June 20th, 2020

Pilih ‘pak turut’ naik pangkat sekat potensi pekerja

Mungkin ramai tidak perasan akan sebuah buku yang ditulis dan diterbitkan pada tahun 1969 berjudul "Prinsip Peter atau ‘The Peter Principle’”. Ia ditulis oleh Raymond Hull, berdasarkan kajian Dr Laurence J. Peter.


Dr. Peter mendapati bahawa "pekerja diberikan kenaikan pangkat atau jawatan berdasarkan kejayaan mereka dalam pekerjaan terdahulu, sehingga mereka mencapai tahap di mana mereka tidak lagi kompeten, kerana kemahiran dalam satu pekerjaan tidak semestinya diterjemahkan kepada  yang lain."

Diberi masa dan kedudukan yang cukup, "Setiap jawatan cenderung di isi oleh seorang pekerja yang tidak kompeten untuk menjalankan tugasnya."

Oleh itu, anda mempunyai sejumlah besar pengurus atau pentadbir yang tidak cekap menerajui kedudukan di atas.

Kita tentunya mendapati perkara ini adalah benar terutamanya apabila pengurus  atau pentadbir mula menerajui tempat kerja kita (terutamanya yang bukan dari berasal dari tempat kita).

Kebanyakan pengurus sumber manusia (korporat) cenderung menitik beratkan kurikulum vitae (Curriculum Vitae) seseorang dan pencapaian masa lalu ketika mengambil mereka untuk menerajui pentadbiran.

Secara peribadi terlalu sedikit pertimbangan dimasukkan ke dalam pemikiran tentang bagaimana orang tersebut akan melaksanakan tugas pada masa akan datang, terutamanya jika mereka menukar industri atau peranan.

Pada peringkat kedua, kita tidak pasti jika setiap jawatan akan dikendalikan oleh pentadbir yang tidak cekap, tetapi tentunya ramai  pengurus tadbir menyedari bahawa mereka telah mencapai tahap puncak atau keselesaan mereka, mereka kemudian mula memberi tumpuan kepada bermain politik dan bukannya memberi keputusan untuk memegang jawatan mereka.

Pengurus  tadbir jenis ini akan turut mengambil orang yang kurang mampu daripada mereka, kerana mereka tahu ‘yang kurang mampu’ tidak akan boleh melawan kehendak mereka atau lebih senang mengambil ‘pak turut’ sebagai ahli pentadbir.

Fenomena jelas sehingga kini adalah seseorang itu di naikkan pangkat kerana sebagai galakkan dari pihak pengurusan yang mahu menunjukkan kepada semua kakitangan bahawa ianya adalah sebahagian dari ganjaran berterusan.

Oleh itu, seseorang dinaikkan pangkat kerana kekal lama dan setia atau tahap pengurusan diperluas sehingga orang dapat dipromosikan walau tidak ada kenaikan gaji. Hanya gelaran sahaja berbunyi hebat.

Satu lagi teori menarik mengenai kenaikan pangkat adalah dengan  menganggap bekerja keras dan meningkatkan kemahiran anda tidak berkesan berdasarkan sesuatu yang disebut promosi tarikan.
Mereka yang dinaikkan pangkat  lebih pantas daripada biasa adalah  apabila mentor atau pelindung anda memberi peluang kepada anda.

Tidak hairanlah terdapat banyak ‘budaya membodek’ di dunia pentadbiran korporat.

"Pemimpin (sering) dinilai oleh bos mereka sendiri, yang menjelaskan mengapa pemimpin begitu sibuk menguruskannya ketika kepemimpinan yang baik adalah mengenai mengurus."

Mereka yang tidak cekap atau kompeten hanya perlu mengikut ‘kata’ dan menurut sahaja apa yang ‘bos’ katakan.

Menariknya, Dr. Peter juga mendapati bahawa mereka yang "sangat kompeten" cenderung "mengganggu hierarki."

Dalam kata lain jangan menjadikan dan membuat bos kelihatan buruk dengan menjadi lebih berkemampuan.

Ini adalah bagi mengelak anda mungkin sengaja ditindas atau ditindas cepat atau lambat atas alasan bodoh atau sengaja dipersalahkan.

Untuk mengelakkan ini, anda dinasihatkan untuk berlakon ‘tidak cekap atau kreatif’ , berpura-pura tidak kompeten tetapi melakukannya di kawasan atau cara yang sebenarnya tidak mengganggu kerja anda.

Mereka yang bersemangat, rajin, fokus untuk mendapatkan hasil jangka pendek, dan membuat rakan sekerjanya dipertanggungjawabkan ; sebenarnya membunuh karier diri.

Sehebat mana idea anda mungkin kelihatan , anda tetap tidak relevan – (Brendan Reid).

Semua orang suka mempunyai orang yang menyenangkan dan disanjungi di sekitar mereka.

Di mana tempat kerja sekali pun, tidak ada yang suka dibuat bekerja lebih keras. Semua orang hanyalah pekerja, kadang-kadang hingga ke CEO. Oleh itu, eksekutif yang tegas dan berprestasi menggegarkan kehidupan semua orang yang selesa.

Oleh itu, jika anda seorang individu yang sangat kompeten dan agresif, lebih baik anda mendapat pekerjaan sebagai usahawan, atau bekerja di institusi yang menghargai usaha anda.

Institusi yang stabil menggemari individu yang memainkan permainan populariti dengan baik. Pentadbir lebih suka orang bawahan yang tidak mengancam dan popular.

Seperti perang dan politik, jawapannya terletak pada sifat dan sikap manusia.

Kecekapan dan hasilnya akan selalu dipengaruhi oleh perasaan dan peribadi ketika musim penilaian prestasi.

Ketahui diri anda dan di mana anda akan berkembang maju. Cari pekerjaan yang berorientasikan hasil jika anda sangat terbuka dan berpandangan tinggi.

Tidak ada gunanya hidup dalam kekecewaan dan memandang rendah pada orang lain.

Azizi Ahmad Berita Harian Minda Pembaca 20 Jun 2020