kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

SBPA: Terima kasih

WALAUPUN Awang bukan kakitangan awam tetapi cukup lega dengan pengumuman Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak, Khamis lalu.

Hal yang kelihatan kusut dapat dileraikan. Pokok permasalahan iaitu Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang mencetuskan kontroversi, dibatalkan.

SBPA yang diperkenalkan 1 Januari lalu mengundang bantahan banyak pihak terutama Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).

Penjawat kategori rendah merasakan ketidakadilan dalam cara skim itu digubal. Ramai juga kalangan yang berjawatan tinggi dan sederhana merungut atas pelbagai sebab.

Awang melihat pembatalan tersebut sebagai langkah berani Najib yang responsif kepada suara kakitangan awam.

Pembatalan itu juga boleh dilihat sebagai mesej jelas kepada beberapa pegawai kanan terutama Ketua Setiausaha Negara, Mohd. Sidek Hassan dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Abu Bakar Abdullah yang terlibat menggubal SBPA.

Awang setuju dengan saranan Perkasa bahawa mereka sepatutnya bertanggungjawab atas permasalahan yang timbul. Setidak-tidaknya mereka memohon maaf kepada rakyat Malaysia khususnya kakitangan awam. Sekadar berbuat demikian kepada Perdana Menteri, jika ada, tidak memadai. Kesilapan dan kecuaian yang mereka lakukan telah menjejaskan imej kerajaan.

Jika Najib tidak segera campur tangan dan mengambil kira maklum balas banyak pihak, isu tersebut pasti meletus bagai gunung berapi.

Apa pun, pengumuman Najib membawa khabar gembira buat 1.4 juta kakitangan awam. Sebahagian besar tuntutan CUEPACS dipenuhi. Dengan pembatalan SBPA, kerajaan mengekalkan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang ditambah baik.

Pelarasan gaji antara tujuh dan 13 peratus bagi semua gred penjawat awam, kenaikan elaun sara hidup (COLA) dan penubuhan suruhanjaya bagi mengkaji secara komprehensif sistem saraan penjawat awam bagi masa depan - amat bermakna. Ketika ramai penjawat awam bimbang dengan rancangan pembangkang khususnya DAP untuk mengecilkan saiz perkhidmatan sehingga separuh, Najib menjamin status quo malah memberikan harapan baru. Keyakinan beliau kepada penjawat awam bukan sedikit.

Berdasarkan penyelidikan rambang Awang menerusi Internet, Malaysia merupakan negara paling komited melakukan penambahbaikan imbuhan buat kakitangan awam.

Ternyata kerajaan amat menghargai peranan dan jasa penjawat awam. Ia bukan sekadar penghargaan menerusi ucapan dan kata-kata, malah lebih daripada itu. Syukur.


Sumber: Utusan Malaysia Online Rencana 11/03/2012

Tags: integriti, sbpa
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments