April 6th, 2019

Bezakan diri untuk belajar

Mana-mana pelajar tentunya akan menganggap dan percaya diajar bagaimana untuk belajar adalah sesuatu pemberian atau anugerah yang sangat berharga.

Pengajaran adalah merupakan seni membangunkan rasa ingin tahu pemikiran secara semula jadi. Tetapi pelajaran apa yang paling berharga?



Apa yang berlaku saban tahun kita di dalam bilik darjah hanyalah mendengar, menghafal, menelan dan menghadam  dan kemudian mengulangi kitaran itu. Namun,  adakah anda diajar bagaimana untuk belajar?

Definisi saya mengenai seorang ‘guru atau cikgu’ adalah mereka yang memaklumkan apa yang mereka tahu dan menjelaskan bagaimana mereka mengetahui sesuatu perkara.

Tentu kita akan berasa bertuah jika sepanjang tahun persekolahan dan pengajian yang kita lalui, kita mampu dan dapat mempelajari pelajaran berharga, selok belok ilmu pengetahuan dan kemahiran dari pengajar tradisional mau pun pengajar termoden.

Mereka yang terpelajar tentunya akan berkongsi pandangan dan dengan semangat menyebarkan rasa ingin tahu, beberapa cara bagaimana  untuk belajar boleh dilaksanakan.

Diantaranya adalah:

Apabila membuat pencarian maklumat di internet, tambahkan “pdf” pada istilah pencarian Google.

Kebiasaanya ia akan turut memaparkan dokumen yang sudah di terbitkan, jurnal akademik dan penerbitan yang melampaui pencarian umum lagi relevan dengan keupayaan dan boleh di cetak.

Pencarian maklumat tidak semestinya hanya bergantung kepada Google tapi tapak carian seperti Google Scholar, Google Books, SlideShare, Microsoft Academic, BASE, Wolfram Alpha dan lain-lain lagi.

Tapak carian ini mungkin boleh menjadikan tapak yang menarik untuk anda gunakan bagi mencari maklumat tambahan yang relevan untuk anda gunakan.

Anda juga digalakkan membaca sebanyak mungkin dan dari pelbagai sumber. Anda digalakkan membaca sebanyak mungkin akhbar,  majalah dan ‘blogs’ yang dikongsikan maupun secara atas talian.

Setiap hari saya sendiri membaca dan mendapatkan pengetahuan dan maklumat melalui Utusan Malaysia, Berita Harian, Sinar Harian, New Straits Times, The STAR, The Malay Mail. dan lain-lain akhbar bercetak secara atas talian.

Saya juga turut membaca Financial Times, Wall Street Journal, New York Times dan Press Reader.

Diantara majalah yang saya sering membaca adalah Majalah Pendidik, Dewan Masyarakat dan lain-lain majalah tempatan. Bagi laman blog, Medium dan Flipboard adalah cara yang baik untuk mendapatkan bahan cerita menarik dan juga mengenai penulis tersohor.

Jangan lah kita terkejut jika laporan statistik menunjukkan tahap ‘kemalasan’ kebanyakan dari mereka yang ingin belajar. Kebiasaanya kita hanya akan membaca muka surat depan atau muka surat 1 sahaja, hanya 6% dari pembaca akan meneruskan ke muka surat 2 atau berikutnya dan kurang dari 1% dari pelayar akan meneruskan kemuka surat seterusnya.

Bahkan pada halaman pertama hasil carian, kurang dari 2% pelayar akan meneruskan klik carian melewati lima halaman pertama.

Anda harus membezakan diri anda dari rakan anda dengan menunjukkan rasa ingin tahu yang lebih dan mencari jauh ke dalam bagi  mendapatkan banyak pengetahuan dan perspektif.

Winston Churchill, pernah berkata, “Saya sentiasa bersedia untuk belajar walaupun saya sebenarnya tidak suka di ajar.”

Azizi Ahmad Pendidik Senior Utusan Malaysia Forum 6 April 2019

Kepimpinan yang hebat adalah mengenai pengaruh bukan kuasa

Para pemimpin yang lurus bendul mungkin berfikir bahawa hanya mereka sahaja yang tahu yang segala-galanya.

Mereka mungkin berfikir bahawa mereka mempunyai semua jawapan yang betul, dan bahawa semua orang harus mengikuti apa yang mereka katakan.


Hal ini adalah biasa terutama kepada mereka yang pertama kalinya diberi jawatan atau kedudukan sebagai seorang ketua atau pemimpin.

Jelas sekali, ini adalah pandangan yang salah. Kita boleh melihat dari satu contoh sukan permainan.

Bayangkan salah satu permainan sukan kegemaran anda. Mungkin itu bola sepak, tenis, hoki, atau sesuatu yang lain.
Sekarang fikirkan seorang pemain terbaik sukan yang anda tahu.

Orang itu mungkin pemain terbaik di seluruh dunia.

Beliau mungkin sangat hebat dengan berjuta-juta peminat. Tetapi bolehkah beliau bermain dengan baik atau melakukannya sendiri tanpa sokongan rakan sepasukan?

Realitinya ialah pasukan anda akan tewas di setiap perlawanan jika beliau bertindak sebagai pemain tunggal.

Pasukan anda mungkin yang terbaik, tetapi pasukan yang mempunyai pasukan pemain biasa atau sederhana sentiasa akan mengalahkan pasukan yang mempunyai pemain terbaik jika beliau bermain secara bersendiri.

Kenapa kita fikir ia akan berbeza untuk urusan lain, tentunya tidak.

Pasukan yang berfungsi dengan baik akan sentiasa melakukan yang lebih baik daripada hanya menurut arahan dan perintah  yang ditentukan oleh seorang ‘pengarah’ yang kononya pintar.

Adalah penting bagi para pemimpin untuk mengetahui hal ini. Sesetengah pemimpin berfikir terlalu tinggi terhadap diri mereka sendiri.

Mereka mungkin pintar. Tetapi ia memerlukan lebih banyak daripada hanya kepintaran seseorang untuk membina sebuah organisasi yang luar biasa.

Sebagai pemimpin, adalah penting untuk bersikap rendah diri dan belajar dari rakan kerja anda.

Dengarilah mereka. Dengarkan dengan baik seolah anda dibentuk oleh mereka.

Apabila anda salah atau tersilap, akuilah! Bersikap terbukalah.

Pemimpin sering mengatakan bahawa mereka kesepian apabila berada di atas.

Tetapi sebenarnya tidak jika mereka melakukannya dengan betul.

Menjadi pemimpin yang hebat adalah dengan membina dan mendapatkan  penghormatan bersama dengan pasukan anda.

Ia bukanlah mengenai mengarah dan memberi perintah kerana kedudukan kuasa yang ada pada anda.

Jika anda boleh membina rasa saling menghormati, maka anda boleh mendapatkan dan membawa pengaruh yang bermakna dan berkesan.

Membantu membina kepercayaan dan menghormati pasukan anda adalah sangat penting.

Setiap pemimpin berkemungkinan mengatakan bahawa mereka memang mendengar apa yang rakan sekerja katakana kepada mereka. Tetapi adakah benar?

Apabila menyebut pasal mendengar, kita maksudkan sesuatu yang lebih mendalam daripada hanya mendengar.
Pemimpin perlu benar-benar mendengar dan memahami pekerja mereka.

Mereka juga harus bersedia dibentuk, bersama-sama  dan menerima pandangan dan pendapat tentang apa yang diberitahu oleh rakan sekerja.

Sebagai manusia, kita hanya boleh mampu melihat kira-kira 70% daripada diri kita.

Jika kita mempunyai sesuatu yang agak memalukan tentang diri kita, kita memerlukan cermin atau orang lain untuk memberitahu kita mengenainya.

Perkara yang sama berlaku untuk keperibadian kita. Ada kelemahan dalam keperibadian kita yang tidak dapat kita lihat.

Kami memerlukan orang lain untuk berkongsi memaklumkan mengenai diri kita.

Ia tidak mudah untuk benar-benar mendengar dan menerima pandangan orang lain orang tentang kekurangan pada diri kita.

Tetapi itulah yang kita perlu sedia menerima dan mendengar dengan lebih banyak daripada sebelumnya kerana itu adalah langkah pertama untuk memperbaiki masalah.

Untuk menjadi seorang pemimpin yang hebat, anda memerlukan mentor yang hebat.

Anda memerlukan mereka yang bijak yang telah melalui perjalanan ini dalam kehidupan mereka.

Lebih bijak mentor anda, lebih baik lah anda akan menjadi seorang pemimpin yang hebat.

Alasannya adalah kerana manusia mempunyai keupayaan untuk belajar dari satu sama lain.

Kita tidak perlu membuat kesilapan yang sama seperti yang pernah dilakukan oleh orang lain.

Sebaliknya, biarkan mereka berkongsi dengan anda apa kesilapan itu dan belajar bagaimana untuk mengelakkannya.

Pemimpin besar berdiri di atas bahu gergasi yang datang sebelum mereka.

Terdapat sesuatu tentang peranan pemimpin yang kadang-kadang membuat pemimpin berfikir mereka lebih baik daripada orang lain.

Pertama sekali, itu adalah tidak benar sama sekali. Namun yang kedua, ia adalah resipi kegagalan.

Kebanggaan datang sebelum kejatuhan. Ia memerlukan pasukan yang hebat untuk berjaya dalam sebarang urusan.

Pekerja yang hebat dan bersemangat pastinya tidak mahu bekerja untuk ketua atau pemimpin yang bangga diri.

Pemimpin yang sombong lagi bangga diri akhirnya akan kehilangan pasukan yang baik dan urusan mereka akan jatuh dan gagal serta penuh dengan kekacauan.

Pemimpin besar akan sentiasa merendah diri dan hati. Mereka akan menerima tanggungjawab jika menghadapi kegagalan dan memberikan kredit jika mencapai kejayaan.

Pemimpin hebat menyedari bahawa ia memerlukan pasukan yang hebat untuk berjaya.

Jadi, mereka akan cuba membawa pengaruh yang terbaik dan bukannya menunjuk kuasa.

Dan dengan berbuat demikian, mereka dapat memberikan kesan positif dalam urusan kerja dan dunia mereka.


Azizi Ahmad Malaysia Dateline Rencana 6 April 2019