kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Silibus Sejarah tentang Alam Melayu disemak

KUALA LUMPUR 9 Sept. - Sukatan pelajaran subjek Sejarah akan disemak bagi memastikan tidak ada fakta berkaitan Alam Melayu yang tertinggal atau tidak lengkap agar selaras dengan hasil kajian tokoh intelektual, Prof. Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam buku terbarunya Historical Fact and Fiction.

Sehubungan itu Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kajian mengenai perkara itu perlu dilakukan dengan mendalam oleh ahli-ahli sejarah.

Bagaimanapun menurutnya, dalam soal ini bukan bermakna sejarah diputar-belit seperti dalam isu Bukit Kepong, sebaliknya ia lebih kepada mencari kebenaran bagi sesuatu perkara yang tidak ditulis dengan baik.

"Lepas itu macam mana nak sebarkannya, nak jadikan silibus sekolah menengah atau universiti ke kita akan fikirkan, soalnya sekarang kita nak kaji dulu 'what is the real' sejarah," katanya pada majlis pelancaran buku itu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kampus Antarabangsa di sini, hari ini.



Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah mendengar penerangan Syed Muhammad Naquib Al-Attas (kiri) mengenai buku tulisannya sambil diperhatikan oleh Zaini Ujang (dua dari kiri) dan Mohamed Khaled Nordin pada majlis pelancaran buku Historical Fact and Fiction di Kampus Antarabangsa UTM, Jalan Semarak, Kuala Lumpur, semalam.
Isteri Sultan Johor yang juga Canselor UTM, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah berkenan menyempurnakan pelancaran buku itu.

Syed Naquib di dalam buku itu menimbulkan beberapa persoalan kemungkinan beberapa sejarah penting tidak dicatitkan sebelum zaman kesultanan Melaka dan beberapa fakta juga adalah berat sebelah.

Penulis juga mendedahkan kesilapan dan kekeliruan dalam menentukan tarikh-tarikh peristiwa bersejarah yang tidak didasarkan kepada bukti sah dan kukuh serta andaian tidak sewajarnya mengenai kesan-kesan agama dan budaya dalam sejarah masyarakat rantau ini melalui proses Islamisasi.

Menurut Mohamed Khaled, hal itu mungkin berlaku kerana sejarah diambil daripada penulisan Barat.

"Selama ini kita lihat sejarah Islam di sini bermula pada zaman Kesultanan Melaka dan kita terima itu sebagai hakikat. Tetapi buku itu telah membangkitkan beberapa persoalan bahawa ada perkara lain yang tidak dicatatkan berlaku. Penulisan Barat mengenai sejarah kedatangan Islam bermula semasa Portugis datang ke sini," katanya.

Namun, beliau memaklumkan bahawa buku itu tidak akan digunakan bagi menggantikan buku teks sedia ada di peringkat sekolah, sebaliknya akan dijadikan rujukan bagi kajian yang lebih mendalam.

Sementara itu, Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Dr. Ir. Zaini Ujang berkata, buku terbitan UTM Press itu memberi interpretasi baru kepada sejarah Alam Melayu.

Beliau mengambil contoh satu fakta di dalam buku itu yang menyatakan bahawa nama 'Melaka' adalah diambil daripada perkataan Arab yang membawa maksud 'pelabuhan' berbanding sejarah awal bahawa ia datangnya daripada pokok melaka.

Sumber Utusan Malaysia Dalam Negeri 10/09/2011
Tags: education, history, sejarah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments