kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Ketua Negara dua era

KUALA LUMPUR: Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 hari ini bukan sahaja mencatat sejarah ditabalkan buat kali kedua, tetapi menjadi Ketua Negara dalam dua era - satu, ketika Malaysia sedang pulih daripada kesan peristiwa 13 Mei, dan kedua, ketika Malaysia melangkah ke arah menjadi negara maju.

Kali pertama baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong kelima pada 1970, negara berada di bawah pentadbiran Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang melahirkan beberapa dasar penting dalam membangunkan negara terutama Dasar Ekonomi Baru, yang bertujuan membasmi kemiskinan serta menyusun semula masyarakat. Ketika itu, Malaysia masih cuba bangkit selepas melalui detik hitam peristiwa berdarah 13 Mei 1969 yang juga kemuncak kepada masalah perpaduan antara kaum pada masa itu.


Kini ketika dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14, Tuanku Abdul Halim bakal memerintah Malaysia yang sedang giat berusaha mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Ketika baginda memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong Kelima, Perdana Menteri ketika itu adalah Tun Abdul Razak Hussain dan kali ini, Tuanku Abdul Halim berganding bahu dengan anakanda Allahyarham Tun Razak, Datuk Seri Najib Razak, selaku Perdana Menteri keenam yang giat memacu pembangunan negara ke arah mencapai Wawasan 2020.


Tuanku Abdul Halim yang diputerakan pada 28 November 1927 mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Titi Gajah sebelum menyambung pelajaran di Maktab Sultan Abdul Hamid, Alor Setar. Baginda kemudian menuntut di Wadham College, Oxford, London, pada awal 1952 dalam jurusan Sains Kemasyarakatan dan Pentadbiran Awam, ketika menjadi Raja Muda Kedah.


Pada 9 Mac 1957, baginda dilantik Pemangku Sultan Kedah semasa ayahanda baginda, Sultan Badlishah berangkat ke luar negara pada 12 Mac dan pulang ke tanah air pada 3 Julai 1957. Berikutan kemangkatan Sultan Badlishah, Tuanku Abdul Halim semasa berusia 35 tahun, menaiki takhta Kedah pada 14 Julai 1958 dan ditabalkan sebagai Sultan Kedah pada 20 Februari 1959. Pada Julai 2008, baginda menyambut perayaan Jubli Emas ulang tahun ke-50 pemerintahan baginda.

Pada 21 September 1965, baginda dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong keempat oleh Majlis Raja-Raja manakala pada 1970, Majlis Raja-Raja melantik baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong kelima. Pada 13 Disember 2006, Tuanku Abdul Halim dilantik sekali lagi sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong dan pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja kali ke-226 yang bersidang pada 14 Oktober 2011 memilih baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 bagi menggantikan Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 pada 12 Disember 2011. Pada 13 Disember 2011, sempena Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja kali ke-227, Tuanku Abdul Halim dengan rasminya diisytiharkan sebagai Yang di-Pertuan Agong bagi memerintah negara buat kali kedua.


Baginda yang bertemu jodoh dengan Almarhumah Tuanku Hajah Bahiyah Tuanku Abdul Rahman pada 10 Mac 1956 dikurniakan tiga orang puteri iaitu Tunku Puteri Intan Safinaz yang dilahirikan pada 1966, Tunku Soraya (1961) dan Almarhumah Tunku Salina (1961) yang mangkat pada 31 Ogos, 1991.



Sultanah Bahiyah mangkat pada 26 Ogos 2003 di Istana Kuala Chegar, Anak Bukit, Alor Setar.


Tuanku Abdul Halim kemudian bertemu jodoh dengan Che Puan Hajah Haminah Hamidun pada 25 Disember 1975 yang dimasyurkan sebagai Sultanah Kedah yang baru dengan gelaran Tuanku Sultanah Hajah Haminah pada 9 Januari 2004.


Semasa memerintah Kedah, baginda sering turun ke akar umbi bagi merapatkan jurang antara rakyat dan Istana.


Sifat mesra menjadikan baginda seorang pemerintah yang dikasihi dan disegani seluruh rakyat Kedah khususnya dan Malaysia amnya. Baginda giat dalam aktiviti bersama rakyat antaranya menerusi Persatuan Murid-Murid Tua Kolej Sultan Abdul Hamid, Vintage Classic Car Register Malaysia & Singapore, National Association of Snooker & Billiard Sports, Persatuan Golf Kedah dan Yayasan Sultanah Bahiyah.


Malah, baginda turut memberi penekanan kepada bidang pendidikan di negeri Kedah di mana setiap tahun, baginda dan Raja Permaisuri Agong berangkat menghadiri pelbagai aktiviti di sekolah rendah, menengah, maktab perguruan dan universiti.


Baginda adalah Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) serta Kolej Universiti Insaniah Negeri Kedah. Selain aktif dalam persatuan, baginda juga mencintai alam semula jadi dan sentiasa memberi perhatian kepada pemuliharaan flora dan fauna. Baginda juga memelihara beberapa haiwan di perkarangan Istana Anak Bukit seperti burung, kuda dan rusa.


Selain sibuk dengan urusan negara dan kerja amal, baginda turut meluangkan masa untuk beriadah dan bersukan termasuk bermain golf, tenis dan biliard. Baginda turut meminati sukan bola sepak dan memberi perhatian serius kepada perkembangan pasukan negeri Kedah dan pasukan negara.


Hobi baginda termasuk membaca buku ilmiah, melancong dan seni fotografi. - Bernama


Sumber: myMetro Setempat Rabu, 11 April 2012

Tags: agong, education, king, sejarah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments