kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Ujian lebih fleksibel sesuai di sekolah rendah

 PENGUMUMAN kerajaan untuk mengekalkan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan memansuhkan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada 2016 dilihat tepat dan sesuai dengan reformasi pendidikan semasa. Perubahan itu sejajar dengan tuntutan masyarakat yang tidak mahu sistem persekolahan terlalu menekankan peperiksaan.

Menurut Menteri Pelajaran, UPSR akan berubah bentuk dan format, antaranya mengurangkan komposisi subjek teras kepada 60 peratus dan menambah pemberat komponen kokurikulum serta subjek yang dianggap penting seperti sivik kepada 40 peratus dalam pentaksiran keseluruhan.

Untuk transformasi PMR kepada format baru pula, Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) akan memberi penekanan kepada aspek integriti pentaksiran supaya tiada sekolah yang cenderung untuk bersikap berat sebelah dalam pemberian markah kepada pelajar di sekolah masing-masing.

Ujian yang terlalu berorientasikan peperiksaan barangkali tidak lagi sesuai pada era pendidikan kini. Justeru, cadangan Kementerian Pelajaran untuk memansuhkan UPSR dan PMR dilihat boleh menyediakan pendidikan yang lebih holistik kepada pelajar.

Oleh kerana terlalu menjurus kepada peperiksaan, UPSR dan PMR tidak begitu jelas matlamatnya untuk menuntut ilmu secara kreatif dan interaktif secara terarah. Begitu juga dengan fokus utama guru dan pelajar lebih tertumpu kepada keputusan cemerlang pada peperiksaan awam dan mereka turut dibebani dengan peperiksaan penilaian di peringkat sekolah.

Pengumuman Tan Sri Muhyiddin Yassin ini adalah sejajar dengan kenyataan yang telah dibuat oleh, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom pada akhir tahun lalu bahawa pihak Kementerian Pelajaran mungkin akan melaksanakan sistem penilaian baru bagi murid sekolah rendah bagi menggantikan UPSR.

Dengan hanya kira-kira 60 peratus markah diambil dari ujian bertulis, maka gabungan penilaian termasuk psikometrik (kecenderungan dan sikap), sivik dan kokurikulum, kita yakin pengenalan sistem baru tersebut akan mampu memperkasakan pendidikan dengan tujuan memartabatkannya sebagai wadah membentuk insan berpengetahuan dan berakhlak.

Ia juga lebih relevan dengan hasrat negara iaitu untuk melahirkan generasi modal insan, yang bukan saja mampu melahirkan murid berketerampilan dan berilmu pengetahuan, tetapi turut memiliki sahsiah tinggi, berakhlak mulia, kreatif, berani melakukan perubahan dan menghadapi cabaran.

Buat masa ini, penilaian berasaskan sekolah tidak menyeluruh dan hanya meliputi beberapa ujian sampingan seperti Ujian Perkara Asas Fardu Ain (Pafa), Penilaian Kerja Amali (Peka) serta Ujian Lisan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Dengan pendekatan ini nanti, peluang para pelajar untuk menjana kecemerlangan akan lebih terbuka dan tidak terhad kepada kategori murid cemerlang akademik semata-mata tetapi turut merangkumi bidang kemahiran lain termasuk kokurikulum.

Seluruh warga pendidik menyambut baik langkah bijak ini yang telah dilakukan atas kehendak awam dan sejajar pula dengan pelaksanaan Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK).

Umum mengetahui bahawa sejak sekian lama, pendidikan yang berorientasikan peperiksaan telah sebati dalam jiwa pelajar dan minda guru. Untuk melahirkan generasi ulul albab, kecemerlangan berasaskan catatan gred pada slip peperiksaan sudah tidak relevan lagi.

Melalui lima pentaksiran yang akan dibuat oleh pihak sekolah iaitu pentaksiran sekolah, pentaksiran pusat, peperiksaan pusat, pentaksiran aktiviti jasmani dan kokurikulum serta ujian psikometrik, sudah tentu penglibatan murid dalam P&P akan lebih maksimum kerana ia menjadi salah satu penilaian bagi menentukan pencapaian keseluruhan peperiksaan.

Sebenarnya, slip keputusan peperiksaan yang diperoleh oleh seseorang pelajar tidak menggambarkan kecerdikan dan kreativiti mereka yang sebenarnya.

Ini kerana perolehan markah hanya datang dari proses pembelajaran mekanikal yang banyak menjurus kepada kekuatan mengingati fakta dan data semata-mata.

Melalui pendekatan baru ujian ini, kita melihat penglibatan para guru menjadi lebih besar kerana bakal melaksanakan pentaksiran di peringkat sekolah bagi mewujudkan skala keperluan dan pembangunan individu yang mempunyai kemahiran berfikiran kreatif dan intelektual meliputi bidang akademik, kokurikulum, kepimpinan, sahsiah dan kecenderungan untuk dinilai bersama-sama peperiksaan utama.

Biarpun natijah yang diperoleh melalui sistem sekarang mampu mengubah tahap pencapaian pendidikan negara, kesannya kepada yang tidak 'mampu' untuk sampai ke aras yang dikehendaki agak terbatas.

Yang bijak akan terus dibestarikan, sebaliknya yang lemah agak terhad peluang mereka, sedangkan keadilan menuntut ilmu wajar diberi tanpa tempoh masa dan situasi. Dengan hakikat bahawa setiap individu dilahirkan dengan kemampuan berbeza, maka pendekatan dan metod penilaian juga sudah sewajarnya perlu memenuhi keperluan setiap pelajar.

Dengan beberapa penaksiran lain yang akan dibuat seperti aktiviti jasmani, kokurikulum dan ujian psikometrik, kita percaya reformasi peperiksaan menjelang 2016 ini bakal menyaksikan satu lagi era kemapanan dan kemantapan sistem pendidikan ke arah yang lebih fleksibel dan bersesuaian dengan senario hidup semasa.


WAN MARZUKI WAN RAMLI
Pasir Mas, Kelantan



Sumber : Utusan Rencana Okt 11, 2010
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments