kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Minda Pengarang: Kerajaan batal tiga proklamasi darurat sesuai kematangan rakyat

HASIL kemerdekaan dan amalan demokrasi selama hampir 55 tahun, masyarakat Malaysia kini mempunyai tahap kematangan yang lebih tinggi. Justeru, mereka juga dilihat semakin berkehendakkan kebebasan dan tidak suka dikongkong dengan pelbagai perundangan yang sudah tidak lagi relevan dengan keadaan semasa. Undang-undang terbabit dulunya digubal demi melindungi Malaysia daripada anasir luar yang mengancam keselamatan negara. Ia juga digubal demi kepentingan rakyat tanpa sebarang tujuan lain untuk mengekang kebebasan rakyat seperti yang digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak.

Sebagai kerajaan prihatin, mesra rakyat dan sesuai dengan perkembangan terkini sejajar dengan transformasi politik yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, beberapa perubahan akan dilakukan kerana masyarakat berbilang kaum di negara ini sudah bersedia memasuki era baru. Ini bermakna fungsi kerajaan tidak lagi dilihat sebagai mengehadkan kebebasan individu, sebaliknya berperanan untuk memastikan hak asasi yang dilindungi Perlembagaan bagi setiap individu dijamin. Berikutan itu, kerajaan membatalkan tiga proklamasi darurat yang masih berkuat kuasa dan membiarkan semua ordinan di bawah perisytiharan itu mansuh pada Jun depan, kecuali tiga ordinan yang akan dibentangkan sebagai rang undang-undang baru di Parlimen iaitu yang berkaitan dengan RELA, Rukun Tetangga dan Undang-Undang Laut Wilayah.

Sebelum ini kerajaan sudah mengambil langkah memansuhkan Akta Kediaman terhad, Akta Buang Negeri dan menggubal Akta Perhimpunan Aman serta meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Isnin ini, Perdana Menteri akan membentangkan rang undang-undang bagi memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada sidang Dewan Rakyat, seperti yang dijanjikan tahun lalu. Walaupun akta berkenaan banyak berjasa kepada negara, ia juga didapati melampaui jangka hayat kegunaannya, menyebabkan negara kita memerlukan kerangka baru perundangan keselamatan nasional dalam era kontemporari yang semakin kompleks.

Mengikut undang-undang baru itu, kuasa Menteri Dalam Negeri untuk menahan mana-mana pihak tanpa perbicaraan juga dihapuskan dan tiada seorang pun rakyat Malaysia boleh ditahan kerana alasan politik. Sebaliknya, kerajaan akan hanya membentangkan Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan bagi membolehkannya mengambil tindakan memerangi keganasan global. Apa yang dilakukan ini menunjukkan kerajaan benar-benar serius untuk bertindak secara telus bagi mempertahankan demokrasi berparlimen di Malaysia serta memelihara hak kebebasan warga negara. Apapun, diharapkan tiada sesiapapun akan menyalahtafsirkan usaha murni ini untuk kepentingan politik.

Sumber: Berita Harian Online Rencana Jumaat 13 April 2012
Tags: akta, auku, parlimen
Subscribe

  • Pelajar Guru Dewasa

    Sama seperti belajar, mengajar adalah merupakan salah satu kerja dan usaha keras bahkan mungkin lebih sukar. Walaupun mengajar anak kecil…

  • Pelajar Dewasa

    Mengajar pelajar dewasa boleh menjadi sangat bermanfaat, tetapi juga sangat mencabar. Kita tidak boleh lupa bahawa kita berurusan dengan…

  • Jiwa Berani

    Saudara Pengarang Dalam perjuangan kehidupan, maruah adalah lebih bermakna "Terdapat dua jalan menyimpang dalam hutan dan saya mengambil…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments