May 12th, 2017

Pengorbanan besar Melayu perlu dihargai

HUBUNGAN akrab Raja-Raja dan orang Melayu sebenarnya sudah dipasakkan struktur sosiopolitik Melayu sejak zaman berzaman. Inilah tema utama yang dipersembahkan penuh istiadat di sebalik Majlis Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-15 pada 26 April lalu.

Dimulai dengan istiadat utama apabila Yang di-Pertuan Agong mencium naskhah al-Quran yang melambangkan sesungguhnya baginda akan memelihara kesucian dan kedaulatan Islam, diikuti istiadat mengucup Keris Panjang DiRaja selaku lambang kekuasaan memerintah negara dan berakhir dengan titah ikrar Diraja Yang Memerintah di hadapan rakyat jelata.

Barang perlu diingat, sesungguhnya kedaulatan Raja-Raja Melayu yang pernah memerintah Negeri-Negeri Melayu suatu ketika dahulu sebelum kehadiran kuasa asing British, sebenarnya tidak terusik dengan termeterainya perjanjian antara baginda semua dengan pihak British, bermula dengan Perjanjian Pangkor 1874 dan berakhir dengan Perjanjian Johor pada 1914.

Kedudukan negeri berkenaan adalah sebagai Protected Malay States di bawah 'lindungan' British, bukannya 'jajahan' British berbanding Negeri Selat.

Demikianlah tersurat sejarahnya; tiga entiti berkenaan - Islam, Raja-Raja dan orang Melayu - yang diabadikan dalam Perlembagaan Persekutuan 1957 dengan mengekalkan adat dan tradisi turun-temurun kedaulatan Raja-Raja Melayu yang memerintah negeri-negeri di Tanah Melayu.

Leluhur susur-galurnya adalah berakar-umbikan 'perlembagaan' Kesultanan Melayu Melaka itu sendirinya, serba lengkap dengan perjawatan Wazir (Bendahara), Mufti, Qadi, Temenggong, Panglima, Syahbandar dan Hulubalangnya.

Waadat Demang Lebar Daun

Sememangnya Tanah Melayu adalah hak milik pribuminya, iaitu orang Melayu yang diperintah oleh Raja Melayu. Hubungan erat Raja-rakyat ini dimulai dengan Waadat Demang Lebar Daun dan Sang Sapurba: "Jikalau anak patik tuanku peristeri, nescaya kedallah ia; tetapi jikalau tuanku mahu berwaadat dengan patik, maka patik persembahkan anak patik ke bawah Duli Yang di-Pertuan."

Maka titah Sang Sapurba, "Apa yang dikehendaki oleh bapaku itu?" Demang Lebar Daun lalu melafaz sembah: "Adapun Tuanku segala anak cucu patik sedia akan jadi hamba ke bawah Duli Yang di-Pertuan, hendaklah ia diperbaiki oleh anak cucu duli Tuanku dan jika ia berdosa, sebesar-besar dosanya pun, janganlah difadhilatkan dengan kata-kata yang jahat. Jikalau besar dosanya dibunuh itupun jikalau berlaku pada hukum syarak."

Sang Sapurba bertitah membalas syaratnya; "Akan pinta bapaku itu hamba kabulkan, tetapi hamba minta satu janji pada bapa hamba; hendaklah pada akhir zaman kelak anak cucu bapa hamba jangan derhaka pada anak cucu kita, jikalau ia zalim dan jahat pekerti sekali pun."

Hukum syarak Islam

Lalu sahut sembah Demang Lebar Daun: "Tetapi jikalau anak buah tuanku dahulu mengubahkan dia, maka anak cucu patik pun mengubahnya," diikuti perkenan Sang Sapurba.

Sayugia diperhatikan juga betapa elemen hukum syarak Islam telah disyaratkan secara jelas dalam waadat berkenaan, iaitu hukuman hanya boleh dilakukan setelah melalui proses timbang tara berasaskan hukum-hukum Islam.

Akujanji itu sebenarnya dilanjutkan sehingga ke hari ini menerusi "Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu" yang diikrarkan pada 5 Ogos 1957 oleh Raja-Raja Melayu di ambang kemerdekaan Tanah Melayu seperti yang pernah diperingatkan semula oleh Sultan Nazrin Shah (Ogos, 2009).

Maka teringat juga kita akan kata-kata bijaksana Raja Ali Haji (1808-1873) dalam kitab ilmu ketatanegaraan Melayu karangannya: "Dan jika kita hendak memiliki hati manusia dengan jalan shafaqah (kasih sayang), dan dengan jalan yang disuruhkan Allah Taala, maka iaitu dinamakan adil.

Kerana alamat Raja yang adil itu harimau dengan kambing boleh sepermainan apalagi isi negerinya. "Adapun alamat Raja yang zalim itu anak dengan bapanya berbunuh-bunuhan.

Inilah alamat yang besar seperkara lagi pula apabila negeri berseteru setengah daripada setengahnya nescaya penuhlah negeri itu dengan umpat-berumpatan, adu-mengadu, berjatuh-jatuhan setengah atas setengahnya, jadi negeri itu sekotor-kotor negeri dan secemar-cemar tempatnya."

Dalam konteks moden, pimpinan generasi awal bukan Melayu amat memahami semangat setiakawan dan muhibah menerusi waadat dan wasiat berkenaan yang berupa sebuah kontrak sosial suci lagi utuh seperti diperakukan pada 30 April, 1969 oleh bekas Presiden MCA, Tun Tan Siew Sin.

"Orang Melayu menerusi UMNO bermurah hati melonggarkan syarat dalam undang-undang negara ini sehinggakan dalam masa 12 bulan selepas kemerdekaan, 90 peratus penduduk bukan Melayu menjadi warganegara. Ini berbeza dengan keadaan sebelum merdeka yang mana 90 peratus daripada mereka masih tidak diiktiraf sebagai rakyat Tanah Melayu walaupun hampir 100 tahun hidup di bawah pemerintahan penjajah.

"Sebagai membalas kemurahan hati orang Melayu, MCA dan MIC bersetuju meneruskan dasar memelihara dan menghormati kedudukan istimewa orang Melayu dan pada masa sama, mempertahankan kepentingan sah kaum lain".

Untuk maksud itu, generasi tua dan muda Malaysia hari ini perlu disekolahkan semula seadanya, agar tidak menafikan sejarah benar di atas. Itulah persefahaman yang dimeteraikan oleh pimpinan bukan Melayu-Islam pramerdeka.

Sesungguhnya Raja-Raja dan warga asal Melayu sudah berkorban menukarkan Tanah Melayu menjadi Malaysia demi membina sebuah negara bangsa baharu atas dasar muafakat dan semangat muhibah berdasarkan inti pati Perlembagaan Persekutuan yang berakar-umbi Perlembagaan Kesultanan Melayu Melaka yang mana agama Islam memainkan peranan utama sebagai asas pembinaan tamadun yang pernah disebut oleh bekas Ketua Hakim Negara sebagai Law of the Land.

Paling hina ialah apabila kita menodai janji setia yang sudah terpateri dengan keringat, darah dan air mata.