December 12th, 2016

Transformasi IPG 2016-2025

Transformasi IPG 2016-2025

Ke arah menjadi institusi pendidikan tinggi guru terunggul  |  12 Disember 2016 1:57AM

PUTRAJAYA 11 Dis. - Visi Institut Pendidikan Guru (IPG) adalah untuk menjadi peneraju kecemerlangan pendidikan guru menerusi program pembangunan yang dinamik sejajar misi melahirkan guru yang kompeten dan berjiwa pendidik.

IPG kini berhadapan cabaran besar untuk membentuk warga pendidik yang boleh memenuhi keperluan pendidikan negara sejajar perkembangan teknologi masa kini. Bagi mencapai hasrat itu, IPG perlu dirombak bagi memacu lonjakan kecemerlangan dalam mendepani aspek peningkatan kualiti guru di Malaysia.

Ketua Jabatan Pengurusan Kualiti dan Keutuhan, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Dr. Azma Mahmood berkata, Kementerian Pendidikan menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 menyatakan bahawa IPG perlu dirombak secara menyeluruh ke arah menjadi institusi latihan guru bertaraf dunia. Beliau menjelaskan bahawa anjakan keempat PPPM 2013-2025 telah mengariskan transformasi keguruan sebagai profesion pilihan dengan menjadikan IPG sebagai sebuah institusi yang mampu meningkatkan standard pendidikan di Malaysia menerusi pembangunan pendidikan guru.

“Kerajaan pada 2012 telah mengumumkan bahawa IPG perlu dirombak, maka selepas itu satu kajian mendalam telah diadakan melalui pelbagai pendekatan seperti sesi pengumpulan input dan pandangan Kajian Transformasi IPG ini telah dilaksanakan oleh pakar perunding antarabangsa, Parthenon – Ernst & Young (EY) dan pelan tindakan yang dihasilkan telah mendapat kelulusan dalam Mesyuarat Susulan Jemaah Menteri pada September 2015.

“Sebanyak 9,000 pelajar, pensyarah dan alumni IPG terlibat dalam kajian ini termasuk penanda arasan terhadap tujuh buah negara yang terbaik dalam pendidikan guru,” katanya. Lanjutan itu, Dr. Azma berkata, satu pelan yang dinamakan sebagai Transformasi IPG telah dirangka bagi tempoh 10 tahun iaitu bermula pada 2016 sehingga 2025 dengan berasaskanlima teras utama iaitu: “Transformasi kepimpinan dan organisasi, penyusunan semula kampus, kualiti pensyarah, penyelidikan dan persekitaran pembelajaran,” jelas beliau.

Beliau berkata, sebanyak 40 inisiatif telah dikenal pasti untuk pelaksanaan yang terbahagi kepada tiga peringkat untuk tempoh selama 10 tahun.

Katanya, peringkat pertama bermula dari 2016 hingga 2017 melibatkan 18 inisiatif, peringkat kedua (2018-2020) melibatkan 15 inisiatif manakala tujuh lagi inisiatif untuk peringkat ketiga bermula 2021 hingga 2025.

Pada peringkat pertama (2016-2017), sepuluh daripada 18 inisiatif yang telah digerakkan berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan bagi tahun semasa. “Lapan lagi inisiatif dalam peringkat pertama akan terus digerakkan bagi mencapai sasaran menjelang 2017,” katanya.

Jelasnya, semua pencapaian inisiatif yang terkandung dalam transformasi itu dinilai dan dipantau Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (PADU) Kementerian Pendidikan bersama Pejabat Pengurusan Transformasi (Transformation Management Office) IPG.

“Keseluruhan cadangan pelaksanaan Transformasi IPG telah mendapat kelulusan Mesyuarat Susulan Jemaah Menteri pada September 2015,” jelas beliau.

Beliau menarik perhatian bahawa impak pelaksanaan Transformasi IPG iaitu berupaya menghasilkan pendidik yang berkualiti dan memenuhi aspirasi sistem pendidikan Malaysia. Katanya, pengajaran abad ke-21 memerlukan strategi pembelajaran dan pengajaran yang berkesan di dalam bilik darjah.

“Guru perlu menekankan aspek membina pedagogi pembelajaran abad ke-21 dalam proses mereka bentuk pengajaran selain aspek prasarana fizikal.

“Maka Transformasi IPG ini bertepatan dengan usaha itu bagi menyediakan guru terlatih berkualiti dan diiktiraf di peringkat global,” katanya.

Dalam melaksanakan Transformasi IPG, Dr. Azma berkata, pihaknya berdepan beberapa cabaran. Namun, untuk menjayakan agenda transformasi, warga IPG perlu berfikir secara positif dan bersatu untuk menyokong agenda perubahan demi masa depan pendidikan negara. Menurutnya, warga IPG juga perlu menjadi agen perubahan dan bersama-sama memacu transformasi organisasi menjadi institut perguruan yang unggul.

Lihat juga Laporan Parthenon-EY Oktober 2015


Transformasi IPG

PUTRAJAYA - Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) menyasarkan 70 peratus tenaga pengajar di Institut Pendidikan Guru (IPG) berkelulusan Ijazah Kedoktoran (PhD) menjelang tahun 2025.

Ketua Jabatan Pengurusan Kualiti dan Keutuhan IPGM, Dr Azma Mahmood berkata, setakat ini pihaknya mempunyai 431 pensyarah IPG berkelulusan PhD.

“Kita menjangkakan lebih ramai lagi tenaga pengajar IPG mempunyai kelulusan tertinggi selaras dengan transformasi yang dilakukan,” katanya.

Menurutnya, transformasi IPG merangkumi perancangan jangka panjang bagi tempoh 10 tahun menerusi lima teras utama iaitu transformasi kepimpinan dan organisasi, penyusunan semula kampus, kualiti pensyarah, penyelidikan dan persekitaran pembelajaran.

“Pelan pelaksanaan Transformasi IPG telah disediakan oleh pakar perunding antarabangsa, Parthenon – Ernst & Young (EY) dan mendapat kelulusan Mesyuarat Susulan Jemaah Menteri pada September 2015.

“40 inisiatif telah dikenal pasti untuk dilaksanakan dalam tiga peringkat selama 10 tahun,” katanya.

Beliau berkata, peringkat pertama melibatkan 18 inisiatif yang dilaksanakan pada 2016 sehingga 2017.

“Peringkat kedua melibatkan tahun 2018 sehingga 2020 dengan perlaksanaan 15 inisiatif,” katanya.

Dr Azma berkata, peringkat ketiga yang akan bermula pada tahun 2021 sehingga 2025 mempunyai tujuh inisiatif.

Pelaksanaan inisiatif-inisiatif Transformasi IPG ini dipantau oleh Unit Pelaksanaan & Prestasi Pendidikan (PADU) dan dibantu dengan Pejabat Pengurusan Transformasi (TMO) IPG yang ditubuhkan di IPGM sejak Ogos 2016.

Menurutnya, pada tahun pertama peringkat 2016-2017, 10 daripada 18 inisiatif yang telah digerakkan berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan bagi tahun semasa.

“8 lagi inisiatif pada peringkat pertama akan terus digerakkan bagi mencapai sasaran menjelang 2017.

“Apabila maktab perguruan dinaik taraf kepada IPG pada tahun 2008, ia mula menawarkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP).

“Program pengajian peringkat ijazah sarjana masih dalam peringkat perancangan untuk dilaksanakan di IPG,” katanya.

Cabaran Transformasi IPG

Dr Azma yang juga Ketua Jabatan Pengurusan Kualiti dan Keutuhan IPGM berkata, warga IPG perlu berfikir secara positif dan bersatu untuk menyokong agenda perubahan demi masa depan pendidikan negara.

Menurutnya, warga IPG juga perlu menjadi ejen perubahan dan bersama-sama memacu transformasi organisasi menjadi institut perguruan yang unggul.

“Transformasi IPG adalah seiring dengan anjakan keempat dalam Pelan Pembangunan Pendidikan dan bertepatan dengan transformasi pendidikan negara.

“Latihan keguruan di IPG bertujuan melahirkan guru-guru yang berkualiti bagi  meningkatkan standard pendidikan negara yang dapat memenuhi keperluan pendidikan di abad ke-21 ini”, katanya.

Beliau berkata, peranan IPG pada masa kini selaras dengan visi dan misinya.

“Visi IPG ialah menjadi peneraju kecemerlangan pendidikan guru manakala misinya ialah melahirkan guru yang kompeten dan berjiwa pendidik ke arah pendidikan sekolah bertaraf dunia,” katanya.

Dr Azma berkata, IPG merupakan pusat latihan dan pembekal utama guru-guru sekolah rendah di seluruh negara.

“IPG juga turut menjalankan kursus dalam perkhidmatan untuk guru bagi meningkatkan profesionalisme keguruan,” katanya.

Tuan Buqhairah Tuan Muhamad Adnan Sinar Harian Nasional 12 Disember 2016