kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kapitalisme dan Hari Valentine

Seperti biasa 14 Februari tarikh memperingati kematian paderi Kristian, Saint Valentine pada abad keempat akan disambut "gila-gila" oleh remaja Melayu. Untuk mewajarkan mereka menyambut kematian paderi Kristian, Hari Valentine diterjemah sebagai Hari Kekasih. Mana ada Hari Kekasih? Tolong habaq mai siapa pandai-pandai terjemah Hari Valentine jadi Hari Kekasih?

Ada yang tanya Siti, salahkah kita mempertingkatkan rasa kasih sayang sesama insan? Siti kata, tak ada salahnya. Tapi Hari Valentine bukan hari kasih sayang. Hari Valentine adalah memperingati kematian paderi Kristian. Yang menjaja kononnya Hari Valentine itu lambang kasih sayang ialah kapitalis. Semua ini dirancang untuk menggerakkan keinginan khalayak turut terlibat.

Bukanlah Siti nak menongkah arus menentang sistem kapitalis. Hakikatnya kapitalisme adalah sistem hidup kita hari ini. Tapi yang mana kita boleh elak dari termasuk perangkap kapitalis, elakkanlah. Buat apa hulur kepala untuk disembelih?

Siti nak tanya, kenapa tarikh pulangnya pejuang Islam ke rahmatullah tidak dianggap sebagai "hari kasih sayang?" Adakah Islam tak ada kasih sayang? Tolonglah fikir sikit. Melayu sepatutnya tidak terlibat Hari Valentine.

Mengikut satu kajian di Amerika Syarikat (AS), sehari sebelum menjelang 14 Februari tahun lalu, rakyat AS membeli lebih 180 juta jambangan bunga, 38 juta kotak gula-gula dan mereka membelanjakan tidak kurang AS$14 bilion untuk membeli cenderamata Hari Valentine. Biarlah mereka, buat apa kita nak ikut?

Bayangkan berapa banyak wang dibelanjakan kepada yang tak perlu. Ini kerja siapa kalau bukan kapitalis yang menggerakkan konsumerisme bagi mengukuhkan kapitalisme? Hari Valentine tak ada kena mengena dengan kasih sayang. Kalau ada yang anggap 14 Februari hari berkasih sayang, cakap saja itu mengarut.

Apa itu konsumerisme? Kalau nak tahu inilah satu sistem yang ditaja kapitalis untuk meningkatkan keinginan memiliki. Seolah-olah kalau kita tak ikut rentak konsumerisme yang digembar gemburkan oleh kapitalis, kita mundur dan kolot. Maka yang akal pendek pun kata "biar papa asal bergaya". Ini termasuklah soal Hari Valentine yang tak perlu tapi dijaja seolah-olah itu satu keperluan hidup.

Ada yang fikir asal saja orang putih buat, semuanya moden. Kalau tak ikut jadi kolot. Di negara kita pun ada stesen televisyen tolong mempromosi Hari Kekasih. Tak percaya tunggulah Selasa ini, tengok stesen mana yang lebih sudu dari kuah. Mereka tak guna istilah Hari Valentine kerana nak kelihatan "kemelayuan". Iklan pun banyak. Tapi nilai hidup apa yang masuk dalam kepala penonton?

Siti banyak juga baca tentang kapitalisme dan konsumerisme. Sistem kapitalis bertanggungjawab menyebarkan nilai-nilai baru menjurus kepada konsumerisme. Tiba Hari Valentine, kapitalis masuk cengkerang kasih sayang, tiba Hari Krismas atau Hari Raya Aidilfitri, mereka pun tumpang sendu supaya orang banyak berbelanja waima berhutang sekalipun.

Kapitalis di Barat juga adalah taikun media. Media adalah kuasa dan jentera penjana konsumerisme. Kenal Rupert Murdock? Kalau nak tahu itulah taikun media. Dia juga kapitalis menggunakan media perkukuhkan konsumerisme. Yang kita nak ikut kepala otak orang macam Murdock ini buat apa?

Siapa yang membiarkan dirinya dipergunakan oleh Hari Valentine adalah golongan OKC (golongan kurang cerdik). Siti selalu pesan kepada kawan-kawan, tak payahlah nak nampak moden tumpang sambut Hari Valentine. Sebenarnya mereka kolot kerana dijadikan mangsa hidup-hidup.

Siti tak boleh cakap sudut agama. Siti tak pakar. Di luar sana kita ada cerdik pandai agama yang bernaung bawah Jakim, Jawi, Jais dan banyak lagi. Mereka pakar bab agama dan Siti fikir boleh cakap Hari Valentine dari sudut agama. Sebabnya kalau banyak remaja Melayu meraikan Hari Valentine menjejaskan KPI mereka juga.

Badan-badan tadi mesti membuatkan orang Melayu rasa malu untuk terlibat dengan Hari Valentine. Kalau ada stesen televisyen promosi Hari Valentine, tegurlah. Sebabnya ahli agama bukan dipilih melalui pilihan raya dan mereka tak perlu takut hilang undi.

SITI JARUM: 14 Februari hari cuci kandang kambing


Sumber : Utusan Malaysia Online Rencana 12/02/2012

Tags: kapitalisme, valentine
Subscribe

  • Skor markah bukan tujuan peperiksaan

    ISTILAH penggredan pada lengkung menerangkan pelbagai kaedah yang digunakan oleh pendidik untuk menyesuaikan skor yang diperoleh pelajar dalam…

  • Gred Inflasi Stagflasi

    Apa yang kita lihat bukan inflasi gred: ini adalah tahap stagflasi Ini adalah peraturan umum bahawa apabila kuantiti item meningkat, nilai…

  • Melengkung Gred: Apa yang tidak kena?

    Istilah penggredan pada lengkung menerangkan pelbagai kaedah yang digunakan oleh pendidik untuk menyesuaikan skor yang diperoleh pelajar dalam…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments