February 1st, 2020

Gerascophobia – Takut akan Penuaan

Lapuran Ipsos: Malaysia negara keempat risau meniti usia tua bertarikh 14 Ogos 2019 menjadi perhatian.

Kajian ‘Penuaan di Malaysia’ oleh Ipsos menunjukkan warga Malaysia adalah 10% lebih bimbang terhadap penuaan pada kadar 62:52 pertusan catatan laporan dunia.

Namun, warga India (45 peratus), Amerika Syarikat (48 peratus) dan United Kingdom (50 peratus) tidak begitu bimbang meniti usia tua.

Yang menarik,  kajian itu turut menunjukkan warga Malaysia juga beranggapan bahawa usia 56 tahun sebagai permulaan peringkat hidup tua mereka.

Perkataan Gerascophobia berasal dari bahasa Yunani 'tha geraso' yang bermaksud 'saya sudah tua' dan phobos yang bermaksud ketakutan atau ketakutan yang mendalam.

Kebanyakan dari kita memang bimbang dan takut jika dikatakan ‘sudah tua’. Tiada siapa yang mahu kehilangan keremajaan mereka, menampakkan kedutan dan menghadapi masalah kesihatan lain yang tidak dapat dielakkan seiring usia.

Sejak dari zaman awal manusia, terdapat mitos manusia yag sering menjelajah dan mencari  "pancutan air keremajaan (fountain of youth)" .

Kisah-kisah dan eksploitasi penjelajah Sepanyol dan Amerika untuk mencari  pancutan air ini agak terkenal.
Dalam kes yang serius, pesakit Gerascophobia  mengalami ketakutan dan kembimbangan  berterusan, tidak rasional terhadap penuaan.

Ketakutan ini boleh membawa kepada beberapa akibat termasuk gangguan terhadap kehidupan sosial dan peribadi, kehilangan peluang pekerjaan dan hampir setiap aspek harian yang lain.

Mereka yang terkesan dengan fobia ini menyedari ketakutan itu tidak munasabah tetapi mereka tidak berkuasa menghadapinya..

Bagi manusia normal atau biasa, mungkin kelihatan agak aneh bahawa seseorang boleh takut akan fenomena semula jadi.

Walau bagaimanapun, fobia ketakutan terhadap penuaan sebenarnya cenderung mempunyai akar yang lebih mendalam.

Faktor yang paling umum di sebalik ketakutan adalah kebimbangan.

Secara semula jadi, individu Gerascophobic sangat cemas atau berasa bimbang keterlaluani. Mereka cenderung biasanya mempunyai masalah kesihatan tertentu, yang mungkin atau tidak termasuk ketidakseimbangan hormon, kekurangan adrenal, masalah berkaitan tiroid dan sebagainya.

Di Amerika Syarikat, beratus-ratus ribu orang tua hidup bersendirian. Ketakutan untuk menjadi tua, dan tidak dapat menjaga diri atau sering terjatuh dan tidak dapat bangun atau kegagalan untuk mendapatkan bantuan dan sebagainya boleh menakutkan mereka yang ‘fobik’.

Menjadi seorang tua bermakna persaraan, kematian orang yang terdekat dan yang disayangi.

Bimbang akan kehilangan pasangan, kehilangan pendapatan sara hidup, tidak mampu menyokong diri atau orang tersayang terutama hal kewangan adalah pemikiran yang menyedihkan yang boleh menyebabkan fobia.
Gerascophobia juga boleh dikaitkan dengan pengalaman negatif pertama atau kedua yang berkaitan dengan penuaan.

Seorang ‘fobik’ mungkin telah nampak dan terasa kesukaran yang akan dihadapi selepas menjadi tua.
Kemungkinan,  ibu bapa ‘fobik’ telah mengalami keadaan melemahkan seperti Alzheimer, Parkinson, AMD atau degenerasi berkaitan usia yang lain.

Kemungkinan juga mereka telah dihantar ke rumah kebajikan atau rumah orang-orang tua atau memerlukan bantuan sepenuh masa.

Mencapai usia tua atau penuaan dengan itu boleh diterjemahkan menjadi kebergantungan pada orang lain, kehilangan harga diri dan "lemah". Semua faktor ini sangat memainkan peranan dan memberi kesan kepada ‘fobik’.

Lain orang, lainlah perbezaan reaksi terhadap fobia (ketakutan atau kebimbangan) penuaan.

Ada yang terlalu tersentap dan asyik dengan pemikiran penuaan sehingga ianya  membawa kepada serangan kebimbangan / panik dengan gejala berikut:

• Rasa pening, pengsan
• Terketar-ketar, menggigil
• Berfikir akan kematian,
• Berdebar dan pernafasan yang cepat
• Ketidakupayaan untuk berfikir atau menyatakan diri dengan jelas; rasa terputus dengan realiti
• Merasakan kehilangan kawalan sepenuhnya; sering menjadi pemarah

Sememangnya, secara semulajadi, semua gejala-gejala ini boleh memberi kesan kepada kehidupan seharian dan menyebabkan seseorang menjadi hilang kawalan dan tertekan.

Kebimbangan yang berlebihan juga membawa kepada tekanan yang boleh menyebabkan masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi atau penyakit jantung.

Sayugianya,  fobia ini mempengaruhi kehidupan peribadi dan profesional seseorang.

Memang ada kemungkinan besar untuk mengatasi Gerascophobia iaitu menggunakan kombinasi teknik bantuan diri dan campur tangan perubatan.

Walau bagaimanapun, penawar untuk fobia ini bergantung kepada bagaimana ‘si fobik’ menerima penuaan sebagai sebahagian hidup semulajadi.

Beberapa terapi yang disyorkan untuk mengatasi kebimbangan dan ketakutan terhadap penuaan termasuklah:

Terapi pendedahan. 

Ini berkait rapat dengan terapi perilaku kognitif (CBT, cognitive behaviour therapy). Ia termasuk 5 langkah terapi iaitu Penilaian, Maklumbalas, Membangunkan hirarki ketakutan, Pendedahan dan Membina atas langkah rasionalisasi.

Ahli terapi CBT atau Terapi pendedahan membantu pesakit memikirkan semula fikiran dan tanggapan tentang menjadi tua untuk mengawal mereka dengan lebih baik.

Pendedahan juga mungkin termasuk, dalam pelbagai peringkat, rangsangan yang melibatkan melihat gambar atau video mengenai usia tua dan kemudian menggunakan teknik pemulihan untuk mengatasi Gerascophobia sekali gus.

Psikologi Tenaga atau Teknik Kebebasan Emosi

Ini adalah satu bentuk terapi akupunktur tanpa jarum. Ia membantu menyelesaikan fobia sehingga keakar umbi mengeluarkan kesatuan negatif penuaan.

Hipnoterapi dan Psikoterapi adalah dua teknik lain untuk mengatasi dan menghapuskan Gerascophobia.

Keluarga tersayang ‘si fobik’ juga harus menyokong individu terbabit sepenuhnya. Teknik bantuan diri seperti berdoa dan berzikir, meditasi, visualisasi positif  dan yoga bersama dengan ubat-ubatan moden juga dapat membantu mengatasi rasa takut pada tahap yang besar.

Banyak teknik dan remedi moden adalah  mirip mitos ‘pancur air keremajaan’; ia terbukti dapat mengekalkan kecantikan dan kesihatan seseorang. Oleh itu, adalah penting untuk menerima penuaan sebagai proses semulajadi dan mempertimbangkan kehidupan sebagai hadiah.

Dengan bersedia menerima penuaan sebagai cara hidup semulajadi,  hidup untuk orang lain dan mencari kecenderungan  dalam membaca buku, melibatkan diri dalam aktiviti drama, seni dan sebagainya; kita akan melihat hal-hal dengan cara yang positif dan mengatasi ketakutan menjadi tua.

Azizi Ahmad Dewan Kosmik  Psikologi Bil/2/2020  Feb 2020