kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Nomofobia semakin merebak dalam masyarakat

BARU-BARU ini, beberapa penyelidik memberi amaran gejala nomofobia iaitu perasaan takut, gelisah atau kalut yang berlaku pada seseorang tanpa telefon bimbit semakin mempengaruhi semua orang.

Anda tahu perasaannya apabila menyedari tertinggal telefon bimbit di rumah? Perasaan cukup cemas, seolah-olah anda telah kehilangan hubungan dengan dunia.

Minggu lalu, penyelidik dari City University of Hong Kong, Dr. Kim Ki Joon memberi amaran bahawa nomofobia menjangkiti semua orang, tidak kira remaja atau orang dewasa.

Kajian mereka mendapati individu yang menggunakan telefon bimbit untuk menyimpan, berkongsi dan mengakses kenangan peribadi paling menderita.

Ketika pengguna diminta untuk menjelaskan bagaimana perasaan mereka, rata-rata mengakui mengalami rasa cemas dan tidak senang hati ketika terpisah daripada telefon bimbit.

Menurut Ki Joon, berdasarkan kajian pasukan penyelidik beliau, pengguna menganggap telefon pintar sebagai sebahagian daripada diri mereka sendiri dan terlalu ‘melekat’ serta terkesan jika gajet itu tiada di sisi.

“Manusia akan mengalami perasaan gelisah dan tidak senang ketika terpisah daripada telefon mereka,” jelasnya.

Sementara itu, satu kajian lain di Amerika Syarikat mendapati pemisahan diri daripada telefon bimbit boleh menyebabkan peningkatan kadar degupan jantung dan tekanan darah.

Kajian itu menimbulkan satu persoalan, apakah faktor penyebab yang membuatkan seseorang itu bimbang dan gelisah apabila tiada telefon bimbit di sisi?

Ahli psikologi bertauliah dan Pengarah Unit Penyelidikan Permainan Antarabangsa di Nottingham Trent University, Britain, Profesor Mark Gri­ffiths menyatakan, perasaan takut kehilangan berpunca daripada apa yang terkandung dalam telefon bimbit seperti rangkaian media sosial.

Menurut beliau, pengguna sekarang tidak menggunakan telefon bimbit semata-mata untuk bercakap dengan individu lain sebaliknya menjadikannya sebagai gajet bagi pelbagai kegunaan lain termasuk berhubung menerusi internet.

“Untuk mengawal nomofobia, anda harus bersikap serius bagi melatih seseorang itu sejak usia remaja untuk berpisah daripada telefon bimbit bagi mengelak seluruh hidup mereka terikat dengan peranti ini.

“Sekiranya remaja tidak dapat melihat apa yang berlaku dalam WhatsApp, Snapchat atau Instagram, mereka menjadi panik kerana tidak mengetahui apa yang berlaku secara sosial.

“Tetapi jika pemisahan ini boleh dilakukan dalam tempoh panjang seperti membawa remaja menyertai percutian yang tiada liputan telefon dan internet, mereka akan dapat menyesuaikan diri dengan sangat cepat,” kata Gri­ffiths.

Beliau juga berpegang kepada teori keterikatan, di mana seseorang itu bergantung emosi pada telefon bimbit kerana ia menyimpan perincian kehidupan kita termasuk gambar dan video.

Oleh itu, antara langkah bagi mengurangkan gejala nomofobia adalah dengan sengaja memisahkan telefon bimbit seperti mematikan atau membiarkannya di rumah.

AZIZI AHMAD, Segambut Luar, Kuala Lumpur.

Azizi Ahmad Utusan Malaysia Forum 14 September 2021

Tags: fobia, nomofobia, nomophobia, phobia, writings
Subscribe

Posts from This Journal “nomofobia” Tag

  • Nomofobia Dan Fomo

    Minggu lalu , beberapa penyelidik teknologi telah memberi amaran bahawa nomofobia (fobia tanpa telefon pintar anda) mempengaruhi semua orang Anda…

  • Nomofobia mempengaruhi remaja dan dewasa masa kini

    Minggu lalu , beberapa penyelidik teknologi telah memberi amaran bahawa nomophobia ( fobia tanpa telefon pintar anda ) mempengaruhi semua orang…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments