kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Tuntutan integriti pentadbir universiti

UNIVERSITI diwakili tiga kumpulan utama iaitu pelajar, pensyarah dan pentadbir yang masing-masing mempunyai tugas, tanggungjawab dan peranan berbeza.

Pelajar perlu belajar dan pastikan berjaya, pensyarah diamanahkan mengajar, membimbing, mendidik melalui aktiviti pengajaran, penyelidikan, penerbitan agar ilmu yang disampaikan sentiasa terkini dan terkehadapan. 

Kumpulan pentadbir pula mesti mentadbir dan mengurus segala keperluan pendidikan melalui penyampaian perkhidmatan yang cekap, cepat, tepat dan mesra. 

Semua kumpulan berperanan dalam konteks tersendiri tapi saling melengkapi untuk memastikan amanah pendidikan dalam pembangunan modal insan negara terlaksana dengan sempurna dan jujur. Amanah inilah yang memantapkan organisasi universiti kerana ia perkara asas dalam integriti.

Kerumitan tugas sebagai pentadbir universiti menuntut kita menyedari pengertian mendalam hakikat insan yang sangat penting dalam pengurusan dan pentadbiran. Dari pengertian itu manusia akan melihat asal usulnya, tugas dan peranannya, kedudukannya, hakikat amalnya dan kesudahan hidupnya. Dari pengertian itu saja manusia dapat membina organisasi bersesuaian tugas dan peranan sebenar demi menunaikan amanahnya.


Secara semula jadi, fitrah manusia bersih, suci, membolehkan kita membezakan yang baik dan buruk serta jauh dari kemungkaran. Justeru manusia mesti ingat peranannya sebagai khalifah dan pada masa sama, harus akur sebagai ‘hamba’ pada ketetapanNya. 

Kita perlu menghargai diri kerana manusia adalah makhluk istimewa lagi kompleks. Istimewa kerana kebijaksanaan, kebolehan, kemahiran dan akal. 
Kompleks pula manusia ini kerana mempunyai perasaan, perwatakan dan nilai yang pelbagai mengikut latar belakang keadaan dan keperluan masing-masing. 

Ungkapan ‘mesti berintegriti’ sering disebut, namun hakikatnya sukar ditunjukkan dalam tutur kata, perbuatan mahupun tingkah laku. Tuntutan kehidupan dan pekerjaan hari ini mencabar dan menguji hinggakan kita lemas dengan berbagai gelagat manusia sekeliling. Kita sering terperangkap di persimpangan tindakan yang menggusarkan lagi menyukarkan, tapi keputusan tepat dan adil mesti ditunaikan. Ia menduga kekuatan minda, naluri jiwa dan kecergasan fizikal. 

Sebagai pentadbir universiti, kita diberikan jawatan yang dipohon lantas memberi setuju terima dan membuat akuan untuk bekerja dengan segala potensi dan kudrat. Jadinya, kenapa pula kita sendiri memungkiri janji dan berterusan menganiayai diri sendiri apabila tidak melaksanakan amanah tugas dengan cemerlang? Kita perlu ingat tugas yang diterima adalah satu amanah yang mesti digalas dengan penuh kesedaran. 

Pentadbir yang beramanah mesti mengambil tindakan pencegahan secara menyeluruh, bersepadu dan terancang bagi menangani cabaran-cabaran penyalahgunaan kedudukan dan kuasa seperti cabaran tidak menepati masa dan piawaian, tidak mematuhi peraturan dan prosedur; pembaziran dan penyelewengan. 

Pentadbir mesti setiap masa menghidup suburkan budaya integriti sebagai satu kewajipan untuk mengangkat citra pengurusan, memastikan amalan berintegriti dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab serta menjadikan integriti sebagai pengimbang kecemerlangan yang telus dan mudah difahami. 

Suasana kerja mesti selamat untuk tingkah laku serta amalan yang menggalakkan kreativiti untuk berinovasi dan mengambil risiko walaupun menentang arus kerana keakraban warga kerja pentadbir amat kritikal bagi menjamin kesejahteraan organisasi. 

Pentadbir universiti yang berada dalam kedudukan dan jawatan yang memiliki kuasa dan pengaruh perlu menunjukkan kredibiliti dan akauntabiliti masing-masing serta melaksanakan sistem tadbir urus terbaik secara berkesan. Tadbir urus universiti suatu perkara yang rumit. Amalan dalam tadbir urus berbeza mengikut saiz kampus, kawalannya, bilangan pelajarnya, komposisi tenaga pengajar, fakulti, dan stafnya juga mengikut pandangan umum masyarakat terhadap kampusnya dan sama ada ia sebahagian dari sistem ‘multi campus’. 

Satu perkara yang ketara dan menarik perhatian mengenai tadbir urus universiti ialah struktur dua autoriti - iaitu struktur autoriti pentadbiran yang disusun secara birokratif, dan autoriti profesional yang terkenal dengan sifat ‘collegiality’ dan autonomi profesional (Etzioni, 1959; Carson, 1960). Tadbir urus membabitkan mekanisme kawalan dan pemantauan serta menyediakan panduan kepada proses dalam universiti untuk pentadbir mengemudi dan mengurus organisasinya.

Justeru, kita mesti mengutamakan ketelusan, keterbukaan serta memberi ruang kepada pembabitan dan penyertaan staf serta juga mesti memberi contoh teladan yang baik. 

Budaya kerja yang mesti diamalkan, sebaiknya mampu menggerakkan pentadbir biasa menghasilkan output dan outcome kerja yang luar biasa dan memberi impak kepada peningkatan prestasi universiti. 

Maka pentingnya tujuh prinsip budaya kerja PERDANA (pantas & positif; empati; relevan; daya saing; amanah adil & integriti; nilai tambah & kelainan; arif & berilmu) - diamalkan sepenuhnya secara istiqamah semasa melaksanakan amanah tugas harian masing-masing. 

Di sini pentingnya watak pentadbir universiti menzahirkan amalan pengurusan yang beradab agar menjanjikan kesejahteraan dunia dan akhirat. 

Perlu diingat amanah pentadbir universiti berat maka kita mesti tingkatkan kompetensi dan kualiti kerja, menjaga kesihatan dan perelokkan hubungan sesama manusia, latihlah jiwa supaya merasa segar, bersemangat dan bertenaga. 
Kawallah emosi dalam segala urusan supaya perkhidmatan dapat diberi dengan tenaga serta penuh pertimbangan lagi berintegriti. Fahamilah bahawa integriti adalah tanggungjawab bersama. 



Oleh Dr Zaharah Mokhtar Penulis adalah Pendaftar Universiti Teknologi Mara. 

Warga kampus yang mempunyai pandangan mengenai pelbagai isu semasa boleh menghantarnya ke ruangan ini dan e-mel kepada ruhaizarusmin@hmetro.com.my

Sumber:
myMetro Variasi Bestari Isnin, 16 April 2012

Tags: education, integriti, ipt
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments