May 31st, 2017

Satu pengabadian, Kor Kadet Polis mata masyarakat

Kor Kadet Polis mata masyarakat

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.

Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan inayah-Nya, kita dapat sama-sama meraikan sambutan Ulang Tahun Penubuhan Pasukan Kor Kadet Polis yang ke-47 pada tahun ini.

Bersempena sambutan ulang tahun PDRM yang ke-210 pada 25 Mac lalu, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Ulang Tahun Peringatan Hari Polis yang ke-210 kepada seluruh warga Kor Kadet Polis, yang turut sama menjadi sebahagian daripada keluarga PDRM.


Sesuai dengan kematangan usia penubuhannya, Pasukan Kor Kadet Polis bukan sekadar pasukan beruniform untuk mengisi kegiatan kokurikulum sekolah menengah semata-mata. Malah, pengisian aktivitinya bertujuan melahirkan remaja yang berdisiplin, memupuk semangat kerjasama, saling menghormati dan kesetiaan kepada Raja dan Negara. Dalam masa sama, Pasukan Kor Kadet Polis turut memberi kefahaman kepada ahli-ahlinya mengenai tugas kepolisan dan penguatkuasaan undang-undang serta kepentingannya kepada masyarakat.

Alhamdulillah, peningkatan jumlah penyertaan ahli Pasukan Kor Kadet Polis setiap tahun juga amat membanggakan. Sehingga 31 Januari 2017, terdapat 116,702 orang pelajar yang menjadi ahli Kor Kadet Polis. Jumlah ini jelas menunjukkan minat mendalam golongan remaja sekolah terhadap pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Ini sekali gus membantu memenuhi keperluan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang berkehendakkan semua pelajar sekolah menjadi ahli badan beruniform.

Kor Kadet Polis turut memainkan peranan penting sebagai mata dan telinga kepada pihak pentadbir sekolah dan PDRM. Dengan adanya peranan sebegini, ia sedikit sebanyak dapat membantu mencegah perlakuan jenayah dalam kalangan pelajar sekolah dalam menyokong peranan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) daripada warga PDRM yang dilantik bagi setiap sekolah.

Seiring dengan tema sambutan Hari Polis pada tahun ini iaitu POLIS DAN MASYARAKAT BERPISAH TIADA, maka PDRM juga berhasrat untuk menonjolkan ‘kehadiran’ Kor Kadet Polis ini di mata masyarakat, agar ia tidak sekadar berfungsi sebagai persatuan di sekolah. Penambahan program kemasyarakatan di dalam silibus aktiviti Kor Kadet Polis, berupaya memupuk sikap kebertanggungjawaban terhadap diri sendiri, keluarga, bangsa, masyarakat dan negara.

Dalam keghairahan kita mengejar status negara maju, kecanggihan teknologi serta kebebasan penggunaan media sosial telah menyingkap satu lagi ruang lingkup jenayah baru dalam kalangan remaja hari ini. Tidak dinafikan, remaja kini memang pintar, tetapi mereka kurang matang dalam memahami implikasi aktiviti atas talian tanpa kawalan. Akibatnya, ramai remaja terjebak dalam aktiviti tidak sihat seperti jenayah dan juga masalah sosial. Contohnya, PDRM mengesan modus operandi baru sindiket dadah yang menggunakan aplikasi WhatsApp dan WeChat untuk menjual dadah. Pelajar sekolah pula adalah antara pelanggan aktif yang dikesan terbabit dengan pembelian dadah melalui atas talian.

Lebih membimbangkan, generasi muda khasnya pelajar dikenal pasti sebagai kumpulan sasar sindiket dadah termasuk dijadikan sebagai ‘runner’ untuk menjual dadah, selain mempengaruhi mereka menjadi keldai dadah dan sebagainya. Dengan upah yang tidak seberapa, pelajar sekolah mudah terpengaruh, tanpa menyedari mereka terbabit dalam aktiviti sindiket pengedaran dadah.

Tahun 2015 mencatatkan sebanyak 439 kes tangkapan pelajar sekolah yang terlibat dalam kegiatan dadah. Angka tersebut meningkat kepada 446 kes pada 2016. Walaupun pertambahan tersebut dilihat kecil, namun ia adalah satu permasalahan yang membimbangkan. PDRM akan terus meningkatkan kerjasama dengan KPM dalam menangani jenayah dadah dalam kalangan pelajar sekolah. Kita tidak mahu masa hadapan generasi muda khususnya pelajar sekolah kita musnah, disebabkan najis dadah.

Harapan saya kepada seluruh warga Kor Kadet Polis, manfaatkanlah penyertaan dalam Kor Kadet ini sebagai satu wadah yang dapat mengangkat disiplin dan jati diri, sebagai pemimpin masa hadapan, sekali gus menjadi ‘role’ model kepada pelajar lain.

Saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Kementerian Pendidikan Malaysia, pengetua, guru, ibu bapa dan ahli Kor Kadet Polis serta semua pihak yang bekerjasama dan sentiasa memberi sokongan kepada program atau -aktiviti yang dijalankan oleh Kor Kadet Polis.

Sekian, terima kasih.


Satu pengabadian

Salam sejahtera buat pembaca budiman. Zaman Darurat 1948-1960 dan Insurgensi Kedua 1968-1989 adalah titik hitam dalam sejarah tanah air yang menyaksikan keganasan Parti Komunis Malaya (PKM) di negara ini.

Pada peringkat permulaan pergerakan mereka, PKM dan Pertubuhan Komunis Sarawak (PKS) berusaha mencapai matlamat perjuangan menerusi Barisan Bersatu melalui cara yang dihalalkan undang-undang dan perlembagaan negara.

Namun, perjuangan secara aman dan berperlembagaan itu gagal kerana ideologi dan pendekatan perjuangan mereka tidak mendapat sambutan rakyat.

Justeru, mereka merasa bahawa matlamat perjuangan mereka akan hanya dapat dicapai melalui perjuangan bersenjata seperti yang dianjurkan Pengerusi Parti Komunis China, Mao Zedong.

Bagi mendepani ancaman pemberontakan komunis serta meningkatkan tahap keselamatan negara, pasukan keselamatan diperkasakan dengan pembesaran pasukan polis dan tentera.

Antara pasukan yang ditubuhkan ketika darurat ini adalah Pasukan Mata-Mata Khas (Special Constables), Polis Bantuan (Auxilliary Police), Polis Cawangan Khas (Special Branch), Polis Wanita dan Pengawal Kampung (Home Guards).

Selain itu, tentera dari Britain, Australia, New Zealand, Fiji dan Afrika Timur turut dibawa masuk ke Tanah Melayu bagi membantu memerangi keganasan PKM. Menjelang 1950, pasukan polis muncul sebagai pasukan keselamatan terbesar dengan keanggotaan 161,281 orang.

Daripada jumlah itu, 31,164 adalah anggota polis tetap, 44,117 Polis Khas (SC) dan 86,000 Polis Tambahan (AP).

Serangan terhadap Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950 oleh segerombolan 185 pengganas komunis adalah satu bukti tindakan keganasan mereka terhadap pasukan keselamatan dan orang awam dalam mencapai impian mereka untuk menjadikan Tanah Melayu sebagai sebuah republik komunis.

Dalam tragedi itu, seramai 25 anggota polis, ahli keluarga mereka serta penduduk kampung dibunuh dengan kejam oleh anasir komunis.

Sungguhpun serangan ini berakhir dengan Balai Polis Bukit Kepong ditawan dan seterusnya musnah dibakar, namun insiden ini membuktikan iltizam serta semangat juang mereka yang bergabung tenaga serta menyabung nyawa untuk mempertahankan balai itu daripada ditawan.

Semangat perjuangan, keberanian dan pengorbanan ini yang membuatkan Pondok Polis Bukit Kepong dijadikan sebagai sebuah Galeri Darurat supaya semangat dan jasa mereka diteladani dan dikenang sebagai kesinambungan wadah perjuangan, demi agama, bangsa dan negara.

Genap 67 tahun selepas tragedi berdarah itu, Galeri Darurat Bukit Kepong dirasmikan penubuhannya oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar pada 23 Februari lalu.

Objektif penubuhan Galeri Darurat Bukit Kepong adalah:

• Menghargai sumbangan dan pengorbanan setiap ahli pasukan polis yang berjuang dengan semangat keperwiraan dan keberanian yang tinggi demi agama, bangsa dan negara dalam tempoh Darurat 1948-1960 dan Insurgensi Kedua 1968-1989.

• Menyelamat, memelihara, menyimpan dan mempamerkan semua artifak tinggalan sejarah, khususnya yang membabitkan era darurat, bertujuan untuk menimbulkan kesedaran dan keinsafan kepada pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi serta rakyat jelata.

• Mendidik masyarakat dan generasi pelapis mengenai kepentingan mengekalkan keamanan dan ketenteraman negara serta bersedia mempertahankannya di samping memupuk sikap toleransi, persefahaman dan permuafakatan antara semua kaum.

• Sebagai sebuah gedung ilmu dan pusat sumber serta pusat rujukan yang dapat dimanfaatkan pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi serta masyarakat, khususnya yang berkaitan dengan zaman darurat.

• Membantu dalam industri pelancongan negara.

Cadangan menjadikan Pondok Polis Bukit Kepong sebagai Galeri Darurat Bukit Kepong dimulakan seawal 1999, dengan beberapa siri mesyuarat dan perbincangan di antara pelbagai pihak seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Muzium Malaysia (JMM), Jabatan Kerja Raya (JKR), Yayasan Warisan Johor (YWJ) dan Kerajaan Negeri Johor. Proses untuk merealisasikan pembinaan ini mengambil masa lebih kurang 17 tahun (1999-2016) untuk disempurnakan dan membabitkan tiga (3) fasa pembangunan yang menelan kos RM11.5 juta.

Konsep pameran dan bahan peragaan menjurus kepada usaha melahirkan rasa penghargaan pengunjung terhadap perjuangan dan pengorbanan anggota polis dan penduduk setempat dalam mempertahankan negara daripada ancaman pengganas komunis.

Pengisian bagi galeri ini membabitkan himpunan peristiwa darurat yang berlaku di seluruh negara sepanjang tempoh Darurat 1948-1960 dan Insurgensi Komunis Kedua 1968-1989.

Bahan dan konsep pameran adalah bersifat akademik bagi memudahkan pelawat mendapatkan maklumat berkaitan peristiwa darurat, sejajar hasrat untuk menghargai sumbangan pahlawan pasukan polis yang sama-sama berjuang menentang kedurjanaan yang dilakukan pengganas komunis.

Keseluruhan jumlah artifak yang dipamerkan adalah sebanyak 815 unit yang terdiri daripada artifak senjata api dan senjata tajam serta lain-lain artifak, termasuk sebuah Bot Polis Marin (PA 10) dan dua kereta perisai iaitu Commando V100 APC dan Fordlynx Scout Car.

Saya akan menyambung semula artikel berhubung Galeri Darurat Bukit Kepong pada minggu hadapan dan menyentuh dengan lebih lanjut mengenai proses pembangunan dan usaha menaik taraf bangunan asalnya.

PULAMAR lahir Polis Marin berkualiti, PULAPOL Kuala Lumpur

PULAPOL Kuala Lumpur

Selamat bertemu kembali saya ucapkan kepada pembaca budiman. Bagi meneruskan catatan saya dalam siri Pusat-Pusat Latihan Polis Diraja Malaysia (PDRM), minggu ini saya akan berbicara mengenai Pulapol Kuala Lumpur yang dikenali umum sebagai PULAPOL KL.

Institusi latihan ini terletak di Jalan Sultan Yahya Petra, 54100 Kuala Lumpur (dulunya dikenali dengan Jalan Semarak) dan berkeluasan 249.5 ekar (100.96) hektar termasuk kawasan Kelab Golf PDRM. PULAPOL KL boleh menampung 2,200 pelatih dalam satu-satu masa.


Sebagai sebuah institusi latihan yang ulung, ia membawa mandat untuk melahirkan pegawai polis yang terlatih, di samping mengendalikan pelbagai upacara rasmi seperti Perbarisan Hari Polis, Paluan Berundur, lawatan daripada polis luar negara dan lain-lain upacara rasmi jabatan.

VISI PULAPOL ialah untuk Melahirkan Pegawai-Pegawai Yang Cekap, Cergas Dan Cerdas Melalui Kecemerlangan Latihan. MISInya pula Menjadikan PULAPOL Sebagai Sebuah Pusat Latihan Utama Ke Arah Pembangunan Modal Insan Polis Diraja Malaysia. Manakala moto yang didukung ialah TITIK PERMULAAN KECEMERLANGAN PASUKAN POLIS.

Dalam mencapai objektif kewujudannya, PULAPOL KL mengendalikan pelbagai kursus dengan tujuan yang ditetapkan seperti berikut:-

A. KURSUS ASAS

Ejen Pertukaran – Membentuk seorang awam untuk menjadi pegawai polis yang mempunyai sifat yang bersesuaian dengan kerjaya kepolisan

Membentuk seorang pegawai polis yang mempunyai kecerdasan mental kental agar dapat mengatasi segala cabaran yang akan dihadapi semasa menjalankan tugas.

B. KURSUS DALAM PERKHIDMATAN

Meningkatkan tahap kecekapan pegawai polis supaya dapat memberi perhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat, sejajar dengan realisasi objektif negara.

Menambah ilmu pengetahuan agar pegawai polis dapat dipupuk dengan nilai positif terhadap tugas kepolisan

Mewujudkan semangat setiakawan (esprit de corps) dalam pasukan serta menanam semangat cintakan negara.

Kursus yang ditawarkan/ dijalankan di pusat latihan ini merangkumi:

A. Kursus Dalaman

i. Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) bagi Kadet Inspektor.

ii. Kursus Jurulatih Kawad

iii. Kursus Renang

iv. Kursus Menembak

v. Kursus Seni Mempertahankan Diri

vi. Kursus Bugle

B. Kursus Luaran

i. Kursus Asas Polis Bantuan (PB)

ii. Kursus Asas Certified Security Guard (CSG)

Sejarah PULAPOL bermula pada 20 November 1904, hasil usaha Kapten Graham iaitu bekas Pegawai Malay States Guides. Kedudukan asalnya di Bluff Road yang sekarang terletaknya Ibu Pejabat Polis, Bukit Aman. Kawasan ini asalnya bekas Ibu Pejabat Malay States Guides yang strategik di Kuala Lumpur. Pengambilan pelatih pertama kali ialah pada 1905, membabitkan 207 pelatih berbangsa Melayu dan 219 pelatih berbangsa India.

Pada sekitar 1920, satu usaha untuk mencari tapak bagi membina Pusat Latihan Polis yang baru dilaksanakan ekoran perkembangan penugasan Pasukan Polis yang memerlukan penambahan anggota, di samping kedudukan pusat latihan sedia ada yang berbukit serta tidak memiliki kemudahan yang mencukupi. Bagaimanapun, usaha ini tertangguh ekoran kegawatan ekonomi sebelum ia dikaji semula lima tahun kemudian.

Impian ini menjadi kenyataan apabila satu kawasan strategik di Jalan Gurney (dulunya Jalan Semarak dan kini Jalan Sultan Yahya Petra) dikenal pasti dan kerja pembinaan dimulakan pada sekitar 1930-an. Bagaimanapun, kerja itu tergendala di atas sebab yang tidak dapat dielakkan. Pada 1936, kerja pembinaan disambung semula.

Pusat Latihan Polis di Jalan Bluff dipindah secara rasminya ke Pusat Latihan Polis di lokasi sekarang pada Oktober 1940. Pengambilan pelatih tergendala ekoran kemaraan tentera Jepun di Tanah Melayu pada 1941 dan anggota polis yang bertugas di pusat latihan ini ditukarkan ke tempat lain bagi mematahkan serangan tentera musuh. Dengan kejatuhan Tanah Melayu, Pusat Latihan Polis ini dijadikan sebagai Markas Kompetai Jepun yang terbesar. Apabila Jepun menyerah kalah pada Ogos 1945, pusat latihan ini diambil alih oleh British dan disusun semula strukturnya untuk dijadikan sebagai pusat latihan terbesar di mana dapat menyediakan latihan asas mengenai pengurusan kepolisian secara teori dan praktikal. Pucuk pimpinan sebagai Komandan Pusat Latihan Polis selepas pemerintahan Jepun diserahkan kepada Mr J D Fairhead pada 1945 hingga 1946. Dari 1946 hingga 1957, semua Komandan Pusat Latihan Polis adalah daripada pegawai British.

Selepas mencapai kemerdekaan pada 1957, pucuk pimpinan Pusat Latihan Polis bertukar tangan kepada anak watan. Anak Melayu pertama menjadi Komandan Pusat Latihan Polis ini ialah Tuan Merican Sutan. Beliau memegang jawatan ini dari 25 November 1957 hingga 24 November 1959. Mulai 1940 hingga 2007, pusat latihan ini diterajui oleh seramai 44 orang Komandan. Pada 1977, institusi ini dikenali sebagai PULAPOL (Pusat Latihan Polis) dan kini diterajui oleh SAC Shamsudin Mat.

Sebagai sebuah institusi latihan yang mempunyai sejarah gemilangnya tersendiri, saya yakin PULAPOL KL akan terus berkembang maju sebagai salah satu pusat latihan polis yang dapat melahirkan pegawai polis yang mampu memberikan perkhidmatan kepolisan yang terbaik kepada masyarakat. Semoga moto TITIK PERMULAAN KECEMERLANGAN PASUKAN POLIS akan menjadi azimat kepada PULAPOL KL untuk mencapai visi dan misi yang didukung.

Insya-Allah, kita bertemu lagi di minggu hadapan bagi saya meneruskan siri Pusat-Pusat Latihan Polis Diraja Malaysia.



PULAMAR lahir Polis Marin berkualiti

Salam sejahtera, Salam 1Malaysia dan selamat bertemu kembali. Minggu ini, saya ingin bercerita mengenai Pusat Latihan Pasukan Polis Marin (PULAMAR) yang menyediakan pelbagai bentuk latihan dan kursus maritim kepada pegawai dan anggota Polis Marin dari seluruh negara.


Untuk makluman pembaca budiman, sejarah PULAMAR bermula dengan penubuhan Sekolah Latihan Marin (SLM) di Ibu Pejabat Kontinjen Pulau Pinang pada 1 Mei 1948, susulan kemasukan 30 bekas Angkatan Tentera Laut British dan Angkatan Sukarela Tentera Laut British ke dalam Cawangan Marin.

Penubuhan SLM bertujuan menyediakan latihan dalam bidang perundangan dan latihan kawad sebagai tambahan kepada latihan teori dan praktikal ilmu pelayaran kepada golongan terbabit. Subjek pelayaran diperluaskan bagi merangkumi Peraturan Pelayaran, Pengenalan Lampu-Lampu Navigasi, Pengendalian Bot, Ikatan/Simpulan Tali (Splicing), Morse Code, Semaphore dan isyarat Bendera Antarabangsa.

Pelatih juga diajar mengenai tatacara menggunakan kompas untuk mengetahui kedudukan kapal di laut. Selepas tamat latihan, pelatih ditempatkan di pelbagai formasi dan bot ronda polis di setiap kontinjen.

Pada Mei 1949, kursus pertama dijalankan bagi melatih anggota Tugas Am yang ditukarkan kepada Pasukan Polis Marin. Latihan selama tiga bulan ini memfokus kepada usaha untuk mendedahkan pelatih kepada aspek pelayaran.

Selain itu, sebanyak lima siri Kursus Ulangkaji berjaya dijalankan menjelang Ogos 1952 oleh SLM. Turut dilaksanakan ialah tiga jenis kursus untuk tujuan kenaikan pangkat.

Ekoran penubuhan Cawangan Marin Selatan pada 1953, SLM dipindahkan ke Johor Bahru dan ditempatkan di Pangkalan Marin Selatan, Tampoi, Johor Bahru. Latihan Asas maritim kepada anggota dari Tugas Am yang diserapkan ke Pasukan Polis Marin telah diteruskan di SLM, Pengkalan Marin Selatan ini.

Latihan amali di laut dijalankan di atas Bot ronda Kelas ‘P’ yang dikhususkan sebagai bot latihan. Pelatih didedahkan kepada aspek pengendalian bot seperti merapat, berlabuh, isyarat lampu termasuk latihan menembak menggunakan senjata kecil ke atas sasaran. Dari semasa ke semasa, SLM turut mengendalikan Kursus Enjin Sangkut kepada Anggota Polis Tambahan dari kontinjen polis seluruh negara.

Mereka diberikan latihan pengendalian dan pembaikan kecil enjin sangkut, pengetahuan mengenai peraturan mencegah pelanggaran, prosedur keselamatan dan juga asas pelaut. Sejajar dengan perkembangan dan keperluan latihan yang meningkat, Sekolah Latihan Marin dinaik taraf dan ditukar nama kepada Pusat Latihan Polis Marin (PULAMAR) pada 2002.

PULAMAR mendukung visi dan misi Pasukan Polis Marin (PPM) untuk melahirkan warga kerja berkemampuan tinggi dalam memelihara keselamatan negara. Pusat latihan ini bertanggungjawab dalam merancang, melaksana, menyelidik dan mengawal mutu latihan dalam kalangan pegawai dan anggota PPM serta memberi cadangan kepada Komander Pasukan Polis Marin mengenai aspek pembangunan, pembaikan infrastruktur serta kemudahan latihan. Ia juga terlibat dalam merancang serta memohon perolehan dan kewangan bagi keperluan menampung aktiviti latihan serta pembangunan organisasi. Selain itu, pusat latihan ini juga bertanggungjawab untuk menyediakan maklum balas berhubung dasar latihan yang diterima dari Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) dan Komander Polis Marin.

Ke arah itu, fungsi PULAMAR disusun atur bagi meliputi aspek berikut:

1. Merancang dan menyelidik keperluan latihan dan kursus bagi PPM

2. Mengendali dan melaksanakan latihan serta kursus bagi Pegawai Kanan dan Pegawai Pangkat Rendah PPM

3. Memberi kemudahan latihan kepolisan dan kursus kompetensi kepada agensi kerajaan dan agensi maritim yang berkaitan serta

4. Mengekal dan mengawal mutu latihan serta tahap dan standard latihan

Bagi memastikan ia kekal sebagai institusi latihan yang unggul, PULAMAR memegang teguh kepada falsafah untuk menjadikan PPM sebagai sebuah organisasi penguat kuasa bertaraf dunia. Berlandaskan bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang tidak hanya terhad di daratan semata-mata, PPM membawa mandat untuk menguatkuasakan fungsi dan PDRM seperti yang termaktub dalam seksyen 3(3) Akta Polis 1967.

Selaras dengan peranan dan fungsi PPM, latihan PULAMAR digubal bagi mencapai matlamat berikut:

1. Melatih dan membentuk kecekapan berorientasikan peperiksaan dan kepercayaan kendiri.

2. Memupuk sifat berintegriti dan semangat disiplin berdasarkan pengetahuan serta menghormati undang-undang dan peraturan.

3. Membentuk personaliti dan keterampilan diri sebagai seorang penguatkuasa undang-undang.

4. Mewujud perkhidmatan cemerlang dan memupuk semangat kenegaraan.

Untuk menjadi seorang pegawai atau anggota Polis Marin, maka perlulah menjalani kursus asas dan kecekapan yang ditetapkan selari dengan tugas yang akan dijalankan. Kursus terbahagi kepada dua iaitu Kursus Teras dan Kursus Bukan Teras. Kursus Teras merangkumi subjek asas kelautan dan kecekapan mengikut gred dalam bidang Nautika dan Kejuruteraan.

Bagi menambahkan kemahiran dan pengetahuan lanjut dalam pelayaran, kejuruteraan, kemahiran pegendalian outboat, menyelam, siasatan, perundangan, pertolongan cemas, PULAMAR turut menganjurkan kursus yang dikategorikan sebagai Kursus Bukan Teras.

Jenis kursus yang ditawarkan seperti berikut:

KURSUS TERAS BIL JENIS KURSUS TEMPOH

1. Asas Marin 12 minggu

2. Mate

3. Mate

4. Master

5. Engineer Officer

6. Watch Keeping Officer06 minggu

7. 2nd Engineer Officer

8. Chief Engineer Officer

9. Modul BT / ROC Deck02 minggu

10. Modul BT Kejuruteraan 2 minggu

KURSUS BUKAN TERAS

1. Kursus ICT02 minggu

2.Kursus Pembangunan Pegawai02 minggu

3. Kursus Pembangunan APR02 minggu

4. Kursus Penyiasatan Marin02 minggu

5. Kursus Pengendalian O/Boat 40-250HP 03 minggu

6. Asas Pertolongan Cemas/Medic 01 minggu

7. Asas Renang02 minggu

8. Kursus Risikan Pegawai/APR01 minggu

9. Asas Selam04 minggu

10. Ulangkaji Selam02 minggu

Kompleks PULAMAR merangkumi tiga bangunan. Bangunan Pejabat Pentadbiran menempatkan pejabat Komandan, Timbalan Komandan, Ajutan, Pegawai Penyelaras Kursus, Pegawai Teknologi Maklumat, Kerani Kewangan dan Jurulatih. Manakala dua bangunan lagi dijadikan asrama untuk menempatkan pelatih kursus. Kedua-dua bangunan asrama ini boleh menampung 100 peserta kursus dalam satu-satu masa.

Untuk memenuhi keperluan riadah dan sukan, PULAMAR menyediakan gelanggang futsal, sepak takraw, bola tampar, padang bola sepak, padang petanque dan sebuah mini gimnasium.

Untuk makluman pembaca juga, legasi PULAMAR sebagai sebuah pusat latihan PPM yang unggul diterajui oleh komandan yang terlatih dan berwibawa.

Saya yakin PULAMAR akan dapat meneruskan kecemerlangannya di masa-masa hadapan dan menjadi sebuah pusat latihan maritim yang mampu menyokong usaha PDRM untuk mencapai standard World Class Policing. Insyallah.

PULAPOL Langkawi, PULAPOL Air Hitam

Salam sejahtera dan selamat bertemu kembali. Sejak beberapa minggu lalu, saya berkongsi maklumat mengenai pusat latihan polis yang menjadi titik permulaan dalam kerjaya seseorang pegawai polis. Untuk minggu ini, mari kita mengenali sejarah dan latar belakang Pusat Latihan Polis Air Hitam, yang terletak kira-kira 32 kilometer dari Bahau, Negeri Sembilan.

Untuk makluman pembaca, PULAPOL Air Hitam yang dulunya dikenali sebagai PULAPAH, dikelilingi oleh gugusan tanah rancangan FELDA Serting Hilir, Negeri Sembilan dan FELDA Tembangau, Pahang.



Pada awal peringkat pembangunannya pada 1980, seramai tujuh anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) (ketika itu dikenali sebagai Pasukan Polis Hutan – PPH) dihantar untuk menjalankan kawalan dan penerokaan awal di tapak pusat latihan yang asalnya ladang tebu yang sekian lama ditinggalkan. Merekalah yang memastikan keselamatan kawasan ini daripada ancaman anasir luar seperti komunis dan binatang buas.

Pada 1 Disember 1980, sekumpulan perintis yang terdiri dari seramai tiga orang pegawai kanan dan 30 orang anggota pangkat rendah tiba secara berperingkat di PULAPOL Air Hitam, untuk memikul tugas masing-masing sebagai warga kerja perintis.

Menurut Allahyarham S I Talib Yusof, salah seorang mereka yang ditemubual ketika hayatnya, tiada apa-apa kemudahan asas ada ketika mereka tiba untuk menjalankan tugas. Apa yang ada hanyalah bangunan usang dan jentera yang rosak berselerakan. Bagi melelapkan mata dan berehat pada malam pertama mereka tiba di situ, rumah pekerja kilang yang dipenuhi pokok liar dan hutan lalang terpaksa dibersihkan dan mereka hanya diterangi cahaya lilin. Binatang buas seperti harimau, gajah, ular dan binatang liar lain berkeliaran di kawasan berhampiran tempat tinggal mereka. Kecekalan anggota PGA yang sudah lali dengan suasana sebegitu, langsung tidak menjadi penghalang kepada mereka. Bak kata perpatah ‘membujur lalu melintang patah’ dan sekelumitpun tidak menggugat hasrat mereka untuk melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan.

Dalam proses awal pembangunannya, beberapa fasa dilaksanakan dalam mengenal pasti bangunan yang masih kukuh untuk pengubahsuaian di samping menjalankan kerja-kerja memindahkan sekumpulan gajah liar yang sudah lama mendiami kawasan ladang tebu ini. Beberapa gajah denak dari Thailand digunakan dalam misi itu. Semasa proses pengubahsuaian bangunan lama perumahan kilang gula berkenaan, seorang anggota komunis diberkas kerana menyamar dan menyusup masuk sebagai pekerja buruh binaan di pusat latihan tersebut.

Pada 15 Februari 1981, PULAPOL Air Hitam buat pertama kalinya menerima 443 orang pelatih, bagi menjalani latihan asas. Pada ketika itu, tiada bekalan elektrik disalurkan ke pusat latihan ini dan warga PULAPAH menggunakan janakuasa diesel tinggalan kilang gula untuk menikmati cahaya lampu dari jam 7.30 malam hingga jam 11 malam saja. Pada akhir 1999, barulah bekalan elektrik disalurkan ke pusat latihan ini.

Walaupun pelatih perintis ini melapor diri untuk menjalani latihan, mereka turut menyumbang tenaga membantu kerja pembersihan kawasan dalam membangunkan pusat latihan ini.

Sejak beroperasi dari 1980 hingga sekarang, beberapa kemudahan asas seperti Dewan Anggerik Merah, Dewan Kiambang, bangunan pengajian akademik, berek kediaman pelatih, masjid, lapang sasar, klinik kesihatan, perumahan kakitangan dan beberapa kemudahan lagi diganti dengan infrastruktur moden yang lebih baik dan amat membanggakan seperti yang terdapat pada hari ini.

Untuk makluman pembaca, bagi Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) konstabel, pusat latihan ini boleh menampung 1,500 pelatih dalam satu-satu masa. Masjid PULAPOL Air Hitam yang terdapat dalam kawasan pusat latihan ini dapat menampung 1,500 jemaah, manakala Dewan Perdana dan padang kawad PULAPOL Air Hitam juga boleh menampung 1,500 orang.

Dari awal penubuhan sehingga kini, PULAPOL Air Hitam berjaya melahirkan 37,381 anggota polis yang terdiri daripada konstabel lelaki dan wanita serta konstabel sokongan lelaki dan wanita.

Sehingga kini pusat latihan ini diterajui 12 komandan yang bertanggungjawab dalam melahirkan pegawai polis yang berwibawa. Komandan sekarang ialah ACP Samsor Maarof, yang meneruskan visi dan misi serta prinsip TEKADKU PENGABDIAN TERBAIK.

Semenjak 36 tahun penubuhannya, PULAPOL Air Hitam menjalankan pelbagai program latihan dalaman dan luaran seperti berikut:

KURUS DALAMAN

1. Kursus Etika Dan Integriti PDRM Zon Selatan

2. Kursus Amali Tugas Am

3. Kursus Teknik Mengajar

4. Kursus Pengucapan Awam

5. Kursus Fasilitator Induksi Umum

6. Kursus Teknik Tangkapan

7. Kursus T-Baton

8. Kursus Asas Menunggang Motosikal Ringan

9. Kursus Jurulatih Kawad

10. Kursus Jurulatih Asas Pertolongan Cemas

11. Kursus Bahasa Inggeris

12. Kursus Asas Nafiri

13. Kursus Asas Fotografi Dan Videografi

14. Kursus Pemantapan Integriti

15. Kursus Pengurusan Tekanan Dan Psikologi

16. Kursus Pemantapan Keagamaan Bagi Mua’laf

KURSUS UNTUK JABATAN LUAR

1. Kursus Asas Polis Bantuan Bagi Agensi Kerajaan, Badan Berkanun, Badan Tidak Berkanun dan agensi swasta

2. Kursus Asas Sukarelawan Polis

3. Kursus Asas Pegawai Penyiasat BPR Malaysia.

4. Kursus Penyeliaan Polis Bantuan

5. Kursus Asas Pegawai Kanan Kadet Sekolah

6. Kursus Ketua Polis Balai Bagi MAB

7. Kursus Tahunan Sukarelawan Malaysia

8. Perkhemahan Kadet Polis Peringkat Kebangsaan 1996

9. Kursus Certified Security Guard (CSG)

Menyedari perlunya pengiktirafan ke tahap yang lebih tinggi setanding dengan latihan yang dilalui dalam Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) selama 6 bulan, maka kerjasama dicapai antara Polis Diraja Malaysia dengan University Of Derby yang berpusat di England agar pelatih yang tamat menjalani kursus asas kepolisan menerima pengiktirafan peringkat diploma.

Kolaborasi PDRM dengan University Of Derby ini menjadi pencapaian yang terulung di atas usaha gigih barisan kepemimpinan PDRM untuk memartabatkan pusat latihan polis di peringkat antarabangsa.

Sejarah penubuhan awal PULAPOL Air Hitam ini amatlah membanggakan. Warga PDRM yang terbabit sebagai kumpulan perintis dalam kewujudan pusat latihan ini membuktikan bahawa pengorbanan kepada pasukan bukanlah sesuatu yang boleh dijual beli. Berbekalkan semangat kental dan kesungguhan dalam melihat impian pasukan tercapai, mereka sanggup ditugaskan di mana saja dan melaksanakan tanggungjawab dalam apa jua keadaan. Sesungguhnya, berdirinya PULAPOL Air Hitam hari ini adalah hasil pengorbanan dan keringat kumpulan perintis yang perlu disanjung dan dikekalkan dalam sejarah penubuhan pusat latihan PDRM secara amnya.

Syabas dan terima kasih atas pengorbanan kalian.

PULAPOL Langkawi

Salam sejahtera dan Salam 1Malaysia buat pembaca budiman. Siri Pusat Latihan Polis saya sambung minggu ini dengan Pusat Latihan Polis Langkawi yang ditubuhkan pada 2010. Ia terletak di Mukim Padang Matsirat, Langkawi, Kedah, yang terkenal dengan panggilan ‘Permata Kedah.’


Dengan keluasan 13.23 hektar dan mengadap Lautan Andaman di bahagian baratnya, PULAPOL Langkawi adalah satu-satunya pusat latihan polis yang berada di sebuah pulau.

Pusat latihan ini juga dalam kawasan strategik kerana berdekatan dengan Hotel Century Langkasuka, Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAB) yang menjadi pintu masuk utama ke Pulau Lagenda ini.

Sejarah penubuhan PULAPOL Langkawi bermula dengan pengubahsuaian untuk tujuan menaik taraf infrastuktur pusat peranginan Delima Resort pada 24 Disember 2007.

Pada Mac 2010, kerja pengubahsuaian siap sepenuhnya dan diserahkan pihak kontraktor kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Seterusnya pada 29 Julai 2010, bangunan ini diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk dijadikan Pusat Latihan Polis PDRM yang ke-6.

Sejak 1 Julai 2010, tiga komandan diberi tanggungjawab untuk menerajui pusat latihan ini iaitu Superintendan Abd Latif Yunus (1 Julai 2010 hingga 16 Oktober 2012), Asisten Komisioner Arif @ Aris Bin Omar (16 Oktober 2012 hingga 15 Mac 2016) dan Asisten Komisioner Baljeet Singh Kartar Singh yang mengambilalih pucuk pimpinan dari 15 Mac 2016 sehinggalah sekarang.

Selain menaik taraf struktur sedia ada, pembinaan bangunan baru turut dilaksanakan yang merangkumi sebuah bangunan asas empat tingkat, sebuah Dewan Auditorium dengan kapasiti 550 orang dan sebuah surau yang boleh memuatkan 800 jemaah.

Surau PULAPOL Langkawi yang dikenali sebagai Surau Al-Hikmah ini mendapat kebenaran daripada Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) pada 24 Januari 2010 untuk melaksanakan solat Jumaat.

Kemudahan lain yang turut terdapat di pusat latihan ini adalah sebuah Mes Pegawai Kanan satu tingkat yang mengandungi lima bilik VIP, 22 bilik Pegawai Kanan serta tiga bangunan asrama lima tingkat untuk peserta kursus dan pelatih yang boleh menampung seramai 600 orang pada satu masa.

Kemudahan lain yang disediakan adalah dua unit rumah setingkat kelas C, 10 unit rumah dua tingkat kelas D, 25 unit rumah pangsa lima tingkat kelas E dan 150 unit rumah pangsa lima tingkat kelas F.

Terdapat juga sebuah bangunan persenjataan yang menempatkan stor senjata dan amunisi, balai pengawal, pondok pengawal serta sub-stesen elektrik.

Selain itu, turut disediakan kemudahan seperti dewan makan, dewan bankuet, bilik rawatan, kedai keperluan pelatih, perkhidmatan dobi dan kemudahan lain khusus bagi keselesaan penghuni.

PULAPOL Langkawi turut dilengkapi sebuah padang kawad dengan keluasan 38,911 kaki persegi yang mampu memuatkan 600 orang pelatih pada satu-satu masa untuk pelbagai acara seperti Perbarisan Tamat Latihan, latihan kawad, Kawad Komandan, senamrobik, riadah dan aktiviti lain.

Di samping itu, PULAPOL Langkawi yang mempunyai kemudahan sukan/riadah seperti gelanggang futsal, padang bola sepak, gelanggang bola tampar dan dewan badminton sejajar dengan kehendak pucuk pimpinan PDRM dalam membentuk warga polis yang mengekalkan kecergasan dan kecerdasan, selaras dengan dasar pasukan di bawah program Trim & Fit.

Pusat latihan ini dibangunkan bagi tujuan melatih rekrut baru untuk penugasan di seluruh negara menerusi Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Konstabel selama enam bulan, Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Konstabel Sokongan selama empat bulan dan Kursus Asas Polis Bantuan (KAPB) selama dua bulan.

Modul latihan yang dilalui oleh pelatih merangkumi modul undang-undang, pengendalian senjata api, latihan kawad, latihan jasmani, program rohani dan sahsiah diri.

PLAK yang dibentuk melalui metodologi dan modul latihan bertujuan untuk pembentukan sahsiah diri dan jati diri setiap pelatih melalui konsep ASKD yang menekankan aspek A-Attitude (sikap), S-Skill (kemahiran), K-Knowledge (pengetahuan) dan D-Discipline (disiplin).

Pelaksanaan latihan yang dijalankan dengan penuh sistematik dan teratur diharap dapat melahirkan pegawai polis yang lebih berwibawa dan profesional, selaras dengan falsafah latihan yang menekankan aspek seperti semangat berpasukan atau esprit de corps, berdisiplin tinggi, pembentukan fizikal dan mental yang kuat, kepatuhan terhadap arahan, berkepimpinan dan kesetiaan kepada pasukan.

Pelatih turut didedahkan dengan modul latihan amali atau ‘On Job Training’ seperti Rondaan Cegah Jenayah di pekan Kuah dan Pantai Cenang, Langkawi bertujuan memberi kefahaman skop penugasan selain berinteraksi dengan masyarakat setempat secara profesional.

Modul jasmani turut membabitkan aktiviti luar seperti Mara Lasak dan Mendaki Gunung Raya.

PULAPOL Langkawi menerima kumpulan pelatih yang pertama melalui Kursus Asas Polis Bantuan (KAPB) pada 15 Januari 2011 membabitkan 200 orang daripada Malaysia Airport Holding Berhad dan pelatih Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) seramai 300 orang pada 23 Januari 2011.

Selain itu, PULAPOL Langkawi juga sering menjadi pilihan bagi melaksanakan Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) oleh agensi kerajaan lain serta pihak swasta.

Kapasiti maksimum pelatih dan peserta kursus yang boleh ditampung adalah 600 orang dalam satu-satu masa.

Sejak penubuhan PULAPOL Langkawi dari 2010 sehingga April 2017, seramai 1,292 orang pelatih PLAK Konstabel, pelatih PLAK Konstabel Sokongan 653 orang dan pelatih KAPB 3,669 orang menjalani latihan asas di pusat latihan ini.

Pada 2015, PULAPOL Langkawi mendapat pengiktirafan taraf empat bintang oleh KDN bagi Pengurusan Laporan Indeks Kewangan - Pelaksanaan Firm 2015 Fasa 2.

PULAPOL Langkawi menyertai pertandingan anugerah Inovasi Peringkat PDRM dengan memperkenalkan CCTV Mudah Alih bagi mempertingkatkan kawalan keselamatan aset dan kawasan PULAPOL Langkawi melalui penggunaan telefon mudah alih dan CCTV oleh anggota yang melaksanakan kawalan keselamatan dan pegawai bertugas.

Hasil daripada cetusan idea itu, PULAPOL Langkawi memenangi tempat kedua Anugerah Inovasi PDRM dan terpilih untuk bertanding di peringkat KDN bagi 2016.

PULAPOL Langkawi juga menjadi pilihan agensi luar dalam melaksanakan pelbagai ujian dan kajian, antaranya pembinaan prototaip kincir angin bagi tujuan penjanaan kuasa elektrik melalui kuasa angin.

Program anjuran bersama oleh Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi, Table Top Exercise Tsunami, Jabatan Meteorologi Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana (NADMA) ini diadakan pada 7 September 2016 yang dihadiri oleh wakil agensi teknikal dan pengurusan bencana negara bertujuan memberi latihan dalam mempertingkatkan tahap kesiapsiagaan menghadapi bencana tsunami.

PULAPOL Langkawi juga mengadakan pelbagai program yang berkonsepkan Community Policing bertujuan untuk mengeratkan hubungan dan kerjasama antara polis dengan masyarakat sejajar tema Hari Polis ke-210 ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’.

Antara program yang dilaksanakan adalah majlis berkhatan beramai-ramai bersama penduduk yang kurang berkemampuan, Gotong Royong Perdana, Ceramah Perdana, Program Derma Darah, Pembersihan Pantai Cenang, Program Penanaman Pokok Paya Bakau di Pulau Tuba anjuran bersama Jabatan Perhutanan Langkawi yang diiktiraf Malaysia Book Of Records sebagai Program Penanaman Pokok Paya Bakau Terbesar pada 2014, Revive Green Pantai Cenang dan Meet and Greet di Pantai Tanjung Rhu bersama penduduk setempat.

Saya amat berbangga dengan prestasi dan kemampuan yang ditunjukkan oleh Pusat Latihan Polis Langkawi dalam melahirkan warga PDRM yang bersifat Multi-Tasking dan Multi Skills dalam menawarkan perkhidmatan yang berkualiti kepada masyarakat.

Saya juga yakin PULAPOL Langkawi serta lain-lain pusat latihan polis yang ada berupaya membentuk generasi baru PDRM yang mampu mendokong aspirasi ke arah World Class Policing.

Insya-Allah, kita bertemu lagi di minggu hadapan.

PULAPOL Kota Kinabalu, PULAPOL Dungun

PULAPOL Dungun

Salam 1Malaysia buat pembaca budiman. Syukur Alhamdulillah kerana kita diberi kesempatan bertemu lagi di ruangan mingguan ini, bagi membolehkan masyarakat mengenali Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan lebih dekat.

Bagi meneruskan siri Pusat Latihan Polis yang bermula sejak Sabtu pertama April 2017 lalu, saya mengambil kesempatan berkongsi dengan pembaca sejarah dan latar belakang Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Dungun, Terengganu, yang mula beroperasi pada 1 September 2012.

Untuk makluman semua, PULAPOL Dungun di Lot 1818, Mukim Kuala Abang, Dungun, Terengganu dengan keluasan keseluruhan 133,051 ekar (54.03 hektar). Pembinaan pusat latihan ini dirancang pembinaannya dalam 3 fasa iaitu pembangunan yang ada sekarang dalam Fasa 1, yang membabitkan proses pembangunan kawasan seluas 80.5 ekar saja. Proses pembangunan bagi Fasa 2 dan Fasa 3 masih dalam perancangan.

Sama seperti pusat latihan polis yang lain, fungsi utama PULAPOL Dungun untuk menyediakan latihan asas kepada pegawai rendah polis. Sejajar dengan itu pada 4 April 2014, Komandan pertama PULAPOL Dungun, Superintendan Mohd Zaini Mat Yusof menetapkan visi pusat latihan ini bertujuan “Menyediakan pegawai polis terlatih, berilmu, berakhlak dan kompeten bagi menghadapi cabaran dalam melaksanakan tugas secara profesional melalui latihan asas.”

Manakala misinya pula Memberi latihan secara berterusan bagi melahirkan pegawai polis yang dinamik Dan Berinovatif Dengan menerapkan nilai-nilai yang positif.

Penetapan visi dan misi ini jelasnya bermatlamatkan melahirkan pegawai polis yang berdisiplin, berwibawa dan berintegriti selari dengan visi dan misi PDRM bagi memenuhi ekspektasi negara dan masyarakat.

Sejak penubuhannya, PULAPOL Dungun sudah melatih 493 orang anggota polis sokongan menerusi tiga siri Program Latihan Asas Konstabel (PLAK) Sokongan bagi 2015 dan 2016. Selain daripada menjalankan fungsi utama menyediakan latihan asas kepada pegawai rendah polis, PULAPOL Dungun juga menyediakan Latihan Asas Polis Bantuan dan Kursus ‘Certified Security Guards’ (CSGs). Ia menjadi pusat latihan utama bagi kawasan pantai timur dalam menyediakan latihan kepada pengawal keselamatan. Selain itu, pusat latihan ini juga mengendalikan Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) untuk pegawai rendah polis dari seluruh negara yang membabitkan penganjuran PULAPOL Dungun sendiri ataupun lain-lain jabatan dalam PDRM. Pusat latihan ini juga pernah terbabit dalam menjayakan program National Blue Ocean Strategy (NBOS) iaitu melaksanakan Program Summer Camp (Remaja Berwawasan). Program ini hasil kerjasama antara PDRM, Angkatan Tentera Malaysia dan Jabatan Pendidikan Malaysia, di mana PULAPOL Dungun dijadikan sebagai lokasi latihan bagi program yang membabitkan pelajar sekolah dari Terengganu. Walaupun umur PULAPOL Dungun masih baru berbanding lain-lain pusat latihan yang mempunyai sejarah penubuhannya yang telah lama, namun ia berjaya melaksanakan fungsinya dengan cemerlang.

Dari sudut pengurusan, pusat latihan ini mempunyai 140 orang kakitangan terdiri daripada 24 pegawai kanan, 106 pegawai rendah polis dan 10 pegawai awam. Kebanyakan perjawatan di PULAPOL Dungun diisi dengan pegawai dan anggota dari pusat latihan yang sedia ada, bagi memastikan kesinambungan kemahiran dan tahap profesionalisme latihan yang tinggi.

Kita sedia maklum kemudahan dan fasiliti antara faktor penyokong dalam menjamin keberkesanan latihan. Sehubungan dengan itu, PULAPOL Dungun dilengkapi empat bangunan utama iaitu bangunan pentadbiran, bilik syarahan, asrama pelatih, dewan makan dan sebuah pangsapuri kelas F yang terdiri daripada 52 unit kediaman. Lain-lain kemudahan asas yang disediakan sebuah padang kawad berukuran 80 meter x 70 meter, sebuah lapang sasar 100 meter, sebuah surau, dua dewan, sebuah bangunan kawad bersebelahan dengan padang kawad, dua stor peluru, sebuah makmal komputer, sebuah makmal bahasa dan 17 bilik kuliah.

Sebagai sebuah pusat latihan yang masih baru, sudah tentunya terdapat pelbagai kekurangan yang perlu ditambah seperti kenderaan pengangkutan, peralatan komputer untuk pembelajaran, bengkel kenderaan dan pelbagai kemudahan lagi yang perlu ditambah baik untuk memastikan keberkesanan latihan pada masa hadapan. Bagi mengatasi pemasalahan ini, cadangan pembangunan seterusnya bagi PULAPOL Dungun dimasukkan ke dalam projek Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK 11) merangkumi pembinaan kuarters, asrama pelatih, kompleks akademik, bengkel pengangkutan, stor senjata api, stor bekalan, dewan banquet dan dewan serbaguna serta bangunan arked yang akan dilengkapi kedai gunting rambut, mini market, kedai jahit, kedai kasut dan juga kantin. Selain itu, turut direncanakan pembangunan dua bangunan taktikal yang akan dilengkapi balai polis, mock court, padang bola sepak dan kolam renang

Saya yakin, dengan kemampuan dan keberkesanan tanggungjawab yang ditunjukkan, ditambah pula dengan perancangan masa hadapan yang disusun rapi, PULAPOL Dungun mampu melahirkan warga PDRM yang boleh dibanggakan negara. Insya-Allah.

PULAPOL Kota Kinabalu

Salam hujung minggu buat pembaca budiman. Untuk ruangan minggu ini, saya akan berbicara mengenai Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kota Kinabalu, Sabah, iaitu salah satu daripada pusat latihan polis yang berjaya melahirkan ribuan anggota polis bagi memenuhi keperluan untuk berkhidmat kepada masyarakat dan negara.

Sejarah Pusat Latihan Polis di Sabah bermula dengan Pusat Latihan Komponen Sabah yang ditubuhkan sejak sebelum merdeka sehinggalah Mei 1994.

Pada ketika itu, ia hanya bertanggungjawab menjalankan Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) bagi anggota pangkat rendah (APR) Komponen Sabah.

Kedudukan Pusat Latihan Komponen Sabah di tapak tanah berkeluasan kira-kira setengah ekar ini, merangkumi sebuah bangunan pejabat pentadbiran dan sebuah bangunan sebagai kelas atau bilik kuliah.

Pada Jun 1994 Pusat Latihan Komponen Sabah bertukar nama kepada Pusat Latihan Kawasan Sabah atau singkatannya PULAKAS.

Ia diterajui seorang komandan berpangkat Deputi Superintendan (DSP) dengan keanggotaan seramai 68 staf sokongan.

Semua perjawatan yang digunakan adalah sandaran dari beberapa daerah polis di Sabah.

Di samping menjalankan LDP, pusat latihan ini juga mengendalikan Latihan Asas Konstabel Lelaki dan Wanita. Pada ketika itu, PULAKAS diperuntukkan kemudahan tambahan berupa asrama pelatih, bilik kuliah dan dewan makan.

Keluasan kawasan juga berkembang menjadi kira-kira tiga setengah ekar.

Seterusnya pada 22 Ogos 2003, PULAKAS sekali lagi ditukarkan namanya kepada Pusat Latihan Polis atau PULAPOL Kota Kinabalu.

Selaras dengan itu juga, pangkat komandan dinaik taraf daripada Deputi Superintendan Polis (DSP) kepada Superintendan (Supt), dan keanggotaannya ditambah menjadi 92 orang.

Beberapa proses perubahan perjawatan dilaksanakan oleh Jabatan Pengurusan PDRM bagi mengemaskini perjawatan semua formasi/kontinjen polis sepanjang 2011 hingga 2015.

Ekoran itu, perjawatan PULAPOL Kota Kinabalu ditambah menjadi 133 pegawai beruniform dan 21 pegawai awam, menjadikan jumlah keseluruhan staf terkini 154 orang.

Prasarana di PULAPOL Kota Kinabalu adalah bangunan lama IPK Sabah yang diubahsuai dan ditambahbaik bagi menampung keperluan semasa seperti ruang pejabat, bilik kuliah dan asrama.

Terdapat juga beberapa bangunan yang baru dibina bagi menambah kemudahan yang diperlukan seperti dewan serbaguna, pos pengawal dan pejabat kem komandan setelah mendapat kelulusan pembinaan dan peruntukan kewangan.

Kemudahan PULAPOL Kota Kinabalu yang sedia ada sekarang merangkumi:

a) Bangunan Pejabat Pentadbiran;

b) Bilik Mesyuarat;

c) Bilik Tetamu;

d) Bilik Kuliah (11 Unit)

e) Asrama Pelatih; (3 blok)

f) Asrama Peserta Kursus; (1 unit)

g) Asrama Wanita; (1 unit)

h) Makmal Bahasa (pembenaan tambahan);

i) Makmal Teknologi Maklumat; (2 unit)

j) Stor Senjata;

k) Bengkel Persenjataan;

l) Stor Material Spesifik (SMS);

m) Pos Pengawal;

n) Kem Komandan;

o) Dewan Pahlawan (Serbaguna Terbuka);

p) Dewan Makan/Dewan Serbaguna (tertutup);

q) Bilik Perpustakaan;

r) Padang Kawad; dan

s) Gelanggang Bola Tampar.

Sebagai sebuah institusi latihan kepolisan, fungsi PULAPOL Kota Kinabalu adalah:

i) Memberi Latihan Dalam Perkhidmatan kepada pegawai dan anggota polis yang berkhidmat di Sabah dan Sarawak;

ii) Menjalankan kursus teknikal persenjataan, komunikasi, pemanduan dan teknologi maklumat (asas/lanjutan);

iii) Menjalankan Latihan Asas Konstabel Lelaki/Konstabel Sokongan;

iv) Melaksanakan Latihan Asas Polis Bantuan bagi agensi kerajaan/ swasta yang memerlukan; dan

v) Melaksanakan kursus luar jangka (tidak dirancang).

Seperti mana dengan lain-lain pusat latihan polis di seluruh negara, latihan dan kursus yang ditawarkan di PULAPOL Kota Kinabalu ini meliputi pelbagai bidang.

Bagi Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Konstabel yang berjalan selama enam bulan, seramai 5,314 konstabel berjaya dilatih sejak 1994 sehingga 2016.

Bagi Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Konstabel Sokongan pula yang berjalan selama empat bulan, seramai 513 pelatih berjaya menamatkan latihan mereka bagi tempoh 1994 sehingga 2016.

Dalam tempoh sama juga, seramai 1,290 pelatih berjaya mengikuti Latihan Asas Polis Bantuan yang berjalan selama dua bulan.

Sementara bagi Latihan Dalam Perkhidmatan yang dijalankan antara 1994 sehingga 2016, seramai 12,647 peserta menjalani program latihan ini dengan jayanya.

Dalam pada itu, pusat latihan ini turut mengendalikan kursus luar jangka dalam tempoh yang sama membabitkan 2,539 peserta.

Saya yakin PULAPOL Kota Kinabalu Sabah akan terus mampu melahirkan warga PDRM yang berwibawa dan berupaya menjalankan tanggungjawab mereka dengan cemerlang dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat.

Ke arah itu, PDRM akan memastikan bahawa modul latihan dan kursus yang dijalankan di semua pusat latihan polis di seluruh negara, sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa, demi memenuhi tuntutan dan cabaran semasa.

Semoga kita dipanjangkan umur dan ditemukan kembali minggu hadapan untuk saya berbicara tentang pusat latihan seterusnya. Insya-Allah.