March 21st, 2017

Universiti di Malaysia, indah rupa daripada isi?

Minggu lalu, Universiti Malaya (UM) dilaporkan mengekalkan kedudukannya sebagai universiti terbaik di negara ini, menurut ukuran penarafan QS World University Rankings berdasarkan mata pelajaran.

Penarafan bagi mata pelajarannya yang meningkat ialah kejuruteraan elektrik, kejuruteraan mekanikal, kejuruteraan kimia dan pendidikan.

Apabila seseorang memandu masuk UM dari pintu utama, bangunan akademik asal di kampus yang pertama dilalui ialah Fakulti Kejuruteraan. Bangunan fakulti itu seperti mana binaan asal UM mencerminkan aliran seni bina awal tahun 1960-an iaitu modernis. Satu lagi bangunan utama yang dibina dalam reka bentuk ini ialah Dewan Tunku Canselor (DTC).


Kewujudan universiti di Malaysia mempunyai sejarah uniknya yang ringkas. Kini puluhan universiti tempatan dan asing beroperasi. Tetapi apakah ia sekadar kilang tenaga kerja?

Seni bina modenis ini mencerminkan semangat sebuah negara baharu bernama Malaya. Bangunan lain yang menggambarkan semangat ini ialah Parlimen, Rumah Persekutuan, Masjid Negara, Wisma Putra, Angkasapuri dan Lapangan Terbang Subang.

Kampus UM terletak di sebuah kawasan yang indah, lengkap dengan tasik. Kedudukannya di Lembah Pantai, dahulunya pinggiran Kuala Lumpur, kini berada di kawasan tanah bernilai tinggi.

Maka tidak hairanlah pada 2008, terdapat laporan ada usaha untuk membeli tanahnya bagi tujuan komersial. Usaha itu dibantah banyak pihak dan isu itu pun hilang. Tetapi ia menjadi peringatan kepada generasi akan datang supaya kampus UM dipertahankan.

UM diisytiharkan sebagai universiti nasional pada 1962 dan menjadi institusi penting bagi Malaya yang baru dibentuk apabila mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

Sebelum 1962, UM institusi pengajian tinggi kolonial yang mempunyai 2 kampus. Kampus utamanya di Singapura dan kampus kedua di Kuala Lumpur. Apabila kampus di Kuala Lumpur menjadi universiti nasional, ia mengekalkan nama UM sementara kampusnya di Singapura berpisah untuk menjadi University of Singapore. Ketika itu Singapura masih merupakan tanah jajahan British.

Kini, University of Singapore sudah menjadi National University of Singapore (NUS) yang meraih kedudukan terbaik di Asia dalam penarafan keseluruhan menurut QS World University Rankings. NUS diwujudkan pada 1980 hasil gabungan University of Singapore dan Nanyang University.

Ini bermakna ketika Malaysia ditubuhkan pada 1963, terdapat 3 universiti di negara ini: Universiti Malaya, University of Singapore dan Nanyang University.

Nanyang University yang juga dikenali sebagai Nantah ditubuhkan pada 1958 daripada cadangan yang dikemukakan pada 1953.

Apabila Malaysia ditubuhkan, ada pihak yang menyeru supaya Universiti Malaya ditukar nama kepada Universiti Malaysia, iaitu sebagai sebuah universiti nasional bagi seluruh Malaysia, dan bukan untuk Malaya saja.

Namun cadangan itu ditolak kerana Universiti Malaya hendak mengekalkan nama asalnya sebagai suatu warisan. Universiti tidak menukar-nukar nama dengan mudah.

Nama Universiti Malaysia dikhaskan untuk sebuah universiti nasional yang menggunakan bahasa kebangsaan. Universiti sedemikian diusulkan Seminar Bahasa dan Sastera Kebangsaan pada tahun Malaysia ditubuhkan.

Sebenarnya Universiti Malaya dan University of Singapore berasal daripada University of Malaya yang ditubuhkan di Singapura pada 1949 melalui penggabungan King Edward VII College of Medicine dan Raffles College.

King Edward VII College of Medicine yang ditubuhkan pada 1905 dan Raffles College pada 1929 merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan kolonial British untuk mengukuhkan kekuasaannya di Malaya dengan mewujudkan sistem pengajian tinggi.

Pada tahun sama, dengan penubuhan King Edward VII College itu, pihak kolonial British juga menubuhkan Malay College Kuala Kangsar. Ketika itu Britain memikirkan mereka akan menjajah Malaya selama-lamanya.

Proses itu bermula dengan penubuhan Penang Free School pada 1816 diikuti dengan sekolah lain seperti Victoria Institution pada 1893 dan English College di Johor Bahru pada 1914.

Penjajah juga menubuhkan Teachers Technical College pada 1904, Sultan Idris Teachers Training College (SITC) pada 1922 dan School of Agriculture di Serdang pada 1931.

Tetapi hanya Raffles College yang kemudiannya berkembang menjadi sebuah universiti pada zaman kolonial.

Gesaan bagi penubuhan sebuah universiti menggunakan bahasa Melayu sudah timbul pada 1903, 1917 dan 1930 melalui tulisan-tulisan dan memorandum cendekiawan Melayu.

Saya cuma membayangkan dalam satu perjalanan sejarah alternatif, Malay College yang kemudian dikenali sebagai Maktab Melayu Kuala Kangsar berkembang menjadi sebuah universiti dengan menggabungkan juga SITC untuk menjadi universiti pertama di Malaya.

Malah Kuala Kangsar boleh menjadi bandar universiti bagi Malaya di bawah naungan diraja seperti Oxford di England.

Kalau tidak pun, Victoria Institution yang ditubuhkan pada 1893 boleh dikembangkan menjadi universiti pertama di Malaya dengan keseluruhan Bukit Petaling menjadi kawasan kampus. Tradisi pendidikan tinggi dari Britain akan mengukuhkan mutu universiti ini.

Tetapi itu hanyalah suatu sejarah alternatif yang tidak berlaku. Apa yang berlaku, ketika Singapura keluar daripada Malaysia pada 1965, UM kembali menjadi universiti tunggal di negara ini.

Kempen bagi menubuhkan sebuah universiti nasional yang sebenar dengan menggunakan bahasa kebangsaan terus diperjuangkan. Pada 1967, gerakan pendidikan berbahasa Cina memulakan perjuangan penubuhan Universiti Merdeka. Ia hanya berhenti pada 1983 setelah melalui proses mahkamah.

Di pihak gerakan pendidikan berbahasa Melayu pula, jawatankuasa penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia diwujudkan pada 1968.

Tetapi universiti kedua yang ditubuhkan berlaku pada 1969 dengan nama Universiti Pulau Pinang. Nama negeri pada universiti itu dirasakan tidak wajar, maka diubah namanya kepada Universiti Sains Malaysia. Suatu nama yang tidak unik.

Mungkin ketika itu negara mahu menekan pendidikan bidang sains. Tidak hairanlah kemudian, tertubuhnya universiti dengan nama teknologi dan pertanian, 2 sayap utama pembangunan negara.

Akhirnya pada 1970, sebuah universiti nasional sebenar kerana menggunakan bahasa kebangsaan ditubuhkan, dengan nama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Pada 1975, terdapat 5 buah universiti di negara ini dengan tertubuhnya Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Empat universiti lain ialah Universiti Pertanian Malaysia yang ditubuhkan pada 1973, UM, USM dan UKM.

Universiti antarabangsa pertama ditubuhkan pada 1983 melalui Universiti Islam Antarabangsa. Ia merupakan hasil daripada gerakan pendidikan Islam.

Kini terdapat 20 universiti awam dan 62 universiti, kolej universiti dan kampus universiti asing. Terbaru ialah Universiti Xiamen di Salak Tinggi. Walaupun bilangan yang besar tetapi terdapat persepsi kualitinya boleh dipertikaikan.

Ketika mana universiti awam dilihat tersangkut dengan tuntutan politik negara, institut pengajian tinggi swasta pula menjadi begitu komersial yang antaranya adalah seolah-olah peranan mereka lebih kepada menjual impian daripada memberi pendidikan universiti.

Pendidikan universiti mempunyai idealisme tersendiri dalam tamadun manusia dan pembinaan jati diri negara bangsa. Ia bukan sekadar kilang menghasilkan tenaga kerja bagi keperluan komersial industri dan dunia korporat.

Umumnya, universiti di Malaysia, baik awam mahupun swasta mempunyai bangunan hebat. Banyak dana dilaburkan untuk bangunan dan pembinaan imej sedangkan secara tradisi kehebatan sesebuah universiti terletak pada 3 perkara ini: fakulti iaitu pensyarah-pensyarahnya, perpustakaannya dan mahasiswanya.

Maka timbul persoalan, adakah universiti di negara ini indah rupa daripada isi.

Sudahkah universiti di Malaysia penuhi 5 ciri kehebatan?

Ada peribahasa Melayu berbunyi, indah khabar daripada rupa.

Tetapi di zaman klasik Melayu, belum ada lagi fotografi atau lukisan. Maklumat disampaikan melalui lisan. Itulah yang dikatakan khabar.

Maka khabar boleh jadi indah tetapi apabila benar-benar dilihat rupanya, ia tidaklah begitu. Itulah, indah khabar daripada rupa.


Tidak salah memiliki kampus cantik dan mengadakan konvokesyen gemilang. Tetapi apakah 20 universiti awam dan 43 universiti swasta di Malaysia memenuhi ciri kehebatan sebuah pusat ilmu?

Kini sudah ada fotografi. Maklumat disampaikan melalui gambar. Rupa sesuatu boleh dilihat keindahannya. Umpamanya, bangunan dan landskapnya. Terutama bangunan yang menempatkan institusi seperti universiti.

Tetapi jika universiti itu tidaklah hebat setara dengan keadaan bangunannya, maka bolehlah dikatakan indah rupa daripada isi. Bangunannya cantik tetapi institusi yang menggunakan bangunan itu tidak mencapai tahap keindahan infrastrukturnya.

5 ciri

Kehebatan sesebuah universiti terletak pada 5 perkara. Pertama, fakultinya. Kedua, perpustakaannya. Ketiga, mahasiswanya. Keempat, penerbitnya. Kelima, peralatan penyelidikan seperti makmal, balai cerap dan seumpamanya.

Kemudian disebut juga peranan sebenar universiti adalah penyelidikan bagi menyumbang ilmu pengetahuan manusia. Maknanya kehebatan universiti terletak pada hasil penyelidikan dalam bentuk penemuan baharu yang menjadikannya pelopor bagi perkembangan keilmuan manusia.

Perkara ini dilanjutkan pula kepada konsep universiti penyelidikan. Maka dibezakan antara universiti penyelidikan, universiti dan kolej universiti.

Tetapi kesemua ini tidak lari daripada 5 tonggak universiti iaitu fakulti, perpustakaan, mahasiswa, penerbit dan peralatan penyelidikan.

Apa yang dimaksudkan dengan fakulti ialah para pensyarahnya. Jadi kehebatan sesebuah universiti bergantung pada para pensyarahnya yang terkenal.

Pensyarah yang hebat dari segi sumbangannya kepada ilmu dalam bentuk hasil penyelidikannya atau pengungkapan teori baharu bukan saja mengharumkan nama universiti, tetapi merupakan khazanah bagi negara.

Maknanya, universiti akan sentiasa mempertahankan ilmuwan hebatnya, di samping mendapatkan yang baharu, serta menyemai dan memupuk bakat akademik.

Nilai para cendekiawan ini tidak boleh diukur dengan usia lanjut mereka. Ada yang semakin tua, semakin berharga. Sebab itu, berakhirnya sesuatu tempoh perkhidmatan mereka tidak boleh menurut penentuan umur persaraan dan tamat kontrak.

Perpustakaan

Perpustakaan universiti bukan saja merupakan salah satu kemudahan untuk mahasiswa dan pensyarahnya tetapi merupakan sebahagian khazanah negara.

Selain daripada koleksi buku yang perlu dimiliki untuk kegunaan warga kampusnya, kehebatan perpustakaan universiti terletak pada keupayaannya mendapatkan manuskrip dan buku langka yang berkaitan dengan bidang kajiannya.

Walaupun pada zaman ini, sosok perpustakaan sudah berubah dengan dipanggil sebagai pusat maklumat, atau pusat sumber, tetapi peranan teras sebagai menyimpan manuskrip dan bahan bercetak akan terus relevan.

Pelajar atau mahasiswa?

Kehebatan sesebuah universiti juga terletak pada mutu mahasiswa. Pada masa ini, orang lebih banyak menggunakan istilah pelajar untuk mereka yang menuntut ilmu di universiti.

Walaupun tidak salah menggunakan istilah pelajar itu, tetapi dalam bahasa Melayu terdapat perkataan istimewa untuk mereka yang belajar di universiti. Istilah itu ialah mahasiswa.

Ia digunakan dalam Bahasa Indonesia dan Bahasa Malaysia. Dalam bahasa Inggeris, “undergraduate”.

Bahasa Melayu meletakkan kedudukan tinggi bagi mereka yang belajar untuk mendapatkan ijazah. Perkataan siswa asalnya digunakan untuk pelajar kolej, iaitu mereka yang belajar di peringkat diploma.

Sebab itu pada satu masa dulu, persatuan pelajar Institut Teknologi Mara dipanggil sebagai Kesatuan Siswa Institut Teknologi Mara (KSITM) dan bagi pelajar universiti, disebut Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM).

Dalam bahasa Inggeris, kesemua mereka disebut “student”.

Jadi jika universiti memperoleh mahasiswa bermutu, maka ia akan menjadi institusi hebat. Mutu mahasiswa bukan saja bergantung pada kelulusan akademiknya tetapi lebih penting lagi ialah keintelektualannya.

Personaliti dan kepimpinan boleh meningkatkan mutu mahasiswa, tetapi perkiraan akhir ialah keintelektualan mereka. Maksud dengan keintelektualan bukanlah kemampuan lulus dengan cemerlang, tetapi lebih kepada kecintaan dan penghormatan pada ilmu.

Dalam hal ini, kualiti mahasiswa adalah lebih utama daripada kuantiti. Ini membawa kepada pengambilan dan kelulusan yang ketat.

Kemampuan pembiayaan tidak menentukan kemasukan ke dalam universiti. Biasiswa pasti ada untuk mahasiswa yang bermutu. Ia bukanlah suatu bantuan tetapi merupakan tugas universiti untuk memberikan biasiswa.

Dalam bahasa Melayu, istilah biasiswa bermaksud pembiayaan bagi penuntut ilmu. Dalam bahasa Inggeris, ia disebut scholarship. Istilah ini tidak pun memaparkan pembiayaan, ia hanya menunjukkan scholarship, literalnya bermakna keilmuwanan. Pembiayaan pelajaran adalah keilmuwanan.

Penerbitan

Ciri keempat bagi kehebatan universiti ialah terletak pada penerbitannya, sama ada monograf, buku atau jurnal. Mutu penerbitan pula terletak pada kebagusan penyuntingan dan penulisannya.

Sememangnya penerbitan memakan belanja yang tinggi lebih-lebih lagi penerbitan akademik tidak mempunyai pasaran meluas. Tetapi penerbitan akademik tidak perlu berbentuk mewah.

Pada masa ini pula sudah ada kaedah teknik cetak bila diperlukan, “print on demand” dan juga penerbitan digital. Apapun begitu, penerbit seperti Oxford University Press, Cambridge University Press, Princeton University Press dan seumpamanya melambangkan kehebatan universiti berkenaan.

Lima ciri yang disebutkan menunjukkan keindahan isi universiti. Kalau sesebuah universiti itu memiliki bangunan yang cantik, landskap yang nyaman dan pintu gerbang yang gah, sememang ia memiliki rupa yang indah.

Begitu juga upacara konvokesyen yang gemilang adalah juga merupakan sebahagian daripada rupa universiti yang indah. Tetapi jika universiti berkenaan bermutu rendah, maka ia boleh dikatakan sebagai indah rupa daripada isi.

Di sebalik pintu gerbang

Tidak salah untuk memiliki kampus yang cantik dan konvokesyen gemilang. Persekitaran yang baik boleh menggalakkan aktiviti ilmu. Begitu juga dengan kemudahan yang bagus dalam kampus seperti dewan besar, dewan kuliah, kedai buku, asrama, kafe, masjid, stadium, gimnasium, kolam renang, muzium, balai seni, auditorium, klinik, taman dan seumpamanya boleh memberi keselesaan bagi warga kampus.

Tetapi apabila melihat pintu gerbang cantik dibina di universiti awam, begitu juga taman lengkap dengan air terjun dalam kampus, tentulah ada sebahagian rakyat mempersoalkan mengenai perbelanjaan universiti. Dan ini lebih terasa di sebalik pemotongan belanjawan.

Universiti awam juga disuruh berniaga untuk menambahkan isi dana mereka. Persoalannya, adakah mereka mempunyai kemahiran perniagaan. Keadaan ini adalah berlainan jika mereka merupakan universiti swasta.

Bertahun-tahun dulu, saya pernah melawat sebuah perpustakaan fakulti di sebuah universiti awam baharu. Di dalam perpustakaannya terdapat rak-rak kosong dengan bilangan buku yang sedikit. Oleh kerana ia baharu, mungkin proses memperolehi buku belum selesai.

Tetapi hiasan pada perpustakaan itu cantik. Ada taman batu kecil dan air pancutnya. Tentulah saya berasakan ia sesuatu yang janggal dan terfikir mentaliti banyak orang yang lebih mengutamakan rupa daripada isi.

Pada masa ini terdapat 20 universiti awam dan 43 universiti swasta, 14 kolej universiti swasta dan enam kampus universiti asing di Malaysia.

Cuba ukur 5 ciri yang diutarakan di atas pada kesemua 63 pusat pengajian tinggi itu!