kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Guru berinovasi wajar diberi keutamaan

BIASANYA tokoh guru adalah mereka yang telah bersara. Selain sejarah perkhidmatan di sekolah sebagai guru, maka sebahagian besar biodatanya memaparkan pelbagai jawatan yang disandang sebagai pentadbir di sekolah, pejabat, jabatan atau Kementerian Pelajaran serta sumbangannya dalam pendidikan dan khidmat masyarakat.

Elok juga jika kriteria pemilihan tokoh guru menekankan nilai-nilai inovasi yang diamalkan semasa mereka menjadi guru dahulu. Namun anugerah khas kepada guru yang keunggulan mereka begitu terserlah sebagai guru berinovasi amat wajar diberi keutamaan, khususnya dalam majlis sambutan Hari Guru peringkat daerah.

Pengiktirafan ini bukan sahaja sebagai lambang penghargaan kepada kegigihan ribuan guru yang sedang mengajar di sekolah tetapi memberi penekanan bahawa tugas utama guru ialah mengajar di bilik darjah.

Dalam ucapan di majlis sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan pada 16 Mei lepas, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin memperincikan ciri-ciri guru berinovasi.

Guru berinovasi tidak semestinya dapat menghasilkan pelajar yang meraih 10A dalam peperiksaan. Yang penting keberhasilan pengajaran mereka mendorong murid seronok dan minat belajar kerana mereka mudah memahami pelajaran. Pengurusan bilik darjah terkawal, murid menumpukan perhatian di kelas dan pencapaian murid semakin meningkat.

Guru sentiasa berusaha agar objektif pengajaran tercapai. Mereka berjaya menghasilkan murid yang berakhlak mulia, menguasai kemahiran berfikir dan memiliki daya saing yang tinggi.

Kita sering mendengar guru muda yang baru tamat latihan perguruan berinovasi tinggi dan begitu bersemangat mengajar. Perkara penting ialah bagaimana untuk mengekalkan semangat inovasi guru? Bagaimana jika tahap disiplin pelajar di sesebuah sekolah tidak terkawal, ibu bapa tidak memberi perhatian kepada pelajaran anak, pelajar bebas keluar rumah dan terlibat dengan pelbagai gejala negatif?

Keadaan ini bukan sahaja boleh menjejaskan hasil pengajaran bahkan mungkin tahap inovasi guru. Pentadbir sekolah juga perlu bijaksana mengurus sumber manusia agar wujud gaya kepimpinan yang mesra guru.

Kita boleh berkata guru berinovasi sepatutnya gigih menghadapi kerenah pelajar dalam melaksanakan tugas profesional dan tugas tambahan. Persoalannya adakah kita yakin guru yang sibuk dengan kerja pentadbiran dan perkeranian serta kerap bertugas di luar sekolah maka keberkesanan pengajarannya di bilik darjah tidak terjejas?

Oleh itu, semua pihak perlu memainkan peranan sewajarnya agar wujud persekitaran sekolah yang dapat menyuburkan tahap inovasi guru.



ZIN MARKAM Pontian, Johor
Sumber: Utusan Malaysia Online Forum 23/05/2012

Tags: inovatif, teachers
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments