May 25th, 2017

Ciri-ciri menjadi pemimpin bangsa dan ciri lanjut menjadi pemimpin bangsa

Ciri-ciri menjadi pemimpin bangsa

“WAHAI orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul, dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah yang dipercayakan kepadamu, sedang­kan kamu mengetahui.” (Surah Al-Anfal ayat 27).

Amanah dalam surah ini bermakna amanah yang dituntut daripada kita terhadap harta benda, perancangan, ilmu,bakat dan peluang, yang boleh kita gunakan bagi menyejahterakan umat manusia. Ada manusia yang menyalahgunakan amanah-amanah ini sehingga memudaratkan mereka sendiri.

Ramai orang Melayu masih suka mengingatkan diri mereka be­tapa tingginya tamadun Mela­yu pada zaman dahulu, sehingga lupa kepada keadaan sekarang yang sudah sangat luntur sinar ke­agungan itu. Memanglah sejarah itu penting dan tidak boleh dipertikaikan. Tetapi kita hendaklah kini bertapak di alam nya­ta supaya dapat memperbaiki keadaan kita agar tidak akan tinggal kenangan sahaja di kemudian hari. Firman Allah SWT di atas itu mengajar kita supaya memikul amanat dan berbuat sesuatu yang berdaya untuk menguatkan diri, bangsa dan negara.

Tuhan memberikan manusia keupayaan untuk memimpin ummahnya ke jalan yang menjamin kesejahteraan dunia dan akhirat. Kalau bangsa Melayu ingin maju, maka mereka hendaklah dipimpin dengan baik. Maka itu, mari kita bicara tentang ciri-ciri pimpinan yang berupaya membawa bangsa Melayu maju ke hadapan. Semoga ia dapat dimanfaatkan.

Pertama, seseorang pemimpin hendaklah mempunyai strategi yang boleh membawa bangsanya ke hadapan. Dia hendaklah sentiasa bertanya dirinya ke mana arah tuju pimpinannya itu, yang akan mencipta kejayaan. Dia hendaklah seorang yang bersifat kreatif dan dapat menyampaikan prinsip-prinsip yang hendak diperjuangkannya. Dia juga mesti berpandangan jauh dan sentiasa ingin menerokai alam baharu yang akan memberi manfaat.

Dia mesti mempunyai pasukan kerja yang bijak dan berani untuk memberi pendapat tanpa takut. Pemimpin pula janganlah memusuhi mereka kerana berbuat demikian. Lebih banyak pandangan maka lebih banyaklah peluang untuk membuka minda.

Pemimpin hendaklah mempu­nyai matlamat yang jelas, muna­sabah dan yang boleh diukur. Penyiapan setiap projek hendak­lah menepati jangka waktu yang ditetapkan. Pemimpin yang se­ring memberi aspirasi kepada pengikutnya, berdisiplin, bersikap positif, bertenaga dan mempunyai fokus tentang apa yang hendak dilakukannya akan berjaya membawa perubahan yang baik kepada institusi yang di­pimpinnya.

Pemimpin hendaklah menggunakan kepakaran manusia istimewa yang ada untuk mening­katkan lagi keupayaan institusi yang di­pimpinnya. Usia pakar itu tidaklah penting, asalkan masih mempunyai kewibawaan yang luar biasa, atau masih diperlukan untuk membantu institusi yang masih lemah. Contoh yang baik adalah penggunaan perkhid­matan orang yang diiktiraf oleh negara sebagai mempunyai ke­wibawaan yang tinggi seperti Sasterawan Negara, Ahli Sains Ne­gara, Profesor Eme­ritus dan sebagainya.

Alangkah ruginya kalau negara tidak menggunakan kepakaran-ke­pakaran mereka ini! Tentulah mereka ini tidak boleh diambil sekiranya sudah tidak berprestasi tinggi lagi.

Kedua, pemimpin hendaklah melaksanakan apa yang telah dirancangkan serta mengotakan apa yang dijanjikan. Dia hendaklah sentiasa bertanya dirinya sama ada setiap langkah yang diambil boleh membuahkan kesan. Dalam lain perkataan, hendaklah sentiasa bertindak mengikut strateginya, dan bertanggungjawab di atas keputusan yang dibuatnya. Adalah lebih baik de­mi untuk menjamin keberkesanan yang tinggi, pemimpin mewakilkan (delegate) orang yang berintegriti bagi mengerjakan tugas tertentu yang tidak dapat dijalankan oleh dirinya sendiri.

Pemimpin hendaklah melakukan perubahan terhadap perkara-perkara yang telah usang dan lapuk. Dia mesti memikirkan ba­gaimana untuk tidak lagi mempraktikkan perkara-perkara sede­mikian, dan menggantikannya de­ngan yang lebih progresif dan ber­manfaat. Untuk melakukan ini dia mestilah arif dalam membezakan amalan-amalan yang ketinggalan zaman, dan melaksanakan yang semasa dan yang berdaya saing. Penting juga memberi tunjuk ajar kepada pengikutnya supaya dapat memahami dan menerima perubahan-perubahan yang hendak dilakukan itu. Sekiranya tidak, maka usahanya itu akan gagal.

Penulis teringat kepada seorang pemimpin Universiti Malaya yang berjaya memikat hati ka­kitangannya untuk menulis 100 buah buku ilmiah dalam jangka masa satu tahun sahaja. Beliau bertekad untuk melakukan ini kerana terdapat rungutan daripada orang ramai bahawa universiti itu tidak mengeluarkan buku ilmiah sebagaimana sepatutnya.

Oleh kerana pemimpin ini mempunyai iltizam dan fokus, serta ingin melakukan sesuatu yang baharu maka UM telah berjaya pada akhir tahunnya mengeluarkan bukan hanya 100 buah buku tetapi 150 buah buku, walaupun pada mulanya ramai kakitangan tidak yakin dapat berbuat demikian.

Tentunyalah apabila kita hendak mengubah yang lama, kita mestilah mewujudkan ganjaran yang setimpal, mengurangkan halangan dan meyakinkan peng­ikut tentang kebaikan yang akan diperoleh melalui perubahan tersebut.

Pemimpin hendaklah mengikuti dan mentaati protokol yang ditetapkan. Sekiranya tidak ada atau kurang memuaskan, maka pro­tokol hendaklah diadakan atau diperbaiki. Kebertanggungja­waban hendaklah diutamakan ke­rana ia menjamin piawai, dan da­pat mengelakkan akibat-akibat yang tidak baik.

Sama pentingnya adalah supaya pemimpin itu mendapatkan maklum balas daripada pengikutnya dan orang ramai dalam pelbagai aspek pimpinannya.

Ketiga, pemimpin yang baik hendaklah juga mengurus dan me­ngasah bakat pengikutnya, de­­ngan cara membantu mereka memba­ngunkan diri demi kebaikan institusi yang dipimpinnya itu. Oleh itu, dia hendaklah sentiasa berkomunikasi supaya pengikutnya dapat bekerjasama antara satu sama lain, serta memupuk rasa taat dan setia kepada institusi. Sekiranya pemimpin berjaya menaikkan emosi positif, meningkatkan kreativiti dan mempermudahkan kerja-kerja tanpa halangan dalam kalangan pengikutnya, maka sudah pasti peningkatan kejayaan akan diperoleh.

Pemimpin juga jangan lupakan bahawa keceriaan hendaklah sentiasa wujud dalam kalangan pe­­ngikut. Keceriaan ini boleh di­­wujudkan melalui beberapa cara iaitu seperti mengadakan ­pe­­­­rayaan, acara, pertandingan, anu­­gerah,pengiktirafan dan se­ba­gai­­nya. Tentu sekali acara-acara ini sekiranya diadakan, mes­tilah mengikuti tatacara yang dibenarkan.

Penulis akan menyentuh ­lebih lanjut mengenai kepimpinan yang memajukan bangsa Melayu ini pada ­artikel akan datang.


Prof Emeritus Datuk Hashim Yaacob Utusan Malaysia  Rencana Cetus 17 Mei 2017

Ciri lanjut menjadi pemimpin bangsa

MINGGU lepas saya telah menulis tentang pentingnya bagi sesuatu institusi mempunyai ka­kitangan yang berwibawa dan celik ilmu. Tanpa mereka, tidak mungkin sesuatu institusi akan dapat berkembang dengan baik dan pantas. Pemimpin hendaklah membawa ke dalam institusinya orang-orang yang sudah teruji kebolehan untuk menjalankan tugas yang diperlukan. Kalau pun orang-orang ini tidak diserap sebagai pekerja, sekurang-kurang­nya mereka ini hendaklah dibawa untuk beberapa ketika.

Kita sering mendengar bahawa pemimpin Melayu tidak suka membawa ke dalam institusinya orang yang celik ilmu yang lebih pandai daripada dirinya. Apakah sebabnya? Ramai yang membe­ritahu saya bahawa sebabnya ialah kerana pemimpin yang sedemikian takut kepada orang yang lebih pandai itu akan membaya­ngi kebolehan mereka. Ada juga yang mengatakan kerana hasad dengki terhadap orang yang celik ilmu itu, sehingga ada yang menggunakan singkatan PHD terhadap pemimpin-pe­mimpin sedemikian (PHD - perangai hasad dengki). Apakah sebabnya perkara yang menghalang kemajuan bangsa Melayu boleh berlaku di dalam masyarakat Melayu? Saya juga mendengar bahawa bangsa-bangsa lain tidak sebegini pera­ngai mereka. Sekiranya ini benar maka rugi besarlah bangsa Me­layu dan untung besarlah bangsa-bangsa lain.

Kita selalu membaca Surah Al-Falaq 113 di dalam solat dan pada majlis-majlis seperti tahlil dan kesyukuran. Surah ini mengajar kita supaya tidak berhasad dengki dan menyuruh kita memohon kepada Allah SWT supaya dilin­dungi daripada orang-orang yang mempunyai hasad dengki. Di sebalik amalan itu, ramai yang tidak mengerti maksud ayat suci al-Quran yang tersebut.

Minggu lepas saya telah meng­huraikan tiga ciri kepimpinan yang baik. Dalam rencana ini saya akan menyebut ciri selebihnya.

Ciri keempat mengkehendaki seseorang pemimpin membina sumber manusia berwibawa untuk institusinya di masa hadapan. Beliau hendaklah berdaya mengekalkan kecemerlangan dan menggemilangkannya.

Untuk mencapai hasrat ini beliau hendaklah berkebolehan meya­kinkan pengikutnya melihat masa hadapan yang menjaminkan kesejahteraan. Beliau perlu melatih dan memberi tunjuk ajar,berkongsi insentif, di sam­ping menurunkan kuasa kepada yang berhak demi untuk memberkesankan lagi tindakan yang hendak dilakukan. Jaring­an dan perhubungan antara pekerja dalam dan luar serta dengan masyarakat hendaklah juga ditum­pukan.

Jenama institusi yang telah lama dan usang hendaklah diperbaharui supaya mencerminkan kecekapan, keberkesanan dan penambahan kualiti. Satu contoh yang baik ialah apa yang dilakukan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dalam penjenamaan semula kementeriannya melalui slogan Peningkatan Berterusan (Soaring Upwards). Slogan ini merangsang pekerja untuk meningkatkan daya dan hasil kerja yang berkua­liti. Orang ramai juga merasakan bahawa wujud keinginan pe­mimpin melakukan pembaharuan.

Kelima, pemimpin hendaklah memimpin pengikutnya dengan hati nurani yang ikhlas dan mulia. Sekiranya ciri ini diabaikan, ke­pimpinan tidak akan berjaya. Antaranya ialah pemahaman siapa dirinya; kekuatan dan kelemah­an dirinya; memiliki tenaga dan semangat yang berkobar-kobar untuk memimpin, agar pengikut dapat melihat dan me­rasainya; serta; keteguhan fizikal, emosi dan sosial.

Paling penting sekali, pemim­pin hendaklah mempunyai wa­tak dan peribadi yang baik, in­tegriti, moral, dan etika. Beliau hendaklah menubuhkan kod etika bagi institusinya dan memastikan peraturan itu diikuti oleh pengikut dan dirinya sendiri.

Pemimpin hendaklah sentiasa bertanyakan dirinya tentang masalah semasa dan bekerja keras untuk menyelesaikannya, serta arif tentang pilihan-pilihan yang ada di hadapannya.

Beliau hendaklah sentiasa bersemangat kental untuk melengkapkan diri dengan isu-isu semasa dan ilmu-ilmu yang baharu supaya tidak ketinggalan zaman.
 Dalam hal ini saya sering mendapati bahawa apabila seseorang itu telah menjadi pemimpin institusi, kebanyakannya tidak lagi berhasrat untuk memperbaiki diri dalam memperlengkapkan ilmu.

Contohnya, terdapat ramai pemimpin yang hadir ke muktamar sebagai perasmi majlis, tetapi beredar pulang setelah pe­rasmian itu tamat, dan tidak mahu mengikuti pembentangan dan bicara oleh pembentang-pembentang kertas kerja dalam muktamar itu seterusnya. Pe­mimpin sebegini tidak akan menjadi arif dan berpengetahuan.

Akhir sekali, pemimpin hendaklah membawa pengikutnya ke tempat yang lebih sejahtera. Beliau tidak boleh beromong kosong sahaja tetapi tidak me­laksanakan omongannya itu.

Pemimpin hendaklah mempunyai keyakinan diri dan tidak lari daripada menghadapi dan membuat keputusan yang dikiranya rumit dan mencabar. Apabila membuat kesilapan, beliau hendaklah bertanggungjawab ke atasnya dan belajar daripada kesilapan itu untuk tidak melakukannya lagi. Pemimpin hendaklah melaksanakan perancangannya supaya berlaku, dan bukan ha­nya menyaksikan apa yang telah berlaku sebelumnya. Pemimpin Melayu dan juga orang Melayu eloklah juga menghayati puisi di bawah ini:

Akukah itu yang duduk di bangsal tunggu

menanti gugurnya durian?

Bila buah jatuh sahaja

akukah itu yang terus mengopeknya

lalu makan tanpa soalan?

Bila buah berlonggokan?

akukah itu yang ambil jalan senang

menjual durian pada pemborong tanpa hitung?

Bukan aku itu!

Aku tidak makan kalau belum kutahu

mengapa gugur mesti ke bawah

kenapa naik mesti di atas.

Aku takkan lelong

kalau sudah kutahu

pemborong bayarnya rendah

jual sendiri pulangan menyerlah.

Bukan aku itu

yang ambil mudah!

Kerana aku Melayu

yang tak mudah kalah.



Prof Emeritus Datuk Hashim Yaacob Utusan Malaysia  Rencana Cetus 24 Mei 2017