?

Log in

No account? Create an account

Previous Entry | Next Entry

Mencari kebahagiaan hidup

DALAM kehidupan, manusia sering mencari kebahagiaan. Sebab itu, pelbagai cara dilakukan untuk mencapai kebahagiaan. Ada yang berpendapat ia boleh dicapai dengan harta dan wang yang banyak.

Ada pula yang mengatakan kebahagiaan dapat diperoleh apabila rumah tangga, keluarga dan masyarakat bahagia.

Sebenarnya terlalu umum untuk menyatakan erti kebahagiaan yang dicari. Dalam doa dan ucapan selalu dimohon panjangkan umur, dimurahkan rezeki dan disihatkan tubuh badan serta kebahagiaan yang berpanjangan.

Sayangnya, banyak antara kita tidak mencari usaha ke arah kebahagiaan.

Jika dikaji dan direnung, perjalanan hidup telah memberikan pelajaran bahawa kebanyakan orang dilamun keluh kesah, gelisah, kesempitan dan kegoncangan batin, merasa sepi dan tidak mempunyai apa-apa.

Ketakwaan merupakan kunci kepada kebahagiaan yang sebenar. - Gambar hiasan


Merekalah orang yang tidak memperoleh nikmat iman dan keyakinan. Hidup mereka tidak ada rasa dan tidak ada perisa, tawar dan kosong. Walaupun mereka berada dalam lingkungan kelazatan dan kemewahan.

Justeru, kebahagiaan yang dicari mestilah berpunca daripada ketakwaan sebagai kunci kebahagiaan.

Apabila hati bertakwa seluruh tubuh badan akan berasa bahagia dan tenang. Bahagia yang didapati tidak boleh dirasai oleh orang lain. Hati berasa tenang dan jiwa sentiasa lapang.

Para cendekiawan ada mengatakan, dunia bersifat sementara. Oleh itu, kebahagiaan yang dikandunginya juga sementara. Sebaliknya akhirat bersifat abadi, maka kebahagiaan yang dikandunginya juga abadi.

Anak-anak adalah perhiasan dalam rumah tangga. Walaupun ia bersifat sementara pendidikan ke arah ketakwaan haruslah dilakukan.

Dalam kehidupan berumah tangga, anak-anak juga perlu dibimbing ke arah akhlak mulia.

Membina generasi anak-anak ke arah ketakwaan mestilah bermula dengan mendidik mendirikan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadan, menunaikan fardu haji jika mampu, membesarkan dan memuliakan al-Quran, menyampaikan ilmu pengetahuan serta berbakti kepada kedua-dua ibu bapa.

Selain itu, anak-anak sejak kecil lagi hingga remaja perlulah dididik berlemah lembut ketika berbicara, kewajipan bermasyarakat, menghormati jiran tetangga, menghormati tetamu, menolong orang miskin, bersedekah, tolong-menolong, mengasihi binatang, berbuat jasa, menyampaikan nasihat, menjaga kebersihan, bersopan santun, bersikap benar, rajin berusaha, sentiasa ingin menuntut ilmu, jangan membuat fitnah sesama manusia, menjauhi judi, arak , zina serta dadah.

Mereka juga mestilah dididik secara berterusan supaya jangan berputus asa daripada rahmat Allah SWT, bermusuh-musuhan, memutuskan hubungan silaturahim, mengumpat, bersifat sombong, mengejek keaiban orang, menuturkan kata-kata yang kotor, mengelakkan pembaziran, merosakkan harta benda awam dan membuang masa.

Anak-anak perlu diasuh dengan akhlak dan budi pekerti yang mulia supaya apabila mereka dewasa mereka akan menjadi insan yang boleh menggantikan generasi muslimin dan muslimat pada masa akan datang.

Jika dilihat masyarakat dewasa ini, khususnya generasi muda dan belia Islam, banyak yang hanyut dibawa arus kerosakan moral. Sesetengah daripada mereka sudah meninggalkan asas-asas ajaran Islam yang mulia dengan beranggapan bahawa ia suatu perkara ketinggalan zaman.

Oleh itu, pendidikan harus dilakukan agar para generasi muda yang terbabit dengan gejala sosial kembali kepada ajaran Islam.

Dalam usaha mencari kebahagiaan hidup, anak-anak juga menjadi permata yang harus digilap akhlaknya. Jika tidak, mereka bukan sahaja menyusahkan ibu bapa malah boleh menyebabkan ibu bapa terjebak dengan pelbagai permasalahan dalam kehidupan akibat anak-anak yang tidak bermoral.

Oleh itu, dalam kehidupan jikalau pagi dan petang seseorang itu beroleh aman dan sentosa daripada sebarang gangguan, itulah orang yang paling bahagia. Anak-anak yang berilmu, beriman dan beramal soleh akan menyumbang ke arah kebahagiaan hidup kepada setiap keluarga.


Oleh AMINUDIN MANSOR

Sumber:
Utusan Malaysia Bicara Agama 03/04/2012

Tags:

Latest Month

August 2019
S M T W T F S
    123
45678910
11121314151617
18192021222324
25262728293031

Tags

Powered by LiveJournal.com
Designed by Tiffany Chow