KUALA LUMPUR 4 April - Seorang murid tahun lima mendakwa cedera akibat ditampar dan disepak oleh guru Matematik di sekolahnya di Segambut di sini semalam disebabkan dia terlupa membawa buku latihan.
Bapa murid berkenaan, S. Saravanan, 40, berkata, anaknya Suryakaran, 11, telah dikasari oleh guru lelaki tersebut semasa berada dalam kelas pada pukul 9 pagi.
Dakwanya, guru tersebut berang apabila mendapat tahu anaknya terlupa membawa buku latihan dan bertindak menampar pipi muridnya itu hingga lebam.
"Selain ditampar di pipi, guru itu turut menyepak kaki kiri anak saya menyebabkan dia terjatuh dan kepalanya terhantuk pada kerusi.
"Insiden berlaku pukul 9 pagi itu turut disaksikan oleh rakan sekelas Suryakaran," dakwanya ketika ditemui selepas memberi keterangan di Balai polis Jinjang di sini hari ini.
Saravanan berkata, akibat insiden itu, anaknya mengalami muntah, sakit kepala dan trauma.
Katanya, Suryakaran juga enggan ke sekolah kerana bimbang diapa-apakan oleh guru berkenaan.
Tambahnya, dia sudah membuat laporan polis dan aduan kepada Pejabat Pelajaran Cawangan Sentul hari ini bagi meminta siasatan dilakukan terhadap insiden itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tentang kes tersebut dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan
selepas membuat laporan polis di Kuala Lumpur semalam.