kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Mengapakah Britain?

MERYL Streep ialah seorang pelakon Britain terkenal. Antara filem lakonannya ialah Mama Mia, sebuah muzikal bersama seorang pelakon Britain yang juga terkenal, Pierce Brosnan.

Tidak lama dulu Mama Mia ditayangkan di televisyen di negara ini.

Streep kali ini tampil dalam filem baru yang ditayangkan di pawagam di Kuala Lumpur iaitu Iron Lady, bermaksud wanita besi.

Wanita besi yang dimaksudkan ialah bekas Perdana Menteri Britain, Margaret Thatcher, yang dilakonkan oleh Streep.

Wajah Streep dan Thatcher berbeza, tetapi solekan untuk filem membolehkan ia seakan-akan sama. Itulah kuasa lakonan, filem dan solekan.

Dalam kisah Iron Lady, diceritakan Thatcher dalam keadaan hari ini yang sudah menjadi warga emas, dalam keadaan nyanyuk. Tetapi filem itu menggunakan teknik imbasan kembali untuk menceritakan kisah hidupnya.

Maka kisah lama ini membawa nostalgia kepada penulis. Teringatlah penulis ketika menghadiri sidang akhbar Thatcher di Hotel Hilton Kuala Lumpur pada 80-an dalam rangka lawatan rasminya ke Malaysia.

Beliau memberi sidang akhbar selepas pertemuannya dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad, ketika itu Perdana Menteri.

Yang penulis paling ingat mengenai Thatcher ialah dasar penswastaan yang diperkenalkannya.

Bagaimana beliau mencorak semula Britain daripada sebuah negara kebajikan tajaan Parti Buruh yang hampir lumpuh setelah berpuluh-puluh tahun terlaksana kepada ekonomi berdaya maju.

Kemenangan Thatcher dalam pilihan raya adalah sebahagiannya atas sokongan para pekerja yang sebelum itu sentiasa mendokong Parti Buruh.

Dan apabila telekom Britain diswastakan, ada kalangan para pekerja negara itu turut serta membeli sahamnya.

Fahaman penswastaan ini kemudian merebak ke seluruh dunia. Ada yang berjaya. Tidak kurang pula yang gagal.

Dalam Parti Konservatif, Thatcher kemudian ditolak juga. Beliau digantikan dengan John Major.

Tetapi kemudian Major dan Parti Konservatif kalah pada Tony Blair dan Parti Buruh pada tahun 1997. Kemenangan Blair adalah kerana gagasan New Labour. Banyak orang Konservatif yang menyokong Parti Buruh kerana New Labour.

Maka timbul istilah Third Way (Jalan Ketiga) bagi merujuk New Labour yang menyamakan kedua-dua fahaman Blair dan Presiden Amerika Syarikat, Bill Clinton.

Ketika penulis mengunjungi pejabat majalah berhaluan kiri, New Statesman di London, seorang kolumnisnya berkata, mana ada Third Way. New Labour itu adalah haluan kanan. Maksudnya, fahaman Parti Buruh dan Konservatif itu sama saja.

Kini di Britain, kerajaan campuran Konservatif dan Liberal Demokrat menganjurkan dasar-dasar berjimat cermat hingga pelbagai bajet dikecilkan untuk mengelak Britain daripada menghadapi masalah ekonomi.

Pengalaman Greece, Itali dan Sepanyol yang di ambang bankrap amat menakutkan negara-negara Eropah.

Banyak pihak termasuk kalangan komuniti sains di Britain bimbang sekatan-sekatan bajet ini akan akhirnya menurunkan martabat negara itu kerana kelemahan inovasi dan perniagaan.

Tetapi buat masa ini Britain masih dipandang tinggi oleh dunia, terutama dalam bidang budaya.

Walaupun ia pernah menjadi sebuah empayar besar, tetapi Britain kini adalah sebuah negara kecil. Namun produk-produk budayanya diminati dunia.

Sebelum Iron Lady, filem The Kings Speech yang mengisahkan masalah seorang raja mereka turut ditayang di seluruh dunia.

Sementara itu, Brosnan pula terkenal sebagai James Bond dan filem-filem 007 terus menjadi tatapan dunia.

Britain mempunyai watak tersendiri yang menjadi tarikan kepada dunia, lebih-lebih lagi oleh rakyat di bekas tanah-tanah jajahannya, termasuk Malaysia.

Dari Oxford, Cambridge, Manchester United, Liverpool, English tea set, English deco hingga ke pelbagai perkara Inggeris bukan saja masih diminati tetapi tambah disukai.

Walaupun Malaysia sudah lama merdeka dan kemampuannya sebagai sebuah negara berjaya tidak lagi diragui tetapi banyak pihak yang melihat Britain sebagai negara berkualiti.

Paling ketara ialah pendidikan. Bagi mereka sekolah-sekolah yang diwujudkan oleh Britain dahulu lebih berkualiti berbanding sekarang.

Begitu juga dengan orang yang dilatih mereka, baik guru, ahli akademik, tentera atau penjawat awam.

Tetapi apakah istimewanya Britain hingga dipandang berkualiti?


Untung Sabut Timbul  ZIN MAHMUD

Sumber:
Utusan Malaysia Online Rencana 26/02/12

Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments