kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Sikap British lahirkan banyak kongsi gelap Melayu

TERBIT dewasa ini ialah buku-buku yang menceritakan hal-hal yang berlaku semasa penjajahan British dahulu, iaitu yang tidak diketahui umum. Antaranya ialah Malay Secret Societies in the Northern Malay States, 1821 - 1940, terbitan Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society (MBRAS).

Ia adalah terjemahan buku berjudul Kongsi Gelap Melayu di Negeri Utara Pantai Barat Semenanjung Tanah Melayu, 1821 hingga 1940-an, monograf MBRAS oleh Mahani Musa.

Seperti dicatat dalam kata-kata pendahuluannya buku tersebut menumpukan kajian kepada yang dipanggil Jumaat Bendera Merah dan Bendera Putih.

Lalu dijelaskan betapa di Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Perlis perkataan “jumaah” lebih kerap digunakan daripada perkataan “kongsi gelap” (secret society).

Juga disebut bahawa ada kalanya perkataan “pakatan gelap, pakatan haram” dan “persekutuan haram” digunakan juga.

Perkataan “Melayu-Islam” pula meliputi orang-orang Melayu di Semenanjung atau dari Indonesia, India Islam dan orang Arab serta peranakan Islam.

Juga dicatat pada peringkat permulaan bahawa kegiatan-kegiatan jumaah itu tidak begitu menyusahkan kerajaan. Namun, ia diawasi oleh pihak polis. Kegiatan kongsi-kongsi gelap itu tidak dianggap sebahagian daripada budaya Melayu.

Pada pertengahan abad ke-20 pula ilmu kebal dan kongsi gelap telah digunakan oleh orang Melayu untuk pertahanan diri.

Di Negeri Perak, selain dari Bendera Putih dan Bendera Merah, terdapat lain-lain kongsi gelap Melayu, termasuk yang dipanggil Persatuan Sungai Perak.

Selanjutnya dijelaskan bahawa wujudnya kongsi gelap Melayu di Perak juga menyaksikan transformasi organisasi-organisasi yang asalnya lebih tertumpu kepada dorongan politik.

Dari tahun 1874, satu pakatan sulit dijalin antara pembesar-pembesar Melayu dan Sultan untuk mengusir British dari Perak, demikian dijelaskan lagi.

Musuh utama ialah James W.W. Birch, Residen British yang pertama di Perak yang mati dibunuh pada 2 November 1875. Berikutan peristiwa itu pihak British menempatkan bala tentera mereka di beberapa daerah negeri Perak.

Antara yang dihukum gantung ialah Maharaja Lela manakala Sultan Abdullah serta beberapa orang lagi dibuang negeri ke Seychelles di Lautan India.

Kongsi-kongsi gelap Melayu juga aktif di negeri Kedah, tetapi tiada laporan-laporan lengkap mengenai kegiatan-kegiatan mereka dalam dokumen-dokumen rasmi kerajaan negeri.

Di Perlis pula lahir Kongsi Gelap Bulat yang bukan saja terdiri dari orang-orang kampung tetapi juga termasuk kaki tangan kerajaan, anggota polis, penghulu serta kaki tangan mahkamah, penjara dan pejabat hutan.

Pada bahagian akhir dijelaskan bahawa budaya kongsi gelap tidak terasing bagi masyarakat Melayu.

Kajian aspek ini di Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Perlis pada abad ke-19 dan abad ke-20 membuktikan bahawa masyarakat Melayu berpaling kepada kongsi-kongsi gelap untuk menyelesaikan masalah-masalah dalaman dan luar.

Antara masalah-masalah yang dihadapi ialah sikap penjajah British mengabaikan masyarakat Melayu-Islam. Lahirnya kongsi-kongsi gelap Bendera Merah dan Bendera Putih mencerminkan pertelingkahan dalam bidang sosial dan ekonomi serta yang dihadapi oleh orang-orang Melayu.

Toleransi

Sikap taksub mereka terhadap pertubuhan-pertubuhan itu menyebabkan orang-orang Melayu berpecah-belah. Pengaruh mereka bukan saja menjejaskan perhimpunan-perhimpunan keluarga, tetapi juga acara-acara pengkebumian di masjid.

Penubuhan kongsi-kongsi gelap Bendera Merah dan Bendera Putih dan kerjasama mereka pada peringkat awal dengan kongsi-kongsi gelap Cina memperlihatkan betapa proses penyesuaian dan budaya toleransi mudah berlaku kerana masyarakat-masyarakat berkenaan pada asasnya bersikap toleransi semulajadi, demikian dicatatkan.

Berbanding dengan apa yang berlaku di Pulau Pinang, lahirnya kongsi-kongsi gelap Melayu di Perak dan Perlis ialah kerana kaitan dengan pergeseran politik Melayu.

Di Perak, kongsi-kongsi gelap Bendera Merah dan Bendera Putih dipercayai telah bergerak lebih awal. Rekod pihak kerajaan pada tahun 1879 memberitahu bahawa kedua-dua kongsi gelap itu juga terlibat dalam gerakan politik orang Melayu menentang James Birch.

Pada hakikatnya tradisi bangkangan orang Melayu tersemat dalam kehidupan orang-orang Melayu di sepanjang Sungai Perak. Sementara itu di Kedah, lahirnya kongsi-kongsi gelap Melayu dilihat sebagai kegiatan golongan yang ditindas atau diketapikan berikutan kedatangan penjajah British.

Dengan demikian pergerakan mereka di Kedah dipandu kebanyakannya oleh penanam-penanam padi dan yang miskin.

Kongsi-kongsi gelap Melayu lahir di Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Perlis kerana sebab-sebab berbeza. Kebimbangan kesemua negeri pada ketika itu ialah bagaimana mahu membangun ekonomi Melayu yang tercicir di belakang kaum-kaum lain.


Oleh Mazlan Nordin

Sumber:
Utusan Online Rencana Disember 25, 2011

Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments