kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kunta Kinte Original: Ancaman cauvinisme bentuk baru

BARU-BARU ini, seorang bekas menteri zaman Tun Dr Mahathir Mohamad bagi tahu Kunta Kinte dan beberapa orang kawan bahawa ramai wartawan surat khabar Cina yang beliau temui anti-UMNO. 

Bila beliau tanya mereka, parti mana yang mereka sokong, mereka kata, parti mana saja asalkan bukan UMNO. Bunyi macam mereka itu sokong atau setuju dengan gerakan ABU (anything but UMNO) yang dilancarkan oleh beberapa orang peguam Melayu tak lama dulu. 

Menteri itu kata, beliau tanya wartawan Cina berkenaan sebab apa mereka benci sangat kepada UMNO. Mereka kata UMNO utamakan Melayu dan ketepikan kaum-kaum lain, khasnya Cina.

Bekas menteri itu ajak mereka bangkit dari kerusi dan minta mereka tunjuk sebuah bangunan pencakar langit milik Melayu. Tentulah mereka tak boleh tunjuk sebab tak ada bangunan macam itu milik Melayu. 

Bekas menteri itu tanya mereka lagi apakah kesalahan UMNO kepada orang Cina. Mereka kata UMNO hanya utamakan orang Melayu, bahasa Melayu dan agama Islam. 

Bekas Menteri itu kata, dia tanya mereka bahasa apa yang mereka pelajari dan sekolah apa yang mereka pergi. Mereka kata mereka belajar bahasa Mandarin dan pergi ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina. Lantas bekas menteri itu tanya mereka di Singapura ada atau tidak sekolah Cina. 

Apa lagi salah UMNO kepada orang Cina? Wartawan-wartawan Cina itu kata, UMNO tak sekat pendatang asing, khasnya dari Indonesia. 

Bekas menteri itu tanya mereka, tidakkah ada pendatang dari negara China atau Taiwan? Beliau tanya mereka lagi, siapa yang banyak guna tenaga pendatang asing? Siapa yang jadi buruh di tapak-tapak pembinaan milik orang Cina? Siapa yang jadi pembantu rumah orang Cina? 

Kalau betul itulah sikap wartawan-wartawan Cina itu, Kunta Kinte tak hairan langsung. Inilah jenis cauvinisme kaum yang sedang merebak dalam negara kita sekarang. Semuanya salah orang Melayu. Cuma ramai orang Melayu kita tak nampak dan yang nampak pula, buat-buat tak nampak. 

Kalau orang Cina dan India tak suka atau bimbang dengan kemasukan pendatang Indonesia, orang Melayu pula bimbang dengan kemasukan pendatang China, Taiwan dan India. Mereka masuk sebagai pelajar dan pelancong, tetapi melencong jadi GRO, tukang urut, pelacur dan anggota sindiket judi haram. 

Tapi ramai orang Melayu tak tahu atau tak sedar hal ini sebab pendatang China dan Taiwan bertumpu di bandar-bandar. Mereka nampak serupa macam orang Cina tempatan. Mereka bekerja dengan orang Cina tempatan dan selalu juga jadi mangsa orang Cina tempatan. 

Kalau pendirian wartawan-wartawan Cina itu ada ciri-ciri cauvinisme, Kunta Kinte tidak hairan. Kebanyakan mereka beranak dan besar dalam masyarakat Cina, belajar di sekolah Cina dan bekerja dengan majikan Cina. 

Ada tidak pun konteks mereka dengan bangsa-bangsa lain hanyalah masa mencari berita atau melalui perhubungan kasual. Kalau dengan orang Melayu, konteks mereka boleh jadi terhad kepada ahli politik Melayu, pegawai awam Melayu dan polis Melayu. 

Tidak macam budak-budak Cina, India dan Siam zaman Kunta Kinte dulu. Masa tu, kita hidup dalam satu kampung, kita pergi ke sekolah yang sama iaitu sekolah Inggeris. Kita main dan makan sama-sama. 

Kita tak marah kalau dipanggil Melayu otak belacan atau disuruh balik kampung tanam jagung. Kawan-kawan Cina kita pula tak marah kalau kita panggil dia Cina mata sepet atau Cina makan babi. Kawan-kawan Tamil tak peduli kita kata dia minum todi. Dia pun panggil kita macam itu. 

Tapi bila kita Merdeka dan cuba laksanakan dasar dan rancangan kebangsaan macam Dasar Pelajaran Kebangsaan dan Bahasa Kebangsaan, mulalah timbul bangkangan dan pertelingkahan. 

Orang Melayu pula lekas mengalah dan suka sangat tolak ansur sampai banyak dasar dan rancangan yang dipersetujui bersama oleh semua kaum dalam rundingan kemerdekaan tidak dilaksanakan atau dipinda sampai jadi lebih teruk daripada zaman penjajah. 

Dasar Pelajaran Kebangsaan, Bahasa Kebangsaan dan banyak lagi yang dilaksanakan separuh jalan, dipinda dan ditangguhkan sampai banyak yang dah tak serupa macam waktu dirancang. 

Maaf cakaplah kalau Kunta Kinte kata, Kunta Kinte tak berapa yakin yang keadaan ini boleh diubah atau diperbaiki. Tengok saja sistem persekolahan. Budak-budak Melayu pergi Sekolah Kebangsaan, budak-budak Cina pergi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan budak-budak India pergi Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil. Hanya di pekan-pekan besar masih ramai budak Cina dan India pergi sekolah kebangsaan.


Sumber: Berita Harian Online Rencana 2012/04/13
Tags: education, politik
Subscribe

  • Latah Wilayah atau Negeri

    Adalah saya merujuk kepada artikel ‘ Ada apa dengan istilah ‘wilayah’,’negeri’? ’ bertarikh…

  • Jujur kepada diri sendiri dalam hidup

    Kejujuran atau bersikap jujur adalah suatu perkara yang paling penting. Sentiasalah bersikap jujur dengan diri anda tanpa ragu-ragu mengenai…

  • Menghormati

    Menghormati atau memberi hormat adalah sesuatu yang membawa banyak kekuatan dan kelebihan. Ia mempunyai kekuatan untuk menyatukan atau memisahkan…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments