October 17th, 2016

Pengalaman Hidup Membentuk Nilai Diri

Keindahan hidup mesti bermula daripada diri sendiri dengan nilai diri yang positif. Orang yang mempunyai nilai atau harga diri positif, walau di mana pun berada, dan dengan siapa pun kita bekerjasama, kita tetap sama daripada segi sikap, tingkah laku, keimanan, dan hati budi. Janganlah kita menjadi seorang yang berubah-ubah imej diri, hingga menyebabkan nilai atau harga diri jatuh sama sekali. Maknanya corak kehidupan kita belum kemas, kerana pameran imej diri kita masih negatif dan akhirnya memberikan kesan nilai diri yang negatif. Sama ada kehidupan kita kemas atau tidak sebagaimana yang ingin dicorakkan atau dibentuk, perlulah dinilai oleh diri kita sendiri.

Kita akan sentiasa berada dalam keadaan bahagia kalau kita sentiasa memberikan kebahagiaan kepada orang yang mendampingi kita. Bagi mendapatkan keindahan hidup, bina nilai diri yang positif dengan membuang semua sikap negatif. Dari mulut kita jangan keluar kata-kata “rungutan”, “mengeluh”, dan “menyesal”, kerana tabiat ini merendahkan imej atau harga diri, dan sebenarnya kita sedang menempah penyakit yang kronik.

Setiap masa kita kena tahu kita berada di arah mana dan bagaimana keadaan kita; positif atau negatif? Dari segi fizikal kalau kita perhatikan suami sihat tetapi isteri asyik sakit, maknanya mesti ada yang tidak kena, sedangkan kita menggunakan dapur yang sama, pinggan mangkuk yang sama, dan tempat tidur yang sama. Sama ada masalah itu berpunca daripada masalah fizikal, persekitaran, natural genetik atau apa-apa masalah sekali pun, perlu dikemaskinikan kehidupan kita, dengan satu bentuk dan corak kehidupan yang mendapat reda dan rahmat Allah di dunia dan di akhirat?

Apabila kita ada nilai diri, kita boleh terbang seperti burung yang boleh terbang di angkasa, dan kita akan berenang seperti ikan yang berenang di dalam air. Kita boleh menyesuaikan diri walaupun di mana kita berada. Kita pandang diri kita pada tahap yang paling jauh atau paling dekat, dan kita yang mengawal diri dengan menggunakan minda, ke mana hala tuju dan bentuk/corak kehidupan yang kita mahukan.

Tanya diri kita apa yang kita mahukan dalam hidup ini? Tentulah dalam hidup ini kita mahukan 4K (Ketenangan, Kebahagiaan, Kesihatan dan Kekayaan), supaya kita dapat melakukan apa yang kita hendak buat mengikut hukum Islam.

Bagaimanakah caranya kita hendak mendapatkan apa yang kita mahukan itu? Kalau kita mahukan ketenangan, kita tenangkan orang dan kalau hendak bahagia kita bahagiakan orang. Jika mahukan kebebasan, kita jangan mengongkong orang. Corakkan satu kehidupan yang mudah, macam kapal yang belayar di laut yang tenang.

Nilai

Manusia ada nilai diri yang tersendiri, sebab kita datang dari kampung yang berbeza, ibu bapa berbeza, sekolah berbeza dan semuanya yang berbeza. Apabila bekerja kita akan berhadapan dengan persekitaran yang juga berbeza; mungkin kita yang berasal dari kampung, tetapi bekerja di bandar dengan syarikat yang besar.

Yang penting, segala yang kita dapat dalam perjalanan hidup adalah sesuatu pengalaman yang berharga buat diri. Apa-apa yang kita simpan sebagai pengalaman kehidupan dalam memori, menjadi amat penting bagi diri. Pengalaman itu satu perjalanan hidup yang amat berharga. Biarpun tidak mempunyai nilai, tidak memberi apa-apa makna dan kepentingan buat orang lain, tetapi itulah pengalaman kehidupan yang menentukan nilai dan harga diri kita.

Semua pengalaman itu kita simpan dalam minda sebagai memori. Contoh, orang yang datang dari keluarga penoreh getah, pukul 4:00 pagi bangun untuk pergi menoreh, sehingga kebanyakan penoreh getah menghadapi penyakit kembang paru-paru. Bagi seorang penoreh getah, nilai duit itu menjadi lebih penting untuk menyambung kehidupan membeli makanan dan tanggungan keluarganya, berbanding dengan waktu tidurnya. Hingga mereka sanggup tidak memikirkan kesan kepada kesihatan fizikal hasil daripada amalan hidup mereka dalam jangka masa panjang (pada hari tua).

Dalam kisah-kisah tersebut, ertinya kepentingan sesuatu perkara itu bergantung kepada nilai diri seseorang. Bagi orang kampung yang penting berenang, bahasa Inggeris tidak penting. Bagi profesor bahasa Inggeris yang penting, kerana bahasa itu dianggap bahasa dunia dan memudahkannya mencari ilmu. Hal ini menunjukkan nilai diri setiap orang berbeza bergantung pada asal usul kita dan bagaimana cara kita dibesarkan.

Oleh sebab itu kita tidak boleh mengutuk nilai diri seseorang. Segala yang terlepas ke dalam minda bawah sedar/minda segar ia akan menjadi nilai diri. Apa-apa yang sudah ditapis (segala maklumat yang masuk) bergantung daripada tapisan yang berlaku dalam bahagian minda separa sedar (akal/mental) dan maklumat terlepas daripada tapisan itu akan masuk mengikut bentuknya; jika bentuk bulat, bulatlah hasilnya.

Berapa banyak maklumat boleh masuk, baik yang positif atau negatif akan diterima oleh minda sedar, tetapi apa-apa yang hendak masuk ke dalam minda bawah sedar/minda segar hanya perkara yang memberi nilai dalam hidup kita sahaja.

Bagi orang yang dilahirkan dalam keluarga yang senang, nilai imej dirinya juga turut berbeza dengan orang yang miskin. Semua pengalaman hidup masa kecil itu kita simpan, dan apabila kita sudah besar barulah dilepaskan pengalaman itu. Sebab itulah kita ini mempunyai tabiat hidup berdasarkan apa yang kita simpan dalam minda bawah sedar/minda segar kita. Hal ini adalah kerana, segala yang penting dan yang sudah ditapis sahaja akan disimpan. Semua pengalaman itu masuk melalui mata, hidung, telinga, hati dan otak/minda kita.

Jadilah diri kita yang sebenar kerana orang yang menjadi diri sebenar merupakan seorang yang bervisi dan tidak berfikiran negatif. Orang yang positif akan sentiasa mempersiapkan diri untuk berhadapan dengan sesuatu yang lebih besar dan jangan takut mencuba sesuatu yang baharu dalam hidup kita. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”. Dr Muhaya Mohammad Utusan Malaysia Rencana 16 Oktober 2016 6:20 PM

Raja yang memayongi rakyat

KEMANGKATAN Raja Thailand, Bhumibol Adulyadej pada 13 Oktober 2016 telah menjadi peristiwa yang memberikan kesan kepada rakyat Thailand. Raja Bhumibol adalah pemerintah tertinggi Thailand yang memerintah selama 70 tahun semenjak memegang takhta pada tahun 1946 hingga 2016. Dengan kemangkatan Raja Bhumibol, pewaris takhta yang dijangka mengambil alih bagi menggantikan Raja Bhumibol adalah Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn yang merupakan satu-satunya putera lelaki dalam keluarga diraja itu.

Kemangkatan dan penggantian takhta Raja Thailand ini telah menimbulkan pelbagai persoalan yang berkisar mengenai apakah kesan ke atas politik, dasar, bentuk pemerintahan, pengaruh tentera, rakyat di selatan Thailand dan hala tuju negara itu?

Perkembangan sistem demokrasi dan politik Thailand banyak dipengaruhi oleh sistem monarki yang mana pengaruh raja diberi keutamaan dalam segala pembentukan dasar dan tindakan kerajaan. Senario ini dapat dilihat melalui keutamaan rakyat dan pemerintahan negara yang meletakan kekuatan pengaruh raja dan monarki yang kuat dalam urusan dan sistem kehidupan rakyat Thailand.

Dengan latar belakang dan pengaruh Raja Bhumibol yang mesra rakyat dan menjadi ikon ketaatan dalam sistem kehidupan rakyat selama 70 tahun, ia secara tidak langsung menunjukan Raja Bhumibol telah berjaya mewujudkan sekurang-kurang “satu generasi” di bawah pemerintahan beliau.

Justeru, jangka masa 70 tahun adalah tempoh lama yang mempengaruhi sistem kehidupan dan penyatuan rakyat Thailand dan bukan hanya terdiri daripada etnik Thai tetapi juga membabitkan pelbagai etnik. Justeru, adakah Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn yang berusia 64 tahun mampu meneruskan legasi kecemerlangan Raja Bhumibol?

Berdasarkan latar belakang baginda yang banyak memiliki pendidikan dan pengalaman di Barat seperti Australia, Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom, Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn dilihat akan memperkukuhkan hubungan Thailand dengan negara Barat khususnya AS yang selama ini telah memiliki hubungan baik serta pengaruh kuat dalam ekonomi Thailand.

Bagaimana pula pengaruh dan peranan tentera dalam politik Thailand dalam era pasca Raja Bhumibol? Pelantikan Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn dijangka akan mengekalkan pengaruh dan peranan tentera dalam sistem politik Thailand seperti mana yang telah diamalkan Thailand sejak 1932, iaitu sebelum Raja Bhumibol mengambil alih tampok pemerintahan lagi.

Peranan tentera dalam sistem politik Thailand telah menjadi entiti yang diterima pakai dalam amalan demokrasi Thailand sebagai “entiti penstabil” dalam politik, pemerintahan dan demokrasi di Thailand. Golongan tentera memiliki kuasa dan status besar yang mewakili kuasa raja (istana) dalam pengamalan demokrasi di Thailand. Ini dapat dilihat dengan lebih daripada 15 kali rampasan kuasa (kudeta) oleh golongan tentera semenjak tahun 1932.

Di sini menunjukan terdapat tiga entiti utama yang mencorakkan politik dan kestabilan Thailand iaitu rakyat, parti dan sistem politik dan golongan tentera (Istana). Timbul isu adakah pengaruh tentera semakin dikurangkan dengan pemerintahan Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn?

Pengaruh

Namun pengaruh tentera dijangka semakin kukuh kerana beliau sendiri merupakan putera raja berlatarbelakangkan tentera yang pernah mendapat pendidikan di Kolej Tentera Diraja Duntroon, Canberra, Australia dan merupakan bekas pegawai tentera pada tahun 1970-an dalam angkatan tentera Thailand.

Peranan tentera yang membawa agenda monarki dalam politik Thailand dijangka akan diperkukuhkan dengan perlantikan baru Raja Thailand kerana Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn memerlukan peranan tentera dalam membentuk dan memastikan peningkatan imej baru Raja Thailand pasca Raja Bhumibol sebagai pemerintah baru.

Ini bermaksud elemen tentera amat diperlukan dalam memastikan aspek ketaatan rakyat dan kelangsungan hidup institusi monarki terus kekal dan kukuh di Thailand. Kaedah ini telah pun dilaksanakan oleh bapa beliau semenjak memegang tampuk pemerintahan pada tahun 1946 dengan memperluaskan kuasa dan “merestui” campur tangan tentera dalam politik Thailand.

Penggunaan tentera juga adalah kaedah dalam membentuk satu imej, ketaatan dan kedaulatan raja di mata dan di hati rakyat. Raja Bhumibol telah berjaya menggunakan kaedah ini selama 70 tahun dan ternyata ia berjaya mempengaruhi sistem politik dan membentuk pengaruh monarki yang besar dalam demokrasi Thailand. Justeru, Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn juga turut dijangka mengambil langkah mengekal dan mempertingkatkan peranan dan pengaruh tentera dalam landskap politik Thailand.

Apakah pula kesan ke atas penduduk Islam di selatan Thailand? Dasar kerajaan Thailand untuk menyelesaikan konflik di selatan Thailand dilihat akan dikekalkan berdasarkan kesediaan kerajaan untuk memberikan laluan perjanjian damai. Ini kerana 'kesediaan' kerajaan Thailand yang dipimpin tentera melalui Perdana Menteri, Jeneral Prayut Chan-o-cha untuk mengadakan rundingan di Kuala Lumpur pada April 2016 adalah ruang kepada penyelesaian konflik.

Konflik ini melibatkan kerajaan Thailand dengan MARA Patani yang dianggotai oleh Kumpulan Bertindak BRN, Barisan Islam Pembebasan Patani (BIPP), Pertubuhan Persatuan Pembebasan Patani (PULO-P4), Pertubuhan Pembebasan Patani Bersatu (PULO-dspp), Pertubuhan Pembebasan Patani Bersatu (PULO-mkp) dan Gerakan Mujahidin Islam Patani (GMIP). Manakala Malaysia bertindak sebagai negara fasilitator dalam rundingan.

Gerakan kemerdekaan di selatan Thailand yang meletus semenjak tahun 1970-an telah memberikan kesan yang besar kepada pembangunan fizikal dan mental di selatan Thailand selain telah menyebabkan proses pembangunan di Yala, Patani dan Narathiwat terabai. Malah kesediaan rakyat di selatan Thailand untuk membawa ke meja rundingan juga menunjukkan kesediaan mereka untuk menerima kedaulatan pemerintahan Thailand ke atas wilayah Selatan.

Selain itu, dengan pengukuhan ekonomi di wilayah Selatan yang semakin hari menunjukkan peningkatan, ia telah memberikan kesedaran kepada kerajaan Thailand dalam membuka ruang kepada rundingan damai yang secara langsung membuka laluan masuk dan meningkatkan pelaburan dari Malaysia dan Singapura yang dapat meningkatkan pendapatan Thailand.

Pemerintahan baru Thailand oleh Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn juga dijangka akan memberikan penumpuan untuk menjayakan penyelesaian konflik yang telah diatur semenjak pemerintahan Raja Bhumibol. Dr. Mohamad Faisol Keling Utusan Malaysia Rencana 16 Oktober 2016 6:25 PM

Mengenali KPN ketiga

Salam sejahtera dan selamat bertemu kembali dalam siri mengenali Ketua Polis Negara (KPN), yang kini masuk ke minggu ketiga. Kali ini, saya ingin berkongsi sejarah perkhidmatan dan pengorbanan KPN Ke-3 iaitu Tan Sri Abdul Rahman Hashim.

Abdul Rahman dilahirkan pada 17 Julai 1925 di Yan, Kedah. Beliau memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam sebagai kerani percubaan di Jabatan Pos dan Telegraf pada 6 Ogos 1941, sebelum memasuki perkhidmatan polis sebagai Chief Sub Inspektor pada 17 Oktober 1941. Berkat prestasi kerja yang cemerlang, beliau kemudian dimajukan ke pangkat Inspektor Percubaan pada 1 April 1946.


Tan Sri Abdul Rahman Hashim

Pada 21 April 1953, beliau dihantar ke United Kingdom untuk mengikuti kursus tiga bulan di Mill Meece Police Training Centre, Staffordshire dan sekembalinya ke tanah air, ditugaskan ke Cawangan Khas pada 13 Oktober 1953. Antara 16 Mac 1954 sehingga 31 Disember 1954, beliau ditugaskan sebagai Ketua Jurulatih di Sekolah Latihan Cawangan Khas. Pada 22 September 1957, beliau sekali lagi dihantar ke United Kingdom untuk mengikuti kursus enam bulan di Bramshill Police College, Rynton-on-Dunsmore. Kejayaan demi kejayaan melakar kerjaya beliau di mana jawatan yang disandang merangkumi Ketua Cawangan Khas Pulau Pinang (1960), Timbalan Pengarah Cawangan Khas (1963), Pengarah Cawangan Khas (1971), Timbalan Ketua Polis Negara (1972) dan kemuncaknya sebagai Ketua Polis Negara yang ke-3 pada 1 Februari 1973.

Pemantapan Perkhidmatan

Sebagai pemimpin dalam organisasi besar seperti PDRM, Abdul Rahman telah melaksanakan dasar untuk meningkatkan kecekapan dan mutu perkhidmatan PDRM kepada masyarakat. Usaha ini penting kerana negara ketika itu masih berhadapan dengan ancaman komunis, di samping ancaman jenayah yang berterusan mengganggu gugat keharmonian hidup masyarakat.

Dalam tahun pertama perkhidmatannya, beliau menyusun semula organisasi pasukan polis di semua peringkat, bertujuan meningkatkan kecekapan perkhidmatan untuk menyokong tanggungjawab beliau sebagai KPN. Beliau telah merangka strategi baru bagi meningkatkan keupayaan perkhidmatan di bidang pentadbiran, penyiasatan, operasi dan juga latihan, demi meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada masyarakat dan negara. Abdul Rahman turut memperkenalkan konsep balai polis bergerak bagi tujuan memberikan perkhidmatan polis secara terus kepada orang ramai di lokasi yang ditetapkan dan konsep ini terus diguna pakai sehingga ke hari ini.

Semangat dan pengorbanan

Dalam melaksanakan tugas sebagai KPN, beliau bukan sahaja menumpukan usaha memantapkan perpaduan di kalangan anggota pasukan dan pencegahan jenayah, malahan untuk mematahkan gerakan anasir Parti Komunis Malaya (PKM) yang mula meningkatkan aktiviti keganasan bermula pada 1968, sewaktu era Insurgensi ke-2 PKM.

Ketegasan dan kecekapan beliau dalam merancang dan mengatur strategi untuk melaksanakan gerakan bagi mengekang keganasan dan kegiatan komunis, memberi kesan kepada pihak yang menimbulkan keadaan kekacauan dan huru-hara di dalam negara. Keadaan ini telah menimbulkan rasa tidak senang di kalangan anasir antinasional, terutama sekali pihak yang mempunyai hubungan rapat dengan PKM.

Atas dasar ketegasan beliau yang tanpa rasa takut dan gentar melancarkan gerakan pembasmian ini, pihak musuh telah mengambil tindakan yang kejam dengan melancarkan serangan hendap ke atas beliau pada 7 Jun 1974, ketika kenderaan rasmi beliau berada di persimpangan Jalan Tun Perak dan Jalan Pudu di belakang Bangunan Lee Yan Lian, Kuala Lumpur. Ketika itu, dua lelaki yang tidak dikenali melepaskan tembakan terhadap Abdul Rahman dan pemandunya. Akibat serangan itu, beliau telah terbunuh dan pemandunya mengalami kecederaan parah. Abdul Rahman terkorban sebagai seorang wira.

Pengorbanan Allahyarham telah menyemarakkan lagi semangat juang seluruh warga PDRM dan menjadi inspirasi bukan sahaja kepada anggota pasukan polis, bahkan juga kepada segenap lapisan masyarakat yang cintakan perpaduan dan keamanan negara. Walaupun hanya memegang jawatan sebagai KPN selama 16 bulan, pengorbanan Allahyarham amat tinggi nilainya kepada tanah air. Ia juga mengingatkan kita semua tentang mahalnya nilai sebuah keamanan dan kedaulatan negara yang harus kita pertahankan.

Watan kehilangan seorang wira dan PDRM kehilangan seorang pemimpin yang mempunyai semangat pengorbanan yang cukup tinggi.

Sama-samalah kita berdoa semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan dihimpunkan di kalangan mereka yang syahid. Marilah kita sama-sama meneruskan semangat keperwiraan dan keberanian Allahyarham dalam memastikan negara ini bebas daripada sebarang bentuk percubaan dan agenda jahat pihak yang ingin mengganggu gugat keselamatan tanah air kita yang tercinta ini.

Salam hormat dan kita jumpa lagi di minggu hadapan untuk menelusuri pula sejarah perkhidmatan dan sumbangan KPN Keempat iaitu Tun Mohammed Hanif Omar. Insya-Allah.