January 17th, 2019

Urus tadbir pendidikan tuntut perhatian Kementerian Pendidikan

Dalam keghairahan Kementerian Pendidikan Malaysia merombak Dasar Pendidikan Negara, diharapkan ia selari dengan penambahbaikan yang perlu dilakukan di semua peringkat Kementerian Pendidikan itu sendiri.

KPM khasnya menteri pendidikan dan ketua pengarah pendidikan Malaysia (KPPM) perlu memantau dan memastikan tadbir urus yang baik menjadi amalan di semua peringkat pendidikan – sekolah, Jabatan Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri dan Jabatan lain di bawah KPM.

Gejala rasuah dan salah guna kuasa perlu ditangani di semua peringkat, di samping memastikan amalan tadbir urus yang baik dilaksanakan dan mempunyai ketelusan.

Banyak isu berkaitan ‘tadbir urus’ perlu diberi perhatian sewajarnya, namun di sini diutarakan 4 perkara yang dilihat kritikal dan perlu diberi perhatian segera.

Pertama, inisiatif menyediakan satu platform bagi ibu bapa dan pemegang taruh untuk memberikan pandangan dan membuat laporan adalah langkah positif yang menunjukkan keterbukaan KPM, namun sejauh manakah laporan dan pandangan itu diambil kira dan tindakan telah diambil.

Carta alir dan piagam pelanggan maklum balas cadangan atau penyelesaian isu yang dilaporkan seharusnya dipaparkan kepada pihak umum. Manakala status tindakan ke atas laporan boleh diakses oleh pengadu dalam kalangan pemegang taruh, khasnya supaya tindakan susulan dapat dilaksanakan.

Sebagai contoh, terdapat pelbagai laporan yang dikemukakan (sama ada melalui platform yang disediakan mahupun secara bertulis) kepada kementerian berkaitan salah guna kuasa oleh pentadbir sekolah, penderaan (mental mahupun fizikal) oleh guru terhadap pelajar atau pentadbir sekolah terhadap guru, penyelewengan dana di pelbagai peringkat, kronisme dan sebagainya yang mengambil masa terlalu lama untuk diselesaikan masih belum mendapat maklum balas.

Kadang-kadang berlaku aduan kes ditutup secara dalaman kerana ingin menutup malu pentadbiran di peringkat sekolah, jabatan dan kementerian itu sendiri. Inikah yang dikatakan tadbir urus yang baik?

Kedua, berkaitan sistem pemantauan dan penilaian pengajaran di sekolah mahupun di peringkat pengajian tinggi. Sejauh manakah guru dan pensyarah itu dinilai?

Di peringkat sekolah, sebagai contoh, dilihat keperluan untuk meneliti semula peranan nazir sekolah. Sejauh manakah “penaziran” yang dilakukan dapat meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di sekolah?

Begitu juga peranan pentadbir sekolah dalam memastikan pengajaran berlaku seperti yang dirancang, tiada isu besar berkaitan kekurangan guru, guru yang mengajar di luar opsyen dan juga guru yang tidak melaksanakan pengajaran dalam tempoh waktu yang ditetapkan.

Manakala di peringkat pengajian tinggi pula, penelitian harus dibuat terhadap sistem penilaian yang ketika ini bersandarkan kepada maklum balas pelajar semata-mata bagi menilai pensyarah, yang mana kebolehpercayaan penilaian melalui cara ini adalah diragui.

Perlu diadakan kajian mengenai kaedah penilaian yang berkesan bagi meningkatkan prestasi dan kualiti pengajaran dan pembelajaran. Tujuan penilaian pengajaran bukanlah untuk menghukum berdasarkan kelemahan, tetapi lebih kepada mengenal pasti keperluan latihan dan sokongan yang diperlukan bagi memperbaiki kelemahan.

Ketiga adalah mengenai tadbir urus kewangan. Pengurusan kewangan sekolah khasnya, dilihat amat kritikal dan satu sistem lebih telus perlu diwujudkan agar masalah penyelewengan dapat dibendung.

Terdapat aduan penyalahgunaan kuasa dan penyelewangan kewangan di peringkat sekolah yang masih tidak diselesaikan walaupun telah lama dikemukakan laporan dan bukti ke peringkat kementerian. Ketika ini hanya pentadbir sekolah dan guru sahaja yang mengetahui jumlah dana dan perbelanjaan peruntukan tersebut.

Timbul kemusykilan apabila terdapat permintaan perbelanjaan (yang dirasakan perlu dibelanjakan melalui dana peruntukan pentadbiran sekolah) dimohon dari dana PIBG sekolah.

Permintaan dibuat sama ada kerana peruntukan tidak mencukupi atau pun kerana pentadbir mengambil jalan mudah untuk tidak membuat permohonan kepada pihak berkenaan, khasnya berkaitan pembangunan prasarana sekolah.

Pengurusan dana yang berkesan perlu diwujudkan di sekolah seperti dana peruntukan bagi penyelidikan diuruskan di peringkat institusi pengajian tinggi, iaitu melalui sistem perolehan (procurement).

Pemegang taruh perlu diberi maklum mengenai dana yang diperuntukan dan dibelanjakan melalui laporan tahunan sekolah. Sistem audit kewangan sedia ada perlu dinilai dan ditambah baik.

Sistem kewangan sekolah perlu diaudit oleh juruaudit dalaman dan luaran melibatkan pihak Jabatan Pendidikan Negeri atau pihak berkuasa yang dilantik oleh KPM.

Akhir sekali, keperluan kajian semula kuasa pentadbir, khasnya guru besar dan pengetua sekolah yang diberi kuasa sepenuhnya oleh KPM dalam pengurusan sekolah. Pemberian kuasa sepenuhnya tanpa jawatankuasa kepada pentadbir tertinggi sekolah menjadi punca utama penyalahgunaan kuasa yang berlaku di sekolah.

Guru tidak mempunyai daya untuk bersuara dan hanya menjadi pengikut dan bersetuju dengan segala apa yang dicadangkan. Ini disebabkan guru berasa terancam dan takut diambil tindakan atau ditukarkan sekolah hanya kerana tidak bersetuju dengan cadangan yang diberikan oleh ketua mereka.

Budaya “saya yang menurut perintah” perlu dihapuskan dan diterapkan dengan budaya “saya yang menjalankan amanah”.

Sedang kurikulum dibentuk untuk memupuk pelajar berfikiran kritis dan kreatif, guru pula dikekang daripada berfikir dan bersuara.

Begitu juga dengan kuasa menggantung dan membuang pelajar dari sekolah tidak seharusnya terletak sepenuhnya di tangan pengetua. Perlu diwujudkan jawatankuasa khas yang melibatkan wakil sekolah, PIBG, PPD dan JPN untuk mencapai sesuatu keputusan yang lebih adil terhadap tertuduh (pelajar).

Kesimpulannya, perubahan dalam Dasar Pendidikan Negara yang dilaksanakan akan lebih berkesan sekiranya penelitian turut diberikan kepada keberkesanan amalan tadbir urus yang baik di semua peringkat pendidikan – sekolah, Jabatan Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri dan Jabatan di bawah KPM.

Dr Zuwati Hasim ialah timbalan pengarah, Institut Antarabangsa Polisi Awam dan Pengurusan, Universiti Malaya. Free Malaysia Today Bahasa Pandangan Januari 17, 2019