March 1st, 2020

Berfikir sendiri lebih baik dari Sumbang Saran

Dalam kelas atau kuliah yang diadakan di institusi pendidikan, pensyarah atau pendidik biasanya meminta para pelajar untuk berkumpul, membentuk satu kumpulan dan mula membincangkan mengenai idea pemikiran dan penyelesaian apa yang akan dihasilkan. Ia biasanya dipanggil 'sesi sumbang saran atau brainstorming'.

Ia juga merupakan sebahagian daripada pendekatan strategi pengajaran dan pembelajaran untuk memastikan kelas berjalan mengikut tempoh masa.


Ini disokong oleh sebuah buku berpengaruh yang tulis oleh Alex Osborne, lebih setengah abad yang lalu dikenali sebagai "Imagination Applied" di mana beliau berpendapat bahawa "orang biasa boleh memikirkan dua kali lebih banyak idea apabila bekerja dengan satu kumpulan daripada ketika bekerja bersendirian."

Tetapi sayangnya para saintis penyelidik mendapati bahawa, kaedah cara tersebut tidak berfungsi.

Sungguh pun kumpulan sumbang saran (brainstorming) berkembang popular dan masih digunakan secara meluas hingga ke hari ini, kebanyakan sekolah perniagaan hampir memegang pendapat bertentangan dengan apa yang diterima umum (heretikal) dan berpendapat bahawa pasukan sumbang saran bukanlah lebih kreatif daripada individu.

Puluhan kajian makmal cuba mengesahkan tuntutan Osborne, tetapi mendapati yang sebaliknya: kumpulan sumbang saran didapati menghasilkan kurang idea, dan gagasan kurang halus dan teliti, daripada jumlah idea yang dihasilkan oleh sejumlah individu yang bekerja sendiri.

Ternyata idea yang lebih menarik sering diperolehi dan berasal dari pemikiran solo.

Kajian oleh Profesor Diehl, Pauhus dan lain-lain mendapati bahawa orang persendirian akan menahan idea-idea mereka yang paling kreatif dalam sesi kumpulan sumbang saran kerana takut diadili secara negatif oleh orang lain.

Apabila sebuah kumpulan diberitahu bahawa idea-idea mereka akan dihakimi oleh rakan-rakan mereka, mereka akan secara automatik menghalang dan menghasilkan idea-idea baru yang kurang bernas dan tidak akan bersedia menghasilkan yang baik berbanding bersama kumpulan tetapi akan menghasilkan yang baik jika dihakimi atau diberitahu badan bebas yang akan menghakimi pandangan mereka.

Kenyataan yang biasa juga kedengaran adalah ‘kalau aku bagi idea yang baik pun bukan aku yang akan mendapat penghargaan atau pengiktirafan.’

Isaac Asimov dari Universiti Boston juga menyatakan pandangan dan perasaan beliau , “jika bercakap mengenai menghasilkan kreativiti, maka pengasingan diri adalah menjadi keperluan …”

Kehadiran orang lain hanya akan boleh menghalang proses ini, kerana sesuatu penciptaan adalah agak memalukan.

Untuk setiap idea pemikiran bagus yang anda ada, terdapat seratus dan sepuluh ribu orang yang bodoh, yang secara semulajadinya, anda tidak peduli untuk tunjukkan atau pamerkan.

Satu lagi perkara biasa berlaku ialah apabila setiap orang bergilir menyuarakan idea mereka; orang yang memberi pandangan yang terakhir boleh melupakan idea mereka sendiri sebelum mempunyai peluang untuk menyuarakannya.

Lebih buruk lagi, apabila proses berhadapan dengan idea orang lain, ia turut mengalihkan pemikiran pemikir, pada dasarnya merampas proses penjanaan idea mereka sendiri.

Apabila dikehendaki menunggu giliran untuk memberi idea, ia telah menyebabkan seseorang itu menyerahkan idea-idea yang jauh lebih sedikit, dan bahkan lebih sedikit idea jika mereka telah mendengar sumbangan orang lain.

Jika anda membiarkan seseorang bekerja bersendirian untuk menghasilkan idea dan kemudianya membiarkan kumpulan memilih idea terbaik untuk diteruskan, mereka akan membuat keputusan yang mengurangkan kebaharuan (novelty).

Seringkali dilihat apabila kumpulan secara interaktif mencambahkan idea "terbaik" mereka, mereka memilih idea-idea yang kurang asli dan lebih sesuai daripada purata idea yang dihasilkan.

Orang akan cenderung dan memberi pemberatan lebih tinggi kepada "boleh dilaksanakan" daripada "asal".

Sekiranya sekumpulan sumbang saran diminta untuk menghasilkan idea-idea baru, meminta kumpulan tersebut untuk memilih dan menyerahkan idea terbaik mereka bukanlah cara untuk mencapai hasil tersebut.

Menghabiskan masa secara persendirian untuk berfikir sendiri adalah baik untuk kreativiti; kerana ia memberi seseorang masa untuk berfikir dan mengejar perkara-perkara yang mereka dapati menarik secara intrinsik.

Ini dapat membantu mereka mengembangkan kepercayaan mereka tentang bagaimana dunia berfungsi, dan mengembangkan konsep diri yang kurang terstruktur oleh pendapat orang lain.

Juga lazimnya dilihat ialah para inovator telah menghabiskan masa yang penting sahaja, mengejar kepentingan mereka sendiri.

Kebanyakkan ‘inovator’ juga adalah mereka yang belajar dengan sendiri (autodidacts)’; jauh lebih suka mempelajari dan mengajar diri sendiri subjek daripada perkara yang diajar di sekolah.

Ini membantu mereka untuk menjadi pemikir bebas yang mencabar sebarang tanggapan.

Malah, Albert Einstein juga sangat vokal tentang keperluan bersendirian dalam kreativiti, dengan berkata, "Perkara yang sangat berharga dalam kehidupan manusia bukanlah dalam bentuk politik kendiri, tetapi individu yang kreatif, berpengalaman, berperwatakan; beliau sendiri akan mencipta sesuatu yang mulia dan menakjuban, sementara kawanan itu tetap akan membosankan dalam pemikiran dan membosankan dalam perasaan. "

Apabila ketua-ketua jabatan menghendaki para pekerja untuk membuat penemuan, mereka perlu memberi kakitangan mereka masa yang agak lama untuk memikirkan idea-idea gila mereka dan bersama mengikuti jejak mereka ke kawasan yang tidak diketahui.

Mereka harus didesak untuk membuat idea-idea secara bebas, tanpa rasa takut akan penghakiman maupun diperlekehkan.

Mereka harus digalakkan untuk memberikan idea mereka di atas kertas, dan mencernakan pandangan masing-masing sebelum mendedahkan mereka kepada orang lain.

Idea kreatif boleh menjadi rapuh dan mudah diselewengkan atau disapu oleh momentum perbualan kumpulan.

Hampir setiap pasukan atau kumpulan menderita dari beberapa peringkat pemikiran kumpulan; individu yang lebih lantang atau mempunyai keperibadian yang kuat boleh menguasai perbualan dan membuat keputusan.

Mereka boleh menarik pasukan ke arah trajektori tertentu tanpa perlu berbuat demikian, atau lebih buruk lagi mereka boleh membawa semua orang kepada kompromi yang biasa-biasa saja.

Pengasingan dan bersendirian boleh memberi individu lain peluang yang lebih baik untuk mengembangkan idea-idea terobosan mereka.


Azizi Ahmad Dewan Kosmik Sains Pendidikan Bil 3/2020 1 Mac 2020