October 31st, 2017

Jangan ajar anak jadi plastik

SESI persekolahan 2017 kini sudah hampir ke penghujung.

Kecuali calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang masih berdebar-debar kerana belum menempuh peperiksaan, rata-rata pelajar sekolah menengah yang lain sudah tidak sabar menunggu November iaitu bermulanya cuti akhir tahun.

Murid sekolah rendah lebih-lebih lagi,  terutamanya calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah  (UPSR) yang sudah lebih sebulan menduduki peperiksaan itu.

Masing-masing hanya menghabiskan saki-baki hari persekolahan dengan mengikuti aktiviti yang dirancang pihak sekolah.

Seperti lazimnya pada waktu-waktu begini, pihak sekolah dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) pastinya sedang sibuk merancang acara penyampaian hadiah atau yang kini lebih seronok dipanggil 'majlis graduasi'.

Acara tahunan ini boleh dikatakan menjadi aktiviti kemuncak sekolah yang biasanya dirancang sambutannya sejak awal tahun lagi, dengan matlamat penganjurannya mesti lebih meriah daripada acara yang lain.

Apabila lebih meriah tentulah bajet atau peruntukan untuk menganjurkannya juga lebih.

Jika yang diadakan di sekolah pun sudah memakan belanja ratusan ringgit apatah lagi jika dibuat di luar, di dalam dewan yang disewa khas tentulah mencecah ribuan ringgit.

Kebelakangan ini 'semangat' untuk menambah kemeriahan majlis graduasi sekolah semakin menjadi-jadi sehinggakan ada yang  mengadakannya di hotel atau dewan mewah,  yang kosnya melebihi lima angka.

Jangan terkejut, majlis graduasi sekolah kini mengalahkan majlis konvokesyen untuk menerima diploma dan ijazah dari kolej atau universiti.

Semua lengkap berjubah, berarak atas karpet merah untuk mengambil sijil tamat sekolah rendah atau menengah dengan disaksikan ibu bapa, yang tentu sahaja dikenakan bayaran tertentu untuk menyaksikan 'hari bersejarah' anak masing-masing.

Memang cukup eksklusif.

Sungguhpun acara penyampaian hadiah memang tersenarai dalam takwim aktiviti sekolah dan di dalam pengetahuan Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Negeri, penulis percaya kementerian dan jabatan terbabit tidak pernah menetapkan penganjurannya perlu dibuat dalam skala besar dan mewah.

Hal ini kerana, pernah suatu ketika masyarakat khususnya ibu bapa kecoh tentang yuran sekolah yang didakwa tinggi sehingga membebankan mereka. Rungutan ibu bapa terutamanya mendorong pihak kementerian menetapkan kadar yuran minimum yang seingat penulis tidak sampai pun RM20 bagi setiap murid. Yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) juga ditetapkan agar tidak terlalu tinggi hingga boleh membebankan ibu bapa.

Namun entah di mana silapnya. Atau mungkin sahaja masyarakat sudah lupa dengan kekecohan kadar yuran sekolah suatu ketika dulu, atau memang mereka merelainya, pelbagai caj  tambahan yang sudah ditiadakan sebelum ini muncul kembali.

Penganjuran majlis graduasi sekolah dalam skala besar misalnya, tentu sahaja menuntut yuran tambahan yang besar juga.

Mungkin bukan salah pihak sekolah, mungkin ibu bapa sendiri melalui PIBG yang mahu mengadakan majlis ini secara besar-besaran atas alasan meraikan anak-anak dan sebagai tanda terima kasih kepada guru-guru. Cuma soalnya, perlukah berlebih-lebihan?

Kini di mana-mana orang bercakap tentang beban kos sara hidup yang tinggi, dan kebanyakan keluarga berpendapatan rendah dan sederhana terpaksa mengecilkan bajet rumahtangga atau domestik dengan berbelanja hanya yang perlu. Jadi perlukah 'majlis graduasi' murid tadika dan sekolah rendah bahkan pelajar sekolah menengah diadakan di luar kawasan sekolah, di dalam dewan yang disewa khas?

Penulis percaya ramai pun bersetuju bahawa yang perlu adalah majlis penyampaian hadiah. Jika dibuat di sekolah pun meriah juga, bahkan mungkin lebih meriah kerana seluruh ahli keluarga boleh datang meraikannya. Adik-adik boleh datang menyaksikan abang atau kakak menerima  sijil tamat sekolah dan pelbagai sijil penghargaan lain lantas menjadi teruja untuk mengikut jejak mereka.

Semuanya boleh hadir, tanpa had atau caj tambahan berbanding jika dibuat di tempat yang eksklusif.

Seingat penulis yang bersekolah harian biasa di sekolah rendah, belajar di sekolah menengah jenis kebangsaan (SMJK) di peringkat menengah dan kemudian ke sekolah tinggi, begitulah resamnya. Setiap kali acara penyampaian hadiah dan tamat persekolahan bagi murid tahun enam, pelajar tingkatan lima dan enam atas pada hujung tahun, berlangsung dengan meriah di sekolah.

Mungkin penulis agak kolot kerana bernostalgia sebegini. Namun fikiran penulis asyik tertanya-tanya apa yang lebih penting? Majliskah atau tempatnya?

Lagipun majlis graduasi ini sepatutnya untuk  lulusan kolej dan universiti. Belum masanya untuk murid sekolah tahun enam.

Upacara tamat persekolahan dengan majlis penyampaian sijil yang diserikan persembahan oleh guru dan murid-murid mewakili semua kelas tidak kira yang pandai mahupun corot sudah memadai. Tidak payahlah anak-anak ini pun bergraduasi dengan jubah dan topi empat segi.

Sepatutnya anak-anak ini diajar tentang peringkat-peringkat pencapaian dalam kehidupan supaya mereka benar-benar menghargai nilai sekeping sijil dan bezanya dengan segulung diploma atau ijazah.

Dahulukan apa yang perlu dan sepatutnya menjadi keutamaan. Ini akan memastikan mereka menerima didikan yang betul sehingga tahu membezakan mana yang perlu atau afdal, dan mana pula perhiasan aksesori dan sekadar komestik.

Tentu sahaja kita tidak mahu anak kita jadi plastik, hanya mengutamakan gaya luaran daripada isi.

Marhaini Kamaruddin Utusan Malaysia Rencana Catatan Marhaen 31 Oktober 2017

Adakah kita di ambang populisme?

ISU populisme sebenarnya tidak difahami dengan baik kerana, sejak beberapa dekad yang lalu, ia hanya muncul di negara seperti Venezuela (pemerintahan Chavez), Filipina (pemerintahan Duterte) dan hampir tidak wujud di negara maju.

Ia adalah salah satu fenomena yang muncul mungkin sekali seumur hidup seperti zaman wabak penyakit (pandemik), zaman kemelesetan, atau peperangan.

Kali terakhir ia wujud adalah pada tahun 1930, apabila kebanyakan negara menjadi populis. Dan sejak dua tahun kebelakangan, ia muncul semula.

Pada awal 1900, kemunculan populisme, dipelopori Amerika Syarikat (AS), United Kingdom, Jepun, Jerman, Perancis, Itali dan Sepanyol.

Berdasarkan apa yang sedang berlaku, gerakan populisme akan berkembang dan memainkan peranan mempengaruhi dasar ekonomi secara global. Peranan populisme dalam membentuk keadaan ekonomi mungkin akan menjadi lebih hebat berbanding dasar fiskal dan kewangan klasik (serta pengaruh besar kepada dasar fiskal). Ia juga akan menjadi penting dalam memacu hubungan antarabangsa.

Kita harus pelajari dan menunggu apakah akan dilakukan populis sedia ada bertindak dan perlu melihat keputusan pilihan raya di negara terbabit bagi menentukan bilangan populis yang akan memegang tampuk pemerintahan.

Populisme adalah satu fenomena sosial politik yang muncul dan timbul dari ketidakpuasan hati mereka yang tidak berpendidikan tinggi terhadap:

1) Jurang kekayaan dan peluang saksama,

2) Terkesan akan ancaman budaya hasil kefahaman nilai yang berbeza dan ancaman orang luar,

3) Kewujudan dan kedudukan kuasa ‘golongan elit’ dan

4) Kerajaan pemerintahan sedia ada dikatakan tidak berfungsi dengan berkesan.

Sentimen ini membawa kepada pemilihan semula pemimpin yang dikatakan hebat lagi berkuasa. Pemimpin populis biasanya bersifat konfrontasi dan eksklusif dan bukannya bersikap bersama atau kolaboratif dan inklusif.

Akibatnya, konflik berlaku antara dua kumpulan (biasanya kumpulan ekonomi dan sosial berhaluan kiri dan kanan) di dalam negara dan antara negara. Konflik-konflik ini biasanya menjadi semakin tegang dengan masing-masing cuba memperkukuh diri.

Konflik berlaku dalam sesebuah negara sering membawa kepada kekecohan (seperti mogok dan bantahan) dan tekanan yang meningkat untuk mendapatkan semula kedudukan kuasa dengan memberi tekanan kepada puak lain.

Mempengaruhi dan cubaan mengawal media biasanya menjadi satu aspek penting bagi mereka yang terlibat dalam konflik. Dalam beberapa kes, konflik ini telah membawa kepada perang saudara yang menyebabkan beberapa negara demokrasi bertukar kepada ‘kerajaan diktator’ bagi mengawal kekacauan dan kekecohan terhasil daripada konflik ini.

Jika konflik berlaku di peringkat antarabangsa, ini disebabkan sifat dan sikap pemimpin populis yang ‘lebih konfrontasi daripada kesudian bekerjasama’ dan kerana konflik antarabangsa akan membantu menyatukan sokongan untuk kepimpinan dalam negara masing-masing.

Dalam erti kata lain, populisme adalah satu pemberontakan atau konflik bantahan sekumpulan manusia biasa terhadap golongan elit dan sedikit sebanyak terhadap sistem pemerintahan.

Pemberontakan dan konflik berlaku di pelbagai peringkat. Kadang kala sistem memihak kepadanya dan kadang-kadang memecahbelahkan sistem.

Dalam memantau pembangunan peringkat awal rejim populis, perkara paling penting adalah untuk memerhatikan bagaimana konflik ditangani, sama ada kuasa yang bertentangan boleh wujud bersama ke arah kemajuan atau sama ada mereka sering  'bertelingkah' untuk menghalang dan menyakiti antara satu sama lain dan menyebabkan kebuntuan.

Dalam era 1920 hingga1930-an, kebanyakan negara utama dikuasai populisme dan ia mencorakkan sejarah dunia kecuali AS dan United Kingdom walaupun Franklin D. Roosevelt  (Amerika Syarikat) dikatakan dipengaruhi populis.

Kekacauan dan konflik antara puak haluan kiri dan kanan (contohnya, kejadian mogok yang menyebabkan penutupan operasi, dasar bertujuan untuk melemahkan pembangkang dan akhbar, dan lain-lain) mengakibatkan demokrasi di Itali, Jerman, Sepanyol dan Jepun untuk memilih pemerintahan diktator kerana keputusan kolektif/inklusif dilihat sebagai toleransi untuk tingkah laku yang menjejaskan kedudukan pemerintahan, dengan itu pemimpin autokratik diberi kuasa diktator untuk mengawal keadaan.

Dalam beberapa kes (seperti Sepanyol), perselisihan antara mereka, ideologi bercanggah membawa kepada perang saudara.

Di AS dan United Kingdom, pemimpin populis terkemuka muncul sebagai tokoh negara (seperti Oswald Mosley, Charles Coughlin, Huey Long), walaupun mereka bukanlah dari parti berkuasa.


Azizi Ahmad Sinar Harian Pendapat Cetusan 31 Oktober 2017