July 21st, 2021

Awas, kuat sembang bukannya pintar

KITA sering ketemu seseorang yang ringan mulut dan dilihat mampu menguasai perbincangan seolah-olah beliau seorang yang pintar, atau mungkin juga paling cekap.

Menurut Margaret Neale, Profesor Pengurusan Cemerlang Adams, Emerita, di Stanford Graduate School of Business, orang yang terlalu yakin sentiasa percaya bahawa mereka lebih baik daripada orang lain.



Photo by mentatdgt on Pexels

Namun kajian mendapati orang itu tidak semestinya hebat, bahkan orang yang dilihat kurang kompeten boleh menandingi individu tersebut.

Mereka yang mempunyai tahap keyakinan peringkat tinggi selalunya berasal dari kelas sosial yang lebih tinggi.

Kita sebenarnya perlu mengetahui secara lebih arif tentang keyakinan, hanya kerana seseorang boleh bercakap dengan tegas, atau cara yang sangat yakin, tidak bermaksud bahawa orang itu pintar. (Peter Belmi, Universiti Virginia)

Berikutan kecenderungan kita yang dipengaruhi oleh sikap percaya dan yakin diri yang terang-terangan, kita mungkin memperkuat hierarki sosial yang sudah tidak adil.

Menurut penyelidik, apabila seseorang yang terlalu yakin (dari latar belakang kelas atasan) memasuki temu duga pekerjaan atau bersaing untuk memegang jawatan kepemimpinan, mereka sering mempunyai kelebihan.

Kita gagal melihat kepada keberanian, anugerah bakat dan kemahiran yang lebih besar daripada apa yang mereka miliki.

Sejumlah kajian menunjukkan mereka yang berkemahiran dan kepakaran secara ironisnya lebih tentatif , mereka juga tidak pasti dengan bidang kepakaran mereka kerana mereka tahu begitu banyak.

Anehnya, mereka yang bukan ahli atau pakar, bagaimanapun, sering menunjukkan keyakinan dan kepercayaan yang lebih tinggi berbanding kemahiran mereka yang sebenar.

Sementara itu, kebanyakan pakar sumber manusia mendapati bahawa pemimpin yang bersikap terlalu tegas dan bertindak bersendirian secara bebas biasanya mengorbankan prestasi organisasi dan masyarakat secara umum.

Azizi Ahmad Bebas News Minda Bebas Columnist 21 Julai 2021