Ada pihak lain yang lebih berkuasa dalam menentukan untung nasib masing-masing, sama ada dalam bentuk lembaga pengarah atau individu lain yang diberi kuasa seperti Menteri atau Ketua Setiausaha (KSU) bagi perkhidmatan kerajaan.
Dengan itu mereka perlulah menerima seandainya mereka dinaikkan pangkat, dipindah, diturunkan pangkat, hatta dipecat sekalipun boleh berlaku.
Menyedari hakikat ini saya menolak tawaran untuk menjadi Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) yang dibuat oleh Tan Sri Annuar Musa, Menteri Belia dan Sukan ketika itu di Barcelona selepas negara kita memenangi hak menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 1998.
Saya menolak kerana saya cuak tidak dapat memikul tanggungjawab yang diberikan sebagai penganjur Sukan Komanwel ke-16 di Kuala Lumpur.
Tawaran tersebut disampaikan melalui Mohd. Zaki Abdul Rahman yang juga merupakan pegawai kanan MSN. Tempoh kontrak sebagai Ketua Pengarah selama dua tahun hanya boleh diperbaharui dengan persetujuan Perdana Menteri.
Saya telah terbayang apa akan jadi kepada saya sekiranya kita gagal dengan kemungkinan saya hilang jawatan tersebut dan kemungkinan juga hilang pekerjaan. Oleh kerana saya tidak mempunyai apa-apa kemahiran lain selain dari menjadi pegawai kerajaan maka saya tolak tawaran tersebut.
Tetapi akhirnya saya tidak mempunyai pilihan dan terpaksa akur dengan arahan tersebut dan saya bertugas sehingga saya bersara wajib pada bulan Ogos 2005.
Saya berpeluang berkhidmat dengan ramai Menteri Belia dan Sukan semasa saya berada di MSN selama 22 tahun dan 12 tahun lebih sebagai Ketua Pengarah.
Saya bersyukur saya tidak diarah berpindah atau diturunkan pangkat atau ditamatkan perkhidmatan sebelum dari mencapai umur bersara wajib.
Mungkin nasib saya baik oleh kerana semua bos saya yang merupakan Menteri Belia dan Sukan melindung dan kasihan untuk mengambil tindakan drastik kepada saya walaupun mereka mungkin mempunyai maklumat mengenai kelemahan-kelemahan dan kesalahan saya.
Pada pertengahan tahun 2000 saya telah menjalani pembedahan pintasan jantung dan mengalami komplikasi selepas itu, yang juga mengakibatkan percakapan saya terganggu.
Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein selaku Menteri Belia dan Sukan ketika itu menyokong dan menggalakkan saya untuk menjadi Ketua Kontijen negara ke Sukan SEA 2001 Kuala Lumpur.
Beliau mungkin ingin memberi saya keyakinan dalam menghadapi masalah kesihatan yang saya alami. Saya mengingati budi beliau.
Namun begitu langit tidak selamanya cerah dan pokok tidak selamanya rendang. Saya dikatakan terlalu berkuasa, hatta MSN pun mahu dimalapkan identitinya. Tiba-tiba muncul ramai pakar dalam sukan yang menjadi penasihat bos saya.
Inilah senario di penghujung perkhidmatan saya di MSN.
Begitu juga saya sebagai bos tahu akan kelemahan dan kesalahan pegawai-pegawai yang bekerja dengan saya. Terpulanglah kepada saya sama ada untuk mengambil tindakan atau tidak ke atas kesalahan tersebut.
Memang mudah untuk mencari kesalahan orang, kalau mahu.
Saya telah berkhidmat selama 34 tahun dengan kerajaan dan 22 tahun bersama MSN. Semasa saya menerajui MSN, ISN adalah sebagai satu bahagian dalam MSN. Oleh itu pengarahnya sebagaimana pengarah-pengarah bahagian yang lain bertanggungjawab kepada saya dalam menjalankan tugas masing-masing.
Saya telah melalui susah senang berkhidmat sebagai pegawai kerajaan terutamanya semasa di MSN. Sama ada saya gagal atau berjaya menjalankan tugas, bukan saya yang menentukan.
Walau apa pun saya tahu sedikit sebanyak terdapat juga sumbangan berguna kepada pembangunan sukan negara. Kepada pegawai-pegawai yang masih lagi bertugas, perjalanan anda masih jauh.
Mereka perlu menjalani tempoh tersebut dengan berhati-hati supaya tidak kecewa atau tidak terjerumus dengan kuasa dan berbagai dugaan dalam perkhidmatan kerajaan yang sekarang ini memerlukan ketelusan, keterbukaan dan prestasi yang sentiasa diukur pencapaiannya. Saya sudah melepasi tempoh tersebut.
Pendapat Saya
Sumber: Utusan Malaysia Online Sukan 28/05/2012