April 11th, 2019

Pandai tidak semesti bijak

Didalam bidang akademik, seharusnya yang bijak pandai hendaklah membimbing yang kurang pandai, menegur dengan berhemah dan memberi peluang seseorang memperbaiki kekurangan.

Seorang yang dikatakan bijak pandai biasanya mampu menemplak mereka yang mengeluarkan ‘soalan bodoh’.



Bagi yang tidak bijak pandai pula, paling tidak bersedialah dengan sedikit pembacaan awal  dan sebelum mengemukakan soalan dan tidak perlu malu jika mahukan jawapan yang baik.

Namun, senario masa kini, ramai pula bijak pandai dikategorikan sebagai ‘bodoh sombong’, tambahan dengan jawatan, gelaran dan kedudukan yang mereka pegang.

Dalam sebarang perbincangan, pastinya kita akan memperolehi jawapan yang dipersetujui dan juga keputusan yang tidak menyebelahi.

Kita harus bersetuju dengan pendapat bahawasanya kita mempunyai kepercayaan sendiri yang mana tiada siapa boleh menukar fikiran kita dan begitu juga dengan pandangan mereka yang kita tidak boleh sesuka hati meminta mereka bersetuju dengan kita.

Saya percaya ini adalah merupakan salah satu perbezaan diantara seorang yang  bijak dengan seorang yang pandai.

Walaupun seorang pendidik dikatakan bijak (melalui kelulusan, kelayakan dan pengalaman) dan pelajar dikatakan pandai (kebanyakan pelajar saya adalah ‘pelajar terpilih’) ini juga merupakan perbezaan diantara bijak dan pandai, namun ‘kepintaran’ ini akan teruji apabila ianya membawa kita ke tahap pemikiran yang lebih tinggi.

Kita juga sering mendengar, ibubapa memuji bahawa anak-anak mereka adalah pandai tapi tidak ‘bijak’.

Ungkapan bijak biasanya dikaitkan ‘kejayaan’. Jika anda membesar secara ‘bijak’ sayugianya anda berjaya dalam kerjaya dan kehidupan kelak.

Bagi anak-anak yang memang dari kecil sudah merasa kesusahan, contohnya kehilangan tempat bergantung hidup, berada di merata tempat kerana mengikuti ibubapa yang berpindah kerja, terpaksa bekerja membantu mencari pendapatan diawal usia namun masih berjaya melanjutkan pendidikan di institusi terpilih.

Pencapaian pembelajaran beliau tentunya akan sedikit terjejas, dan adakah keadaan beliau sedemikian menyebabkan beliau tidak boleh dikatakan ‘bijak’.

Bolehkah atau tidak sesorang itu menjadi bijak? Jika seseorang itu menghabiskan masa beliau selama 10 tahun mempelajari sesuatu bidang atau mentelaah 100 buah topik buku yang sama dan mengambil program kursus topik yang sama, adakah beliau tidak boleh dikatakan ‘bijak’ atau adakah dengan keadaan demikian beliau adalah bijak?

Anda mungkin pernah berjumpa dengan seseorang yang bertan-tan pengetahuan beliau mengenai sukan tetapi beliau bukan seorang ahli sukan; atau sesorang yang mempelajari bidang agama tetapi tidak mengamalkan doktrin yang dipelajari dalam bidang tersebut. Mereka ini mungkin pintar tetapi tidak bijak.

Kebiasaannya orang pintar cenderung untuk memproses maklumat secara logik sedangkan orang bijak memproses emosi, rohani, dan sisi halus dengan logik.

Mark Twain pernah berkata, "Seseorang yang berjaya menjinakkan seekor lembu jantan adalah mereka yang berjaya mempelajari sesuatu sebanyak enam puluh hingga tujuh puluh kali ganda dari mereka yang tidak."

Kita sering bertemu ramai orang yang pintar dalam kehidupan kita, malangnya mereka melepaskan peluang untuk meletakkan diri mereka dalam situasi di mana mereka akan berkembang pada kadar yang lebih cepat.

Kadang-kadang meletakkan diri kita dalam situasi di mana kita tidak pernah berada sebelumnya memberi kita kuasa dan keupayaan untuk berkembang pada kadar yang kita tidak pernah ada sebelum ini. Ia seolah-olah memberi anda peluang menimba sepuluh tahun pengalaman dalam tempoh enam bulan, yang membawa kepada kebijaksanaan.

Pengalaman adalah satu kelebihan yang hebat. Masalahnya ialah apabila anda mendapat pengalaman itu, anda sudah terlalu tua untuk melakukan apa-apa.

Tidak ada keraguan bahawa sebahagian besar kebijaksanaan datang bersama pengalaman, tetapi salah satu formula yang paling penting untuk memperoleh kebijaksanaan adalah berada bersama dengan orang-orang yang lebih bijak daripada anda; yang anda percaya dan membantu anda dalam memperoleh kebijaksanaan.

Azizi Ahmad Utusan Malaysia Forum 11 April 2018