminta dihukum kerana melakukan zina.

“Rasulullah tidak terus menghukum, sebaliknya berpaling muka sebanyak empat kali. Oleh kerana lelaki itu benar-benar ingin dihukum, Rasulullah perintahkan supaya dia direjam. Diceritakan ketika sedang direjam, lelaki itu berasa sakit, dia melarikan diri. Kemudian sahabat mengejarnya lalu merejam sehingga mati. Rasulullah berkata: “mengapa kamu membunuhnya, biarkan sahaja dia pergi dan bertaubat kepada Allah”.

“Begitu juga Islam melarang umatnya daripada mencungkil kesalahan orang lain dengan tujuan memburukkan individu tersebut, termasuk kepada isteri kita. Tidak salah kita hendak mengambil tahu urusan mereka, tetapi jangan terlalu mengawal tingkah laku mereka walaupun kita mempunyai hak, kita hanya memberi panduan, selebihnya biarlah urusan mereka dengan Allah,” jelasnya.

Sehubungan itu beliau berkata, bagi menghapuskan dosa dilakukan, umat Islam perlu bertaubat di samping memperbanyakkan amal ibadah secara berterusan dan bukannya menceritakan keburukan sendiri yang hanya memberi kesan buruk terhadap diri.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Bersegeralah melakukan amalan soleh sebelum datang fitnah (musibah) seperti potongan malam yang gelap, iaitu seseorang pada waktu pagi dalam keadaan beriman dan pada petang hari menjadi kafir. Ada pula yang pada petang hari dalam keadaan beriman dan ketika pagi hari menjadi kafir. Ia kerana menjual agamanya kerana sedikit keuntungan dunia.” - Riwayat Muslim

“Jika kita melakukan maksiat, bertaubatlah, tenangkan fikiran dan perbanyakkan amalan berterusan. Ulama mengatakan untuk menghilangkan dosa adalah umpama membersihkan air kotor di dalam gelas, caranya adalah menuangkan air bersih sebanyak mungkin supaya air kotor itu keluar, seterusnya hilang.

“Jangan pula kita melakukan kebaikan dalam masa sama melakukan kejahatan kerana air yang kotor itu tidak akan bersih, malah tidak akan merasakan nikmat kemanisan ibadah itu bagi mereka yang mempunyai dosa dalam hatinya walaupun sedikit.

“Seorang ulama bernama Hasan al-Basri berkata: “Jika kita merasakan kematian, pastinya kita akan memohon kepada Allah agar dihidupkan kembali walau untuk seketika bagi menginsafi dosa dan menghabiskan masa dengan beribadah,” katanya   - Mohd Shah Che Ahmad Utusan Malaysia Rencana 08 Oktober 2016 12:21 AM

Some home 'values' must be unlearnt

SCHOOLS are places to learn and unlearn. What has become of our schools? Are we progressing or regressing in the world of knowledge and wisdom?

It is a mind-boggling question which all individuals must reflect on as we go about our daily lives.

When parents send their children to school, they have so much hope and aspirations for them, and want them to be successful, live a good life and secure a good job.

The list goes on. But do they realise that children learn so much at home and from them, the first teachers in life?

Often, teachers face multiple situations where values taught at home needs to be unlearnt in school.

In my years of teaching Moral Education in secondary schools, I took issue with students using profanity or inappropriate phrases among their friends and sometimes at teachers.

Coming from a background where I was reminded that what people say is what is inside them and transforms into words and actions, I felt a responsibility to have discussions with such students to try and create awareness that using profanity and inappropriate phrases was neither acceptable nor encouraged in a social environment.

Some students refrain from using such words, at least in Moral Education class, but others keep using them and think it is acceptable.

Upon further research, I found that their parents used such words and phrases around their children.

School is not just a place to inculcate knowledge and values but also to unlearn and “re-engineer” one’s values, especially if such values are not appropriate for communal living or create disharmony in society.

It is difficult when the home or social environment is not supportive. It is essential for teachers to understand the home environment of their students.

Spending several minutes each day with each student, talking to them and understanding their background builds trust and mutual respect.

From my years of teaching, even the most hard core students are soft and compassionate deep inside.

Due to unforeseen circumstances, such as family disputes and many other social problems, these students become hard outside and are considered a nuisance at school.

They need the support of their school and the school community to help them realise that they need to unlearn and learn again.

The process of unlearning and learning again is a lifelong skill and as students become more mature in their intellectual process, the task becomes feasible.

Thus, the focus starts with the teacher who reaches out to the students. Dr Vishalache Balakrishnan NST Opinion Letters 7 October 2016 @ 11:02 AM

Transformasi kurikulum, pedagogi mampu rawat Sindrom 4K pelajar

JIKA kita melihat kepada landskap pendidikan terkini, rata-rata institusi pengajian tinggi cuba untuk menekankan nilai dan aspek kurikulum serta keperluan pasaran kerja.

Dalam aspek pembangunan kurikulum pengajian, aspek pandangan pemain industri, termasuk bakal majikan juga perlu diambil kira. Ketika ini, antara elemen penting dinilai bakal majikan adalah penyelesaian masalah kompleks.

Perkara ini tidak diajar dalam kelas, tetapi memerlukan kemahiran tambahan iaitu fleksibiliti kognitif pelajar. Maka, pelajar tidak harus hanya fokus untuk skor peperiksaan semata-mata. Pembabitan berpersatuan juga penting.

Proses ini akan melahirkan mahasiswa yang mampu menguasai pelbagai kemahiran insaniah seperti berupaya membuat hubung-kait, yakin berkomunikasi, daya berfikir aras tinggi, berkemahiran kritis, berintegriti dan mempunyai daya keusahawanan. Baru-baru ini kita turut dikejutkan dengan senario yang melanda negara.

Akhbar BH bertarikh 4 Oktober 2016 turut mengetengahkan isu panas mengenai mahasiswa yang diancam sindrom 4K, iaitu Kuliah (kononnya hanya hadir mendengar syarahan, itupun tidak fokus); Kafeteria (hanya duduk membuang masa dengan melepak), Katil (tidur melampau) dan Komputer (khayal melayan media sosial dan tidak mahu bercampur gaul.

Saling tuding jari

Lantaran itu, pelbagai pihak dilihat saling menuding jari menyalahkan satu sama lain.

Tidak kurang juga yang mencadangkan supaya universiti perlu memperbaharui semula kurikulum dan kokurikulum bagi memastikan sindrom 4K tidak terus memerangkap mahasiswa.

Pemimpin pelajar juga mahu kaedah pembelajaran di universiti awam diberi nafas baharu dan penilaian mahasiswa diteliti semula dengan mengambil kira semua kegiatan universiti.

Malah, ada juga yang berpandangan bahawa kaedah pengajaran yang bersifat tradisional, satu arah dan tidak interaktif menyebabkan pelajar gagal atau malas untuk hadir ke kelas atau kuliah.

Ini ditambah pula dengan fasiliti yang ada di universiti tidak mesra pelajar, sekali gus menjejaskan kualiti graduan tempatan.

Perlu difahami bahawa kaedah menyalahkan pihak tertentu tidak akan memberikan jalan keluar kepada permasalahan ini. Semua pihak, termasuk pensyarah dan mahasiswa perlu sama berganding bahu untuk memperhalusi perkara ini agar tidak berlarutan ke tahap yang lebih parah.

Mengikut kajian pakar teknologi pendidikan, kaedah pengajaran konvensional seperti chalk and talk semata-mata kurang berhasil menarik minat pelajar, sebaliknya memerlukan kaedah lebih dinamik dan kreatif dengan kandungan pengajaran yang relevan sesuai dengan perkembangan semasa.

Kemas kini pedagogi

Pensyarah perlu mengaplikasikan kaedah pembelajaran lebih dinamik. Selain itu, mereka juga disaran agar mengemas kini pengetahuan (kandungan kurikulum) dan kompetensi (pedagogi) serta memaksimumkan penggunaan pelbagai sumber sokongan teknologi dan maklumat bagi melaksanakan pengajaran dan pembelajaran yang efektif dan berkualiti serta relevan dengan perkembangan semasa dan akan datang.

Mahasiswa pula harus mengambil langkah proaktif agar sindrom 4K ini dapat dirawat dengan sebaiknya. Adalah tidak wajar menyalahkan pihak lain sedangkan sindrom ini pastinya dapat diubati, sekiranya mahasiswa memikirkan semula tujuan dan misi mereka dihantar untuk menuntut ilmu di menara gading.

Adakan dialog

Pelbagai kaedah dan saluran boleh digunakan di universiti untuk berbincang serta mengadakan dialog bersama pentadbir dan pengurusan universiti agar terhasilnya jalan keluar.

Ketahuilah bahawa ibu bapa dan masyarakat meletakkan harapan yang tinggi kepada mahasiswa. Anda yang diharapkan untuk mewarisi tampuk kepemimpinan negara. Maka, kualiti mahasiswa perlu digarap untuk menjamin kesejahteraan Malaysia pada masa akan datang.

Membudayakan sukan dan riadah

HARI ini satu Malaysia bersukan sempena sambutan Hari Sukan Negara 2016 yang diraikan pada Sabtu minggu kedua bulan Oktober setiap tahun. Tahun ini sambut­annya sangat bermakna kerana lebih tujuh juta orang mengambil bahagian secara serentak di seluruh negara. Kira-kira 22,500 aktiviti sukan dan riadah disusun di pelbagai peringkat. Ini tidak termasuk aktiviti bersukan yang bersifat kecil-kecilan, persendirian dan secara diam-diam.

Program tahun ini juga tambah bermakna di tengah-tengah ‘demam’ kejayaan atlet-atlet negara di Sukan Olimpik dan Paralimpik Rio 2016. Kejayaan mereka terutama atlet paralimpik mencetuskan fenomena luar biasa. Mereka menjadi pendorong dan pencetus semangat kepada rakyat Malaysia untuk bersukan dan berjaya dalam bidang sukan. Kejayaan mereka juga menjadi pemangkin kepada atlet-atlet lain untuk mencipta kejayaan yang sama di peringkat antarabangsa. Para pelajar sekolah menjadikan ikon-ikon sukan ini sebagai idola masing-masing.

Hari Sukan Negara menjadi program penting dalam usaha berterusan kerajaan menggalakkan rakyat menerapkan budaya hidup sihat, cergas dan aktif.

Dalam keadaan rakyat Malaysia diancam dengan macam-macam jenis ‘penyakit jadian sendiri’ yang berpunca daripada pemilihan gaya hidup kurang bersenam, pemakanan tidak sihat ditambah dengan terlalu banyak tekanan hidup, program ini dilihat sebagai satu kempen kesedaran peri pen­tingnya menjaga kesihatan, hidup aktif dan sentiasa cergas.

Budaya bersukan dan riadah mengeluarkan peluh ini sangat membantu menurunkan kadar penyakit kronik dalam kalangan penduduk.

Umum mengetahui budaya hidup bersukan dalam kalangan rakyat di negara ini masih rendah iaitu pada kadar 40 peratus sahaja berbanding dengan 50 hingga 60 peratus di negara-negara maju.

Dengan tinggal tidak sampai empat tahun sahaja lagi Malaysia akan memasuki tahun 2020, kesedaran ini perlu digerakkan secara agresif. Malaysia perlu mempunyai penduduk yang sihat dan tinggi kesedaran tentang penjagaan kesihatan dalam memasuki era negara maju.

Satu perkara yang menarik berhubung program yang dicetuskan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin ini ialah konsep bersukan dan beriadah yang ‘murah, mudah dan menarik.’ Konsep ini sangat bertepatan dengan moto Sukan Untuk Semua.

Sesiapa sahaja boleh memilih untuk menceburi bidang sukan mana yang mereka rasa bersesuaian mengikut kemampuan masing-masing. Pendekatan terbuka seperti ini sudah tentunya dapat menggalakkan dan menarik sesiapa sahaja untuk bersukan dan beriadah kerana tidak membebankan dan memerlukan kos yang tinggi.

Mereka boleh melakukan aktiviti sukan dan beriadah pada bila-bila masa dan secara konsisten kerana kemudahan atau kelengkapan sukan yang berkonsepkan mudah, murah dan menarik itu ada di persekitaran tempat tinggal mereka. Sekurang-kurangnya di taman-taman awam atau padang permainan kanak-kanak.

Bagi memastikan konsep bersukan sedemikian dapat diperluaskan semua yang terlibat termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu memastikan kemudahan untuk tujuan bersukan itu ada. Maksudnya peralatan dan kemudahan sedia ada di taman-taman awam, padang permainan, taman rekreasi atau pusat-pusat sukan untuk orang ramai diganti, ditambah dan diselenggara de­ngan baik.

Khairy Jamaluddin (tengah) bersama-sama pelumba basikal negara, Fatehah Mustafa (dua dari kiri) dan Azizulhasni Awang (tiga dari kiri) bersemangat mempromosikan Hari Sukan Negara 2016 dengan para peserta Jelajah Kampus Rakan Muda 2016 di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu, 6 Oktober lalu. Turut hadir Pengerusi Belia, Sukan dan Sumber Manusia, Datuk Rozi Mamat. BERNAMA

Tidak keterlaluan dikatakan sebahagian besar kemudahan dan peralatan bersukan percuma di taman-taman awam berada dalam keadaan daif, rosak, terbiar dan membahayakan.

Gimnasium rakyat yang banyak berjasa melahirkan atlet-atlet negara sebelum ini selain perlu diselenggara dengan lebih sempurna, diperbanyak serta diperluaskan terutama di kawasan bandar dan pinggir bandar. Sebahagian peralatan yang sudah terlalu lama, rosak atau hilang perlu diganti dengan peralatan yang lebih terkini dan sesuai dengan perkembangan sukan semasa.

Dengan kos sara hidup yang begitu tinggi di bandar-bandar besar, bukan semua penduduk bandar mampu mendaftar menjadi ahli gimnasium atau pusat-pusat kecergasan komersial. Sementelah lagi kebanyakan gimnasium komersial ini mengenakan yuran tahunan yang tinggi dan terletak di pusat-pusat perniagaan tertentu sahaja.

Kemudahan ini secara tidak langsung akan menggalakkan lebih ramai penduduk atau kumpulan kurang berkemam­puan mengambil bahagian dalam aktiviti ini. Syarikat-syarikat swasta yang kaya-raya boleh mengambil bahagian dalam membina atau menyediakan kemudahan sedemikian dengan menjadikannya sebagai satu daripada program tanggungjawab sosial korporat masing­-masing.

Bukan tidak ada yang sudah berbuat demikian tetapi jumlahnya amat kecil. Maaf cakaplah, syarikat-syarikat besar ini sebenarnya lebih gemar menaja program-program hiburan yang mencecah jutaan ringgit daripada menaja menubuhkan sebuah gimnasium di perumahan rakyat yang menempatkan golongan miskin bandar!

Dengan lima objektif utama program ini iaitu menerapkan budaya sukan dan memupuk sema­ngat perpaduan dalam kalangan rakyat, membangunkan ekonomi negara melalui industri sukan, meningkatkan pengetahuan sukan untuk rakyat serta mengiktiraf rakyat Malaysia yang terlibat dalam aktiviti membangunkan sukan di peringkat akar umbi, u­saha ini mesti diberi sokongan.

Kementerian Belia dan Sukan tidak seharusnya dibiarkan bersendirian menjayakan satu program yang banyak memberi faedah kepada perkembangan sukan negara dan melahirkan rakyat yang sihat menerusi aktiviti bersukan. Semua pihak mesti sama-sama menyahut seruan murni ini.

DBP tidak ada kuasa, Pertahan bahasa kebangsaan, Bahasa Melayu semakin terpinggir

Bahasa Melayu semakin terpinggir

BAGI penduduk asal dalam kebanyakan tempat di Kuala Lumpur terutama di pinggir bandar, pasti mengetahui sejarah pembukaan tempat tinggal mereka.

Namun tentu memilukan apabila tempat tinggal mereka suatu ketika dahulu yang dibuka oleh peneroka asal daripada keturunan Melayu kini ditukar namanya dalam bahasa asing.


IDENTITI bangsa hilang apabila bahasa asing menjadi pilihan untuk nama-nama tempat di negara ini.

Semakin banyak nama kawasan yang asalnya dalam bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu telah ditukar kepada bahasa Inggeris. Ada juga tempat yang baharu dibuka terus dinamakan dalam bahasa Inggeris. Alasan pemaju adalah lebih bersifat komersial.

Sebagai contoh Kerinchi, merupakan sebuah penempatan yang telah dibuka oleh orang Kerinchi dari Sumatera, Indonesia sekitar kurun ke-19. Malah masyarakat tersebut mempunyai identiti dan sejarah unik tersendiri.

Apabila mereka tiba di Kerinchi iaitu sebuah kawasan yang tidak jauh dari pusat bandar Kuala Lumpur, mereka telah membina penempatan dan mengusahakan pelbagai kegiatan ekonomi terutama pertanian.

Setelah lebih 100 tahun mendiami kawasan tersebut dan telah melalui beberapa fasa pembangunan termasuk pembinaan rumah teres, flat kos rendah dan sederhana serta stesen aliran transit ringan (LRT), nama Kerinchi kini dilupakan selepas diberi nama baharu, Bangsar South City.

Perubahan nama daripada Kerinchi kepada Bangsar South City ternyata mencetuskan kemarahan penduduk tempatan kerana pembangunan di kawasan berkeluasan 24 hektar tersebut telah menghakis sejarah pembukaan Kampung Kerinchi.

Secara tidak langsung, pembangunan itu mewujudkan jurang yang ketara apabila hartanah yang dijual mahal dan tidak mampu dibeli penduduk tempatan. Di situ sahaja, sudah hilang identiti budaya bangsa.

Jika nama Kerinchi masih lagi tercatat pada papan tanda jalan, nama Kampung Abdullah Hukum pula hanya dicatatkan pada stesen LRT.

Kampung Abdullah Hukum mempunyai sejarah yang hampir sama dengan Kerinchi. Malah kedudukannya juga tidak jauh dari Kerinchi iaitu kira-kira dua kilometer sahaja dan terletak lebih dekat dengan pusat bandar raya Kuala Lumpur.

Hari ini, Kampung Abdullah Hukum sudah lenyap, hanya tinggal nama yang suatu masa nanti pasti akan dilupakan. Atas nama pembangunan, rumah-rumah kampung telah dirobohkan dan diganti dengan pangsapuri dan kondominium mewah, KL Eco City.

Sebuah lagi pembangunan yang tidak melambangkan identiti Malaysia ialah pembukaan kawasan perumahan mewah berhampiran Taman Melati, yang telah dinamakan sebagai KL East.

Selain kawasan sekitar Kuala Lumpur, terdapat juga tempat-tempat lain yang telah dinamakan dalam bahasa asing seperti Ainsdale, Bangi Gateway dan sebagainya.

Melihat perkara tersebut, Presiden Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) Prof. Dr. Nor Hashimah Jalaluddin melahirkan rasa terkilannya dengan pihak tidak bertanggungjawab yang merendahkan martabat bahasa Melayu atas tiket pembangunan.

“Saya sedih melihat bahasa Melayu terhina di negara sendiri. Siapa lagi yang nak mengangkat martabatnya, kalau bukan kita, rakyat negara ini.

“Melihat nama tempat dan rancangan televisyen menggunakan bahasa asing, ia umpama satu tragedi buat bahasa Melayu. Meskipun ada undang-undang dan garis panduan tetapi penguatkuasaannya amat lemah.

“Semua pihak perlu ada semangat patriotik untuk memperkasakan bahasa Melayu. Untuk apa gunakan bahasa asing bagi menamakan tempat di negara kita?.

“Kita ada perkataan yang sesuai, misalnya Bangi Gateway dan KL Gateway, kenapa tidak dinamakan Gerbang Bangi dan Gerbang KL?” katanya ketika ditemui.

Pertahan bahasa kebangsaan

Masalah tidak memperkasa bahasa kebangsaan terus mendapat perhatian ramai pihak berikutan banyak nama tempat, kawasan perumahan dan rancangan televisyen menggunakan bahasa asing.

Bahasa Inggeris dilihat terus menjadi pilihan terutama syarikat pemaju untuk menamakan sesuatu tempat kerana mendakwa nilai komersialnya lebih tinggi.

Sikap tersebut dilihat salah satu faktor mengurangkan jati diri individu terutama dalam aspek cintakan tanah air dan mempertahan Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Pengarah Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (Impak), Prof. Madya Dr. Amer Shakir Zainol (gambar), konteks penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan perlu dilihat semula pada sejarahnya.



Amer Shakir Zainol

Beliau berkata, bahasa Melayu merupakan lambang perpaduan di awal kemerdekaan tanah air, kerana pada waktu itu tidak timbul persoalan untuk mengangkat sebarang bahasa bagi dijadikan bahasa kebangsaan.

“Antara intipati perjanjian kemerdekaan, misalnya persetujuan semua kaum untuk menetap di Tanah Melayu adalah bahasa Melayu dipersetujui semua orang untuk dijadikan sebagai bahasa kebangsaan.

“Negara kita unik kerana mempunyai pelbagai kaum terutama Melayu, Cina dan India yang jelas berbeza agama, budaya dan bahasa tetapi boleh wujud perpaduan apabila semua bersetuju menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan untuk mencapai kemerdekaan.

SELAIN identiti, sejarah Kerinchi juga dilihat semakin tenggelam dengan arus pemodenan di Kuala Lumpur.

“Tetapi akhir-akhir ini, banyak isu ditimbulkan. Dahulu pernah heboh tentang ‘bahasa rojak’ dan sewenang-wenangnya ada pihak mengambil bahasa asing untuk ‘dicampuradukkan’ ke dalam bahasa Melayu. Itulah, yang mengurangkan jati diri sesuatu bangsa,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia Sabtu.

Tambah beliau, pemimpin di sesuatu kawasan perlu mempunyai jati diri dan semangat patriotik yang tinggi untuk memperkasa dan mempertahan bahasa Melayu.

“Kesedaran perlu ada dalam mempertahan bahasa kebangsaan. Contohnya, pertukaran nama-nama jalan di sekitar Kuala Lumpur menggunakan nama Yang DiPertuan Agong sebelum ini.

“Justeru, sesiapa yang menjadi penggubal dasar, pemegang kuasa dan individu bertanggungawab perlu mempunyai jati diri, selain memainkan peranan untuk mempertahan bahasa kebangsaan.

“Yang penting, mereka harus tahu keperluan dan kepentingan untuk menggunakan bahasa Inggeris mestilah di tempat dan masa yang betul. Kita harus ingat, jasa pejuang dahulu yang berjuang untuk tanah air, bukannya orang putih,” tegasnya.


DBP tidak ada kuasa

PENGGUNAAN bahasa asing semakin berleluasa terutama pada nama-nama tempat. Lebih buruk lagi nama yang asalnya dalam bahasa kebangsaan telah ditukar kepada bahasa asing.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengakui perkara tersebut seperti sudah menjadi barah, malah pelbagai usaha telah dilakukan termasuk menasihati pihak berkuasa tempatan (PBT) agar mematuhi garis panduan penggunaan bahasa yang telah ditetapkan.

Kesal selepas pelbagai usaha telah dilakukan, Ketua Pengarahnya, Abdul Adziz Abasmemberitahu, DBP tidak mempunyai kuasa dan peruntukan undang-undang khusus untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, pelbagai usaha telah dilakukan termasuklah menganjurkan seminar, kursus dan sebagainya untuk menerangkan garis panduan penggunaan bahasa Melayu dengan betul.

“Setiap PBT sebenarnya mempunyai garis panduan tersendiri iaitu undang-undang kecil menjadi bimbingan kepada mereka untuk menaikkan papan tanda, nama tempat dan sebagainya.

“Tetapi, saya melihat undang-undang kecil tersebut tidak dipatuhi. Begitu banyak papan-papan tanda dan nama tempat tidak mematuhi undang-undang kecil itu seperti penggunaan bahasa asing dan sebagainya.

“Meskipun kita telah buat audit dan ziarah bahasa serta menyediakan laman Pusat Rujukan Persuratan Melayu, tetapi nasihat DBP seolah-olah diketepikan dan hanya beberapa PBT sahaja yang telah melaksanakannya,” katanya ketika ditemui.

Tambah beliau, daripada 149 jumlah PBT di seluruh negara hanya satu sahaja yang telah diberi penarafan lima bintang bagi amalan bahasa kebangsaan dalam kawasan pentadbirannya iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

“Persoalannya, bukan sahaja pada peruntukan undang-undang yang ada tetapi jati diri begitu kurang dan sepatutnya kita tidak patut melupakan asal usul, sejarah serta identiti tempatan.

“Pelbagai persepsi kita dapat lihat seperti bahasa Melayu mempunyai nilai komersial yang rendah berbanding bahasa asing. Itu adalah satu tanggapan yang tidak benar.

“Bukan langsung tidak boleh gunakan bahasa asing, tetapi PBT harus tahu keutamaan adalah kepada bahasa kebangsaan iaitu Melayu. Mereka patut ambil tindakan kepada pihak yang ingkar,” jelasnya.

Mengenali KPN kedua

Salam sejahtera dan selamat bertemu kembali. Seperti dijanjikan, saya kembali minggu ini untuk berkongsi bicara mengenai sejarah perkhidmatan dan sumbangan Ketua Polis Negara yang kedua iaitu Tun Mohamed Salleh Ismael.

Mohamed Salleh dilahirkan pada 7 Julai 1917 di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, dan memulakan kerjayanya di dalam Pasukan Polis Negeri-Negeri Melayu Bersekutu sebagai konstabel pada 25 September 1935. Beliau adalah anak Melayu pertama menjawat jawatan tertinggi dalam PDRM apabila dilantik sebagai Ketua Polis Negara bagi menggantikan Tan Sri Claude Harry Fenner pada 1 Mac 1966.



Tun Mohamed Salleh Ismael

Ancaman komunis, konfrontasi dan jenayah

Sewaktu menjadi Pesuruhjaya Polis Persekutuan Tanah Melayu, Mohamed Salleh turut bersama-sama Fenner pada ketika itu, menggembleng tenaga menentang ancaman komunis dan konfrontasi. Walaupun ancaman konfrontasi berjaya ditamatkan dengan termeterainya perjanjian persahabatan di antara Kerajaan Malaysia dan Indonesia pada 11 Ogos 1966, namun negara ketika itu masih berhadapan dengan ancaman komunis. Pada 17 Jun 1968, pengganas komunis membuat serangan hendap terhadap konvoi batalion pertama Pasukan Polis Hutan (PPH) dalam perjalanan di antara Kroh-Betong, Perak semasa menjalankan tugas ‘Ops Sawade Salam’. Dalam serangan itu, 16 anggota PPH terbunuh dan 17 tercedera manakala 11 lagi terselamat. Pengganas komunis juga merampas 2 laras Brengun LMG, 19 laras SLR, 2 pucuk Revolver, sepucuk pistol jenis Flare Gun, 4 butir bom tangan dan 3 laras Sterling. Serangan ini menyemarakkan lagi semangat dan iltizam Mohamed Salleh untuk menghadapi tentangan pengganas komunis dengan lebih giat lagi.

Belum pun reda dengan ancaman pengganas komunis, pasukan polis sekali lagi berhadapan dengan rusuhan kaum 13 Mei 1969. Mohamed Salleh selaku KPN pada ketika itu, bertindak bersama jabatan lain untuk memastikan ketenteraman awam kekal terkawal. Dalam menyelesaikan masalah yang membabitkan perkauman dan pergeseran kaum, Mohamed Salleh menggunakan kaedah rundingan serta nasihat dan seterusnya menggunakan pendekatan undang-undang untuk memastikan bahawa sesuatu krisis yang bercorak perkauman dapat diselesaikan dengan berkesan.

Pada 1 Januari 1957, Mohamed Salleh menubuhkan Pasukan Sukarelawan Polis bagi menggantikan ‘Auxilliary Police’ (AP) atau Polis Bantuan yang ditubuhkan semasa Darurat pada 1948. AP pada asalnya ditubuhkan untuk membantu pasukan polis mengekalkan dan menguatkuasakan undang-undang melalui peranannya sebagai mata dan telinga kerajaan di samping mengadakan kawalan di kampung, ladang dan kawasan pedalaman. Namun, setelah keadaan semakin aman, pasukan berkenaan dibubarkan, sehinggalah apabila Mohamed Salleh mengambil alih jawatan sebagai KPN. Beliau menubuhkan semula unit berkenaan, tetapi dengan nama Pasukan Sukarelawan Polis (SP). Ia bertujuan memberikan perkhidmatan di bandar bagi menampung kekurangan pegawai dan anggota polis, di samping menjadi mata dan telinga pasukan serta memupuk kerjasama antara pasukan polis dan orang ramai.

Perkembangan dan Permodenan Pasukan

Sebagai KPN, adalah menjadi tanggungjawab beliau untuk meningkatkan tahap kecekapan dan mutu perkhidmatan pasukan polis sejajar dengan keperluan masyarakat pada ketika itu. Salah satu usaha beliau ialah mewujudkan program Kerjasama Malaysia-Australia dalam bidang kepolisan, di mana melaluinya, tertubuh sebuah sekolah teknik berasaskan teknologi pembuatan dan teknikal bertujuan untuk melatih anggota teknik bagi keperluan Cawangan Pengangkutan, Marin, Komunikasi, dan Persenjataan Pasukan. Sekolah teknik tersebut dirasmikan pembukaannya pada 2 Mac 1977 dan bagi mengenangkan jasa beliau, ia dinamakan Sekolah Teknik Tun Salleh.

Mohamed Salleh juga memperkenalkan unsur pemikiran baru sesuai dengan kehendak dan keperluan semasa. Melihatkan kepada kejadian jenayah yang semakin meningkat, beliau merangka satu pelan tindakan bagi mengatasi ancaman berkenaan. Usaha gigih beliau telah melahirkan Sistem Salleh iaitu satu konsep yang bertujuan meningkatkan keberkesanan tindakan membasmi jenayah dengan membabitkan orang ramai secara langsung. Konsep ini lahir apabila beliau merasakan bahawa sistem pencegahan jenayah sebelum ini tidak begitu berkesan berikutan peningkatan kejadian jenayah pada 1960-an.

Pada bulan Februari 1968, sistem baru yang diilhamkan Mohamed Salleh telah diuji di Petaling Jaya. Hasil kejayaannya, sistem berkenaan diperluaskan pelaksanaannya di seluruh negara mulai Jun 1968. Melalui Sistem Salleh ini, pondok polis didirikan di seluruh negara bagi memberikan perkhidmatan kepada masyarakat, di samping bertujuan menjalin hubungan erat dan kerjasama antara polis dan orang ramai.

Bagi meningkatkan keberkesanan operasi menentang pengganas komunis dan lain-lain ancaman yang menggugat keselamatan negara, Mohamed Salleh menubuhkan satu unit elit Pasukan Polis Hutan (PPH) yang lebih dikenali dengan Unit 69 Komando pada 25 Oktober 1969. Penubuhan pasukan ini juga selaras dengan penyusunan dan pembentukan semula PPH selepas darurat pada akhir 1960-an hingga 1970-an.

Bagi memperkasakan PPH, beliau menubuhkan Unit Kereta Perisai pada 28 Julai 1971 dengan pembelian sebanyak 22 kereta perisai jenis Ferret Scout Car (yang pernah digunakan oleh Kerajaan British semasa Darurat) bagi membantu dan memberikan perlindungan berperisai kepada pergerakan unit PPH ketika operasi. Penggunaan kereta perisai dalam tugas meninjau, meronda dan membedil kedudukan pengganas komunis dapat menambahkan kekuatan di samping memperkasakan pasukan keselamatan dalam mengekalkan keamanan negara.

Mohamed Salleh menubuhkan Pasukan Polis Kadet yang membabitkan 2,000 pelajar daripada 56 sekolah menengah dari seluruh negara. Penubuhan yang diluluskan oleh Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) itu dilancarkan sepenuhnya pada 2 Mac 1970, bertujuan melahirkan generasi pelapis yang cintakan negara dan celik undang-undang. Ia juga bertujuan memberikan perkhidmatan kepada masyarakat dan memupuk kerjasama erat antara polis dengan orang ramai.

Sebagai anak tempatan pertama dilantik sebagai KPN, Mohamed Salleh membuktikan anak watan juga mampu memimpin dan mentadbir sebuah pasukan polis dengan cemerlang.

Kita akan bertemu lagi di minggu hadapan untuk menelusuri sejarah kegemilangan PDRM di bawah teraju Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Ketua Polis Negara Ketiga. Insya-Allah.