January 1st, 2018

Pembelajaran Meta - Kepentingan Kemahiran Belajar Era Milinium

Kehidupan di dunia kini berkembang dengan begitu pantas dan cepat sehinggakan apa saja pengetahuan dan kemahiran yang perlu kita pelajari akan bertukar hanya dalam tempoh dekad ke dekad, atau malah tahun ke tahun. Jika itu tidak mencukupi, tumpuan mendalam terhadap pembelajaran dan teknologi pembelajaran akan terus muncul sehingga anda tidak dapat bernafas atau menyedut intipati pembelajaran yang diberikan.

Tahun demi tahun datang silih berganti tanpa henti sama seperti perubahan dalam ilmu pengetahuan serta teknologi. Oleh itu, jika tidak tahu dan tidak mahu untuk belajar, anda pastinya akan ketinggalan. Pembelajaran meta atau "meta-learning" adalah "satu kaedah belajar untuk mempelajari ilmu pengetahuan". Ia merupakan satu kemahiran yang penting di abad ke-21 dan ke-22 ini.

Tentu sekali, dalam era internet serta kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) kini, kita mempunyai pelbagai pilihan sumber bagi mendapatkan pengetahuan dan kemahiran untuk dipelajari. Kita boleh belajar dengan membaca buku, mendengar ‘podcasts’, melayari laman pembelajaran maya (virtual) secara atas talian (online) melalui internet, daripada seorang guru, rakan sebaya, atau dengan sesiapa sahaja.

Pembelajaran meta diperkenalkan oleh Donald B. Maudsley (1979) dan beliau menerangkan pembelajaran ini sebagai "satu proses di mana pelajar menyedari akan peningkatan dalam mengawal tabiat persepsi, inkuiri, pembelajaran dan perkembangan yang telah diperolehi."

Maudsley menetapkan asas konseptual teorinya sebagai disintesis di bawah tajuk andaian, struktur, proses perubahan, dan fasilitasi. Lima prinsip telah dinyatakan untuk memudahkan pembelajaran meta iaitu pelajar mesti:


  • mempunyai teori, tidak kira kuat atau lemah atau primitif;

  • belajar dalam persekitaran sosial dan fizikal yang menyokong;

  • mempunyai peraturan dan andaian sendiri;

  • mengaitkan realiti maklumat dari persekitaranr; dan

  • menyusun semula diri mereka dengan mengubah peraturan dan andaian.

Idea pembelajaran meta kemudiannya digunakan oleh John Biggs (1985) untuk menggambarkan keadaan "menyedari dan menguasai pembelajaran sendiri". Anda boleh mentakrifkan pembelajaran meta sebagai kesedaran dan pemahaman tentang fenomena pembelajaran itu sendiri berbanding dengan pengetahuan mata pelajaran. Terlibat dalam takrif ini adalah persepsi murid tentang konteks pembelajaran, yang termasuk mengetahui apa yang diharapkan daripada disiplin yang dipelajari dan lebih menjurus kepada tuntutan tugas pembelajaran yang diberikan.

Dalam konteks ini, pembelajaran meta bergantung kepada konsep pembelajaran murid, kepercayaan epistemologi, proses belajar, dan kemahiran akademik, yang boleh diringkaskan di sini sebagai pendekatan pembelajaran. Murid yang mempunyai tahap kesedaran pembelajaran meta yang tinggi akan dapat menilai keberkesanan pendekatan pembelajarannya dan mengaturnya sesuai dengan tuntutan tugas pembelajaran.

Sebaliknya, murid yang rendah tahap kesedaran pembelajaran meta tidak akan dapat memikirkan pendekatan pembelajarannya atau sifat tugas pembelajaran. Akibatnya, dia tidak dapat menyesuaikan diri dengan jayanya apabila pembelajaran menjadi lebih sukar dan rumit.

Sumber National Training Laboratories, Maine

Berdasarkan grafik maklumat Piramid Pembelajaran dari National Training Laboratories, Maine, kadar pengekalan ingatan (antara indikator penting bagi mengukur keberkesanan pembelajaran) akan menjadi lebih baik dengan lebih banyak interaksi dan perbincangan. Tetapi ia juga bergantung kepada gaya belajar anda.

Sudah tentu cara utama untuk mengekalkan pengetahuan adalah dengan belajar, mengamalkan, menyerap, dan kemudian mengajar atau berkongsi semula apa yang anda tahu supaya orang lain dapat belajar dari pengetahuan anda. Dalam ertikata lain, selain menjadi guru dan mengajar, penulisan atau menulis adalah antara cara terbaik untuk mengartikulasikan pembelajaran anda.

Kajian "Do you think it is better to ‘learn’ from a good book or an accomplished person?" oleh Amit Somani (2017) juga menunjukkan dapatan 36 peratus responden bersetuju bahawa belajar daripada seseorang yang lain adalah lebih baik berbanding belajar terus daripada buku atau membaca sendiri, manakala 26 peratus responden bersetuju dengan kedua-duanya (iaitu belajar melalui buku sama baik dengan belajar daripada orang lain).

Dalam pada itu 23 peratus daripada responden memberi maklum balas ia "bergantung kepada kandungan pembelajaran yang disampaikan" dan baki 15 peratus responden lagi memilih "membaca buku" sebagai kaedah yang bagus.

Konsensus umum ialah belajar atau berguru dari orang lain adalah cara terbaik untuk belajar. Namun, pada pandangan penulis, jawapannya tidak begitu mudah. Versi jawapan saya ialah, ia bergantung kepada pelbagai perkara seperti yang anda cuba pelajari, tahap kemahiran sedia ada anda, akses kepada sumber pengetahuan dan kemahiran untuk membantu anda dan banyak lagi.

Mempelajari pengetahuan faktual

Bagi langkah awal atau permulaan, jika anda ingin belajar pengetahuan faktual atau beberapa kemahiran asas, maka taruhan terbaik untuk memulakannya adalah dengan membaca buku. Sebagai contoh, anda ingin belajar bagaimana untuk memprogram dalam bahasa baharu atau belajar tentang sejarah sebuah negara, buku akan menjadi titik permulaan yang bagus.

Ini kerana seorang pakar yang mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang mendalam telah membuat banyak pemikiran serta penyelidikan dalam membawakan pengetahuan itu melalui buku yang ditulisnya kepada pembaca termasuk anda. Anda juga akan memperolehi ulasan mengenai buku berkenaan dan apa yang telah dipelajari oleh orang lain daripada karya tersebut. Tentunya, ilmu pengetahuan dalam buku itu telah diolah dan disusun menjadi bahagian dan unit untuk kemudahan kegunaan anda. Anda boleh bebas berbuat apa sahaja seperti mencatat bacaan, membuat ringkasan, dan mengambil masa merenungkan perkara penting sambil anda mentelaah.

Pembelajaran secara "asinkroni" atau bukan secara langsung "dalam masa nyata" (real-time) dari buku sangat berharga. Ia tidak seperti berurusan dengan membaca dokumen melalui e-mel atau mempelajari sesuatu melalui perbualan telefon. Dengan buku, anda mempunyai masa untuk menjeda, membuat refleksi, dan menyemai pengetahuan. Sebagai contoh, jika belajar melalui perbualan telefon, anda perlu memberi tumpuan sepenuhnya, mampu menyerap dalam masa nyata dan mengambil nota serentak. Ia menjadikannya agak sukar.

Belajar untuk tingkatkan kemahiran

Sebaliknya, jika anda ingin mempelajari sesuatu kemahiran atau perkara bersifat kualitatif, atau mahu meningkatkan kemahiran sedia ada agar lebih maju, mungkin lebih baik belajar dari seseorang sebagai permulaan. Paling mudah untuk membayangkan perkara ini adalah latihan sukan. Anda boleh membaca semua buku yang anda mahu tentang bagaimana untuk memperbaiki strok anda dalam berenang atau memperkemas teknik pukulan bulu tangkis dalam permainan badminton. Namun, berlatih dengan jurulatih yang berkelayakan dan berpengalaman lebih ketara akan dapat membantu anda mempelajari teknik berkenaan dengan betul dan menguasainya dengan lebih cepat.

Terdapat beberapa kelebihan utama untuk mempelajari kemahiran seperti ini dari seorang pakar. Antaranya anda boleh mendapat perhatian khusus atau peribadi. Pakar yang berkelayakan dapat menilai dengan cepat di mana tahap anda berdasarkan kemahiran, persoalan, dan motivasi anda. Mereka juga mampu dan boleh menyesuaikan pendekatan pengajaran atau latihan dengan keperluan khusus anda.

Apa sekali pun, pengajar, jurulatih, guru, buku, mahupun internet hanyalah langkah atau titik permulaaan. Mengamalkan apa yang dipelajari yang akan menjadikannya kenyataan. Anda perlu berlatih, iaitu mempraktikkan atau mengaplikasi pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari sehingga memperolehi kesempurnaan. Jika anda hanya membaca tetapi tidak mempraktikkan ilmu diperolehi, ia akan kekal hanya sebagai sebuah teori. Sebaliknya jika ia terus dipraktikkan dan mula diaplikasi, anda mungkin terlepas kemahiran asas. Sebaik-baiknya memanfaatkan kedua-dua perkara dan terus berada dalam gelung pembelajaran.

Gelung Pembelajaran.

Idea keseluruhan yang sebenarnya adalah untuk mempercepatkan proses pembelajaran supaya anda boleh menguasai ilmu pengetahuan ataupun kemahiran yang dipelajari dengan lebih cepat. Untuk menjadi seorang pakar, tahap anda perlu sentiasa melebihi orang lain, sama ada dari sudut membaca buku, latihan, mahupun amalan praktikal.

Kesimpulannya, dalam melalui peredaran masa, anda akan secara silih ganti akan berada di dalam gelung pembelajaran di antara buku dan pengajar (manusia), tanpa urutan tertentu. Apabila anda sampai ke peringkat lanjutan, manusia akan memainkan peranan yang lebih besar.

Apabila semakin dekat dengan tahap ‘penguasaan atau masteri’, anda akan mula belajar lebih banyak daripada manusia termasuk diri anda sendiri. Refleksi diri, jurnal, pengamatan diri dan pengajaran akan menjadi lebih penting daripada buku, atau bahkan guru individu. Justeru itu bak kata tokoh falsafah China, Confucius, "Jangan sesekali berkata tidak untuk belajar atau mengajar orang lain."



Alhamdulillah, artikel saya berjudul 'Pembelajaran Meta - Kepentingan Kemahiran Belajar Era Milinium' telah disunting dan disiarkan di Majalah Pendidik Bil 119 Januari 1, 2018.




https://www.pendidik.com.my/jan/item/604-pembelajaran-meta-kepentingan-kemahiran-belajar-era-milinium

Perubatan Herba Percayakah Anda?

‘Pengguna mudah terpedaya’,  lambakan produk kesihatan dan kecantikan di pasaran dilihat sebagai satu trend yang membimbangkan, apatah lagi ramai yang begitu mudah terpedaya dengan produk yang menjanjikan perubahan pantas. (Utusan Malaysia 04 November 2017 5:00 PM)

Kebanyakan orang menganggap perubatan herba tidak perlu, tidak sesuai atau menggunakannya dengan cara yang sama seperti perubatan biasa.


Mana-mana ahli pengamal perubatan herba sekali pun, jika disoal dan ditanya beberapa kali pun "Apakah herba terbaik untuk sakit kepala.?” sentiasa akan memberi jawapan yang sama.

"Itu bergantung kepada sama ada sakit kepala anda adalah gejala stres, ketegangan leher, kebimbangan, radiasi yang berlebihan daripada kerja komputer atau televisyen, masalah hati, masalah pundi hempedu, fluktuasi gula darah, bahan kimia neurotoksik dalam makanan anda, trauma kepala, bahan kimia dalam rumah atau pejabat, atau faktor lain.

Namun apa yang pasti, menggunakan perubatan herba semula jadi adalah jelas lebih baik dan berkesan.

Jika anda sering mengikuti perkembangan industri perubatan,   anda akan ketahui dan mendapati bahawa syarikat farmaseutikal yang bernilai berbillion ringgit akan berusaha untuk mendapatkan tumbuhan herba untuk di ekstrak, sintesis, mempatenkan dan mengeluarkan dan menghasilkan bahan perubatan herba yang menakjubkan.

Terdapat beribu-ribu kajian yang mendokumentasikan keberkesanan ubat-ubatan herba dari seluruh dunia untuk mengubati jenis kesihatan biasa atau serius.

Namun tidak menghairankan juga masih ramai yang mengatakan bahawa ‘perubatan herba adalah tidak berfungsi’ , ‘ tidak percaya akan keberkesanan perubatan herba’ mungkin kerana mereka tidak mempunyai latihan atau latar belakang dalam perubatan herba.

Yang pasti mereka dari zaman dahulu tentunya lebih berpengetahuan tentang potensi ubat herba daripada pada zaman moden.

Dalam proses memisahkan sebatian tumbuhan dari nutrien penting dan bahan berfaedah lain yang dijumpai secara semulajadi bersama sebatian asal dalam tumbuh-tumbuhan, dan kemudian mencuba untuk mencipta semula sebatian semula jadi ini di makmal-senarai kesan sampingan cenderung berkembang.

Apabila digunakan dengan betul dalam bentuk yang betul, kebanyakan ubat herba mempunyai sejarah keselamatan pengunaan  yang luas, oleh itu ubatan herba adalah cenderung lebih selamat digunakan dari perubatan farmaseutikal.

Dalam memasarkan barangan termasuklah perubatan herba, pasti kita dapat perhatikan terdapat eksekutif farmasi korporat yang tamak yang memacu harga produk mereka.

Jelas dan baik untuk kita mengetahui bahawa terdapat pilihan semulajadi yang mudah didapati yang jauh lebih murah daripada perubatan moden yang sedia ada dipasaran.

Setiap manusia di planet ini mempunyai hak untuk kesihatan tanpa mengira status pendapatan mereka. Perubatan herba cenderung menjadi pilihan yang berpatutan.

Perubatan herba adalah perubatan yang mampan, ia adalah bahan perubatan yang tersedia untuk manusia di seluruh dunia, tidak kira di mana komuniti mereka berada.

Walaupun pengetahuan dan kebijaksanaan asal penggunaan herba mungkin telah hilang di beberapa tempat, tumbuhan herba perubatan masih wujud.

Hanya dalam masa yang terdekat ini kita telah kehilangan sentuhan dengan ahli perubatan herba dan bertukar kepada perubatan moden.

Kebanyakan herba mengandungi berpuluh-puluh dan kadang-kadang beratus-ratus sebatian penyembuhan.

Kandungan kompaun  ini cenderung untuk berfungsi dengan baik dan menyebabkan kesan sampingan yang paling sedikit apabila digunakan secara sinergi.

Hasilnya adalah hampir selalu lebih baik untuk mengambil ubat-ubatan herba yang menggunakan keseluruhan, bahagian perubatan tumbuhan, seperti teh atau ‘tinctures’ (ekstrak alkohol) dan bukan sebatian tunggal yang terpencil di makmal.

Perubatan herba dan farmaseutikal adalah saling berkait. Ini adalah kerana kedua-duanya adalah ubat-ubatan. Oleh itu, penting untuk bertanya dengan doktor anda atau pakar herba yang berkelayakan sebelum mengambil kedua-duanya.

Herba yang digunakan dalam masakan masih mengekalkan khasiat perubatan tidak kira bagaimana anda mengambilnya.

Ramai orang mengklasifikasikan herba seperti masakan atau ubatan, dalam erti kata lain, banyak herba yang kerap kita digunakan dalam masakan tetap mempunyai sifat penyembuhan yang hebat, dan sebaliknya.

Herba tidak boleh digunakan dengan cara yang sama sebagaimana perubatan moden.

Di dunia farmaseutikal, ideanya adalah mengambil ‘ubat’ untuk sesuatu gejala. Namun herba berfungsi pada tahap holistik: mereka menguatkan badan dari dalam ke luar.

Jadi,  mungkin akan mengambil masa yang lebih lama untuk melihat peningkatan simptom, dan bukan terus mengatakan tidak kepada penggunaanya.

Sebagai contoh terdapat pelbagai herba yang disebut sebagai oregano,  jadi pastikan anda mengetahui nama saintifik tumbuhan yang anda berminat untuk digunakan untuk tujuan perubatan.

Dengan cara itu, anda akan memastikan keberkesanan dan keselamatan yang lebih besar. Sentiasa pastikan anda menggunakan tumbuhan herba yang betul.

Sesetengah bahagian tumbuhan mungkin merupakan bahagian yang  toksik jika digunakan, bagi sesetengah tumbuhan, akar merupakan bahagian yang digunakan untuk  perubatan manakala untuk yang lain ia mungkin daun, bunga atau benih.

Lebih baik merujuk kepada buku panduan atau laman web yang bereputasi yang menunjukkan bahagian tumbuhan yang betul digunakan sebelum menggunakan ubat herba. Sentiasa pastikan anda menggunakan bahagian tumbuhan yang betul.


Alhamdulillah, artikel pendek saya berjudul 'Perubatan Herba Percayakah Anda?' telah disunting dan disiarkan di Dewan Masyarakat Bil 1 2018 Januari 1, 2018 ... kena pi kedai buku kalau berminat untuk mengetahui lanjut ...

Perubatan Herba Percayakah Anda?

Alhamdulillah, penulisan  saya bersama Dewan Bahasa Pustaka berjudul 'Perubatan Herba Percayakah Anda?' telah disunting dan disiarkan di Dewan Masyarakat Pemikiran Muka Surat 26-29 pada 1 Januari  2018 ISBN 9770419038444. Mahu baca kena la pi beli kat kedai buku atau di kedai Dewan Bahasa dan Pustaka.