?

Log in

No account? Create an account

June 11th, 2019

Isu pendidikan memang menjadi perkara utama dalam hati dan jiwa setiap insan terutama mengenai sistem pendidikan.

Yang pasti ramai tokoh tak kira ahli akademik maupun korporat melabelkan bahawa sistem pendidikan kita adalah "teruk dan rosak" dan perlu diperbaiki.

Turut di gembar-gemburkan adalah samada adakah perlu kepada satu aliran untuk satu kaum atau untuk seluruh rakyat Malaysia.

Pendidikan adalah hak asas setiap rakyat Malaysia.

Adalah penting untuk mempunyai pendidikan yang baik yang membolehkan generasi rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum dan agama, untuk memajukan kerjaya mereka dan menyumbang kepada negara.

Mana-mana kerajaan didalam dunia akan berjanji dan sangat komited mengenai pendidikan.

Tiada mana kerajaan didalam dunia yang sanggup menghadapi atau berhadapan dengan kekurangan atau defisit dalam pendidikan.

Adalah menjadi komitmen kerajaan melalui perjanjian hak asasi manusia untuk memastikan pendidikan menjadi keutamaan.

Ia bukan sahaja menjejaskan hak asasi manusia untuk pendidikan, tetapi memberi  akibat yang nyata dan mengerikan untuk pembangunan global, dan generasi kanak-kanak.

Pendidikan tidak seharusnya digunakan untuk tujuan politik, agama atau berasaskan kaum.

Ini termasuk mengkompromikan kualiti dan mutu pendidikan.

Tidak ada gunanya mencanang dan mencantikkan laporan ‘kelulusan’ yang tinggi kerana ia akan mengakibatkan tahap keciciran rendah atau kadar kegagalan sebenar bagi menunjukkan ‘kehebatan’ yang bukan sebenar.

Sungguhpun laporan kenyataan telah dikemukakan tetapi pihak atasan masih tidak mahu menerima kenyataan, tidak berganjak serta tidak memperakui kelemahan yang telah ditunjukkan.

Kita mahu sistem pendidikan yang terbaik  atau sekurang-kurangnya berada seiring dengan  negara-negara Asia yang lain yang lebih pantas meningkat maju.

Tetapi kita masih berdegil dan tidak mahu menerima pandangan dan pendapat semata-mata kerana ingin mengekalkan ‘ego’ masing-masing terutama ingin di kenali sebagai ‘aku yang berkuasa’.

Oleh itu, adalah disarankan untuk mengadakan dua jenis sekolah kebangsaan,  dengan aliran bahasa Inggeris dan aliran Melayu. Mana-mana  keluarga boleh menentukan aliran mana yang mereka mahukan.

Isu bahasa juga dijadikan modal berpolitik.

Kita tidak boleh lari dari kenyataan bahawa tahap pengunaan bahasa Inggeris kita telah merosot dan ia mempengaruhi keupayaan negara ini di pasaran global,  kecuali kita mengakui bahawa bahasa teknologi dan penyelidikan adalah bahasa Inggeris. Kita haruslah berealistik.

Bahasa Melayu masih dan tetap akan menjadi bahasa kebangsaan dan ‘lingua franca’ perkhidmatan kerajaan.

Pelajar-pelajar yang mahir dalam Bahasa Melayu ini boleh mencari lebih banyak peluang pekerjaan di sektor kerajaan di Malaysia manakala pelajar yang mahir berbahasa Inggeris boleh meneroka kerjaya global atau domestik.

Politik tidak harus dijadikan alat untuk mentadbir masa depan generasi muda.

Namun kerana arah politik yang tidak mantap inilah, kebanyakan orang bukan Melayu dan juga orang Melayu yang menyedari betapa pentingnya bahasa Inggeris akan terus menghantar anak-anak mereka ke sekolah bahasa Inggeris di dalam dan di luar negara, manakala orang Melayu dan bukan Melayu yang terbeban dengan masalah  kewangan akan terus menghantar anak-anak mereka ke sekolah kebangsaan.

Sekolah kebangsaan akan terus wujud kerana kemampuannya dan kepada kebanyakan orang Melayu, ia adalah sekolah bahasa "tuan rumah".

Pendidikan adalah segalanya dan  kunci kepada masa depan Malaysia Baru.

Azizi Ahmad Sinar Harian Interaktif 11 Jun 2019

Latest Month

September 2019
S M T W T F S
1234567
891011121314
15161718192021
22232425262728
2930     

Tags

Powered by LiveJournal.com
Designed by Tiffany Chow