kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Bisik-Bisik Awang Selamat ....

Kaum kaya... 


SABAN tahun, laporan senarai orang terkaya oleh majalah Malaysian Business menjadi perhatian masyarakat negara ini.

Robert Kuok daripada Kumpulan Kuok mengekalkan kedudukan teratas dengan aset bernilai RM45.70 bilion dalam senarai 40 orang terkaya negara ini.

Ia diikuti T. Ananda Krishnan, Teh Hong Piow, Lee Sin Cheng, Syed Mokhtar Albukhary dan lain-lain.

Awang mengucapkan tahniah. Kejayaan mereka harus dijadikan inspirasi dan bukannya dicemburui.

Cuma Awang tidaklah teruja kerana asyik individu yang sama menduduki senarai teratas orang terkaya bertahun-tahun lamanya. Sama ada suka atau tidak, itulah realitinya.

Senarai itu juga menyerlahkan lagi hakikat bahawa terlalu ramai kalangan bilionair adalah daripada kaum Cina.

Daripada senarai 40 orang terkaya, hanya lapan orang Melayu - muslim. Nilai harta kelapan-lapan itu amat kecil, cuma berjumlah RM19.9 bilion atau 10.3 peratus daripada keseluruhan RM193.2 bilion yang dimiliki oleh 40 warga terkaya.

Dari segi pencapaian individu, semakin jelas Melayu ketinggalan dalam pemilikan harta kekayaan negara.

Antara faktor yang terus menyumbang kepada penguasaan ekonomi kaum Cina adalah kestabilan politik, pengurusan ekonomi negara yang cemerlang dan dasar kerajaan.

Pada Awang, pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebelum ini, ternyata tidak memudaratkan kaum lain.

Semua orang tahu ribuan lagi usahawan Cina yang kaya raya hasil daripada persekitaran politik dan ekonomi yang kondusif. Bahkan ramai usahawan kaum itu mendapat konsesi dan kontrak besar daripada kerajaan. Hairannya, hakikat inilah yang DAP sentiasa nafikan seolah-olah masyarakat Cina terpinggir. Sedangkan banyak petunjuk ekonomi memperakukan penguasaan kaum itu semakin mengukuh meninggalkan jauh kaum lain.

Malangnya DAP sentiasa melakukan provokasi termasuk dalam soal kekayaan negara. Dalam perutusan Tahun Baru Cina misalnya, Penasihat DAP, Lim Kit Siang meminta kaum itu tidak menghargai nikmat kemakmuran yang dikecapi di bawah kerajaan. Katanya, masyarakat Cina juga boleh terus meraih kekayaan walaupun kepimpinan BN gagal. Sekali lagi, Awang ingin bertanya apakah soal kekayaan hanya hak kaum Cina dan mengapa berjanji tentang penguasaan kekayaan untuk satu kaum sahaja?

Awang tidak mempersoalkan kekayaan kaum Cina dan mana-mana individu. Masyarakat Melayu sendiri memang pemurah termasuk akur bahawa kaum lain menguasai ekonomi. Namun adalah tidak adil jika DAP sentiasa menghalang kemajuan ekonomi orang Melayu. Setiap kali ada usaha untuk meningkatkan pencapaian usahawan bumiputera, DAP melompat dan mempersoalkannya serta dijadikan isu kaum.

Parti itu lebih suka melihat orang Melayu miskin dan terus ketinggalan. Pada DAP, orang Melayu tidak boleh mendapat kontrak besar daripada kerajaan. Lain pula ceritanya kalau melibatkan usahawan Cina. Ada yang berulang kali diberi konsesi, itu tidak mengapa. BN di bawah teraju UMNO boleh melahirkan ramai usahawan Cina yang kaya raya sehingga ada membawa berbilion ringgit aliran tunai keluar negara. Juga bukan rahsia, ada di kalangan bilionair ini menyalurkan dana politik untuk pembangkang. Sampai begitu sekali terbukanya kerajaan BN! Persoalannya, apakah DAP akan bersikap begitu jika memerintah?

Baiah dan sumpah

TIDAK habis-habis kecelaruan yang dicetuskan oleh Pas. Parti menggunakan nama Islam tetapi semakin memudaratkan Islam.

Presiden Pas, Hadi Awang buat hal lagi. Kali ini, menurut beliau, Pas mewajibkan baiah kepada setiap calonnya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13). Kononnya ia bagi memastikan mereka tidak menyeleweng daripada dasar Islam, cara dan matlamatnya.

Katanya, sesiapa yang melanggar baiah itu ‘maka akan celaka dunia dan akhirat’. Awang sudah tak larat geleng kepala dek kerana keterlanjuran dan menyalahgunakan Islam dalam Pas.

Tidak lama dulu, kecoh tentang Pas mengamalkan baiah dalam kalangan wakil rakyatnya iaitu menceraikan talak tiga isteri masing-masing jika berhasrat meninggalkan parti. Sebahagian pemimpin Pas mengakui adanya amalan itu dalam parti tersebut. Demi politik, isteri pun menjadi barang gadaian.

Dalam hubungan ini, Awang setuju dengan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Hadi sepatutnya meminta ahli Pas berbaiah kepada Allah dan bukan pemimpin mereka yang hanya ghairah menang pilihan raya.

‘‘Sebagai orang Islam, kita hanya berbaiah kepada Allah dan hanya kepada-Nya kita tunduk. Kita juga wajar berbaiah kepada semua nabi dan Rasulullah yang diiktiraf oleh agama Islam,’’ hujah Dr. Mahathir.

Lalu Awang membuat penyelidikan ringkas menerusi beberapa enjin carian di Internet dan buku. Tidak terjumpa mana-mana parti politik Islam di dunia yang mempunyai baiah berkaitan pilihan raya seperti yang diamalkan oleh Pas.

Ini termasuk di Palestin, Iran dan Pakistan.

Difahamkan bahawa dalam kumpulan ajaran sesat Ayah Pin, juga tidak mengikat ahlinya dengan baiah dan sumpah taat setia seperti itu.

Yang banyak diamalkan di Malaysia, ialah sumpah pertubuhan gelap dan kumpulan samseng. Ada juga trend meniru Barat seperti sumpah black metal dengan meminum darah haiwan.

Dalam kalangan segelintir remaja, ada yang melakukan sumpah persahabatan dengan melukakan tangan mereka dan menyatukan darah.

Ritual tersebut dinamakan ‘saudara sedarah’ atau sebagai blood sisters atau blood brothers.

Khabarnya dalam kumpulan mat rempit, juga ada perjanjian dan sumpah mereka.

Memandangkan baiah Pas bercanggah dengan ajaran Islam sebenar, Awang tertanya-tanya apakah nilai baiah parti itu lebih kurang sama saja dengan sumpah kelompok yang lain?

Ohhh Kadir

AWANG kasihan kepada mantan menteri, Kadir Syeikh Fadzir. Kebelakangan ini, beliau bagaikan tak keruan dan asyik menghentam kerajaan.

Ada sahaja yang tidak betul. Tiba-tiba Kadir menggambarkan dirinya maksum, sempurna dan seorang yang idealis.

Ramai yang kenal siapa sebenarnya Kadir. Daripada karakter, reputasi hinggalah kepada kesilapan yang pernah beliau lakukan semasa menjadi Menteri Pelancongan dan Menteri Penerangan.

Menuding satu jari ke arah pihak lain, empat lagi jari menunjukkan diri sendiri.

Kadir sepatutnya banyak bersyukur kerana beliau antara yang beruntung. Beliau pernah tersingkir daripada UMNO dan menyertai parti lain tetapi kemudian diterima kembali. Akhirnya diberi peluang menjadi menteri. Jika ada perkara-perkara yang beliau tidak berpuas hati, tidak diberi perhatian atau permintaan tidak tertunai, janganlah jadi seperti budak-budak.

Tidak salah untuk kritis tetapi janganlah sampai tidak objektif dengan menggambarkan semua yang dilakukan oleh kerajaan buruk belaka.

Awang tetap menghormati beliau. Semua manusia ada jasa dan kebaikan termasuklah Kadir. Cuma tolonglah jadi pemimpin yang budiman.

Berjayakah Azizan?

SETAKAT ini, Menteri Besar Kedah, Azizan Abdul Razak masih mampu bertahan biarpun berdepan dengan gerakan untuk menjatuhkan beliau.

Ada yang mengaitkan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim sebagai tangan ghaib dalam gerakan tersebut.

Sejak tahun lalu, Azizan yang merupakan pemimpin daripada kelompok ulama dalam Pas memang tidak disenangi oleh puak penyokong Anwar. Ini termasuk di kalangan beberapa exco Pas di negeri itu.

Puak tersebut yang juga pro-DAP makin berpengaruh. Mereka lebih akur kepada Anwar berbanding Presiden Pas, Hadi Awang dan Mursyidul Am, Nik Aziz Nik Mat. Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Hassan Ali menjadi mangsa penyingkiran yang dicatur oleh puak Anwarista kerana kelantangannya memperjuangkan kepentingan Islam.

Bagaimana pula nasib Azizan, berjayakah beliau bertahan setidak-tidaknya sehingga PRU13 atau turut sama kecundang?

Semalam, dalam reaksinya, Azizan menegaskan tidak gentar dengan tekanan mana-mana pihak yang mahu beliau berundur. Beliau tetap tenang.

Semoga berjaya, Datuk Seri.


Sumber : Utusan Malaysia Online Rencana Bisik-Bisik Awang Selamat 26/02/12

Subscribe

  • Minuman manakah yang terbaik untuk penghidratan?

    Apabila anda dahaga dan memerlukan minuman, minuman manakah yang terbaik untuk memastikan anda terhidrat ? Pasti, anda sentiasa boleh…

  • Menghormati Hari Ibu

    Hari Ibu ialah percutian menghormati keibuan yang disambut dalam pelbagai bentuk di seluruh dunia. Di Amerika Syarikat, Hari Ibu 2023 akan…

  • Mencari IKIGAI Anda

    Kita semua pernah mendengar pepatah, "Ikuti keghairahan anda," bukan? Baiklah, di sini adalah untuk memberitahu anda bahawa ia tidak…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments