July 27th, 2018

MRSM tidak gempar

20 Julai 2018, tajuk ‘ Sivarasa nafi cadang Mara buka kepada semua kaum’ menjadi perhatian.

Mungkin ini satu lagi usaha sesuatu yang diharapkan oleh kumpulan tertentu untuk membuka minda rakyat Malaysia untuk ‘berfikir kreatif dan kritikal’ demi kesaksaamaan dalam mendapat pendidikan ‘berlainan’ untuk semua rakyat Malaysia.




Yang jelas (dipetik dari akhbar) adalah tiada hasrat untuk menukar nama MRSMara kepada MRSMalaysia; peruntukkan 10  peratus tempat kepada penuntut bukan bumiputera tidak juga dipenuhi oleh mereka yang menuntut; jadi tidak perlulah mana-mana pihak cuba untuk mempermainkan sentimen atau mengusahakan kekecohan yang tidak sepatutnya.

Sebagai salah seorang pelajar perintis yang pernah berada dalam sistem MRSM, saya tidak merasakan isu seperti ini harus digembar-gemburkan. Sistem pendidikan MRSM adalah lebih kurang sama juga dengan sistem pendidikan negara cuma mungkin kemudahan dan pemikiran mereka yang pernah belajar di situ adalah berlainan dari sekolah harian biasa.

Ketika saya pulang bercuti ke kampung baru-baru ini, saya ada berjumpa dengan salah seorang anak saudara saya yang juga belajar di MRSM (beliau dalam Tingkat 5, 2018). Saya bertanya keadaan pengajaran dan pembelajaran yang beliau lalui; dan saya tidak terkejut apabila beliau memaklumkan bahawa ‘mereka juga hadir ke kelas seperti biasa, mentelaah secara berkumpulan dan yang penting ‘individu yang berusaha lebih akan biasanya mencapai pencapaian yang lebih baik’.

Mereka juga seperti pelajar sekolah lain , tertekan juga kerana kurang di beri peluang untuk melibatkan diri dalam aktiviti ko-kurikulum maupun persatuan. Hanya mereka yang mempunyai ‘kecerdasan pelbagai’ yang mampu menghadapi cabaran dan dugaan sebagai pelajar di salah sebuah SBP yang terpilih.

Walau pun isu ini cuba di cemaskan dan di bangkitkan oleh pihak tertentu, mereka yang pernah belajar di MRSM tidak perlu melatah kerana ia bukan akan menjejaskan ‘alma mater’ jika tidak mana mungkin Persatuan Anak Sains MARA (ANSARA) atau ahli Yang Berhormat (sedia ada atau mantan) akan memberi peluang kepada ‘aktivis’ yang cuba mengeruhkan keadaan.

Mungkin pelajar MRSM di didik lebih sentimental daripada ‘alma mater’ lain seperti MCKK, TKC, MTD atau SBP ternama lain;  bekas pelajar MRSM juga bukan calang-calang juga kedudukan mereka dulu dan sekarang.

Didikan MRSM lebih diplomatik, tenang dan bersahaja. Semangat kekitaan,  kesaksamaan dan ketenangan mungkin telah disemai dengan baiknya.

Berbalik kepada hasrat peruntukkan untuk pelajar bukan Bumiputera, ketika saya di tahun ke dua (1974) memang sudah ada pelajar bukan Bumiputera bersama kami dan tidak timbul isu menidakkan peluang mereka.

Sistem pendidikan awal dari pendidikan biasa, kini telah bertambah kepada IGCSE, Ulul Albab,  International Baccalaureate Middle Years Programme, Teknikal dan Sains Keusahawanan. Pendedahan didikan awal program yang dinyatakan tidak harus dicemburui kerana program pendidikan yang dinyatakan boleh juga diperolehi di tempat persekolahan lain. (Cuma nama mungkin berbeza).

Kelebihan pendidikan MRSM sebenarnya mungkin dapat kita ketahui dari hasil keputusan bekas pelajar samada mereka berjaya dalam mencapai cita-cita dan dalam kehidupan mereka selepas tamat belajar.

Bekas pelajar lama seperti saya hanya dapat mengetahui keadaan jika bertemu dan berjumpa di majlis perjumpaan WalimatulUrus, Rumah Terbuka atau Majlis Al-Marhum. Makan slogan ‘Berdisiplin, Berilmu dan Beramal’ amat sesuai sekali.

Azizi Ahmad Utusan Malaysia Rencana Forum 27 Julai 2018