Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata ini penting kerana MRSM bukan sekadar komited melahirkan generasi muda berilmu, tetapi pada masa sama kaya nilai dan akhlak.
“MRSM selama ini berusaha memartabatkan ilmu dalam kalangan generasi muda dan ia menjadi keutamaan kerajaan. Saya ingin mengingatkan kepada pelajar supaya tidak berputus asa dan terus menimba ilmu.
“Janganlah pula sombong apabila berjaya sebaliknya sebarkan ilmu yang diperoleh kerana ilmu itu perlu dikongsi dengan orang lain,” katanya ketika berucap meraikan pelajar cemerlang MRSM pada Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010 di sini, semalam.
Seramai 30 pelajar MRSM dari seluruh negara diraikan pada majlis berkenaan, manakala empat pelajar turut menerima Anugerah Al-Huffaz Program Ulul Albab.
Mohd Shafie turut mengingatkan ibu bapa agar tidak mengabaikan tanggungjawab dan amanah mendidik serta membimbing anak.
Sementara itu, Ketua Pengarah MARA, Ibrahim Ahmad, berkata institusi itu mewujudkan tiga program khas dalam sistem pendidikan agensi itu yang menumpukan aspek pendidikan pintar cerdas dengan pendekatan pembelajaran menerusi penemuan dan penyelidikan, integrasi ilmu sains dan tahfiz melalui Program Ulul Albab.
Ia turut memberi ruang kepada pelajar yang mengambil peperiksaan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) supaya dapat mengikuti program di universiti di luar negara lebih awal lagi.
“MRSM memberi penekanan kepada Sains dan Matematik, tetapi kita turut mewujudkan program Ulul Albab kerana ingin melahirkan insan yang seimbang.
“Kita turut membuka satu MRSM berkonsepkan antarabangsa di Pekan untuk memberi peluang kepada pelajar menduduki SPM dan International Certificate of Cambridge. Tiga lagi MRSM di Parit, Johor Bharu dan Sandakan akan dibuka untuk tujuan sama,” katanya.
Sumber: Berita Harian Nasional 2011/04/30