kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Naga dalam kesenian Islam

NAGA sering dikaitkan sebagai makhluk dunia mistik yang amat berkuasa. Ia menjadi simbol kebaikan dan kejahatan mengikut adat dan tradisi kepercayaan sesuatu tempat di dunia ini.

Secara amnya, naga digambarkan sebagai haiwan yang besar, mempunyai kuku yang tajam dan boleh menghembuskan api daripada mulutnya. Ia digambarkan sebagai haiwan daripada keluarga reptilia yang bertelur bagi tujuan pembiakan.

Daripada gambaran di atas, terdapat dua bentuk naga yang sering digunakan sebagai hiasan dalam dunia seni. Naga yang bersayap ataupun naga yang mempunyai badan bersisik yang panjang seperti ular tetapi mempunyai sepasang tangan dan kaki.

Terdapat beberapa kawasan seperti di Rusia yang menggambarkan naga sebagai haiwan yang mempunyai kepala yang banyak.

Islam tersebar luas di dunia ini termasuklah di kawasan-kawasan yang mempercayai kewujudan naga dalam kehidupan manusia di zaman lampau.

Antara kawasan atau wilayah Islam yang mempunyai tradisi itu adalah Turki, Parsi, India, China dan dunia Melayu. Naga dikenali dengan pelbagai nama di wilayah-wilayah Islam tersebut seperti Illuyankas (Turkish), Azi Daha-ka (Parsi), Naga (Sanskrit dan Melayu) dan Lóng (Cina).

Dalam kesenian Islam, beberapa motif haiwan yang digunakan sebagai lambang kepada raja atau pemerintah dan simbol kekuatan kerajaan seperti gajah, harimau dan singa.

Motif hiasan naga tidak digunakan pada barangan seni yang melibatkan ayat suci al-Quran ataupun barangan dan pakaian yang digunakan di dalam ibadah sembahyang.

Motif hiasan naga selalunya digunakan pada perkakasan kegunaan harian seperti pinggan, senjata, tekstil, duit, barang perhiasan, kotak kayu dan manuskrip.

Barangan-barangan seni itu tidak mempunyai kedudukan yang istimewa atau diagung-agungkan dalam kehidupan masyarakat Islam yang menggunakannya.

Salah satu manuskrip Parsi yang menggunakan motif naga berjudul Shahnameh (Buku Raja-Raja Parsi). Manuskrip sastera agung Parsi itu adalah himpunan karya sastera dalam bentuk puisi panjang.

Ia menceritakan pelbagai perkara berkaitan dengan raja-raja Parsi termasuk kejadian-kejadian luar biasa yang terjadi pada zaman sebelum Islam sehingga kedatangan Islam ke Parsi pada abad ke-7 Masihi.

Dalam salah satu karya sastera itu, terdapat kisah pertempuran Bahrum Gur, seorang pemerintah kerajaan Sasanid Parsi sebelum Islam dengan seekor naga.

Kebanyakan motif naga yang digunakan dalam dunia Islam mempunyai bentuk seperti ular yang besar dan panjang serta bersisik. Yang membezakan motif naga dan ular adalah motif naga mempunyai dua pasang kaki di bahagian bawah badannya.

Bentuk naga yang digunakan mempunyai persamaan dengan bentuk naga yang digunakan di China yang menjadi simbol kepada Maharaja China.

Naga bukan asing dalam dunia Melayu. Walaupun kewujudannya tidak pernah direkodkan tetapi terdapat beberapa nama khusus yang digunakan oleh masyarakat Melayu bagi haiwan ini.

Kamus Dewan edisi keempat ada dinyatakan beberapa nama naga iaitu naga hari, naga gentala dan naga berapi. Motif naga berkepak atau bersayap yang digunakan di atas tekstil Melayu seperti batik dikenali sebagai naga seknik.

Sempena sambutan Tahun Baru Cina yang merayakan Tahun Naga pada tahun ini, Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM) memeriahkan sambutan dengan mengetengahkan motif hiasan naga yang ada pada barangan kesenian Islam.

Pengunjung boleh melihat motif naga ini di beberapa galeri kekal seperti galeri manuskrip, kerja logam, dunia Melayu dan galeri gaya hidup. MKIM akan menyediakan satu aktiviti yang dipanggil 'Pemburuan Naga' untuk kanak-kanak. Sila lawati laman sesawangwww.iamm.org.my untuk maklumat lanjut.


Oleh ROS MAHWATI AHMAD ZAKARIA Kurator Muzium Kesenian Islam Malaysia

Source:
Utusan Malaysia Online Bicara Agama 20/01/2012

Tags: education, naga
Subscribe

  • hasil hebat komunikasi

    Bagi pendidik, mereka seharusnya mengetahui nilai komunikasi yang hebat: Mereka harus berkomunikasi secara berkala dengan pelajar untuk…

  • Berkomunikasilah dengan baik

    Apabila kita menyampaikan sesuatu maklumat atau menerima arahan, sering dimaklumkan untuk kita berkata ‘ya, baiklah atau akan di…

  • Bagaimana pemimpin terbaik perlu berkomunikasi?

    Peranan seorang pemimpin telah berkembang sejak sedekad yang lalu. Pemimpin biasanya melibatkan ‘penyokong’ mereka untuk melakukan…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments